Assalamualaikum. Hari ni saya teringin berkongsi hidup seharian seorang janda.. Saya dah diceraikan suami setahun yang lalu. Sebab diceraikan? Entahlah, katanya dah tak sehaluan.
Hubungan saya dan bekas suami ok saja waktu tu, biasalah bergaduh dan baik berselang seli namun tiba2 pada suatu hari suami berkata dia dah tak boleh hidup dengan saya.
Saya agak kebingungan sebab tak tahu apa salah saya, sampailah saya terbaca mesej yang ibu mertua hantar pada bekas suami mengatakan yang buruk2 tentang saya.
Maka fahamlah saya bekas suami tak mahu menjadi anak derhaka lalu menceraikan saya hasil hasutan ibu mertua.
Baiklah, terima kasih kepada bekas suami kerana mengkhianati kepercayaan saya dan tahniah kepada ibu mertua kerana berjaya memisahkan kami. InsyaAllah kifarah Allah itu ada.
Kami ada 3 orang anak. Waktu diceraikan anak bongsu belum lagi setahun. Anak sulung darjah 3 dan anak kedua 6 tahun. Jadi bolehlah bayangkan bagaimana saya ditinggalkan dengan 3 orang anak yang masih kecil.
Habis saja iddah saya buat segala tuntutan nafkah. Tapi prosesnya biasalah memakan masa yang lama, tapi tak apa saya terus move on. Saya bersyukur ada kerjaya dan mulalah saya menguruskan anak2 sendirian.
Kepada bekas suami, dia tak beri nafkah anak berbulan2, tak apa saya masih boleh survive sebab masih ada ibu bapa yang sangat memahami. Namun saya tak dapat nak halalkan, tak dapat nak lupakan dan tak mungkin dapat memaafkan.
Setiap kali saya kepenatan menguruskan anak2, yang terlintas di fikiran cumalah semoga Allah membalas kepenatan dan kesakitan saya kepada mereka yang menganiaya saya dan anak2.
Saya percaya Allah mendengar segala doa dan luahan saya, saya percaya Allah sentiasa menjaga saya dan anak2.
Tiada simpati mahupun empati dari belas suami, kadang2 ada juga saya meminta bantuan dia jika anak saya demam,
Saya minta dia ambil anak untuk dijaga bersama2 ibu kesayangannya sementara saya pergi bekerja, kerana dia tidak bekerja tetap, tapi biasanya dia susah untuk menolong.
Rasanya dia mahu membalas pada saya kerana saya menuntut segala jenis tuntutan yang hakikatmya adalah hak saya dan anak2. Katanya saya sanggup buat dia macam itu sedangkan dia tidak punya duit dan tidak bekerja tetap.
Oh, maka saya juga yang salah. Saya ditinggalkan sendirian dengan anak2, saya dibiarkan mengurus kewangan sendiri dengan anak2, saya yang kepenatan seharian dengan anak2, saya juga yang salah. Saya tahu dia play victim. Sekali lagi, saya ada Tuhan.
Ironinya, dia seorang ahli agama. Ibunya juga ada basic agama. Keluarganya keluarga beragama. kakak dan abang ustaz ustazah. Beraninya mereka menganiaya seorang wanita dan anak2. Saya tak mungkin memaafkan.
Saya menghadapi kesukraran dalam menguruskan anak2, pagi2 menguruskan yang bongsu yang kadang2 bangun pagi menangis mengganggu saya menyiapkan anak2 yang mahu ke sekolah.
Betapa kalutnya menguruskan ketiga2 nya sendirian, menghantar anak sulung dan kedua ke sekolah dan anak ketiga ke taska, dan memastikan saya sampai pejabat tepat pada waktunya.
The struggle is real, ya saya bangun awal seawal pukul 5 solat serta bertahajud, masih juga pagi saya kalut.
Dan petang balik kerja pukul 6 sampai di rumah, dari memandikan anak bongsu yang comel dan banyak karenah, sambil sibuk sediakan makanan untuk semua, dan juga berkejar solat asar dan juga menguruskan kain baju untuk esok, ya saya sangat sibuk dan penat.
Malam saya sangat kepenatan setelah seharian menguruskan segalanya sendiri,
Namun masih juga belum boleh rehat kerana perlu tolong anak menyiapkan kerja sekolah, tengok anak mengaji, melayan anak bongsu yang kejap berak kejap nak makan kejap nak susu dan the list go on.
Begitulah kehidupan seorang janda. Kami struggle untuk meneruskan hari2 kami dengan rutin yang memenatkan.
Belum kira waktu anak demam bersilih ganti, saya tak mampu nak cuti setiap kali anak demam, maka terjadilah bawa anak ke tempat kerja, mujur bos saya baik, tapi ia agak menganggu kerja saya.
Waktu inilah saya pohon ihsan bekas suami yang pada saya lebih ada masa terluang untuk menjaga anak2 sendiri, tetapi ia menjadi sangat susah untuk memberi pertolongan. Hilang rasanya simpati dari dia dan ibunya yang juga seorang ustazah.
Masih saya ingat, anak bongsu demam, saya balik awal untuk bawa ke klinik. Dalam perjalanan anak bongsu tak mahu duduk dalam car seat sebab badan panas dan tidak selesa, maka saya drive sambil pangku anak. Anak2 yang lain lapar sebab baru balik dari sekolah.
Hanya Tuhan yang tahu betapa sukarnya keadaan saya, dengan badan saya juga tidak sihat, tiba2 anak bongsu itu muntah, habis baju, tangan, dan kereta saya. saya terdiam lalu menitis juga air mata kepenatan saya.
Dalam hati, ya Allah jika segala kesusahan saya ini akibat dari saya dianiaya, anak2 dianiaya, pulangkanlah segala kesusahan saya ini pada pihak yang menganiaya saya dan anak2. Sungguh itu doa saya.
Maka saya bawalah anak ke klinik dengan baju penuh muntah, sampai di klinik saya basuh sikit2 dan baju saya basah. Doktor juga sangat bersimpati melihat saya bawa ketiga2 anak dalam keadaan yang menyedihkan ini.
Buat bekas suami, juga bekas mak mertua, saya masih tidak dapat mengubat hati yang luka ini. Begitu banyak keperitan yang saya tanggung hasil tindakan kalian yang tidak berfikir panjang.
Jangan lupa kalian ada adik dan kakak perempuan, kalian juga ada anak saudara dan cucu perempuan. Sedarlah sebelum terlambat.
Allah itu sentiasa melihat kesusahan saya. Saya bukan perempuan jalang, saya perempuan yang percaya sepenuhnya kepada Tuhan.
Saya terima ini ujian dariNya, saya berjaya move on dan hidup saya pun lebih baik sekarang. Cuma untuk melupakan dan memaafkan, mungkin belum masanya.
Maafkan saya berdoa yang bukan2, tapi kesakitan itu tak dapat dirasai jika tidak dilalui sendiri.
Dan juga kepada lelaki2 di luar sana, janda bukanlah untuk dipermainkan. Kami struggle untuk meneruskan hidup sehari2, tiada masa untuk bercinta2, hidup kami pun dah cukup dengan masalah yang pelbagai dan anak2 yang perlu diuruskan.
Jika benar ikhlas, kami cuma mahukan seorang suami yang benar2 menyayangi, simpati dan empati. Yang menyayangi anak2 kami lebih dari kami sendiri.
Yang mahu meringankan beban kami, yang tidak mengharapkan cinta dan keseronokan semata2 dari kami. Kami janda bukanlah hina, kami ada tanggungjawab besar untuk dibawa ke syurga.
Kami tidak perlukan suami yang perlu diajar bagaimana caranya memuliakan isteri. Kami benar2 mahukan seorang pelindung, cukup sudah kami melalui pengalaman menyakitkan, jadilah lelaki budiman dan gentleman.
Begitulah pesan pada lelaki2 yang mahu berkenalan dengan saya, janda ini.
Hormatilah status janda, janganlah dipermainkan dan diperolokkan lagi, menjadi bahan bualan sesama lelaki. Menghinakan ujian Tuhan buat seorang wanita bergelar janda.
Begitulah hari2 seorang janda. Semoga kami yang diuji dengan perceraian ini diberi ketenangan dan keyakinan yang jitu pada Tuhan yang Maha Satu. Hanya itulah pengubat hati dalam meneruskan kehidupan sehari2.
Doakan saya pembaca sekalian..
– Aisya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit