Dari penderitaan akhirnya menemui ketenangan

Assalamualaikum para pembaca IIUM Confessions .
Rasa terpanggil untuk membuat confession selepas membaca 2-3 confession dalam ni terutamanya bab kisah "Awak study UIA je, bukan oversea" dan kisah yang berkaitan bab menganggur. Saya harap kisah hidup saya memberi sedikit sebanyak harapan kepada para pembaca disini..

Saya merupakan anak tunggal lelaki dalam keluarga saya. Ibu kesayangan saya berwarganegara filipina dan ayah saya seorang anak melayu kelantan. Ibu dan ayah saya bernikah pada tahun 1986 di sabah, sewaktu ayah saya berkerja disana sebagai kerani felda. Tahun 1990, lahirlah saya atas dunia ini. Akan tetapi takdir menentukan, ayah saya meninggal dunia pada 1991 (1 tahun lebih umur saya)

Tinggalnya ibu saya menjadi janda dan juga seorang muallaf yang kurang tahu serba serbi hal agama islam. Ibu sayalah seorang berkerja mencari nafkah membesarkan saya. Dia berkerja 3 tempat dalam satu masa untuk menampung kos sara hidup. Tahun 1994, ibu saya bernikah dengan seorang duda anak empat, berkerja sebagai ketua kerani dan bawa kami ke semenanjung untuk tinggal bersama. Hasil perkahwinan itu, dapatlah dua orang anak lelaki.

Disangkakan indah akan tetapi nasib menjadi lebih malang apabila disemenanjung. Apabila lahir sahaja anak kedua, ayah tiri saya berubah menjadi seorang tidak bertanggungjawab. Nafkah tidak diberi, boros, berjudi, memancing tak kira masa, banyak kes gangguan seksual melibatkan isteri orang dan anak dara. Ibu saya mengalami tekanan dan sering menangis akibat perbuatan ayah tiri saya. Apabila ingin berbincang, ayah tiri saya maki dan kata ibu saya macam-macam.

"Kau ni pendatang!"
"Kau ni menumpang je dekat sini!"

Wang simpanan (semasa ibu saya janda) habis dikorek akibat ayah tiri saya enggan memberi nafkah. Ikutkan hati, ibu saya banyak kali meluah ingin sahaja lari meninggalkan ayah tiri saya tetapi sebab kasihan adik-adik saya yang masih kecil itu. Sering kali membuatkan hasrat ibu terbatal. Maka, terpaksalah ibu berkerja untuk membesarkan saya dan adik-adik. Tidak lama, hasil kumpul duit berkerja yang tidak seberapa banyak itu. Dapatlah ibu saya membuka warung gerai goreng pisang di simpang jalan.

Semasa ibu berkerja, kami tiga beradik diserahkan pada sebuah keluarga indonesia untuk menjaga kami. Diawal pagi ibu menghantar kami, Dilewat malam ibu mengambil kami. Setahun dua selepas itu, apabila perniagaan ibu semakin maju. Perangai ayah tiri masih tidak berubah. Malahan, membawa anak hasil perkahwinan dahulu (abang tiri) untuk ditanggung oleh ibu saya. Abang tiri saya pula sering membuli, memukul dan maki hamun saya. Berlebam saya sana sini, saya selalu rahsiakan perkara ini daripada ibu saya kerana tidak mahu dia risau dan bergaduh dengan ayah. 3 tahun abang tiri saya tinggal dengan kami, 3 tahun itulah saya terpaksa menahan pedih derita. Takpalah, apalah jua jika hendak dibandingkan dengan beban yang ditanggung ibu saya. Jauh lebih berat daripada saya. Lepas 3 tahun itu, abang tiri saya pulang ke mak mereka.

Susah sebenarnya menjadi terpinggir dan menumpang kasih ni, pakcik dan makcik tiri saya sering kali meminggirkan kami. Kalau bab duit raya, ada sesetengah pakcik dan makcik enggan beri pada saya kerana saya ini orang asing. Kadang-kadang, saya dipukul oleh pakcik saya tanpa tahu apa salah sebab saya. Saya menangis kebingungan. Ibu saya sering kali dilayan second class disebabkan warganegara asing dan menantu bukan pilihan keluarga. Pernah juga ibu mengadu perangai jahat ayah tiri pada nenek dan pakcik/makcik, akan tetapi mereka memarahi ibu saya dengan menuduh melontarkan fitnah dan memburukkan ayah tiri saya. Berbagai fitnah dan tomahan dilontarkan pada ibu saya. Antaranya..

"Entah-entah, anak nombor 2 kau ni. bukan anak abang long. Tak ada kesamaan muka abang long (ayah tiri) pun kat muka budak tu"
"Engkau ni kikis duit abang long je kan"

Dan berbagai lagi tomahan diberikan. Saya pula dipinggirkan oleh sepupu tiri saya. Enggan berkawan dengan saya. Enggan berkongsi dengan saya. Dibuli lagi adalah. Tidaklah semua sepupu tiri saya begitu, tetapi hampir kesemua daripada mereka. Saya dan ibu saya ibarat sebatang kera, tiada tempat untuk mengadu dan ditindas pula. Arwah ayah pula, anak tunggal. Jadi saya tiada pakcik/makcik disebelah ayah saya.

Beginilah kitaran kami sehingga saya di belajar di IPT. Alhamdulillah result SPM saya dapat 7A beberapa B dan yang lain semua credit, tetapi mungkin ibu saya seorang pendatang dan ayah saya sudah pun tiada. Saya buat macam-macam permohonan, tapi langsung tiada tawaran daripada pusat pengajian awam (kerajaan). Universiti Awam, Matrik, Politeknik mahupun Kolej Kerajaan.. TIADA.. luluh hati saya apa bila melihat rakan-rakan yang keputusannya tidak seberapa dapat pelbagai tawaran dan masuk ke IPT yang diidamkan.. lagi sedih, Ibu saya amat menyukai UIA disebabkan nama Universiti ISLAM, dia amat inginkan saya masuk sambung belajar disana. Hari-hari dia sebut, akan tetapi, nasib saya ditimpa sebegini.. Tiada satu tawaran meskipun di IC saya jelas-jelas tulis bangsa melayu. Adakah sekeliling saya melayan saya dan ibu saya sebagai golongan kelas dua? Saya kecewa sangat. Jadi, banggalah para pelajar UIA dan graduan disana.. Kerana anda mampu manakala saya tidak..

Akhirnya saya redha, dan saya masuk di sebuah kolej swasta. Semestinya belanja kos sangatlah tinggi, hendak minta PTPTN pun saya tidak dapat. Disebabkan penjamin mesti warganegara Malaysia. Tiada siapa yang ingin menjadi penjamin saya. Maka, ibu sayalah yang menanggung kos pembelajaran dan saya berkerja part time dan mengambil upah membuat assignment/projek orang untuk menanggung kos ini. Alhamdulillah, usaha berterusan. Saya dapat juga segulung diploma meskipun lewat 1 tahun (disebabkan kos belajar/study leave) berbanding rakan-rakan lain.

Selepas itu, saya berkerja disebuah syarikat IT dan sedikit sebanyak ingin memberi sedikit kegembiraan pada ibu dan adik-adik saya dengan hasil titik peluh saya. Baru sahaja 3 bulan saya berkerja, ibu saya diceraikan oleh ayah tiri saya. Pada usia menjelang 50 tahun, ibu saya diceraikan selepas perit getir dilaluinya. Dibuang ibu saya sebegitu sahaja. Usaha ibu saya berkerja keras, rumah, kereta, perniagaan, tanah yang ditumpang atas nama ayah tiri saya. Habis disapu oleh ayah tiri. Ibu saya dilepaskan sehelai sepinggang. Ibu saya pesan pada adik-adik untuk tinggal bersama ayah mereka sebab ibu tidak memiliki apa-apa untuk tanggung kos pembelanjaan adik-adik saya.

Berbekalkan sedikit duit simpanan yang ada, ibu saya pulang ke sabah dan menetap disana. Ibu saya sering kali menelefon saya menangis akan nasib beliau. Saya pula terpaksa kuatkan diri untuk ibu saya. Menangis seorang diri, tiada tempat untuk mengadu. hendak mengadu pada ibu pun, dia lebih memerlukan saya pada masa itu.. Allah lah tempat saya mengadu, menangis dan berdoa hari-hari.. 1 Tahun saya berkerja, jadi programmer, jadi sales executive, buat part time job.. Tidur dioffice untuk jimat kos.. Penat lelah dan airmata sepanjang 1 tahun itu. Alhamdulillah saya dapat kumpul RM100K untuk beri ibu saya modal untuk berniaga di Sabah. RM100K tu hasil daripada simpanan saya dan bermacam-macam loan saya dibuat di BANK, TEKUN, MARA. Pinjam duit Kawan-kawan, dan Bos saya sendiri.

Ibu saya mulakan perniagaan (menggunakan nama saya) disabah dan saya terus bekerja di KL. Kami anak beranak terpaksa berpisah untuk "survive". Saya pula setiap 4-6 bulan, pulang ke sabah untuk melihat perniagaan disana.

Saya singkatkan, 5 tahun kemudian.. Alhamdulillah, ibu saya memiliki beberapa perniagaan yang saya berikan modal pada dia.. Sering kali dia ingin beri wang dan ganti balik pada saya. Saya cuma katakan anggaplah itu hadiah dari saya pada dia.. Dua adik saya tu (satu mak, lain ayah) belajar di UITM dan seorang lagi membantu ibu saya berniaga disabah. Manakala, saya sekarang sudah berkerja sebagai Business Manager (IT) di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur dan bakal bernikah tidak lama lagi. Kehidupan saya alhamdulillah, Allah membuka laluan melepasi perit getir yang kami lalui dahulu. Sekarang rezeki cukup, tiada caci makian, tiada lagi tomahan fitnah.. Kami cukup gembira denngan apa yang ada..

Jikalau diingatkan balik, hendak sahaja saya saman tuntutan pada ayah tiri saya kerana membuat ibu saya sebegitu rupa. Walaubagaimana kejam dan jahat sekalipun perbuatan ayah tiri saya, dia tetap ayah yang sah pada adik-adik saya. Disebabkan ini, membantutkan hasrat untuk membalas balik dan saya serahkan pada Allah untuk mengadilinya kelak.. Kehidupan saya, ibu saya dan adik-adik saya bertambah baik dan malas hendak membuka kembali memori silam.

Apa-apa pun..
Tatkala ada yang mencemuh kalian belajar di UIA/UITM/Politeknik.. Saya satu tawaran IPTA pun tak dapat.. Kalian lebih beruntung..
Tatkala ada yang antara kalian mengalami masalah keluarga.. Sabarlah dan berdoalah, Allah sentiasa mendengar dan makbulkan doa orang yang dizalimi.. Mintalah agar diberi jalan keluar daripada keluh kesah kalian..

Semoga cerita kisah hidup saya ini dapat memberi manfaat kepada pembacanya..

– Peminat UIA

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

9 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *