Fitrah Yang Terhijab

Seusai kelas tadi, aku berjalan menuju ke perkarangan bangunan CAC yang berhadapan dengan Department of Engineering. Tatkala mata terpandang ada pelajar yang menaiki kenderaan menuju ke kelas, timbul rasa simpati dan kasihan dalam hati aku apabila melihat ada pelajar yang berjalan kaki. Hadirnya rasa simpati itu adalah fitrah dalam diri tatkala melihat pengorbanan dan susah-payah mereka berjalan jauh dari mahallah menuju ke kelas. Setibanya di bilik, hati ini masih lagi ingat akan gambaran tadi. Sebenarnya, inilah fitrah sekeping hati yang peka kasih sayang dan ihsan. Maka, hati mengakui akan wujudnya fitrah itu.

Namun, timbul satu tanda tanya. Mengapa hati ini masih menafikan kewujudan fitrah pada sebatang tubuh yang agung, yang hidupnya sentiasa dipenuhi jihad, dakwah dan suluk serta dihujani dengan berbagai ujian dan ranjau duri, demi untuk memberikan aku dan kita semua sebuah kehidupan yang suci, sebuah agama yang murni, Deen Islam yang mulia? Bahkan susuk tubuh ini juga sentiasa mencurahkan rindunya pada kita semua selaku ummatnya, tetapi mengapa kerinduan itu tidak dibalas? Mengapa fitrah hati menafikan ihsan dan kasih sayang pada Rasul yang mulia, Muhammad SAW?

Wahai hati,
Adakah fitrah itu hanya berfungsi mengikut naluri nafsu yang bersifat zahir semata-mata? Atau fitrah itu sendiri telah mati?

Jika kita mempunyai ribuan sahabat yang boleh kita berkongsi suka duka, dan keluarga yang menjadi tempat mengadu luahan hati, serta kekasih yang mengubat rindu, mengapa tidak pula kita dahulukan kekasih agung Rasulullah SAW yang begitu pasti rindu dan cintanya pada kita berbanding sekalian makhluk yang lain? Sila jawab pada diri.

Duhai hati,
Kembalikan semula fitrah hati pada tempatnya. Susuri denai sirah dan hijrah Baginda SAW sepertimana realitinya kita sentiasa mengekori bayang seseorang yang kita cintai sekalipun di dunia maya. Hadirkanlah kasih sayang dan simpati pada Baginda SAW kerana pengorbanan dan susah-payahnya lebih berat berbanding kita semua, dan kerana mesej yang dibawanya lebih tinggi darjatnya berbanding rutin harian kita yang terkadang tiada makna.

Buatmu hati,
Hidupkanlah cinta dan rindu padanya, kerana hanya mereka yang rindu itu sentiasa dinanti-nanti olehnya di telaga Kauthar, untuk bersama-sama menuju kepadaNya.

اللهمّ صلّي على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم

Yang Benar,
Hatiku

– Hatiku

CREATE A POST

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *