Hadiah Istimewa

Aku seorang ibu tunggal dengan anak-anak yang telah berpisah dengan pasangan secara baik. Kehidupan selepas perceraian bukanlah mudah untuk menggalas tanggungjawab menguruskan anak-anak dan mencari pendapatan untuk menyara kehidupan diri. Nafkah anak-anak ditanggung oleh bekas suami.

Aku nekad berpisah apabila bekas suami mengatakan yang dia sudah tidak redha denganku sebagai isterinya. Alhamdulillah, di sebalik kepayahan selepas perceraian, Allah telah mempermudah jalan rezeki aku dan anak-anak. Aku tidak sempat untuk bersedih meratapi perpisahan yang telah berlaku. Anak-anak ini memerlukan aku untuk tampil kuat di hadapan mereka supaya mereka kurang terkesan dengan apa yang telah terjadi.

Ada kala bila mana anak-anak menyatakan hasrat ingin hidup seperti keluarga yang normal, ada ibu dan bapa di bawah satu bumbung, hati aku meruntun sedih, tapi aku cuba sembunyikan kesedihan itu di hadapan mereka. Aku sudah cuba yang termampu untuk menyelamatkan perkahwinan kami, dan aku redha dengan ketetapan takdir yang jodoh kami sampai di situ sahaja.

Secara keseluruhannya, aku dan bekas suami masih boleh berkomunikasi apabila melibatkan anak-anak. Anak sulung sudah bersekolah. Jadi, jika ada melibatkan perjumpaan ibubapa di sekolah, bekas suami memberikan kerjasama. Alhamdulillah.

Perpisahan ini aku terima dengan redha. Hakikatnya, dalam kehidupan ini, kita berjalan sendirian dalam menghadapi takdir dan ujian yang ditetapkan ke atas kita. Keluarga dan sahabat datang dan pergi, dan jika berkesempatan, baru bertanya keadaan kita. Takdir perceraian ini benar-benar menyedarkan aku bahawa pergantungan kita di dalam hidup ini adalah semata-mata dengan Allah SWT.

Jika selama ini tertulis bahawa cinta sesama manusia tidak kan kekal dan hanya mengundang kecewa, maka pada ketika aku melalui perjalanan takdir ini, barulah aku benar-benar dapat menghayati kesahihan tulisan ini.

Pengalaman dalam perkahwinan ini telah mengajar aku untuk berkhidmat sebagai isteri tanpa mengharap penghargaan suami. Laksanakan kebaikan dan tugas kita kerana mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah semata, dan dari situ terbitlah keikhlasan hati. Bermula dengan sayang,aku ingin memiliki dan dimiliki, kemudian dengan sayang juga aku ingin mempertahan dan bersabar dan akhirnya dengan sayang, aku merelakan perpisahan.

Setiap ketetapan Allah, pasti dihadirkan dengan hikmah. Aku bersyukur, di sebalik kepayahan, aku menemui jalan untuk semakin dekat dengan Maha Pencipta. Hakikatnya, walau dosa kita umpama sebesar cakerawala, Allah tidak pernah meninggalkan kita.

Selangkah kita dekat kepada Allah, seribu langkah Allah hampiri diri kita. Allah memanggil ku untuk kembali mendekatiNya. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dan kesedihan yang aku ratapi atas perpisahan ini, Allah gantikan dengan nikmat kebahagiaan untuk mencari cintaNya.

Aku hanyalah makhluk Allah yang tiada kuasa daya upaya pun. Dalam melangkah hari-hari yang penuh cabaran ini, segala kekuatan itu datangnya dari Allah semata. Tatkala aku benar-benar lemah, tak berdaya, hampir tersungkur dan berputus asa, aku menyebut `la haula wa la quwwata illa billah`. Allah adalah kekuatanku.

Umpama suatu hadiah yang sangat istimewa dari Allah buatku, aku menjadi tetamu Allah untuk menunaikan ibadah umrah. Masya Allah. Aku mendoakan semua umat Islam dapat menjadi tetamu Allah di sana. Nikmat yang aku rasakan di sana amat luar biasa. Kebahagiaan, ketenangan dan kegembiraan yang tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata.

Hadiah istimewa ini umpama pengubat hati duka lara yang aku alami selama ini. Umpama anak pulang ke rumah mengadu pada ibunya. Dan setelah pulang ke tanah air, hati ini tidak dapat melupakan Haramain. Air mata pasti akan mengalir tiap kali merindukan tempat itu. Moga aku dijemput lagi ke sana.

Tulisanku ini bukan untuk menggalak apa-apa unsur perceraian. Isinya, yakinlah bahawa Allah sentiasa ada untuk kita. Menangislah mengadu pada Allah. Saat kita menangis itulah, kita akan merasakan ketenangan dan sepenuh-penuh pengharapan dan pergantungan denganNya. Yakinlah bahawa bila mana Allah tidak memberikan apa yang kita hajati, Allah sebenarnya menyediakan yang lebih baik buat kita. Allah Maha Mengetahui. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.

Buat yang di luar sana yang mungkin sedang berhadapan dengan ujian, berdoalah Rabbi yassir wala tu`assir. Bila mana kamu terasa amat lemah, sebutlah `la haula wala quwwata illa billah`. Bersyukurlah kerana kita sedang diuji kerana ujian itu adalah suatu `panggilan` Allah buat kita. Allah Maha Penyayang. Allah masih peduli akan kita…

– Hanimyra

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *