Hutang Dengan Allah

Assalamualaikum & salam sejantera kepada semua pembaca IIUM Confession.

Aku ingin luahkan pekung di dada tentang hutang aku dengan Allah. Aku perempuan. Berusia 20-an. Sejak aku akil baligh, umur 13 tahun, aku sudah mulai berusaha untuk solat dan puasa.

Tetapi sepanjang hidup dan semakin aku dewasa, pelbagai kesalahan besar yang aku baru dapat tahu yang mungkin menyebabkan ibadah aku tidak sah.

Pertama, bila mana aku dapati bawah dagu adalah aurat. Telekung aku jenis tak menutup dagu.

Bila dah longgar, aku pinkan sahaja dan masih nampak dagu. Sekarang aku dah pakai inner ninja yang menutup dagu di dalam dan luar waktu solat.

Kedua, bila mana terbaca penulisan yang terlintas di news feed facebook yang mengatakan tidak sah solat kalau tak dengar suara sendiri ketika mengangkat takbir, baca Al-Fatihah dan bacaan tahiyyat akhir.

Masa tu aku rasa kosong sangat sebab selama ni memang baca tanpa demgar suara sendiri. Hanya bibir yang terkumat-kamit membaca bacaan dalam solat.

Ketiga, aku tahu solat tidak sah bila mana aku tak bersihkan keputihan sebelum solat. Masa ni sering terjadi di sekolah menengah sebab masa tu masih belum tahu keputihan tu najis.

Tapi aku ingat ustazah Tingakatan 1 aku pernah cakap yang keputihan tu ibarat debu, bukan najis. Maksudnya masih perlu dibersihkan sebelum solat, tak perlu mandi wajib.

Di sekolah ketika Tingkatan 1 dan 2, kadang-kadang kelas ustazah akan selalu pergi ke surau untuk solat Asar.

Ketika itu memang tiada yang pergi ke tandas dahulu untuk bersihkan keputihan, apatah lagi tukar seluar dalam. Usia ni keputihan aku agak aktif.

Keempat, memakai skin care dan hair-care yang tak silicone-free. Katanya tak telus air. Tapi kalau lalu air dekat skin care bersilikon ni pun memang dapat lihat ianya menghalang air sampai ke kulit.

Selama ni aku hanya bersihkan sunscreen dengan micellar water sebelum solat.

Tapi bila dapat tahu moisturizer atau apa-apa skin care yang ada silikon atau bahan-bahan yang menghalang air sampai ke kulit, masih perlu dibersihkan dengan agen pembersih kerana tidak memadai dibersihkan dengan air sahaja.

Selama ni kalau aku hanya pakai moisturizer yang bersilikon, aku hanya bilas dengan air sahaja dan terus berwuduk.

Masih dalam isu skin care dan hair care. Aku juga pernah pakai sunscreen yang mempunyai kolagen. Tetapi kolagen itu aku tidak tahu sumbernya daripada mana. Aku sudah dm dan e-mel personal dengan brand tersebut tapi tiada jawapan.

Aku takut sebab brand-brand skin care dari Korea, Jepun memang banyak menggunakan kolagen daripada haiwan seperti babi.

Untuk hair care pulak, aku pun belum tukar ke shampoo yang silicon-free tapi sebelum ni pernah pakai shampoo Safi yang silicone-free cuma bertukar angin ingin mencuba shampoo lain.

Kelima, sebab ini juga merungsingkan aku. Beberapa tahun lepas aku membeli 2-in-1 hair dryer brush iaitu pengering rambut yang ada berus sekali.

Kedai yang aku beli tu tidak memaklumkan bahawa berus itu diperbuat daripada babi hutan.

Jadi, aku dah terpakai beberapa kali tapi berhenti lepas aku rasa was-was.

Semasa survey, aku terus membeli di kedai itu kerana ianya seperti authentic. Tetapi selepas aku mencuba beberapa kali, aku tergerak hati untuk survey di kedai-kedai lain brand yang sama.

Didapati penjual ada letak gambar dan deskripsi yang berus itu diperbuat daripada boar bristle. Aku tersentak. Aku rasa was-was. Aku rasa jiijik.

Aku terus dm personal dengan penjual kedai yang aku beli tu dan dia memaklumkan berus itu tidak diperbuat daripada babi hutan. Sampai sekarang aku masih belum tahu sama ada aku perlu sertu ke tidak.

Sebenarnya, ketika habis SPM aku sudah mulai qada’ solat aku atas sebab masih ada solat yang aku tinggal dengan sengaja ketika aku sekolah menegah.

Tapi dalam masa yang sama masih melakukan kesalahan-kesalahan besar yang lain iaitu sebab pertama, kedua, ketiga dan keempat di atas.

Kini, tiap-tiap hari aku akan rungsing. Macam mana aku nak start bayar hutang ni semua. Hidup aku tak tenteram. Rasa ibadah aku semuanya tak diterima.

Yang aku boleh senaraikan cuma lima. Mungkin ada sebab-sebab lain juga yang aku tak tahu yang boleh buat ibadah aku, mandi wajib aku tak sah.

Pembaca semua, mohon tolong aku jika ada sesiapa yang ada ilmu tentang semua ni.

Untuk berus dan skin care mengandungi kolagen tu, jika aku perlu sertu, adakah dengan produk Safi sertu tu sudah memadai? Sebab pernah tengok Ustaz Adnin buat tutorial guna Safi tu di instagram.

Dan aku tahu yang mandi wajib aku tak sah kerana hal ini. Adakah puasa aku pun aku perlu qada’?

Mohon bantu aku dari mana aku nak mula. Terima kasih semua. Apa-apa nanti aku update jika perlu, insya-Allah. Mohon doakan aku untuk dapat bayar semua hutang ni sebelum aku meninggal dunia.

– Qaseh (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *