Dunia Sebenar Pekerja Kilang

Aku berusia 40 tahun. Perempuan, isteri dan ibu. Memiliki Diploma Elektrik (Elektronik) dari sebuah universiti tempatan.

Aku seorang juruteknik di sebuah kilang elektronik yang bekerja secara shift 12 jam sehari.

Tujuan aku menulis ni adalah untuk menjelaskan pada masyarakat tentang pekerjaan ini.

Ramai yang seakan suka memandang seperti hina pekerjaan ini.

Seringkali aku berdepan dengan soalan.

“Bila nak cari kerja lain?”.

“Eh, bila nak mohon kerja normal shift?”.

“Teruknya kerja 12 jam, anak-anak mesti tak terurus”.

“Suami lari nanti, kerja macam tu”.

“Tua nanti nak makan apa, pencen tak ada?”.

Jadual kerja aku seperti berikut,

Perlu bekerja 14 hari dan cuti 14 hari untuk 4 minggu.

Ada minggu yang perlu bekerja Ahad,Isnin dan Selasa.

Cuti pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat.

Ada minggu yang perlu bekerja Ahad, Isnin,Selasa dan Rabu.

Cuti pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Jika kerja shift pagi, masuk kerja pukul 7 pagi dan pulang 7 malam.

Jika kerja shift malam, masuk pukul 7 malam dan pulang 7 pagi.

Pening juga aku nak explain pasal shift pattern ni untuk orang yang tidak pernah kerja kilang. Kalau aku cerita detail lagi, nanti jadi telenovela la pulak.

Secara ringkasnya, aku perlu bekerja 12 jam sehari untuk 3 atau 4 hari seminggu, siang atau malam mengikut jadual.

Apabila usia dah mencecah 30an aku tidak lagi bekerja shift malam. Hanya bekerja shift pagi sahaja, dah agak senior dan perlu berurusan dengan ramai orang yang bekerja normal shift.

Sebenarnya aku suka hidup begini. Tekanan kerja sangat rendah. Tak perlu fikir hal kerja di luar waktu bekerja. Aku akan ada banyak masa dengan anak-anak dan suami sebenarnya. Suami aku freelance.

Kami bebas kemana-mana pada hari bekerja.

Aku juga dapat merasa menjadi ibu sepenuh masa untuk 3 atau 4 hari seminggu,

Boleh siapkan anak pagi-pagi dan hantar ke sekolah. Boleh siapkan makanan tengahari dan tunggu anak pulang. Kalau malas, aku beli saja di kedai.

Dulu suami juga bekerja seperti aku, cuma kami decide salah seorang perlu kerja yang tidak terikat dengan masa bekerja supaya lebih mudah nak uruskan anak.

Dia ada bakat, jadi dialah yang buat kerja freelance. Kami berkorban sedikit supaya anak tidak perlu dijaga oleh orang lain.

Sebenarnya dari segi pendapatan juga, pekerja kilang ni berpendapatan agak tinggi untuk kategori kelulusan akulah. Jangan dibandingkan dengan pilot pulak ye.

Aku mendapat gaji pokok 5k++ sebulan.

Ada juga alaun lain juga.

Jika aku bekerja lebih masa untuk 12 jam, aku akan dibayar RM 400++.

Biasanya aku akan menerima gaji bersih seki tar 6k++ sebulan sekiranya ada membuat beberapa hari OT (overtime).

Jika mampu atau nak pakai duit, boleh saja OT untuk 14 hari.

Sektor elektronik sangat tinggi order sekarang.

( Aku tinggal dikawasan yang bukan bandaraya, jadi pendapatan sebegini bagi aku agak tinggi).

Dengan pendapatan seperti itu aku mampu untuk menabung untuk rancangan persaraan kami kelak serta untuk pendidikan anak-anak.

Mampu juga untuk menyumbang untuk ibubapa kami. Mampu untuk membayar zakat serta bersedekah sedikit sebanyak.

Tidaklah semuanya indah, ada sisi gelap jugak untuk perkerjaan ini. Didunia ni mana ada tempat tak ada masalah.

Lain kali aku tulis tentang sisi gelap ya.

Cuma aku direzekikan dengan boss dan teammates yang sangat baik.

Kesimpulannya, aku nak bagitau orang ramai. Cara menikmati kehidupan untuk setiap orang itu tidak sama. Tidak perlu judge orang atau kemukakan soalan seolah-olah menghina pekerjaan orang.

Bye…

– Natasha Awanis (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit