Hidup Sebelum Mati

Labi melangkah lambat menuju ke pintu masuk. Senyum tidak lekang di bibir sambil menegur pesakit yang menunggu di situ.

Semua pakat saling mengenali kerana saling berjumpa 3 kali seminggu.

“Haiya. U baru mai ka. Mai pen u.” Seorang rakan pesakit menegur Labi sebaik nampak kelibat Labi di pintu masuk.

“Apa pasai uncle? Hari-hari pen hilang ka?” Labi menjawab sambil sengih.

“Wa tatau mana pi. Selalu ada dalam beg. Kasi pinjam la.. Nanti wa beli baru kasi u.” Muka uncle senyum riang seperti biasa.

Siap tulis semua maklumat di buku, uncle pulangkan pen dan melangkah ringan masuk ke dalam wad untuk rawatan.

Labi menyibuk ikut uncle masuk nak tengok uncle duduk di kerusi yang disediakan. Ceria seperti selalu. Mulut ramah menegur sesiapa yang uncle jumpa.

Labi senyum setelah membalas lambaian uncle dari tempat duduknya dan melangkah bertentangan dari situ menyiapkan tugas yang perlu sebelum rawatan dimulakan.

Dah settle semua, selesa duduk, rawatan dimulakan. Bermulalah sesi 4 jam rawatan untuk hari itu.

Bekal makanan dikeluarkan dan disusun di atas meja dihadapannya. Headphone mula dipasang dan drama korea mula dimainkan di skrin telefon.

Labi makan dengan senyap sambil menikmati drama yang ditayangkan.

Dari jauh, sayup-sayup kedengaran bunyi radio. Labi senyum sendiri.

“Dah mula lah tu” Kata benak hati Labi.

Uncle memang selalu on kan radio sepanjang rawatan. Buat hilang sunyi katanya.. 

Kusyuk Labi makan nasik.

Suasana hening.

Pesakit lain pakat menikmati masa sendiri.

Labi masih dengan bekal dan dramanya.

Tenang..

Tiba-tiba. Bunyi mesin dari kejauhan. Labi menoleh seketika untuk melihat keberadaan misi bertugas.

Nampak misi seorang settle kan alarm mesin tersebut dan kembali ke kaunter setelah selesai.

Labi teruskan aktiviti makan dan tonton. Fokus..

Tidak lama kemudian, nampak misi seorang berlari. Dan tiba-tiba bunyi riuh kedengaran. Lebih ramai yang datang. Suasana kecoh.

Labi terhenti makan. Drama dihentikan seketika. Leher dipanjangkan untuk meninjau apa yang berlaku di sebelah sana.

Seorang waris pesakit lalu di hadapan. Labi tidak dapat menahan rasa ingin tahu dan terus bertanya, “Kenapa? Kenapa ni kecoh sangat?”

“Itu uncle tiba-tiba pingsan diaorang cakap.”

“Ha? Pengsan?”

“Itu orang sebelah cakap tadi dia ada makan. Lepas tu tatau. Dia bunyi koh koh macam pelik ja. Itu orang sebelah panggil misi.”

Labi tergamam.

Terdiam.

Bekal sudah ditutup.

Nampak uncle dah disorong ke hadapan kaunter. Jelas di pandangan mata Labi.

Tubuh uncle terbujur kaku. Jarum masih di tangan. Rawatan dihentikan untuk beri bantuan kecemasan. Keadaan masih huru-hara. Cpr diteruskan.

Nampak misi bertungkus lumus menyelamatkan uncle. Doktor bertugas di wad berdekatan juga telah segera dipanggil untuk membantu.

“Dah panggil waris?” Tanya doktor kepada misi.

“Dah doktor. Dalam perjalanan dah.” Misi menjawab cemas.

Labi masih tergamam di tempat duduknya. Jantung berdegup laju.

“Mana waris? Panggil waris sekarang!” Doktor tegas memberi arahan.

Nampak seorang perempuan yang mungkin isteri uncle, dan seorang lelaki yang mungkin Labi tak tahu nak teka siapa. Mungkin anaknya, atau jiran.

Doktor segera mendekati kedua waris tersebut.

“Sekarang you cuba panggil dia balik. Mungkin dia nak dengar suara you. Ini ikhtiar terakhir kita. You cuba panggil dia.” Doktor beritahu perempuan tersebut selembut mungkin, tapi jelas.

Perempuan tersebut mendekati uncle. Mata jelas sangat confuse dengan situasi tersebut. Tangan diletakkan di atas dada uncle. Dengan gaya memanggil orang bangun tidur. Sambil menepuk lembut dada uncle.

Perempuan tersebut memanggil, “Sayang. Sayang ah. Sayang, bangun.” (Saya faham ni ja. Yang lain bahasa bukan melayu saya tak faham.)

Uncle tidak menunjukkan sebarang respon.

Suara perempuan tersebut mula bergetar. Nampak matanya mula menakung air.

“Sayang! Bangun sayang! Bangun!!” Perempuan tersebut mula menjerit sambil menghambur air mata. Tangannya menampar kuat dada uncle.

Keadaan sekeliling bertukar sangat hiba. Perempuan tersebut menangis nyaring memanggil uncle. Tapi tetap tiada respon.

Uncle dah tiada.

Labi cuba berlagak tenang. Mata masih memandang tubuh yang terbujur kaku di atas katil di hadapan kaunter misi.

Sayup-sayup dari jauh masih kedengaran bunyi radio uncle.

Dan yang terdetik dalam hati tiba-tiba adalah, “Malaikat cabut nyawa lalu depan aku ke tadi? Allahu. Lepas ni turn aku ke?”

– Labi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *