Jadi Sifu Perlu Ke Berlagak?

Assalamualaikum dan salam hormat. Terima kasih admin sekiranya perkongsian saya ini dipaparkan.

Nama saya Shahid (bukan nama betul), saya buat bisnes online jual produk makanan. Bisnes tak menentu, ada masa naik ada masa turun.

Sebagai peniaga saya sedar keperluan untuk sentiasa upgrade ilmu perniagaan dan pemasaran untuk lebih maju kedepan.

Jadi dekat mana lagi nak dapatkan ilmu kalau bukan dari seminar dan workshop pemasaran.

Sekarang ni ramai sangat mentor bisnes. Jadi tak susah nak cari mentor, yang susahnya nak cari mentor yang hebat, jujur dan betul-betul ikhlas nak membantu.

Mungkin saya silap, tapi saya rasa kalau dah namanya mentoring tu sepatutnya kita boleh berkomunikasi secara personal atau one-on-one, dengan si mentor. Bukannya ajar beramai-ramai sampai beribu peserta serentak macam yang biasa dibuat.

Apa2pun bukan itu yang saya nak cerita disini. Saya nak share pengalaman join beberapa workshop mentor atau sifu-sifu pemasaran ni. Tak dinafikan ada yang saya dapat manfaat darinya, tapi ada jugak yang rasa menyesal join.

Walaupun macam saya kata ada yang bermanfaat, tapi kadang2 saya macam susah nak percaya sifu-sifu ni dari segi keikhlasan diaorang.

Kenapa begitu?

Ada sifu2 yang buat workshop asas selama 1 atau 2 hari secara percuma atau dengan kos yang rendah. Kadang dengan kos serendah sepinggan nasi ayam saja + boleh ajak 2-3 orang kawan ikut sekali.

Ni biasalah, untuk tarik seramai mungkin peserta untuk hadir workshop tu (sekarang ni sejak covid19 workshop2 ni berjalan secara online).

Jadi dalam workshop 1-2 hari tu selain dari buat sharing, si sifu akan selitkan promosi untuk program berbayar dia yang biasanya dijalankan selama 3-4 hari.

Yang jadi stres bila banyak sangat promosi untuk workshop berbayar sampai rasa macam buang masa hadir workshop asas tu. Workshop asas tu dah macam sesi pujuk rayu dan brainwash peserta untuk join workshop berbayar.

Biasalah workshop percuma/ murah ni bukannya banyak info penting pun yang dikongsikan. Kalau nak yang lebih advance kena join program berbayar, tapi ada yang mungkin tak mampu nak join.

Biasanya ada beberapa pakej yang disediakan. Paling murah pun dah ratusan RM sehingga mencecah ribuan RM.

Ok, mungkin si sifu kena bayar gaji staf, sewa tempat, sistem, dsbnya. Tapi yang buat saya terfikir, sering kali ramai yang hadir, sampai ribuan peserta. Dan sales yang sifu dapat dari workshop tu saya jangka dalam jutaan RM setiap workshop.

Even kalau letak kos murah sifu tetap boleh dapat sales besar sebab beribu peserta yang join.

Selalu sifu sampai nangis-nangis kata nak bantu ubah nasib anak bangsa. Tak sanggup nak tengok anak bangsa hidup susah dan melarat.

Jadi sifu nak ubah hidup diaorang. Supaya diaorang boleh hidup senang, kaya dan bahagia, boleh bantu mak ayah, adik beradik, saudara mara, jiran sekampung, kucing ternakan, dll. Sifu punya nangis tu contagious, sampai peserta2 pun ikut nangis sekali.

Ada sesi dimana ada sifu yang akan suruh peserta tutup mata, kemudian sifu masukkan kata2 beremosi yang membuat peserta menangis, juga diselitkan subliminal message yang secara halus memujuk peserta untuk join program sifu yang lebih advance.

Teknik ini antara lain untuk tanamkan arahan terus ke minda separa sedar peserta. Saya bukan ustaz, jadi saya tak pasti dari segi halal haram menggunakan teknik sebegini.

Sifu juga sentiasa kongsi bab agama, hadith, Qur’an, dan ada program2 agama yang sifu anjurkan sampai rasa sifu2 ni dah sama taraf dengan ustaz.

Tapi bila kos workshop sampai mahal sangat bayangkan orang yang baru nak berniaga dan belum ada ilmu dan duit pun cukup2 makan aja, boleh ke join workshop tu? Ke patut berjaya buat duit dulu baru join workshop?

Ok, macam saya cakap awal2 tadi, saya pernah join workshop2 berbayar ni. Entah kenapa saya pelik kenapa sifu2 ni suka sangat tukar2 pakaian sepanjang workshop, ada sampai berpakaian seperti superhero. Hahaha. Apa rasional disebalik pakaian macam tu?

Mungkin nak jadi superhero bagi peserta2? Anthony Robbins, Robert Kiyosaki, Harv Eker, dan nama2 besar antarabangsa pun saya tak pernah nampak berpakaian macamtu :) Ok takpe, yang ni tak penting sebab cuma pakaian aja kan.

Yang saya lebih kecewa dan menyesal bila join workshop2 ni bila ada sifu yang dalam workshop asas (percuma/ murah) sangat merendah diri dan menjaga tutur kata,

Tapi bila dah masuk ke workshop berbayar, ada sifu yang dah mula tunjuk lagak dan ayatnya pun dah lain. Ada yang lebih nak tayang kemewahan diri.

Cerita tentang jam yang dia pakai, kereta2 mewah yang dia miliki dan kereta terbaru yang dia ada, even holiday2 mewah yang dia dah pegi. Perlu ke sifu? Atau untuk yakinkan peserta yang sifu betul2 berjaya dan mampu bantu diaorang berjaya?

Saya terbaca satu posting di FB baru2 ni tentang ayat2 emosi sifu2 ni. Yalah, sifu kan ajar untuk menulis sampai boleh menjentik emosi prospek.

Dan ada sifu yang suka sangat cerita pasal janda sebelah rumah, supaya seseorang isteri akan rasa tergugat kalau tak pandai berhias. Takut suami kejar janda sebelah. Takde idea lain ke selain guna ‘janda’ saja sebagai modal cerita?

Juga saya pernah lihat sifu berulang kali buat lawak malam jumaat yang saya rasa tak sesuai sebab ada antara peserta2 sifu yang masih muda lagi. (Mana yang faham tu faham la).

Ada juga sifu yang kuat sentap. Sekali tu dalam satu workshop berbayar secara online (waktu pkp), sifu ni asyik promote program dia yang lebih mahal (dengan kos RM1000+++ SETIAP bulan).

Bila ada peserta perli dan kata, “Nanti sifu boleh la beli lagi 2-3 biji kereta XXX,” terus sentap si sifu dan kata peserta tu biadap. Tapi sebelum itu sifu ni asyik sibuk citer tentang kereta mewah dia.

Saya pun rimas sebab walaupun dah join workshop berbayar, tapi dalam workshop itu tak habis2 promosi program yang lebih advance.

Dan biasanya waktu sebelah malam ada sesi hotseat selama 2-3 jam. Katanya hotseat tu penting sebab sifu akan bawa student2 sifu yang dah berjaya untuk share pengalaman diorang. Saya bayangkan student2 akan share tips untuk capai income besar.

Tapi apa yang saya lihat, hotseat tu semata2 sesi nak tayang income aja. Dan semua students sifu hanya ulang2 kata hidup diorang berubah bila jumpa sifu. Jadi sebenarnya hotseat ni untuk share pengalaman bisnes atau untuk promote sifu ya?

Apapun ada juga baiknya share kisah2 kejayaan ni sebab ia boleh bakar semangat kita bila tengok orang lain yang dah berjaya. Tapi rasanya tak perlu sampai 2-3 jam, dan tak perlu ulang2 asyik suruh join program dengan bayaran bulanan beribu riban tu.

Kadang2 saya terfikir mungkin sifu2 ni dah sangat kaya sampai dah lose touch dengan reality of life orang dekat bawah ni. Sampai rasa duit RM1000+++ tu kecik sangat.

Untuk para sifu duit sebanyak tu mungkin celah gigi aja bagi sifu, tapi bagi sesetengah orang duit sebanyak tu boleh menampung keluarga sampai sebulan atau lebih.

Ada jugak saya terfikir sifu2 ni ada ker bisnes produk/ servis sendiri? Ker hanya kami ni yang jadi bisnes sifu.

Apa yang saya tulis ni bukan untuk semua sifu ya. Ada juga sifu2 yang saya sangat hormati. Saya tak nak la sebut nama nanti ada yang kata saya nak promote sifu2 ni pulak.

Tapi memang ada sifu2 yang bisnesnya jual real product, tapi diaorang ni tak terlalu menonjolkan diri sangat, walaupun sales diaorang ni berjuta2 setiap bulan.

Pernah jugak sifu2 ni buat program pemasaran secara percuma tapi ilmu yang dikongsi tu sangat mahal. Sekali sekala ada juga program berbayar yang dibuat, tapi dengan kos yang sangat minima dan mampu milik.

Cuma masalahnya dengan kebanyakan kita, bila sesuatu tu diberi percuma atau murah sangat kita kurang hargainya. Yang berbayar dan yang mahal tu la kita rasa bagus. Yang ni saya mengaku saya pun dulu macam tu.

Sebagai side note, waktu saya hadir ke workshop sifu glamer dulu secara offline (sebelum covid19), saya perasan ramai yang macam taksub dengan sifu.

Ramai juga yang sampai berdiri atas kerusi, termasuk wanita/ gadis yang berniqab sambil terpekik2. Saya terkejut bila lihat keadaan begitu. Sehebat manapun seseorang sifu tu, rasanya tak perlu kita sanjung sampai terlebih2 sangat.

Itu saja perkongsian dari pengalaman dan pemerhatian saya tentang sifu2 pemasaran ni.

Perlu ingat, bila kita dilimpahi rezeki yang banyak, sentiasalah tunduk dan bersyukur. Jangan sombong dan rasa diri hebat, kerana bimbang kemewahan yang kita kecapi itu satu istidraj yang hanya bakal memakan diri. Sama2 kita muhasabah diri.

Terimakasih kerana sudi membaca. Jom sama2 berjaya!

– Shahid (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *