Penganggur Tegar

Assalamualaikum para pembaca. Terima kasih admin siarkan luahan saya.

Saat ini saya sangat tertekan. Tidak ada yang menekan atau memaksa, cuma emosi saya sendiri yang tak dapat menerima jalan hidup saya yang jauh lari dari landasan.

Saya berasa hampa dan kecewa dengan pencapaian diri sendiri. Rasa diri tidak berguna dan runsing dengan hari yang terbazir sia- sia. Saya terdesak nak kerja.

Saya seorang graduan universiti awam di Malaysia. Keluarga saya sangat berbangga dan gembira kerana sayalah anak yang pertama dalam keluarga dapat masuk ke universiti. Mereka meletakkan harapan yang tinggi pada saya.

Saya seorang yang berdisplin dalam pelajaran dan rajin menuntut ilmu. Saya tak pernah ponteng kelas tanpa sebab yang kukuh. Saya juga kurang keluar menghabiskan masa dan duit seperti kawan-kawan lain.

Ketika musim perperiksaan, saya akan berkurung di bilik dan tekun belajar. Malangnya, saya tetap tidak cemerlang dalam pelajaran. Pencapaian saya sangatlah biasa. 

Dengan jurusan yang kurang menarik dan CGPA kurang dari 3.00, saya tamatkan pelajaran mengikut garis masa yang ditetapkan.

Sungguh, saya tidak menguasi jurusan yang saya ambil. Saya pilih major saya sebab ikut kawan-kawan, sedangkan saya minat jurusan lain. Saya sangat menyesal.

Sebaik saja tamat pelajaran, saya bertemu jodoh. Saya mula mencari kerja. Tapi Allah beri rezeki anak. Suami pula dipindahkan ke tempat yang jauh dan kami terpaksa merantau. Bila di tempat orang, semakin susah untuk saya mencari kerja. Maka saya duduk rumah hinggalah bersalin.

Keluarga masih menantikan saya mencipta kerjaya. Dalam keluarga saya, semua perempuan bekerja. Selepas lahir anak pertama, dapat peluang jadi pensyarah sambilan di sebuah kolej. Keluarga gembira dan bangga. Sedangkan saya langsung tiada keyakinan dan kemahiran mengajar. 

Kelas saya sangat membosankan, saya tak pandai menarik perhatian pelajar, tiada aktiviti dalam kelas dan saya sebenarnya tak tahu method mengajar. Bahkan saya juga tak menguasi subjek tersebut.

Tapi saya cuba sebaik mungkin dan berjaya habiskan dua semester di sana. Kemudian saya berhenti kerana khidmat saya tidak lagi diperlukan dan saya pula melahirkan anak kedua.

Disebabkan susah mencari pengasuh, saya duduk di rumah dan tidak bekerja. Kemudian saya cuba buat bisnes dropship dari rumah. Tapi pulangan sangat sedikit. Sampai satu masa, suami memberi modal berniaga pakaian.

Awalnya semua berjalan dengan baik, tapi selepas pekerja setia saya berhenti semua jadi kucar kacir, pekerja-pekerja seterusnya semua bermasalah.

Sehinggalah saya mengandung anak ketiga, saya jadi tak cukup tangan dengan keadaan fizikal yang tak cukup kuat. Akhirnya terpaksa tutup kedai.

Tak lama lepas tu dapat lagi kerja sebagai kerani, tak sampai setahun mengandung lagi anak ke empat walaupun dah ambil perancang keluarga. Saya berhenti kerja lagi sebab nak jaga anak-anak. Saya memang tak berani bagi orang lain jaga anak yang baru lahir, maka saya berhenti.

Setelah beberapa tahun, saya terus menantikan rezeki pekerjaan. Saya jalani hidup saya dengan mendidik anak-anak. Saya seronok membesarkan anak-anak walaupun kadang-kadang diuji dengan depresi.

Sebenarnya saya sudah lama cuba terima takdir yang saya mungkin ditentukan Allah untuk menjadi surirumah tapi naluri saya tetap mahu bekerja. Bukan kerana saya merasa surirumah itu tidak bagus tapi atas beberapa sebab lain.

Pertama, sejak saya tamat belajar, sehingga kini sudah lebih 10 tahun, saya masih belum mampu langsaikan hutang pinjaman pendidikan yang berbaki lagi RM24,000.

Ibubapa saya bukan orang senang dan tanpa pinjaman tu sudah tentu saya tak dapat menyambung pelajaran ketika itu. Tunggakan saya sangat banyak kerana saya hanya bayar ketika saya bekerja, menggunakan duit gaji saya. 

Saya tak pernah minta suami bayarkan sebab saya malu, hutang tu dah ada sebelum saya kenal dia, saya rasa macam tak wajar untuk minta dia tanggung hutang saya ketika masih bujang. Cukuplah dia bagi nafkah saya dan anak2.

Saya memang tanggung hutang tu sorang-sorang sebab saya tak rasa itu adalah tanggungjawab suami.

Suami juga tak pernah halang saya bekerja dan dia banyak membantu dalam urusan rumahtangga, termasuk jaga anak, masak, membersihkan rumah dan sebagainya. Saya tak nak menyusahkan suami sebab dia juga banyak komitmen lain yang perlu dibayar tiap bulan.

Kedua, sebab lain yang membuatkan saya rasa perlu bekerja adalah untuk membantu ekonomi keluarga. Anak-anak kami masih lagi bersekolah rendah.

Kami memilih sekolah agama swasta untuk anak-anak untuk pastikan mereka dapat pendidikan agama secukupnya. Sekolah swasta sudah tentu mengenakan yuran lebih tinggi.

Tapi suami sanggup berhabis demi pendidikan anak-anak, memang hasilnya pun dah nampak, anak-anak memang celik Quran, akhlak dan akademik cemerlang seiring Alhamdulillah. Sungguh jauh beza dengan saya yang jahil sejak kecil.

Tak mengapa saya ikat perut dan tak bermewah asalkan anak-anak cukup ilmu agama.

Ketiga, saya memikirkan masa depan anak-anak. Suami saya agak berusia dan tidak lama lagi akan bersara. Dia bekerja di syarikat swasta dan tiada pencen.

Saat anak-anak membesar dan perlukan biaya yang banyak, risau simpanan suami tidak mencukupi. Saya juga risau tentang kesihatan suami yang merosot.

Sebab itulah saya ingin membuat persediaan awal untuk membantu kewangan keluarga dan membesarkan anak-anak. Saya risau jika ada sesuatu yang berlaku tanpa saya buat persediaan yang cukup.

Saya tiada simpanan dalam bank,duit belanja yang suami bagi saya guna sepenuhnya untuk belanja harian saya dan anak-anak, cukup-cukup saja, memang tiada lebih.

Sudahlah tiada simpanan, malah masih berhutang pula. Suami menanggung saya dan anak-anak sepenuhnya. Saya hanya membantu dari segi penjimatan. Saya memang sangat berjimat.

Apa yang membuat saya sedih dan tertekan adalah peluang pekerjaan yang seolah-olah tertutup buat saya. Puas saya mohon ke sana sini. Swasta kerajaan semua saya mohon. Kedai-kedai biasa pun saya minta tapi bila interview dia kata overqualified.

Tapi bila minta kerajaan langsung tak dipanggil. Semuanya tidak melepasi kriteria. Saya cukup kecewa dengan diri saya sendiri. Dengan tiada kemahiran yang boleh ditonjolkan dan kelulusan akademik yang tidak cemerlang.

Kadang saya rasa rugi merantau jauh bertahun-tahun ambil ijazah, akhirnya tak dapat kerja tapi hanya meninggalkan hutang yang masih tak selesai.

Tapi saya tak putus asa. Saya belajar pelbagai menu masakan dan kuih muih serta menambah kemahiran saya. Saya berniaga makanan di tepi jalan.

Tapi selepas beberapa bulan, kulit wajah saya menua kerana kesan UV walaupun saya pakai sunscreen. Berat badan saya juga naik banyak sebab saya selalu habiskan jualan yang tak laku. Untung tiada, hanya penat lelah. Akhirnya saya berhenti berniaga.

Saya cuba menjadi tutor di sebuah pusat tuisyen tapi terpaksa berhenti sebab tidak disediakan tempat solat. Saya cuba iklankan kelas tuisyen di rumah tapi tiada yang berminat. Keyakinan diri saya sangat-sangat rendah dan tiada keberanian untuk melakukan sesuatu pekerjaan.

Beberapa temuduga saya hadiri tapi semuanya gagal. Ilmu dan kemahiran saya sangat kurang, mungkin juga kerana terlalu lama di rumah membuatkan saya tidak dapat meningkatkan potensi diri.

Berbulan-bulan saya mencari kerja,hantar resume sana sini tapi langsung tiada panggilan. Tiap hari cek emel tapi hampa.

Kadang sedih bila tengok adik beradik bebas membeli apa yang mereka mahu, baju tudung cantik-cantik, makan apa saja dan beli apa saja. Gaji sebulan tak habis, bawa ke bulan depan. Sedangkan saya tiap kali nak beli sesuatu terpaksa buat kira-kira. 

Baju tudung beg kasut pakai sehingga koyak baru berganti. Nak makan pun beringat, kena jimat-jimat. Seumur hidup saya tak pernah rasa puas membeli sebab dari dulu sentiasa bercatu dan berkira-kira kalau nak beli.

Tengok adik dan kakak saya beli barang tak tengok pun harga, sedangkan saya tiap kali nak beli sesuatu mesti buat perbandingan harga beberapa kedai dulu. Bukannya cemburu, tapi kadang sedih rasa.

Saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang, tapi semuanya hasil pemberian suami. Saya teringin nak beli sesuatu guna duit sendiri dan tak bergantung semata-mata pada suami.

Ada tak tips untuk tingkatkan potensi diri dan cara mudah untuk mencari kerja?

12 tahun mohon kerja tetap tak dapat-dapat. Kadang rasa diri ni tak berguna sebab tak boleh bawa manfaat pada orang.

Saya betul-betul nak bekerja, tiap hari doa dan solat dhuha. Saya faham rezeki tiap orang tu berlainan. Tapi buat masa ni saya sangat-sangat perlukan pekerjaan.

Minta pandangan dan nasihat. Maaf andai ada tersilap kata-kata.

– Hana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

4 Comments

  1. Salam,

    Saya juga spt awak me ganggur 1 tahun ++. Tp bidanf saya ada sales. Sales engineer. Saya ego x nak apply sales sebab selalunya sales engineer ni geng2 fresh grad yg x dpt kerja engineer. Lepas menganggur lama saya buang ego. Saya practise english dgn listening wnd writing, saya apply sales engineer. Dan ya byk berdoa. Doa supaya kalau dpt kerja, bagilah kerja itu bagus utk aku dari semua aspek

  2. Rezeki manusia tak sama. Ada rezeki duit, ada rezeki pangkat dll. Rezeki puan ialah 4 anak, suami yg baik, rumahtangga yg aman damai (ramai yg rumahtangga mereka bergolak di zaman ini) badan yg sihat, anak2 dilengkapi didikan ilmu agama, InsyaAllah akan menjadi anak2 yg soleh/solehah, akan diberi ganjaran di akhirat kelak.. Itulah rezeki puan yg tiada pd semua orang… itulah nikmat dan barokah Allah peruntukkan untuk puan. Duit dan kerja belum tentu berkat disisi Allah, belum tentu diberi rasa nikmat ketenangan yg puan miliki sekarang. Allah berpesan di dalam Alquran… Bersyukurlah atas nikmatmu nescaya akan Aku tambah nikmat untukMu. Muhasabahlah…Adakah puan bersyukur atas segala nikmat yg ada pada puan sehingga hari ini? Tidak semestinya eang ringgit dan harta. Saya doakan puan ditambah nikmat dan rahmat oleh Allah Taala, dimakbulkan untuk dapat pekerjaan yang sesuai dengan diri puan suatu hari nanti. Ingatlah, apa yg Allah tetapkan untuk hamba2Nya itulah yg terbaik untuknya sedang mereka tidak mengetahui.

  3. Salam puan..pendapat sy puan kena fokus & jelas dgn tujuan & niat puan nk bekerja. Kalau sy, sy akan fokus HUTANG & BACK UP UTK TOLONG SUAMI. Puan jgn terkesan dgn kehendak (beli mcm² seperti adik bradik lain), sy
    takut puan akan rsa lebih rendah diri nnt.

    Bila niat dah clear insyaAllah mudah jalannya..solat dhuha niatkan TANDA SYUKUR atas apa Allah swt kurniakan apa yg kita ada hari ini – sebut semuanya. Cth sendi² ku boleh bergerak lagi, aku sihat, aku masih waras, otak masih cergas, aku masih mampu berdiri solat. Ya Allah mudahkan lah hamba Mu ini keluar mencari rezeki dgn kurniaan nikmat kau ini. Aku nk setel hutang & tlg suami..

    Ni contoh puan.

    Semoga Allah swt memudahkan urusan puan sekeluarga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *