Hikmah Restu dan Doa Mak Ayah

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera warga iium confession. Terlebih dahulu, saya ucapkan terima kasih sekiranya tulisan saya yang tidak seberapa ini mendapat perhatian untuk disiarkan di page iium confession.

Adalah impian saya sekiranya cerita saya ini dapat dikongsikan bersama dengan pembaca sekalian. Saya kenalkan diri saya sebagai Cik Q berusia 27 tahun dan masih single. Hehe.

Baiklah, kisah saya ini adalah mengenai apa yang saya lalui dalam kehidupan berkaitan betapa besarnya hikmah mendapat restu dan doa dari mak ayah.

Kisahnya bermula begini, saya pernah bekerja di Kuala Lumpur beberapa tahun lepas sebagai salah seorang trainee SL1M untuk sebuah syarikat GLC. Saya berasal dari negeri di selatan tanah air.

Untuk makluman pembaca, saya merupakan satu-satunya anak di dalam keluarga.

Tinggal berjauhan dengan keluarga bukanlah tidak pernah cuma adalah wajib bagi saya untuk pulang ke rumah setiap minggu dari zaman belajar lagi. Tetapi waktu itu saya belajar di negeri yang dekat je, jadi tiada masalah untuk kerap balik bila tiba hari minggu.

Namun, kehidupan saya mula berubah bila saya ditentukan oleh Allah untuk mencari rezeki di bandar Kuala Lumpur. Saya gigih kan hati dan cekalkan jiwa untuk menerima tawaran kerja ini memandangkan saya tidak sanggup lagi untuk hidup menganggur selepas graduasi.

Hal ini, kerana saya fikir ini adalah satu peluang besar untuk saya keluar dari zon selesa diri saya. Keluarga saya bukanlah dari keluarga yang berada.

Hidup kami sederhana, jadi apabila saya mula bekerja di Kuala Lumpur, saya perlu berjimat cermat dan berkorban rasa untuk kerap pulang ke kampung halaman. Rasa rindu mak ayah sudah pasti kadang2 telefon lepas letak je mesti menangis.

Tetapi saya bersyukur saya dikenalkan dengan housemate dan rakan kerja yang baik walaupun saya tidak pernah kenal rapat dengan mereka semua sebelum pindah ke Kuala Lumpur.

Berkenaan kerja saya, hampir setiap hari saya habis kerja lewat dan pulang malam. Dan saya pergi balik kerja menaiki LRT.

Tipula mak ayah saya tidak bimbang. Mereka hari hari risaukan saya, tetapi saya sentiasa yakinkan mereka yang saya okey dan boleh survive walaupun sebenarnya kerja saya agak mencabar bagi saya.

Kadang kala saya pulang lewat lalui kawasan yang sunyi dalam hujan dan pernah sesat di kawasan parkir kereta bawah tanah sebab keliru dengan lif yang seakan sama. Huhu. Tapi pada saya tu semua pengalaman indah yang saya akan ingat sampai bila bila.

Kisahnya bermula apabila, mak ayah saya minta saya untuk mencari kerja yang lebih dekat dengan mereka memandangkan mereka semakin berusia dan saya pula satu satunya anak yang mereka ada. Tipulah saya takde mohon kerja lain.

Hari hari di tempat kerja kalau ada masa terluang saya akan tengok emel dan kerap memohon kerja di website pekerjaan. Namun, hampir 5 bulan saya berkhidmat di Kuala Lumpur saya masih tidak mendapat kerja lain.

Untuk makluman pembaca, saya hanya diberikan elaun dan bukan gaji ketika menjadi trainee SL1M.

Nak diikutkan saya memang tak boleh saving sebab harga sewa bilik je dah cecah RM300. Belum kira nak bayar bil bil lain lagi dan kalau nak balik kampung pun kena berjimat cermat.

Waktu tu saya rasa sedih sangat sebab saya rasa saya dah kerja kuat tetapi saya tak mampu nak buat simpanan dan beri duit yang secukupnya untuk mak ayah. Tiap kali pulang kampung saya rasa sungguh excited tapi bila nak balik KL mesti saya nangis huhu. (Mengada eak?)

Kemudian, tibalah suatu hari dapat dapat tahu ada kekosongan jawatan di sebuah IPTA yang saya gelar sebagai IPTA N berdekatan KL. Dan saya pon apply dan tak lama saya dipanggil untuk menghadiri temuduga.

Alhamdulillah semua berjalan lancar dan interviewer saya ketika itu nampak macam berminat nak ambil saya kerja. Semenjak itu, almost setiap hari saya berdoa dan follow up dengan urusetia supaya saya mendapat kerja itu. (Follow up supaya nampak effort disitu).

Tak lama kemudian dalam 3 minggu saya dapat emel dan panggilan bahawa saya benar2 diterima bekerja di IPTA N tersebut sebagai kerani dalam jawatan kontrak.

Masya Allah masa tu hanya Allah tahu betapa saya gembira mendapat perkhabaran itu. Dan saya cepat cepat isi notis/borang untuk tamatkan SL1M saya ketika itu yang sepatutnya tamat lagi 2 bulan jika tak silap.

Allahu, namun, ketika itu tiba tiba saya diuji dengan tawaran gaji yang lebih besar untuk diserap oleh bos sekiranya saya tamat tempoh SL1M. Dan saya ada bertanya mak ayah.

Namun, jawapan mak ayah saya lebih baik saya ke tempat baharu tersebut memandangkan IPTA N tersebut tidak berada di tengah bandar KL sangat, jadi kalau nak balik lebih dekat.

Namun begitu, selepas beberapa hari saya tahu saya diterima bekerja, saya perlu memberi jawapan yang segera kepada pihak IPTA N tersebut sebab jawatan saya ini perlu masuk kerja segera.

Tetapi Allah nak uji saya sekali lagi, selang beberapa hari je, saya buka emel macam biasa dan saya lihat saya dapat sebuah lagi tawaran kerja di IPTA lain tetapi berada di selatan tanah air dan saya gelar sebagai IPTA J dengan jawatan menggunakan diploma dan skim tetap.

Untuk makluman pembaca iium, saya tak ingat dan tak sangka diterima bekerja di IPTA J sebab saya dah lama pergi temuduga di situ dan memang takde khabar berita hampir 6 bulan, tetapi tulah namanya rezeki.

Pada ketika itu, saya hanya mampu berdoa dan beristikharah untuk memilih mana satukah yang paling terbaik untuk diri saya dan masa depan.

Dan dalam masa sama saya meminta pendapat kedua orang tua saya. Jujurnya, saya memilih untuk bekerja di IPTA N yang pertama menawarkan kerja pada saya kerana hati saya lebih terbuka untuk kerja di sana (kebetulan ade sepupu tinggal dikawasan berdekatan IPTA N tu) dan agak berat untuk menerima kerja di IPTA J sebab walau dalam negeri tetapi tetap jauh dan kena duduk menyewa sorang sorang untuk permulaan.

Saya jadi keliru dan tak tahu nak buat keputusan macam mana sebab semua nya nak jawapan segera. Dan sudah tentu apabila meminta pandangan orang tua, mereka akhirnya meminta saya untuk menerima tawaran di IPTA J atas alasan seeloknya kerja dalam negeri sendiri.

(Biasalah pandangan sesetengah orang tua nak anak kerja dekat). Walau dengan berat hati saya akur dan akhirnya melapor diri untuk bekerja di IPTA J.

Kerja kat sini seronok ada ramai kawan baru yang sebaya tetapi ada juga dugaan nya yang tersendiri. Hari demi hari saya lalui macam2 pengalaman baharu dari bos dan senior yang dah lama berkhidmat kat sini.

Alhamdulillah mereka tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dan saya pula jenis rajin bertanya so kat situ dapatlah kawan2 baharu yang best.

Memang saya terfikir balik betapa hikmah besar bila kita memilih berdasarkan restu mak dan ayah. Saya tidak lagi kerja pulang lewat malam. Jadi mak ayah dah tak risau sangat.

Kemudian, saya pergi balik kerja drive naik kereta sendiri. (Baru berani bawa kereta sebab IPTA J ni kat kawasan tak lah sebandar mcm KL yang amat amat terlalu busy dan saya susah hafal jalan lagi2 kawasan KL yang terlalu baru untuk saya huhu..)

Hinggalah baru baru ini, seluruh dunia diuji dengan pandemik Covid19 yang menyebabkan kita sebagai rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk melaksanakan PKP bermula 18 Mac lalu sehingga hari ini.

Apa yang paling terkesan dalam diri saya ialah betapa saya bersyukur saya memilih kerja saya sekarang sebab saya masih berada dalam negeri yang keluarga saya tinggal. Sekurang2 nya saya bole pulang untuk menjenguk mak ayah dan paling penting dapat meraikan hari raya bersama mereka.

Allahu syukur. Walaupun saya diuji untuk terus berkhidmat dan bekerja sepanjang tempoh PKP ini, tetapi saya amat bersyukur yang saya masih bole menjenguk mak ayah saya dalam negeri yang sama.

Saya bekerja sudah hampir 3 tahun di IPTA J ini dan baru hari ini saya sedar hikmah sebesar besarnye.

Saya tak dapat bayang kalau saya bekerja di luar negeri ini dan takdapat pulang jenguk apatah lagi beraya dengan mak ayah. Betapa sedihnya kalau tak dapat balik jenguk mak ayah dalam tempoh yang lama ini.

Namun, apa yang saya kongsi ini bukanlah bertujuan menunjuk saya dapat banyak tawaran kerja. Tetapi nak nyatakan betapa besar hikmah restu dan doa mak ayah.

Setiap orang melalui dugaan yang berbeza beza sepanjang tempoh PKP ini, justeru, doa saya agar semua yang berjauhan dari keluarga tabah hadapi tempoh ini dan berdoalah untuk mak ayah.

(Ingatan untuk saya juga) sebab apabila kita menginjak ke arah dewasa, sebenarnya mereka sedang menghitung hari tua mereka. Hargai mak ayah selagi mereka masih ada.

Mohon maaf dari saya sekiranya ada yang kurang faham jalan cerita saya.

Tapi yang penting saya nak sampaikan ingatlah restu dan doa mak ayah penting untuk masa depan kita. Tak kirelah dari pilihan kerja, jodoh atau apa apa sekalipun, pilihlah mana yang terbaik sepertimana mereka mahukan asalkan tidak menuju ke jalan yang sesat.

Sekian,

– Cik Q (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

error: Alert: Content is protected !!