Diari Penjaga Pesakit: Perjalanan Sebuah Pengorbanan

4 September 2024. Aku kembali lagi ke hospital untuk kali ke 4 tahun ini. Temujanji? Mungkin sudah beratus kali. Tempat yang semakin hari semakin terasa seperti rumah kedua.

Dalam hidup ini, aku membesarkan dua anak lelaki sendirian; abang dan adik yang masih dibangku sekolah rendah. Anak-anakku dilahirkan normal dan sihat, cumanya ujian kesihatan bermula seawal 2 tahun kelahiran mereka.

Perjalanan hidup aku dipermudahkan Allah, aku ada sedikit duit lebih dan aku ambil medical insurance untuk anak-anak sejak mereka kecil.

Kedua-dua anak aku menghidap asthma. Abang membawa beban yang lebih berat; dia menghidap penyakit autoimmune yang memerlukan rawatan berterusan sejak 2 tahun lepas.

Tahun 2024, adik disahkan mild autisme. Anak yang pada mata aku normal, rupanya insan terpilih yang istimewa. Air mata aku sudah kering. Aku tiada masa untuk meratap hiba.

Setiap kali melangkah masuk ke hospital, aku membawa hati yang pasrah, tetapi tidak pernah berhenti berharap.

Sebelum diagnosis penyakit autoimmune abang, aku seperti musafir tanpa arah, mengukur jarak antara klinik kecil di kampung hingga ke hospital-hospital besar di bandar. Aku sudah tak terkira berapa kali kami terpaksa berulang-alik, ke sana sini.

Waktu itu, mulut abang penuh dengan ulser yang menyeksanya setiap kali makan atau minum. Kesakitan yang dia hadapi, ditambah dengan ketidakpastian diagnosis, adalah saat-saat paling pedih dalam hidup aku.

Melihat dia menahan derita, hati aku hancur berkali-kali, tapi aku tahu aku tak boleh menyerah.

Aku buat temujanji satu demi satu, menunggu berjam-jam, menanti keputusan dari lima buah hospital, termasuk hospital universiti.

Setiap kali temujanji baru, harapan aku seolah-olah bernyawa kembali, tapi sering kali juga aku pulang tanpa jawapan yang melegakan. Aku berdepan dengan doktor, keputusan ujian, dan rawatan yang memakan masa, namun tak sekali pun aku berhenti.

Hingga akhirnya, setelah perjalanan yang panjang, kami mendapat jawapannya—abang menghidap penyakit autoimmune. Jawapan yang aku cari akhirnya tiba, tetapi perjuangan sebenar baru bermula.

Sebelum diagnosis asthma pula, hidup kami tak pernah sunyi dari hospital. Setiap bulan, kadang-kadang setiap dua minggu sekali, aku bawa anak-anak bertemu pakar. Aku tak tahu apa yang salah, tapi aku tak mahu berhenti berusaha.

Dalam waktu yang sama, aku cuba segala jenis makanan, berpantang itu dan ini, semata-mata untuk memastikan kesihatan mereka kekal baik.

Setiap kali kesihatan mereka merosot, aku rasa seolah-olah ada sesuatu yang aku tak cukup lakukan. Tapi itulah, diagnosis mengambil masa, dan sementara itu aku hanya boleh ikhtiar dan berharap.

Sekarang, hospital sudah jadi seperti rumah kedua. Kami berdepan dengan dua penyakit kronik, asthma dan autoimmune, yang silih berganti meragut keselesaan hidup abang dan adik.

Di wad, sering kali aku terpaksa bersabar dengan pesakit lain yang mementingkan diri dengan menurunkan suhu bilik sesuka hati. Keadaan suhu terlalu sejuk membuatkan adik terkena serangan asthma teruk.

Aku takkan lupakan detik itu, hati aku luluh melihatnya sukar bernafas. Tapi mujur, doktor yang selalu merawat anak-anak memahami keadaan kami.

Bila wad penuh, doktor akan cuba carikan kami bilik single, walaupun itu bukan selalu mudah. Sekurang-kurangnya, dengan bilik sendiri, anak-anak boleh berehat dengan lebih baik.

Kawan-kawan sering memberi nasihat dan cadangan. Ada yang menyarankan pelbagai suplemen, dari yang murah hinggalah yang mahal.

Aku dah cuba macam-macam, semua atas nama ikhtiar. Tapi akhirnya, aku sedar, hanya tubuh anak-anak sendiri yang boleh menentukan. Suplemen, ubat, rawatan—semua itu ikhtiar, tapi kesembuhan datangnya dari Allah.

Aku hidup merantau di negeri selatan tanah air. Hanya mampu mengharap pada diri sendiri dan tawakal kepada Allah.

Suami? Aku tak punya itu. Jatuhnya aku bermaksud aku jatuh bersama dengan dua lagi anak yang mengharapkan kekuatan seorang ibu. Aku tak punya masa untuk memikirkan diri sendiri, apatah lagi melayan perasaan penat atau kecewa.

Aku tak ada pilihan selain terus bergerak, terus kuat, kerana yang paling penting bagi aku adalah memastikan anak-anak aku membesar dengan baik dan sihat. Aku mahu melihat mereka menikmati hidup, walaupun dengan segala ujian yang mereka hadapi.

Buat pembaca yang melalui situasi yang sama, aku harap kalian sudi berkongsi cerita, cabaran, dan kekuatan kalian.

Aku ingin tahu bahawa aku tidak bersendirian dalam perjalanan ini, agar kita semua terus kuat dan tabah menghadapi setiap ujian yang datang dengan hati yang tenang.

– Puan Bahagia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

4 Comments

  1. Semoga Allah mempermudahkan semua urusan Puan & anak2, semoga Allah menyembuhkan anak2 Puan, memurahkan rezeki dan memberikan jalan penyelesaian terhadap semua masalah Puan

  2. Semoga diberikan jalan buat puan dan anak2, dipermudahkan urusan, diberikan kesihatan yang baik buat kalian bertiga, dimurahkan rezeki untuk setiap perjalanan yang kalian lalui, dipertemukan dengan solusi yang terbaik, diangkat doa2 puan sekeluarga, dihadirkan manusia2 yang dapat meringankan ujian puan dengan izin Allah. Semoga bahagia diberikan kepada kita semua. Aaamiin

  3. Penyakit autoimmune mana ada ubat cuma boleh meredakan atau melewatkan process sahaja. Nak kata remission pun tidak. Berhenti makan ubat penyakit itu akan menyerang lebih hebat. Cubalah berhenti dan lihat lihat duduk atau wheelchair atau tidak. Berharap lebih menstresskan diri. Tak dapat atau sembuh lebih mengecewakan.

  4. Betapa berat mata yg memandang, berat lagi bahu yg memikul.. semoga puan tabah menghadapi ‘ujian’ dari Allah, dan semoga segala usaha puan insha Allah akan membuahkan hasil.. jika saya nak bagi pandangan atau ‘petua’ dari segi perubatan, memang sya x pandai, jauh sekali utk mencadangkan apa2 suplemen.. dlu mse kecik, saya juga pernah menghidap penyakit ‘athsma’, so saya tahu betapa ‘siksa’nya bila diserang penyakit tersebut.. walau pon saya masih kanak2 pd ketika itu, saya sering terfikir, adakah saya akan mati disebabkan penyakit ini.. tapi alhamdulillah, Tuhan telah memberi saya ‘peluang kedua’, dan menjelang dewasa, saya telah agak sembuh dan hanya sesekali saya mengalami nya, terutama ketika sejuk, atau keadaan yg ‘berhabuk’ sgt, atau kurang pengudaraan si sesuatu tempat itu.. cuma sejak saya mulai sembuh, saya sering mengikuti kelas ‘tasawuf’ dgn seorang ustaz (yg bertauliah), sia sudah agak berumur dan ada juga buat kelas secara “online”.. apa yg saya pelajari dari beliau, saya ‘praktikkan’ dlm kehidupan seharian.. memang sebagai manusia, kita harus berusaha sedaya mungkin, di samping kita berdoa agar usaha kita itu diberkati Allah dan mohon doa2 kita dikabulkan Allah.. tpi menurut ustaz, klau dlm tasauf, sbg org islam lgi beriman, apa2 shj yg kita hadapi, perlu kita dahulukan Allah dlu, cth nya kita cba buat apa yg Allah suka, cth : bangun tahajud, solat di awal waktu, berpuasa, berinfaq, atau pun menziarahi org sakit atau menghubungi silatulrahim, atau apa2 kebajikan kpd org lain, dan berniat, bhw sekiranya apa yg kita lakukan itu memberi manfaat kpd diri atau pon org lain, maka mohon (nyatakan hajat kita itu).. dari suatu segi, insha Allah ia adalah aalah satu ‘ikhtiar’ kita juga, dari segi yg lain, ianya dapat menenangkan hati kita dan sebagai ‘penawar’ utk kesembuhan kpd penyakit yg dihidapi.. sekali pikir, rasa macam ‘sama’ je kalau kita usaha sna sni, last baru kita berdoa kpd Allah, dan kita masih akn rasa ‘terbeban’ jika doa kita tidak dimakbulkan.. tetapi jika kita ‘berserah’ bulat2 kpd ketentuan Allah, kmdn baru disusuli dgn usaha, rasa ‘redha’ akn lbh mnguasai hati & fikiran kita, berbanding rasa ‘pasrah’ & berharap yg baik2, sbb redha n pasrah itu jauh berbeza.. seperkara lg, dlm setiap kali membaca surah al-fatihah (esp. dlm solat), semasa ayat “ihdinassiratal mustaqim” tu, niatkan dlm hati doa kita , juga semasa di dlm sujud, niatkn sungguh2, juga semasa berinfaq, lazimkan berinfaq, klaw boleh setiap hari/subuh, walau pon hanya seringgit, semasa masukkan dt ke tabung, niatkan juga doa2 kita itu.. itu lah sedikit sebanyak ‘tip’ yg dpt puan amalkn.. semoga puan tetap tabah dan redha atas apa jua ketentuan dari Allah SWT.. sya doakn puan & ank2 akn beroleh kebahagiaan di dunia & Akhirat.. aamiin Ya Rabbal ‘alamiin.. wallahu a’lam..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *