Galau Hati M4ma

Assalamualaikum semua. Saya ingin menggunakan paltform ini sebagai tempat untuk meluah rasa. Berkongsi cerita, walaupun cerita ini biasa-biasa sahaja.

Namun setiap perkara biasa adalah luarbiasa pada seorang ibu, jika berkaitan anak-anaknya.

Sedikit pengenalan tentang diri saya. Saya merupakan seorang mama mempunyai 5 anak. Keluarga kami bahagia seadanya, papa merupakan seorang figura papa konvensional, bekerja, cari duit dan cuba memenuhi segala kehendak material keluarga.

Saya pula sebagai seorang mama, bekerjaya, sebagai seorang pendidik, cuba menyeimbangkan sebaik mungkin urusan keluarga dan kerjaya.

Saya tidak mengejar pangkat, tidak terlalu menonjol ditempat kerja, hanya menjalankan tugas hakiki, buat apa yang termampu, walaupun sentiasa tawaran2 kenaikan pangkat dan sebagainya datang bertubi.

Kenapa? Kerana saya lebih memilih untuk bersama keluarga, pergi kerja, siapkan sebaiknya semuanya ditempat kerja, dan balik kerja, spenuhnya tumpuan saya pada anak-anak. Ye anak-anak.

Saya merupakan seorang mama yang terlalu rapat dengan anak-anak. Anak-anak pula jenis yang tidak boleh berenggang dengan saya, terutama yang sulung.

Sulung perempuan, lebih mesra dipanggil kakak, menginjak 17 tahun, akan mengambil spm pada tahun ini.

Ye, si sulung inilah yang membuatkan mama galau sekarang, kenapa? Tanyalah semua ibubapa didunia ini. Sulung terlalu istimewa, kerana si sulung ini akan memberi segala macam pengalaman pertama kepada kita.

Bagaimana rasa penat mengandung, rasa sakit melahirkan, bagaimana menguruskan anak kecil dan bagaimana lahirnya dia memancarkan sejuta kemanisan dalam rumahtangga.

Ingat lagi mama, bagaimana pengalaman pertama apabila mengetahui kakak mula datang bulan, mama menggigil, kelam kabut menyediakan itu ini dan kelam kabut mengajar itu ini,

Hampir setiap kali kakak nak tukar tuala wanita, mama akan bertenggek depan bilik air untuk memastikan segala diurus dengan sempurna.

Kakak adalah anak yang baik, solehah, mendengar kata dan juga sangat suka bercerita itu ini.

Setiap kali balik sekolah, kakak akan menyapa mama dengan riang, waktu itu, mama mungkin sedang bersantai, berehat, melepaskan penat ditempat kerja,

Waktu santai inilah, kakak akan berceloteh itu ini, bercerita segala macam perihal sekolah, sehingga setiap butir perbualan dengan rakan akan diceritakan pada mama. Tiada satu pun yang tertinggal.

Kadang-kadang, kalau setakat ceritanya sahaja membuatkan mama kurang yakin, dihulurkan telefonnya sebagai bukti, gambar, perbualan wassapp dan sebagainya.

Ye, telefon, saya seorang mama yang tiada batasan rahsia dengan anak-anak, saya mempunyai free akses terhadap telefon anak-anak.

Privilege ini mungkin tiada pada sesetengah ibu bapa. Tetapi tidak pada saya. Anak-anak tiada rahsia dengan saya. Segala akaun medsoc mereka, saya tau passwordnya.

Alhamdulillah.

Tahun ini kakak akan menduduki spm. Mama dapat lihat bagaimana kakak begitu berusaha mengulangkaji dan sedikitpun tidak merungut apabila mama hantarkan kelas tuisyen bertubi-tubi.

Pesan mama, kakak usaha dulu semaksimum mungkin, apa yang kakak dapat nanti, walaupun baik, walaupun buruk, mama terima dan redha. Yang penting berusaha dulu.

Mama tidak mahu, jika spm sebenar nanti, bila tidak dapat keputusan yang memuaskan hati, kakak ada kekesalan kerana tidak cuba sebaik mungkin. Kakak dengar, kakak hadam, kakak turutkan sahaja dan mama tengok kakak enjoy.

Mama tidak biarkan begitu sahaja, apabila kelas back to back (biasanya sabtu dan ahad), mama gosok kepala kakak, mama tanya… ‘Kakak okey ke? Kalau tak okey, mama batalkan kelas mana2 yang rasa tak perlu’

Jawab kakak sambil tersenyum ikhlas dan nada nakal… ‘Ish.. Mama ni… janganla emo.. Akak okey je laaa… lagipun, kalau takde tuisyen nanti kakak malas nak study sendiri’ Begitulah kakak, rajin, kuat semangat.

Suatu hari, kakak pulang dari tempat tuisyen, tersenyum gembira, tak sabar-sabar nak bercerita pada mama, apa agaknya???? Teman sekelas hulur salam perkenalan..

Allahhhhhh…. Berdegup kencang hati mama. Kenapa agaknya ye… ye.. Nak gugur jantung mama, sebab selama ke hari ini, bukan sekali dua kisah-kisah rakan lelaki menghulurkan salam perkenalan,

Dan setiap kali itu jugalah kakak akan tolak segala perkenalan, kerana apa? Kakak jual mahal? Tak.. Mama kongkong? Tak..

Kerana, kakak tegas orangnya, kalau tak suka, kakak akan kata tak suka, kalau suka, kakak akan kata suka. Perangai yang kakak potostat dari papa, tegas, berkaliber namun selalu menghiburkan.

Jadi kali ini kenapa nak gugur jantung mama? Sebab, sudah banyak kali kisah lelaki itu hinggap di telinga mama, ye.. Mama tau kakak suka dia.

Alamakkk… kenapa kak? Kenapa waktu inilah lelaki itu hulurkan salam perkenalan, kenapa waktu nak spm? Tak boleh ke tunggu sampai habis spm?

Mama bebel. Tapi mama tahu anak-anak sebaya kakak, tidak dapat mama menahan gejolak jiwa remaja. Jadi, mama memilih untuk mendengar lagi.

Untuk kesekian kalinya mama menjadi pendengar setia. Hati mama mula galau. Tidur mama tidak lagi lena. Setiap malam mama terjaga, tidak lena sepenuhnya,

Waktu itu, memang kakak tengah ‘galok’ berchatting dengan lelaki itu, namun, kegusaran mama sedikit pudar, apabila mama baca segala perbualan kakak, semuanya baik-baik sahaja, hati mama meneka, ye.. Dia budak baik, apa salahnya berkawan.

Mama titip lagi pesanan, ‘ kakak, nak berkawan takpe, jangan simpan perasaan lebih-lebih, jangan pula mengabaikan segala pelajaran, kakak ingat ye.. Spm tahun ni. Kalau dia boleh mewarnai sedikit hari-hari kakak yang sibuk tu, mama okey je’

Kenapa ye, mama sporting sebegini? Kerana, keceriaan yang terpancar pada wajah kakak, tidak pernah mama lihat sebelum ini. Mama galau lagi, resah, gelisah kerana mama tahu, kali ini kakak memang betul-betul jatuh hati.

Malam, mama terjaga lagi. Mama memilih untuk bangun, tahajud, supaya segala kegalauan mengusir pergi dari jiwa mama, di dalam doa, mama panjatkan permintaan bersungguh-sungguh,

“ya Allah. Kau jagalah anak ku, lindungilah dia dari rasa kecewa, berilah dia kejayaan” ye, mama takut kakak ditimpa kekecewaan sebenarnya.

Mama orang dewasa, mama tahu, kakak diusia 17 tahun bukan lagi kanak-kanak. Tetapi budak itu, lelaki, diusia 17 tahun bukanlah matang pun lagi.

Jadi, mama takut, dikala kakak betul-betul jatuh hati, belum tentu budak itu sedar dengan perasaan dia sendiri. Dan ini bukan masalah kecil bagi mama.

Sekecil-kecil perkara sebegini pada pandangan orang, bukan kecil pada mama. Setiap anjakan fasa yang berlaku dalam hidup kakak adalah perkara paling penting dalam hidup mama.

Waktu berlalu, benar juga telahan mama, keceriaan kakak cuma sebentar, lelaki itu? Dia tidak salah, cuma dia tidak matang.

Sebagai seorang mama, juga terdetik rasa sayang mama pada dia. Kerana mama pernah berjumpa empat mata, berkenalan serba sedikit, tahu serba sedikit tentang keluarga.

Maka dalam solat mama, juga mama doakan kejayaan untuk dia. Kakak teruskan hubungan sebagai rakan baik sahaja. Tiada yang serius lagi, tiada yang berbunga-bunga lagi.

Waktu ini, setiap ketika, mama menilik wajah kakak, okey ke kakak? Cuba mencari reaksi, tabah kah kakak?

Sekali lagi mama mendapat pengalaman baharu sebagai seorang ibu. Begini rupanyan kakak uruskan emosi kakak.

Mama tahu kakak terluka, kerana apa yang kakak harapkan terhenti di tengah jalan. Tapi sejauh mana terlukanya kakak, mama tidak pasti, sebab kakak begitu bijak menyembunyikan rasa.

Mama mula tenang, tiada lagi gangguan, fokuslah kakak. Tak lama lagi peperiksaan menjelang.

Suatu hari, mama terjumpa buku catatan kakak, penuh dengan bait-bait puisi, segala puisi berkaitan rasa hati kakak yang mama tidak nampak selama ini. Mata mama bergenang membaca luahan kakak.

Tabahnya kakak menjaga perasaan sendiri. Namun, mama mula kagum, begini rupanya kakak, betullah telahan mama terhadap kakak, kakak bijak, kakak kuat, kakak banyak bertindak mengikut akal, bukan mengikut emosi.

Dan bersyukurnya mama, lelaki itu hadir sekejap, menyiram rasa pada kakak, kerana muncul lagi satu bakat yang mama tidak tahu kakak ada dan kakak tidak sedar kakak ada.

Puisi, ye puisi, tulisan puisi kakak sungguh indah untuk dibaca, menusuk ke jiwa dan memberi rasa kepada pembaca. MasyaAllah maha suci Allah.

Sesungguhnya seseorang yang hadir dalam hidup kita membawa sebab, tiada yang buruk semuanya baik-baik sahaja. Ada hikmah yang datang dalam setiap pertemuan.

Terima kasih tidak terhingga mama ingin ucapkan pada lelaki itu, kerana, dia telah memberi pendidikan yang baru, yang tidak mungkin kakak boleh ceduk dari mana-mana institusi pengajian.

Syabas kakak untuk perkara ini.

Beginilah mama, selepas satu-satu. Mama masih galau, namun, ada turun ada naik. Dan kegalauan kali ini juga telah mengheret mama ke satu fasa kehidupan yang baru,

Mama mula tekun bertahajud, kerana segala kegalauan yang timbul, mama adukan kepada yang Esa. Alhamdulillah diatas rezeki ini.

Mama tahu, kisah mama dan anak-anak tidak hanya setakat ini, ramai lagi adik-adik yang menunggu giliran untuk mencorakkan hari-hari mama nanti. Tapi sudah tentu pengalaman pertama dengan kakak akan mendewasakan mama.

Memberi mama kebijaksanaan untuk menyelesaikan urusan anak-anak mama dengan lebih teliti. Dan juga untuk kakak, kisahnya bukan setakat disini. Jauh sangat lagi perjalanan untuk kakak tempuhi.

Namun mama yakin dengan kekuatan jiwa dan ketulusan peribadi kakak. Dan mama yakin, doa-doa mama tatkala tahajud akan menjadi senjata peneman kakak dan adik-adik sepanjang hidup, selagi mama bernyawa.

– I Am Mama (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *