Untuk part I, (https://iiumc.com/doa-yang-dimakbulkan-2/).
Assalamualaikum semua. Semalam aku baca semula komen-komen di confession aku yang pertama dulu, Alhamdulillah dan terima kasih atas segala doa, kata-kata semangat dan juga niat baik yang ingin bersedekah.
Alhamdulillah, aku dah selamat melahirkan anak dan Alhamdulillah juga anak sihat dan segalanya dipermudahkan. Cuma sekarang aku terpaksa jumpa Psychiatrist disebabkan sedikit masalah gangguan mental akibat daripada masalah kewangan yang tak tertanggung dan “kejutan” mendapat anak.
Pelik kan? Dah doa minta anak, kenapa boleh rasa “terkejut” dan “tak sedia” bila anak sampai ke dunia? Tapi tu la realiti yang aku alami sampai perlu follow up dengan Psychiatrist & Kaunselor, dan aku pun taknak ulas panjang pasal tu.
Bagi yang bermurah hati nak bagi barangan baby dan suruh aku PM, terima kasih aku ucapkan. Aku sebenarnya menulis confession pertama hanya untuk meluahkan rasa hati dan bukan meminta-minta, sebab aku tahu ramai lagi yang lebih susah dari aku, dan saudara mara aku & suami juga ada tolong untuk permudahkan urusan kami.
Tapi aku PM juga kakak-kakak yang baik hati ni sekadar maklumkan bahawa aku bukanlah bertujuan untuk meminta. Ada yang read & reply, ada juga yang tak read langsung mungkin tak perasan PM aku.
Alhamdulillah dalam 2,3 orang yang reply, ada yang beri kata-kata semangat dan doa, dan ada seorang yang ikhlas bagi barangan baby walaupun aku kata aku menulis bukan untuk meminta bantuan. Terima kasih kak, barangan yang akak bagi saya manfaatkan sebaiknya dan saya doakan yang baik-baik untuk akak sekeluarga.
Sedikit update kisah kehidupan aku sekeluarga, Alhamdulillah kami masih lagi bertatih dan struggle untuk meneruskan kehidupan dengan kini bertiga, tapi jalan sentiasa ada insya Allah. Walaupun kami masih catu makan dan ada hari yang kami kehabisan langsung barang dapur, tapi kami usaha sehabis baik dengan kudrat sendiri sampai dapat cari duit.
Pernah aku menangis teruk sebab terjatuhkan seketul ayam yang memang tinggal seketul je dalam tong sampah. Sebab seketul ayam tu aku simpan berhari-hari nak masak untuk anak. Terjatuh sebab bekas letak ayam licin dan ayam tu direct masuk tong sampah.
Allahuakbar, bila ingat balik masih menitis air mata ni sebab rasa macam ibu yang tak berguna langsung tak dapat simpan seketul ayam pun untuk anak. Tapi suami pujuk kata kalau bukan rezeki buat macam mana pun akan terjatuh juga.
Tutup kisah sedih. Alhamdulillah aku & suami sangat bersyukur sebab kami dapat teruskan berniaga baju-baju preloved bila ada orang yang sudi bagi baju-baju mereka yang masih elok untuk kami jualkan dan 100% hasil jualan diberikan kepada kami.
Dengan duit tersebut kami dapat teruskan kehidupan sedikit demi sedikit, ada orang beli baju preloved RM20 dapat la beli lauk-pauk, ada orang beli baju preloved RM30 dapat la beli susu anak.
Dari situ juga Alhamdulillah suami dapat peluang berniaga benda lain yang dapat menampung kehidupan kami sehari-harian (dapat duit harian). Jadi setakat ni kami ada 3 cara untuk dapatkan pendapatan (aku berniaga barangan preloved secara online, suami berniaga tepi jalan waktu cuti, dan dari pekerjaan hakiki suami).
Aku juga plan untuk bekerja semula dan dah apply banyak tempat tapi masih belum ada rezeki. Kami berdoa agar Allah permudahkan aku dapat kerja sekiranya Allah izinkan aku bekerja walaupun aku sakit. Sebab Dia Yang Maha Tahu aku larat & mampu atau tidak untuk kerja. Kalau kerja semula, dapat la sikit benefit dari segi medical dsb untuk anak kan?
Dari segi hikmah dapat anak dalam keadaan sempit macam ni, Alhamdulillah aku dah mula nampak hikmah tersebut. Dengan adanya anak di waktu kesempitan, menjadikan aku & suami orang yang lebih baik dari dulu, orang yang lebih rajin berusaha, sebab semuanya demi nak tengok anak hidup senang dan tak susah macam kami sekarang. Aku juga dapat kekuatan untuk lawan gangguan mental aku bila aku tengok & layan keletah anak.
Rezeki ada juga datang melalui dia, tapi kami tak mahu terlalu bergantung pada duit yang orang bagi pada anak, kami mahu berusaha sendiri sehabis baik. Tapi ada masanya terpaksa juga pakai duit yang orang sedekah pada anak bila takde duit sangat-sangat nak beli lauk-pauk. Takde duit bila takde orang beli baju preloved/bila suami tak dapat berniaga sebab tak cukup duit nak roll modal untuk esoknya (duit berniaga pun kadang-kadang habis dipakai untuk buat duit belanja pergi kerja dsb).
Itu lah, kalau aku cerita panjang pasti ramai yang tak percaya apa yang kami hadapi sebab ada orang jalannya Allah bagi mudah, ada orang jalannya Allah bagi berliku. Bukan tak pernah suami mohon kerja lain yang bergaji tetap, tapi kerja di Speedmart & Mr DIY pun takde panggilan, jadi suami teruskan kerja yang lama sambil berniaga.
Apapun aku & suami redha dan yakin bahawa di setiap liku yang Allah bagi pasti akan ada bantuan di akhirnya. Walaupun kadang-kadang bantuan yang datang melalui orang lain dan bukan atas usaha kami sendiri.
Akhir kata, moga yang sama-sama hadapi waktu kesukaran seperti kami diberikan jalan keluar dari Allah. Dan moga yang senang jalannya, tidak terlalu menghakimi orang yang susah, sebab kita tak tahu apa yang dihadapinya sehari-harian dan apa usahanya untuk keluar dari kesempitan hidup itu.
Moga tahun depan tahun yang akan memberikan sinar buat kami, tahun yang dapat kami keluar dari segala kesempitan ini.
“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Surah Al-Baqarah: 155)
– SRT (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit