Dialah Gadisku

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Seronok dapat membaca kisah-kisah kehidupan confessor dalam confession ini. Anda semua inspirasi aku.

Ok lah, ini kisah aku pula. Nama aku S. Berusia hujung 20-an dan seorang jurutera B40 di sebuah kilang terletak di Lembah Klang.

Masih lagi mencari peluang yang lebih baik dalam kerjaya berbekalkan 3 tahun pengalaman dalam industri.

Baru-baru ini, selepas PKP, satu persatu dugaan yang menimpa aku. Dugaan kerjaya dan dugaan perhubungan.

Boleh katakan dugaan perhubungan la menjadi penyumbang terbesar dalam dugaan aku menempuh kehidupan.

Buat pengetahuan korang, ini adalah cinta pertama aku semenjak akil baligh dan sebelum ini ade je kenal rapat dengan perempuan lain tetapi baru je nak serius, sudah dikebas.

Haishh nasib badan, masuk angin keluar asap.

Wanita yang telah membuat iman aku jatuh berterabur ialah E. E seusia dengan ku dan bekerja sebagai jurutera gak. E ialah kawan lama dan baru-baru ni saja aku memandang nya lebih dari seorang kawan.

Belum pernah dalam hidup aku mengajak seorang perempuan keluar lepak, tetapi dengan E, tiba-tiba aku berani mengajak nya keluar dan E pun layan.

Sejak dari itu, aku diserang penyakit angau yang ubat nye hanyalah melihat E tersenyum riang ketika aku membuat pickup line.

Oh lupa, aku dan E PJJ. Sakit pinggang aku, memandu dari Kuala Lumpur hingga ke Johor Bahru untuk kita bertemu sesekali pada cuti hujung minggu, tak pernah ku jemu. Selebih nya kami berhubung melalui media sosial saje lah.

Apabila kemesraan mula menguntum, pada perjumpaan yang ke 4, aku meluahkan hasrat untuk membawa perhubungan ini ke peringkat yang lebih serius kerana dah boring hidup membujang.

Tanpa aku sangka, E menerima dan sejak dari hari tu, aku berazam untuk jadikan E wanita terbahagia di dunia.

Semua nya berjalan lancar ketika itu, kenal hati budi lebih mendalam, bincang tarikh bersejarah dan berjumpa dengan ayah dan ibu E.

Sepanjang perkenalan itu, aku melihat aku dan E saling melengkapi. E seorang yang serius, aku seorang yang sambil lewa.

E lebih rasional, aku pula emosional. Aku suka untuk berhubung dengan E, manakala E tenang melayan cringe aku.

Aku lebih ke arah lelaki tradisional zaman P Ramlee sedangkan E wanita moden penuh elegan. Yang pasti aku dan E dua-dua keras kepala dan degil. Itu kepala besar batu ada duduk.

Tetapi ku sangka kan panas sampai kepetang rupa nya hujan di tengah hari.

Ketidakmatang nya aku dalam menjalani hubungan aku dan E membuatkan E mula tidak selesa dengan ku. Aku mula mempersoalkan bertalu-talu 5W 1H kepada E sedangkan aku tak patut buat begitu.

Antara perkara yang terserlah silap aku adalah aku meminta E melakukan itu ini apabila sudah berkahwin nanti sedangkan aku tidak cuba untuk memahami perasaanya.

Aku mula pentingkan diri dan tidak memikirkan perasaan E .

Aku mula bertanya kan soalan tentang hati dan perasaan yang berulang-ulang kepada E dan kemuncak nya selepas E memberikan peluang beberapa kali kepada aku tanpa aku haram jadah langsung menyedari nya, E memutuskan hubungan kami.

Akhir nya ape yang paling aku takutkan telah berlaku.

Bermula nya episod aku hilang arah dalam hidup. Hari-hari yang aku lalui seperti tiada makna langsung dan aku kerap berfikir apakah itu kehidupan yang sebenar nya.

Aku mula tidak mengambil berat akan kualiti kerja aku. Aku sudah mengamalkan sikap pergi mampus.

Keluarga aku sedih melihatkan sikap aku kerana apabila setiap kali mereka cuba untuk memberikan semangat, aku melawan dengan mengatakan mereka semua tidak paham situasi aku.

Betapa berdosanya aku apabila memikirkan kembali sikap aku ketika itu. Aku sudah memikirkan untuk membazirkan satu kehidupan yang amat berharga dan aku tidak peduli tentang apa pun.

Betul la Amy Search cakap, cinta itu gila, malam jadi igau, siang jadi sasau.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, aku masih lagi seperti pungguk rindukan bulan sampai kan ada suatu ketika, aku menangis dalam doa kerana terlalu rindukan E.

Tetapi ketika ini, aku sudah mula rasional dalam mengawal perasaan aku.

Aku sangat berterima kasih pada keluarga aku yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan semangat.

Mereka mengajar aku kalau rindukan E, sebutlah nama E dalam setiap doa aku dan berharap pada Yang Maha Esa agar dipertemukan kembali aku dan E dalam keadaan lebih bersedia andai ada jodoh.

Kadang-kadang aku tewas juga dan aku jadi murung, marah dan cenderung untuk melakukan sesuatu yang b*d*h tapi apabila jadi macam tu, cepat-cepat aku menelefon ibu ku hanya untuk mendengar suara nya sahaja bagi mengelakan aku meneruskan benda b*d*h itu.

Pada E, andai kau terbaca confession ini, aku masih lagi menaruh hati pada kau dan perasaaan itu lebih besar dari perasaan marah aku pada kau.

Maaf atas ketidakmatang nya aku menjalani perhubungan kita kerana ini adalah cinta pertama aku.

Sekarang, aku hanya mampu berdoa, menyebut nama kau dalam setiap doaku dan berharap kepada Yang Maha Lemah Lembut agar dilembutkan hati kau untuk menerima ku kembali.

Aku ingin mencuba dan terus mencuba memikat kau selagi takdir mengizinkan.

Betapa pilunya rindu menusuk jiwaku,

Semoga kau tau isi hatiku,

Dan seiring waktu yang terus berputar,

Aku masih terhanyut dalam mimpiku.

Kepada semua pembaca, terima kasih kerana sudi membaca confession panjang lebar aku ni. Maklum la dah lama tak mengarang semenjak habis SPM.

Aku doakan agar korang semua berjumpa kebahagian yang dicari selama ini. Kerana ape yang didoakan untuk orang lain sebenar nya akan kembali kepada diri sendiri jugak. Wassalam…

– S (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit