Bila Kita Dipandang Rendah, Bersyukurlah!
Inilah satu kebaikan yang sangat sukar ditelah oleh diri yang dikuasai ego atau terlalu merasakan diri serba sempurna daripada orang lain. Bila kita dipandang rendah atau orang lain tidak menunjukkan sifat hormat terhadap diri kita, itulah satu pelajaran buat diri yang jarang kita sedari.
.
Orang lain mungkin berpendapat atau berpandangan kita tidak pandai, tidak cantik, tidak berpangkat, tidak berharta atau apa sahaja yang menurut pemikiran manusia kita tidak memiliki sesuatu yang meletakkan manusia itu tinggi di mata manusia lain. Lalu layanan mereka terhadap kita sambil lewa sahaja.
Memandang rendah terhadap diri kita, malah tidak pula menunjukkan sifat hormat.
Pandangan yang sedemikian tidak seharusnya membuatkan kita sangat terpinggir dari orang ramai.
.
Apa yang orang tahu tentang diri kita itu semua bukanlah terlalu penting. Pandangan mereka berdasarkan lahiriah yang hanya dilihat pada kacamata luaran sahaja. Sedangkan kita lebih tahu tentang diri kita.
.
Bila kita diperlakukan sedemikian rupa, yang paling utama bagaimana kita melihat semua itu dari perspektif kita ini hanyalah manusia biasa. Jika kita faham, bahawa di sisi Allah kita semua adalah sama. Tiada yang lebih mulia kecuali hamba-hambaNya yang bertakwa sahaja.
.
Oleh yang demikian, bila kita dikurniakan kelebihan. Contohnya kecantikan, berharta atau berpangkat, ia satu hal yang perlu diawasi oleh hati. Jika kelebihan itu membuatkan kita ego, riak atau merasakan diri lebih baik atau lebih mulia dari orang lain, itulah antara tanda-tanda bahawa hati kita masih diselaputi kekotoran mazmumah.
.
Sebaliknya, apabila orang lain memandang rendah kepada diri kita atau tidak menunjukkan sifat hormat, berbahagialah. Bersyukurlah!
.
Kenapa begitu?
Tindakan kita terhadap pandangan yang sedemikian menunjukkan bagaimana kita menganggap kedudukan diri kita pada pandangan manusia lain. Kita mungkin marah sebab kita ini orang yang begitu begini, layanan mereka mesti setaraf dengan kedudukan kita.
.
Dalam waktu yang sama juga, kita boleh bertindak dengan bermuhasabah diri. Inilah pelajaran yang sangat penting untuk melebur ego yang menguasai diri. Menerima dengan berlapang dada dan belajar membuang sifat buruk yakni merasakan diri lebih baik atau lebih mulia dari orang lain.
.
Ironinya diri kita sangat perlu belajar merendah diri, atau menghormati semua orang tidak mengira latar belakang. Tidak kiralah apapun kedudukan kita atau apapun yang kita miliki, bukankah ssemua itu milik Allah. Apalah yang nak dibangga-banggakan, walhal kita hanya meminjam sahaja.
.
Yang terutama hati kita itu perlu dibersihkan. Dibersihkan dari sifat membangga-bangga diri, ego atau apa jua sifat mazmumah. Bila kita dipandang rendah, itulah waktunya kita mengajar diri untuk ‘sedar’ bahawa kita tiada apa-apa. Kita hanyalah hamba-Nya. Apa yang kita miliki semuanya milik Allah.
.
Wahai Sahabat…
Bertenanglah. Bersabarlah. Berlapang dadalah. Leburkanlah kemarahanmu. Dan belajarlah untuk terus tersenyum.
Mudah-mudahan begitu, hati kita ini berupaya dibersihkan dari segala sifat mazmumah.
.
Bukankah kita mahu bertemu dengan Allah dengan membawa hati yang selamat sejahtera?
Oleh itu, marilah kita sama-sama belajar melebur keegoan.
.
Bila kita dipandang rendah, lihatlah semua itu dari kacamata iman. Bersyukurlah untuk satu pelajaran yang sangat penting. Yakni satu proses membersihkan hati kita jua. Moga-moga dengan hati yang jauh dari segala buruk, kebahagian itu lebih mudah bertandang dalam hidupmu dan di akhirnya menjadi milikmu yang mutlak.
Wallahua'lam…
– shorty