How I became a Muslim?

How I became a Muslim?

How I became a Muslim?
Saya dilahirkan dan dibesarkan di sebuah sebuah pekan di Sabah. Ibubapa saya adalah Atheist. Saya mempunyai 3 orang abang dan 2 orang kakak. Kami semua adik-beradik memilih Kristian sebagai agama kami dan tiada halangan dari ibubapa kami memandangkan Kristian tidak banyak berbeza dengan Atheist terutama dari segi makanan dan pakaian,
Tetapi, abang kedua dan ketiga, dan kakak sulung saya memeluk islam melalui perkahwinan. Namun begitu, mereka tidak pernah mempraktiskan islam dalam kehidupan mereka. Sama seperti pasangan mereka yang tidak begitu islam. Mereka hidup macam hidup mereka sebelum ini sebagai non-muslim. Mereka masih makan pork, minum arak, sambut krismas. Cuma mereka tidak lagi ke gereja.
Tambahan lagi, separuh dari keluaraga saya berbangsa Filipina. Oleh itu, saya memang dibesarkan dengan hidup yang tiada nilai islam langsung. Saya juga tidak banyak kawan islam sebab ibubapa saya melarang saya daripada berkawan dengan mereka dengan alasan mereka orang jahat. Nilai bencikan islam itu telah terpupuk sejak saya kecil lagi. Dan, memang saya sangat membenci islam dulu.
Hinggalah satu “Accident’ berlaku sewaktu saya berumur 12 tahun untuk membuat kad pengenalan yang membawa saya mengenali apa itu islam secara luaran. Dalam kad pengenalan saya itu, tertulis Islam. Saya kononnya berbangsa Islam. Bapa saya cuba untuk membuat pembetulan tetapi tidak dilayan oleh JPN dengan alasan ingin ‘Murtad’. Mahu tidak mahu, kami terpaksa akur.
Sewaktu saya mendaftar ke sekolah menengah. Saya ‘diarah’ untuk mengambil subjek Pendidikan Islam dan memakai tudung. Saya keliru dan sekali lagi saya terpaksa akur kerana ingin bersekolah sedangkan saya tidak pernah memasuki islam. Sepanjang 5 tahun dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5, saya belajar subjek Pendidikan Islam dan memakai tudung hanya di sekolah. Dan alhamdulilah, saya mendapat A dalam PMR dan B+ dalam SPM untuk subjek Pendidikan Islam,
Di sekolah, saya adalah ‘Muslim’. Di luar sekolah, saya adalah siapa saya yang sebenar. Pakai tudung memang jauh sekali, saya pergi church setiap hujung minggu, menyambut krismas setiap tahun dan masih memakan pork.
Episod saya terdetik untuk memeluk Islam sewaktu saya menyambung pelajaran jauh di Semenanjung di salah sebuah kolej. Di sana, saya serumah dengan orang-orang Muslim. Begitu juga dengan rakan sebilik saya. Mereka semua berasal dari Sabah Sarawak, Dan, mereka begitu patuh dengan ajaran islam. Mereka solat, berpuasa sunat, mengaji dan menutup aurat.
Untuk pertama kalinya, saya ‘nampak’ islam. Terutamanya pada rakan sebilik saya, dia selalu bercerita pada saya tentang islam tentang keluarga dia. Pada satu masa, tiba-tiba saya ingin menjadi seorang Muslim yang sebenar. Saya rasa seronok untuk menjadi Muslim.
Saya berfikir panjang tentang ini, saya bermonolog dengan diri saya. Mungkin kesalahan maklumat di kad pengenalan saya adalah satu petunjuk yang Allah menginginkan saya menjadi hambanya, saya sudah belajar Islam selama 5 tahun biarpun saya tidak pernah mempraktiskannya dalam kehidupan saya. Dan, orang-orang disekeliling juga mengenali saya sebagai Muslim biarpun saya sebenarnya bukan Muslim.
Lagipun, sampai bila saya ingin menjadi ‘palsu’? seorang Muslim yang palsu. Mungkin ini adalah jalan yang benar. Aku ingin menjadi seorang Muslim dalam erti kata sebenar.Saya tekad dengan keputusan saya. Dan, saya menyuarakan niat saya pada seorang Ustazah yang saya kenali melalui seorang senior.
Tapi, malangnya. Saya tidak sempat untuk memeluk islam di sana memandangkan saya terpaksa berhenti belajar di kolej tersebut kerana mendapat tawaran belajar di salah sebuah IPTA di semenanjung. Selepas berhenti secara rasmi di Kolej tersebut, saya pulang ke Sabah sebelum kembali ke Semenanjung.
Di IPTA tersebut, saya menyuarakan niat saya yang tertangguh kepada salah seorang pensyarah agama islam. Saya bertemu dengan orang yang tepat. Ustazah itu sangat tulus dan baik hati. Pada tanggal 29 Nov 2013 bersamaan hari Jumaat, saya mengucap dua khalimah syahadah di pejabat agama islam di Negeri itu. Secara rasminya, saya seorang Muslim.
Sekarang, sudah hampir 2 tahun lebih saya bergelar Muslim. Dan dugaan menjadi Muslim sebenar adalah lagi berat dari apa yang saya bayangkan. Saya terpaksa berdepan dengan tentangan keluarga. Mereka mendapat tahu pasal keislaman saya apabila mereka ternampak kad islam saya. Di situlah bermulanya, saya bagaikan tersisih. Saya dikatakan sudah berkahwin dan mengandung, sebab itu saya desperate ingin memeluk islam. Terlalu banyak tentangan, biarpun tidak secara fizikal. Sukar untuk saya terangkan. Mereka pandai bermain emosi/helah. Terutama ibu saya yang suka bermain emosi.
Selain daripada itu, saya juga agak tertekan dengan pandangan masyarakat. Apabila mereka tahu saya memeluk islam, mereka expect saya untuk terus jump sebagai ‘ustazah’. Tidak boleh ini, kena itu, kena ini. Saya faham niat mereka, tapi tolong bagi saya masa. Saya perlukan masa untuk mempraktiskan sepenuhnya sebagai seorang Muslim. Terutama sekali menutup aurat, memang saya biasa bertudung hanya di sekolah tapi itu pun kadang-kadang saya buka biarpun masih di kawasan sekolah. Saya sudah biasa berseluar pendek, berbaju lengan pendek. Dan, saya tiada satu pun seluar panjang dan baju lengan panjang. Seluar dan baju saya semua ketat.
Saya perlu masa. Saya tidak dapat untuk terus tutup semua. Saya perlu beli seluar dan baju baru. Beli tudung. Satu lagi, solat. Saya akui, kadang-kadang saya agak ‘malas’ solat. Saya rasa macam tiada masa saja. 5 kali sehari? Sedangkan sebelum ni saya hanya sembahyang di hujung minggu saja. Puasa? Saya tidak pernah puasa, dan saya cuba cuma kekadang saya tidak tahan. Saya berbuka. Tapi, masyarakat inginkan saya terus menjadi seorang yang perfect ‘Muslim’. Maaf, saya tidak mampu.
Dan lagi, asal tahu saya muallaf. Mesti suruh saya kahwin. Minta maaf banyak-banyak. Saya belum bersedia mahu kahwin. Dan, tolong jangan paksa saya. Dengan alasan, saya perlu orang untuk bimbing saya.
Inilah mentaliti, asal masuk islam sebab kahwin. Abang-abang kakak saya masuk islam sebab kahwin, masih macam tu juga. Tidak kemana pun islam mereka.
Dan, saya hanya ingin berkahwin dengan muallaf macam saya juga. Saya bukan dari background keluarga yang ‘baik’, jadi bukan semua orang boleh terima keluarga saya. Dan saya tidak mengharapkan pun. Saya rasa berkahwin dengan muallaf seperti saya lebih baik, untuk buka mata masyarakat yang masuk islam tidak semestinya kerana perkahwinan. Dan, kami boleh belajar islam sama-sama. Saling memahami keluarga masing-masing kerana sama-sama pun mempunyai background keluarga/hidup yang sama.
Sekian dari saya, Miss Muallaf. Maaf jika ada yang terkasar dan yang terasa/tersinggung..
*Sorry, my Malay is not that good. Hope you can understand my writing. Peace!

– Miss Muallaf

Kongsi luahan anda disini –> https://iiumc.com/share-your-stories/

CREATE A POST

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *