Derita An4k Sulung

Namaku SH. Maaf kalau cerita aku sedikit panjang. Aku seorang anak kepada ibu dan ayahku, seorang kakak kepada 5 orang adik yang masih bernyawa dan seorang isteri kepada suamiku. Sejujurnya aku bukan hendak meluah melainkan hanya cerita tentang iri hatiku selama ini.

Memandangkan aku anak sulung, aku membesar dengan keadaan ekonomi keluarga yang sangat teruk. Ketika itu ibuku seorang suri rumah dan ayahku hanya seorang buruh dengan gaji terendah. Zaman kecilku kami tinggal di rumah sepupu ayahku di dalam bilik stor.

Kami tinggal di sana sampai mak aku mengandung 7 bulan anak ketiga. Anak kedua meninggal ketika baru lahir. Setelah itu kami balik ke kampung dan mak aku melahirkan di sana. Beberapa bulan selepas mak aku melahirkan adik aku yang ketiga, ayahku bawa aku kembali ke bandar untuk sekolahkan aku.

Mak aku ditinggalkan di kampung. Aku menumpang di rumah kakak ayahku. Aku tidak tahu ayahku tinggal dimana ketika itu. Mungkin kerja jauh. Hanya sekali sekala sahaja dia datang menjenguk aku. Selepas mak aku datang, kami tinggal di stor bawah rumah kakak ayahku.

Dan kami sering berpindah randah dari satu rumah ke satu rumah sampailah ayah aku bekerja di satu syarikat yang memberikan rumah kecil untuk pekerjanya. Kami membesar di sana sampai ayah aku hampir pencen.

Mak aku seorang suri rumah sampailah adik bongsuku bersekolah. Setiap kali cuti sekolah aku selalu dipaksa bekerja. Umur aku 12 tahun mak aku paksa aku bekerja di kedai runcit suami anak buah ayahku. Hasilnya aku langsung tidak dapat gaji.

Umur aku 13 tahun mak aku paksa aku bekerja lagi di cafe anak buah ayahku. Alhamdulillah dia upah aku RM100 untuk sebulan lebih yang aku bekerja. Ketika umur aku 14 tahun, masa tu hampir cuti sekolah. Anak kawan mak aku menawarkan aku bekerja di tempat dia bekerja.

Seorang salesgirl tapi berjalan berpusing satu daerah. Dari satu bangunan ke satu bangunan hanya untuk mendapatkan pelanggan dan menjual buku yang diarahkan. Gaji aku hanyalah komisyen dari buku yang terjual.

Kerap kali aku dianggap sebagai pengemis walaupun berkali-kali aku menafikan. Sebenarnya bukan salah pelanggan, hanya aku yang diarah untuk mengganggu pelanggan ketika makan, atau sedang berjalan hanya untuk menjual buku. Aku masih lagi seorang anak gadis yang meningkat remaja ketika itu.

Ketika cuti sekolah hampir tamat, rakan-rakan sekerjaku mula mempengaruhi aku untuk berhenti sekolah. Mereka kata sekolah hanya membuang duit dan bekerja dapat menghasilkan duit.

Aku terpengaruh. Aku mula minta mak aku berhentikan aku sekolah. Aku nak bekerja. Tapi mak aku tak bagi. Dia kata pendidikan untuk masa depan aku. Lepas aku dah bersekolah sampai universiti aku boleh bekerja.

Dan aku turutkan. Umur aku 15 tahun, aku dah penat nak bekerja. Tapi itulah mak aku masih lagi paksa aku bekerja cuti sekolah. Aku dapat kerja di satu kedai yang menjual peralatan sekolah. Masuk 7 pagi sampai 7 malam. Gaji RM350 takde rehat dan kena berdiri sepanjang hari.

Tak boleh duduk. Takde cuti hujung minggu.

Hari pertama aku masuk kerja aku tanya boleh ke solat. Majikan aku tak bagi. Dia kata solat hanya membuang masa. Aku minta izin solat sebab aku nak mengelat dari kerja. Kami takde waktu rehat. Yang dibenarkan kami cuma duduk makan 10 minit. Selepas itu kami kena berkerja.

Dan minggu tu juga aku berhenti kerja. Kenapa tunggu seminggu? Sebab aku tengah cuti solat masa tu. Itulah alasan aku nak berhenti. Tak boleh solat.

Dapatlah aku gaji RM12 untuk seminggu aku bekerja. Mak aku suruh cari kerja lain lagi. Aku cakap aku cari tapi tak jumpa. Sebenarnya tak cari. Aku tak nak bekerja. Aku penat. Disebabkan aku cakap tak jumpa, mak aku yang carikan. Gigih kan mak aku. Aku bekerja di kedai yang menjual tudung.

Majikan aku ok tapi anak dia yang lelaki mood swing mengalahkan perempuan. Minggu ketiga aku kerja, anak dia datang buka kedai dalam keadaan marah.

Aku tolong dia angkat satu papan yang ada mangga. Entah kenapa dia marah sampai tertolak papan tu dekat aku. Terus perut aku sakit sepanjang hari.

Aku buat check up dan doktor sahkan ada nanah dalam perut aku. Mungkin akibat hentakan kuat. Aku ditahan dalam wad dan buat pembedahan kecil. Walaupun pembedahan dah dibuat tapi setiap hari aku kena datang ke hospital untuk cuci luka sampai aku sembuh.

Selepas aku sembuh, mak aku pulak disahkan mengandung. Mak aku melahirkan hujung tahun. Aku jadikan itu alasan untuk aku tidak bekerja. Aku cakap aku nak jaga adik. Dan memang aku yang menjaganya. Lebih-lebih lagi mak aku melahirkan secara pembedahan.

Setiap kali buat check up aku teman mak aku tapi aku yang dukung baby. Kami jalan kaki dari rumah ke tempat menunggu bas dan turun ditempat bas berhenti lalu jalan kaki ke klinik kesihatan ibu dan anak. Kami takde apa-apa kenderaan pun sama ada kereta atau motor.

Jadi kami kena naik bas ulang alik setiap hari kerana adik aku ada kuning dan kuning dia tinggi. Akulah yang uruskan dia dari A sampai Z.

Sepanjang jalan orang yang tengok aku dukung baby tu semua cakap tu anak aku. Aku ni kecil lagi tapi dah ada anak.

Walaupun ketika itu umur aku dah 16 tahun tapi badan aku nampak kecil yang memungkinkan orang berfikir aku ni budak sekolah rendah.

Dari satu ke satu orang bertanya, macam mana aku boleh melahirkan sedangkan aku masih kecil. Tapi bila aku kata tu adik aku, orang macam susah nak percaya. Mungkin sebab mak aku ni walaupun masih muda tapi muka dia dah nampak tua. Bila adik aku pandai bercakap, dia bahasakan aku ibu.

Mungkin sebab aku yang lebih banyak masa mengurus dia. Mak aku cuma bagi dia susu dan sediakan makanan je untuk dia. Yang lainnya aku yang uruskan. Waktu aku 17 tahun aku dapat PLKN jadi mak aku tak boleh nak paksa aku bekerja akhir tahun.

Umur aku 18 tahun, aku masuk tingkatan 6. Hujung tahun masa cuti penggal mak aku suruh aku cari kerja. Aku dapat kerja kedai makan.

Waktu kerja tak tentu sebab majikan aku sekejap datang awal sekejap datang lambat. Asalnya dia kata kedai buka jam 10 pagi tapi belum tentu 10 pagi tu dia dah sampai. Kalau kena timing dia awal sikit, dia datang la jam 11 tapi selalu dia datang jam 12 atau 12.30 tengah hari.

Bila dah lama sikit baru aku tahu restoran tu bukan dia punya melainkan ipar dia punya. Dia hanya tolong uruskan je. Biasalah kerja restoran.

Sibuk memanjang. Awalnya aku kerja sampai 7 malam dan dia hantar aku balik memandangkan kami sejalan. Tapi semakin lama dia suruh tunggu tutup kedai dulu baru balik.

Aku kena bekerja dari awal kedai buka sampailah kedai tutup jam 10 malam. Masa aku 19 tahun, masa tu aku baru habis STPM. Malam tu mak aku dah suruh cari kerja. Esok dia aku cari kerja.

Tapi seminggu aku cari satu pun tak dapat. Satu malam tu aku tak ingat sebab apa mak aku marah. Aku bergaduh dengan mak aku dan dia halau aku dari rumah sebab aku tak dapat kerja. Aku tinggalkan rumah dalam keadaan marah. Aku ingat malam tu aku nak menumpang tidur di masjid tapi apakan daya masjid dikunci.

Aku takde tempat nak pergi. Ayah aku datang cari aku pujuk aku ajak aku balik. Bila fikir aku takde tempat tinggal lain, aku balik tapi aku langsung tak bertegur dengan mak aku. Esoknya aku cari kerja lagi dan aku dapat kerja di satu hotel.

Hotel tu kecil je memang untuk orang-orang yang kurang berkemampuan. Seminggu aku tak bertegur dengan mak aku. Aku dapat kerja pun aku tak bagitau dia.

Dia tanya aku tak layan. Dia wakilkan ayah aku untuk tanya aku dah dapat kerja ke. Aku takde gaduh ke apa dengan ayah aku masa tu jadi aku bagitau jelah ayah aku yang aku dah dapat kerja. Awalnya majikan aku layan aku baik. Tapi makin lama aku rasa semakin dipergunakan.

Mereka anak beranak tinggal dalam hotel tu.

Mula-mula baju mereka basuh di dobi bila aku makin lama di sana aku kena ampai baju mereka. Lepas tu aku kena basuh selimut dengan sarung bantal dekat hotel tu pakai tangan. Masa aku interview dia cuma cakap kerja aku cuma kemas bilik hotel je.

Takde pula sampai kena basuh kain bantal pakai tangan lepas tu ampai di beranda. Takde juga cakap baju mereka tu aku yang kena ampai. Gaji aku masa tu RM500 sebulan. Dia janji lepas tiga bulan dia naikkan gaji aku tapi lepas dah 5 bulan aku kerja gaji aku tetap tak naik.

Aku berhenti. Majikan aku marah. Mak aku pun sama jugak marah. Aku minta kawan sekerja aku untuk terangkan dekat mak aku apa yang jadi sebenarnya sampai aku berhenti. Tapi tu lah mak aku tetap tak nak terima.

Dia tetap marah aku berhenti. Kisah pekerjaan aku yang cuma ada setiap cuti sekolah berhenti sampai di sini. Sebab lepas tu aku masuk universiti sambung degree.

Kenapa aku tak kerja di tempat yang sama? Sebab setiap kali aku berhenti kerja setiap kali tu tempat kerja aku bankrap. Aku pun tak tau kenapa. Yang hotel tu pulak terbakar masa aku dekat universiti. Entahlah aku buat confession ni untuk apa. Aku pun tak tau.

Mungkin lebih kepada meluahkan rasa hati. Adik-adik aku tak pernah disuruh atau dipaksa bekerja. Sedangkan aku dari umur 12 tahun aku dipaksa untuk bekerja cuti sekolah.

Adik-adik aku tak pernah langsung dipukul. Sedangkan aku getah paip, hanger atau apa je yang dekat dengan mak aku selalu hinggap di tubuh aku sampai berbekas. Itu belum termasuk kalau mak aku marah sangat aku sampai dipijak-pijak sebab tak ikut apa yang dia nak.

Aku dipaksa belajar dengan keras dan kalau ada subjek aku gagal mak aku marah lagi. Sampai jiran semua boleh dengar. Adik-adik aku tersangatlah relaks. Aku kurang masa bermain sebab sibuk belajar kejar target mak aku. Adik aku takde yang belajar. Mak aku siap suruh main lagi.

Dah takde kena pukul walaupun keputusan adik aku semua gagal. Cemburu ke aku? Mungkin… Sebab aku merasakan pengalaman yang paling perit dalam hidup aku. Walaupun aku bekerja tapi setiap malam balik dari kerja aku kena basuh baju semua orang dalam rumah.

Basuh guna tangan sebab takde mesin basuh. Aku kena berus satu persatu. Tak boleh setakat basuh biasa-biasa nanti mak aku marah.

Pernah aku langsung takde masa nak belajar sebab esoknya PMR, setiap malam aku tetap kena basuh baju dan gosok baju sekolah untuk esok. Jadi masa untuk aku belajar cuma masa aku datang sekolah.

Bila aku dapat no 1 mak aku tetap tak pernah puji aku. Tapi bila aku tak dapat no 1 mak aku cakap benda paling menjijikkan. “Tengok anak jiran tu. Dia pandai. Pergi kau makan (najis) dia. Belajar tak pandai-pandai”.

Mungkin mak akulah satu-satunya mak pelajar yang suruh cikgu pukul aku. Mak aku tak kisah. Aku pernah kena rotan dengan cikgu aku waktu tingkatan 3. Sebab terlupa bawak kertas lukisan sampaikan cikgu rotan kepala aku dengan kuat. Bergegar rasa kepala aku masa tu.

Satu hari aku pening.

Tapi aku tak pernah cerita dekat mak aku. Kenapa? Sebab aku tahu kalau aku cerita, nanti aku kena pukul lagi dekat rumah. Aku trauma. Pernah juga aku hampir kena air panas sebab cikgu marah sangat dekat aku. Aku diam pendam sorang-sorang.

Nangis sorang-sorang. Aku cuma meluah dengan kawan rapat aku. Orang tengok keluarga aku bahagia, aku rapat dengan mak aku.

Tapi aku cuma cerita biasa-biasa je dengan mak aku. Aku tak pernah cerita perkara yang memungkinkan aku akan kena balik oleh mak aku.

Dulu mak aku selalu cakap dengan adik aku yang masih kecik. Nanti adik aku dah besar dia yang akan jaga mak aku.

Adik aku yang akan jadi anak berbakti. Sedangkan aku bila dah besar aku akan buang dia. Aku akan letakkan dia di rumah orang-orang tua.

Aku akan tinggalkan dia. Dari adik aku no 3 sampailah adik aku yang paling bongsu mak aku akan ulang-ulang ayat yang sama depan aku.

Aku tak tahu kenapa. Dan aku sekarang sangat cemburukan adik-adik aku. Maaf kalau aku mengguris hati sesiapa. Tapi sejujurnya aku terlalu cemburu dengan kehidupan adik-adik aku. Mungkin ke sebab aku ni anak sulung jadi aku yang perlu lalui semua ni?

Anak sulung

– Anak Sulung (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *