Assalamualaikum hi pembaca semua. Aku baru baca kisah berkat nafkah RM10 tu, (https://iiumc.com/berkat-rm10-dari-suami/).
Tahniah para suami yang berjuang untuk menafkahi isteri zahir dan batin. Kisah aku pula terbalik.
Kepada lelaki, terutamanya yang bergelar suami, ambillah iktibar daripada kisah aku ni. Aku cuba tulis seringkas dan sepadat yang mungkin.
Aku dah kahwin 10 tahun, tapi sepanjang perkahwinan, tiada istilah duit suami duit isteri, duit isteri duit isteri. Aku punya satu hala je, iaitu seperti tajuk.
Sama juga, aku kahwin dalam keadaan kewangan suami yang belum stabil. Aku juga bunting pelamin, dan tak bekerja selama setahun awal perkahwinan.
Hidup kami memang susah, tanpa perabot, tanpa kereta yang selesa, tanpa hiburan hujung minggu.
Suami tak mampu, jadi aku tak pernah minta nafkah daripadanya. Dia sediakan rumah, makan minum kami anak beranak, cukup bagi aku.
Aku pun memang daripada family susah, jadi untuk aku hidup macam tu, bukan masalah besar bagi aku.
Entah kenapa, bila dikenang semula, waktu kami susah tu lagi bahagia rasanya berbanding sekarang, sebab suami usaha keras untuk sediakan semua. Suami pun rajin serba serbi, masak dan buat kerja rumah tak perlu disuruh.
Walaupun suami tak romantik dan sedikit panas baran, aku bersyukur kerana suami sangat bertanggungjawab menjaga aku dan anak.
Rezeki anak, aku dapat kerja yang dekat dengan rumah. Disebabkan aku nak kerja, jadi duit pengasuh anak aku volunteer untuk bayar.
Sejak kerja, aku dah ada duit sendiri dan boleh beli baju dan keperluan aku sendiri. Aku beli juga untuk anak, dan boleh beli barang keperluan rumah. Niat aku cuma satu, untuk mudahkan urusan suami.
Aku pun memang dah biasa kerja sejak kecil, cari duit sendiri dan berdikari. Aku tak pasti kalau ada yang boleh relate dengan kisah aku, tapi disebabkan aku dah bertahun-tahun hidup berdikari sebab coming from a broken family,
Aku jadi lega dan seronok bila akhirnya aku ada seorang suami untuk aku jadikan bahu untuk bersandar, berlindung, dan jaga makan minum aku.
Disebabkan rasa bersyukur ni aku tak merungut langsung bila perlu hidup susah dengan dia.
Aku mula belanja untuk kami sekali sekala keluar berjalan. Aku buat 2-3 kerja sambilan juga, untuk tampung belanja family.
Suami aku lega sebab aku dah boleh bantu kewangan dia. Jadi, duit gaji dia ada lebih dan dia boleh guna untuk keperluan dan kehendak dia.
Bermulalah episod duit isteri duit suami, bila semakin lama suami semakin selesa control duit aku. Suami bagi alasan aku boros, jadi dia uruskan gaji aku.
Dia bagi aku “duit belanja” guna duit aku sendiri. Dan dia juga bebas gunakan duit aku, tanpa minta izin. Aku tak merungut, dan aku redha. Tiada istilah hutang di antara kami.
Sebenarnya, aku bukan boros, sebaliknya aku banyak bantu family aku. Kan aku dah cakap mula-mula tadi, family aku susah.
Dan aku beli keperluan aku dan anak, self reward untuk kesihatan mental aku sendiri sebab aku dah penat-penat kerja. Aku tak boleh minta pada suami, jadi aku cari duit sendiri.
Tahun berganti tahun, segala emas aku dah redha digadaikan, tiada masalah pun untuk aku, sebab aku dah berikrar untuk susah senang dengan suami.
Bila kewangan mula stabil, kami beli kereta baru yang lebih selesa. Perabot pun sikit-sikit kami beli. Aku bahagia. Kami bahagia.
Bergaduh sekali sekala tu asam garam rumahtangga la kan. Lebih-lebih lagi, suami aku memang kasar dan garang.
Walaupun gaji suami makin bertambah setiap tahun, tapi tetap tiada nafkah untuk aku, komitmen dia pun makin bertambah sejak ada kereta, jadi aku faham, sebab aku ada duit sendiri.
Tapi kali ini aku jadi bijak sikit, aku curi-curi buat saving. Aku tak letak semua dalam purse, sebab tak nak suami jumpa.
Jadi, kali ini ada bahagian duit aku yang betul-betul 100% aku punya tanpa campur tangan suami, walaupun kadang-kadang boleh menyimpan cuma 50 sebulan.
Career aku pun makin okay, gaji aku bertambah. Rezeki anak-anak, aku naik pangkat dan gaji. Aku ambil insurans untuk anak-anak sebab aku penat nak makan hati bila suami selalu mengeluh dan marah bila anak-anak sakit, perlu keluar duit ke klinik.
Aku juga berazam untuk buat tabung pendidikan anak-anak, walaupun kadang-kadang keadaan memaksa, aku terpaksa guna tabung tu.
Suami makin galak menambah komitmen bulanan dia, ada few personal loans entah untuk apa. Maka bila gajinya habis untuk komitmen, ada bil-bil yang aku perlu tolong bayar.
Belanja lain juga aku “terpaksa tanggung” sehingga gajinya yang seterusnya. Ingat kan, aku cakap tadi dia uruskan duit-duit aku?
Jadi kadang-kadang aku tak sedar pun duit aku tinggal berapa. Ada jugak aku suarakan yang aku tak puas hati bila seolah-olah aku pulak kena minta izin nak guna duit sendiri. Tapi suami merajuk dan terasa hati.
Aku jarang nak ambil tahu gajinya pergi mana setiap bulan, sebab setiap kali tanya mesti akhirnya gaduh.
Belum lagi kalau aku sebut hal nafkah, selalunya dia akan cakap dah sediakan tempat tinggal dan makan minum.
Aku bukan bodoh soal agama, tapi pemikiran suami aku berkenaan nafkah ni memang pelik sungguh. Mungkin salah aku yang tak pernah tegas tentang hal ni daripada mula.
Kemuncaknya, sampai satu hari suami aku naik pangkat dan gaji dia lebih banyak daripada aku.
Aku sejujurnya rasa happy, dan aku mula fikir akhirnya dia boleh bagi aku nafkah belanja, dan bayar komitmen yang selama ini aku tolong bayar.
Tapi sangkaan aku meleset bila setiap bulan, gajinya tak cukup-cukup juga. Tetap juga sama macam dulu. Malah makin seronok dia suruh aku belanja itu ini.
Dan bila aku bangkitkan soal nafkah aku, dia marah dan tuduh aku berkira dan lupa diri.
Daripada redha, aku jadi tak ikhlas. Daripada bahagia, aku jadi murung dan mula bandingkan hidup dengan kawan-kawan lain.
Daripada hormat dan sayang, aku jadi heartless dan makin kerap melawan dia. Daripada seronok belanja family, aku rasa terpaksa nak keluarkan duit.
Semua disebabkan aku rasa tak adil bila aku kena jadi provider, sedangkan suami aku berhabis duit setiap bulan bayar komitmen dia yang 70% tak ada kaitan pun dengan aku dan anak-anak, melainkan hutang piutang dia.
Aku disahkan ada depression, tapi dia tak ambil berat pun kesihatan mental aku. Masih jugak dengan perangai suka menyalahkan aku, dan marah-marah aku, maki hamun anak-anak dan rosakkan barang rumah dek panas baran dia.
Aku mula benci suami sendiri, sebab bagi aku, nafkah zahir pun aku tak dapat macam isteri orang lain, batin aku pun dia tak santuni dengan baik.
Oh ya, belum lagi aku masukkan part dia culas rukun islam yang lain. Aku betul-betul muak dan malas nak bagi muka dah.
Orang luar, termasuk keluarga lain tak tahu apa aku pendam dan tanggung, sebaliknya mereka cuma nampak segala yang baik yang suami lakukan seperti rajin mengurus rumah.
Bagi aku wajar pun dia buat, dan bukan sesuatu yang perlu dibanggakan pun, malah aku sengaja biar dia buat. Sebab aku pun berpenat cari rezeki di luar. Tiada beza peranan suami dengan isteri.
Aku tak peduli apa orang lain nak kata dah. Aku pun sengaja juga beli barang kehendak yang aku dah lama impikan untuk kesihatan mental aku. Aku perlu hargai diri sendiri, manjakan diri sendiri, dan bahagiakan diri sendiri.
Nak harapkan suami, macam tak nampak bayang lagi ke arah itu.
10 tahun perkahwinan, semakin hambar dan semakin tawar walaupun duit lebih banyak berbanding sewaktu tahun pertama di mana aku cuma seorang surirumah yang setia di samping suami yang bersusah payah cari rezeki.
Jangan ambil enteng soal nafkah isteri, guna duit isteri tak bayar semula, tak anggap hutang, malah anggap itu tanggungjawab isteri menanggung belanja family, sesuka hati control duit isteri.
Ini akibatnya. Mungkin ada yang tak setuju dengan aku, mungkin ada yang label aku derhaka atau tak reti bersyukur. Terpulang. Yang melalui itu aku.
Ini cuma 30% aku coretkan. Cukuplah untuk dijadikan teladan semua..
– Gee (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit