( Di ufuk Timur Tengah )

Jazakamullah khairan katshira kepada Admin. Semoga Allah merahmati kalian semua.

Teringin nak share something.

Firman Allah : ” Setiap yang bernyawa akan merasakan mati ”
(Surah Ali Imran, ayat 185)

Kadang – kadang apabila saya duduk bersendirian, hati mula berbicara. Seakan berada di dalam dunia lain, alam saya sendiri. Entahlah, saya merasakan fikiran seolah-olah terawang-awang dan saya sendiri tidak pasti kaki berpijak di mana ketika itu. Hati mula berdialog dengan diri sendiri. Siapakah aku? Untuk tujuan apa aku berada di sini? Dan jawapan yang pastinya adalah saya hamba Allah yang dilahirkan di dunia yang penuh tipu daya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang khalifah yang mengabdikan seluruh hidup hanya untuk Pemiliknya. Saat itu benar-benar terasa adanya roh di dalam sebuah jasad.

Terlalu banyak impian yang ingin saya capai dalam hidup. Banyak tanggungjawab yang dipikul dan amanah yang mesti ditunaikan dengan sebaik-baiknya. Saya ingin menjadi seorang kakak yang hebat membantu ibu dan bapa mentarbiah adik-adik supaya mereka muncul menjadi manusia yang berguna kepada bangsa dan agama. Saya ingin menjadi seorang sahabat sejati yang sentiasa berada di samping teman-teman seperjuangan di kala susah dan senang. Saya ingin menumpahkan taat setia dan kasih seikhlasnya terhadap seorang lelaki bernama suami dengan sepenuh hati. Saya ingin mencurahkan bakti dan sayang sehabis yang mampu dilakukan untuk ibu bapa mahupun mertua. Saya juga pernah berhasrat ingin membuka sebuah rumah orang orang tua, atau kelas mengaji untuk pembangunan ummah dan Rumah anak anak yatim. Namun, hati saya berbisik, sempatkah aku melalui detik-detik itu?

Pernah suatu ketika, suatu hari pada Hari raya Aidiladha di Mesir. secara tiba-tiba, saya terasa nafas seakan tersekat, susahnya menarik nafas. Tekak terasa sedikit tercekik tanpa mengetahui apa sebabnya walaupun saya pasti saya bernafas okay je dan amat pasti saya tidak mempunyai apa-apa penyakit terutama lelah. Kes ni terjadi kerana ada kebakaran di sutuh ( tingkat atas imarah ) tidak teruk kebakaran cuma kalau orang arab datang lambat mungkin imarah itu semua terbakar. Pada saat itu, hanya satu yang datang menjengah ke dalam kotak fikiran. Sebuah kematian. Adakah saatnya untuk aku pergi sudah tiba? Badan tiba-tiba berpeluh dingin dan hati menjerit ketakutan. Amat takut. Kakak kakak senior semua resah melihat keadaan saya. Pada waktu itu semua orang arab sedang meredakan api di tingkat atas. Ingin rasanya waktu itu menunaikan segala solat-solat sunat yang ada tanpa henti, ingin rasanya waktu itu lidah menyebut asma’ indah Allah dan berzikir tanpa henti. Ya Allah! Hinanya hamba-Mu ini! Adakah dengan menyedari nyawa sedang ditarik baru ingin merasa bertaubat dengan sebenar-benarnya? Hati saya tersentap. Amat malu dan sedih. Sehingga sahabat saya bercerita, mereka semua membacakan surah Yassin kepada saya.

Pada saat saya merasa hilangnya semangat dalam diri, kepada Al-Khaliq diri ini dihadapkan memohon kekuatan. Pada saat saya merasa diri tidak mampu tertawa, kepada Ar-Rahman diri ini mengadu. Pada saat saya merasa tiada sesiapa yang mampu membantu, kepada Ar-Rahim diri ini meminta pertolongan. Sisi putih saya melontarkan pertanyaan, ada atau tidak saatnya apabila diri gembira, memperoleh pelbagai nikmat yang mencurah-curah, diri dihadapkan kepada Sang Pencipta? Ya,ada dan kalimah Alhamdulillah tidak akan pernah lupa dituturkan dan meniti di bibir di kala menerima nikmat. Namun keadaan menerima rasa bersyukur tidak sama dengan situasi menerima musibah yang sehinggakan menangis tersedu-sedu di tikar sejadah. Titisan-titisan manik putih mengalir deras di pipi namun belum pasti adakah kerana menyesali dosa atau sekadar melepaskan rasa duka di hati dengan masalah yang menimpa diri. Ya Allah! Aku tertanya, di manakah letaknya aku di pandangan-Mu? Terasa diri ini sangat hina. Terlalu hina di hadapan-Mu.

Al-Quran menegaskan: “Maha Suci Allah yang di dalam genggaman kekuasaan-Nya seluruh kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang paling baik amalnya dan sesungguhnya Dia Maha Mulia lagi Maha Pengampun.” (Surah Al Mulk: Ayat 1).

Nabi pernah bersabda : “Belum sempurna iman seseorang itu hingga ia mencintai Allah dan Rasulnya lebih daripada yang lain”.

Saya amat ingin mencintai Allah dan Rasul sepenuh hati. Kata-kata ” saya cinta Allah, saya cinta Rasulullah” tidak saya mahu hanya lancar diucapkan tanpa benar-benar terasa di dalam hati. Saya tahu cinta saya buat Allah dan Rasulullah masih tidak cukup. Ingin saya merasai peringatan sebuah kematian dalam setiap langkahan kaki, dalam setiap saat nadi berdenyut dan ingin sentiasa merasakan kehadiran Allah dalam hati. Saya ingin menjadi pengikut yang baik kepada Rasulullah. Air mata tidak dapat ditahan daripada jatuh apabila mengimbau sirah mengenangkan betapa besarnya cinta Rasulullah kepada umatnya. Namun, diri ini masih tidak mampu membalas cinta seorang kekasih Allah yang telah mengharungi jerit pedih demi menegakkan kebenaran sebuah agama. Sekali lagi saya terasa malu dan sedih yang amat.

Pernah juga saya terfikir, saya pada hari ini adakah sama dengan saya pada hari esok. Saya takut jika hari ini saya masih kuat melawan nafsu dan kuat menghadapi dugaan yang sering kali datang menduga ketabahan hati namun hari esok diri ini adalah sebaliknya. Oleh sebab itu, suka saya ingatkan diri sendiri agar tidak memandang rendah manusia yang mungkin masih terkapai-kapai mencari jalan kebenaran kerana hidayah itu terletak di tangan Allah. Kita tidak mungkin boleh meramal masa hadapan. Boleh jadi orang yang dahulunya jauh tersimpang daripada cahaya kebenaran berubah malahan menjadi lebih baik daripada kita. Allah pemegang hati manusia-manusia. Satu perkara yang amat mudah bagi-Nya untuk membolak-balikkan hati hamba-hamba-Nya.

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia)”. ( Surah Ali Imran, ayat 8 )

Sudah menjadi aturan hidup, perkara-perkara yang sama dilakukan setiap hari. Asasnya, ibadah,makan dan tidur. Entah bila semua ini akan terhenti. Entah bila saatnya. Kematian itu satu yang pasti. Tidak mungkin kita dapat lari daripadanya. Mustahil. Semakin bertambah hari, semakin dekat kematian datang menghampiri. Apabila terlena, tidak diketahui adakah mata akan terbuka saat diri ingin terjaga…..kerana…hari esok belum pasti milik kita…

Aku ibarat seorang pengembara bermusafir mencari kasih Ilahi di ufuk timur tengah. sering kali aku jatuh tersungkur, meraba-raba mencari cahaya cinta abadi, namun Dia tetap ada untukku, mendakapku dalam pelukan kasih sayang-Nya, inginku menggapai an-najah yang hakiki, memasuki taman al-jannah, namun masih menjadi tanda tanya,layakkah aku….aku yang penuh dengan debu-debu dosa….ya Allah…kumohon maghfirah-Mu.

Hamba.

– Kak dian

Hantarkan ‘confession’ anda melalui ‘form’ yang disediakan ->

Click Here

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *