Assalamualaikum semua. Aku hanya ingin meluahkan apa yang terbuku di hati. Kalau baca tajuk mesti dah dapat teka kan tentang apa.
Ya… Tentang dia yang Allah takdirkan kami tidak berjodoh. Sekuat apapun usaha aku untuk memperbaiki hubungan, jika Allah tidak mengizinkan kami untuk berjodoh, maka tidaklah.
Kisah kami tidaklah sehebat cerita orang lain. Cuma bila ia melibatkan soal hati dan perasaan, ditambah pula ini adalah pengalaman pertama aku, ia agak memberi kesan dalam kehidupanku.
Nama aku Dhia (bukan nama sebenar), 27 tahun. Sejak zaman belajar dan universiti, aku hanya crush kat orang sahaja. Tak pernah bercinta langsung. Dan aku jenis yang tak reti berbasa basi dengan lelaki.
Aku layan semua lelaki sebagai kawan biasa sahaja. Takkan lebih daripada itu. Selepas 3 tahun di alam pekerjaan, baru tahun lepas aku terbuka hati untuk kenal dengan lelaki sebagai usaha aku untuk mencari jodoh.
Dipendekkan cerita, aku berkenalan dengan Adi (bukan nama sebenar) melalui laman facebook. Dia juga merangkap rakan sekolej sepupuku, seorang penjawat awam di negeri di bawah bayu. Sepupuku yang berusaha untuk kenenkan aku dengan Adi.
Pada awalnya kami hanya berbual biasa tak lebih daripada seorang kawan. Chat messenger pada awalnya dan kemudian beralih kepada whatsapp. Dan lama kelamaan aku nampak effort Adi. Setiap hari dia akan chat aku. Tak missed langsung.
Sampailah kami berborak melalui panggilan telefon. Adi yang akan start dulu untuk call. Aku sangat selesa dengan dia.
Daripada hubungan sekadar kawan, dan bila ikhtilat tidak lagi terjaga, aku hanyut. Lama kelamaan kami menaruh perasaan sesama kami.
Dia meluahkan untuk mengahwini aku walaupun kami tak pernah berjumpa langsung. Dan suatu hari kami decide untuk berjumpa.
Perjumpaan yang aku expect aku akan gembira seperti berborak melalui panggilan telefon, rupanya tidak. Dia nampak tidak berminat dengan aku. Aku kira dia ingin berbincang serius ke arah perkahwinan, namun tidak.
Yang keluar daripada mulutnya hanyalah respons “nanti saya minta restu dengan mak saya”.. Tiada langsung perbincangan serius. Aku banyak mendiamkan diri dan mata aku bergenang masa tu.
Aku kecewa dengan respons Adi. Nampak aku yang macam terhegeh dengan dia. Dan dia tak nampak berminat denganku seperti dalam whatsapp atau call.
Selepas perjumpaan itu, dia masih chat denganku. Aku minta dia untuk ceritakan hubungan kami dengan ibunya. Maklumlah Adi satu satunya anak bongsu lelaki.
Dia masih nampak seperti biasa chat aku. Kebetulan waktu itu dia balik bercuti di kampung nya. Aku ada kata pada Adi untuk fokus kepada keluarganya memandangkan dia susah untuk bercuti balik kampung.
Bila di kampung, nampak dia susah sangat nak chat aku. Hanya sepatah dua dalam sehari. Itupun kalau aku respons laju, dia berjam jam lamanya baru reply.
Dipendekkan cerita, aku overthinking. Aku syak macam macam dah waktu tu. Aku rasa dia tidak serius. Aku mesej panjang di Whatsapp jika dia ingin serius kepada aku, bagitahu. Jangan buat aku tertunggu dan terhegeh pada dia.
Dia cuba untuk ambil hati aku kembali. Chat seperti biasa. Tapi aku yang seperti dah tawar hati. Aku geram. Aku layan dia acuh tak acuh.
Dia ada cakap dengan aku untuk beri dia waktu. Dia ada berbincang dengan ibunya. Dan dia hanya bagitau kepada aku yang dia hendak meminang aku pada hujung tahun lepas. Tapi aku ragu2 dengan dia.
Selepas beberapa kali istikharah, aku sangat ragu. Hinggalah satu malam, aku ambil keputusan untuk hentikan hubungan aku dengan dia.
Aku betul2 mengikut emosi kerana terlalu geram dengan tindakan dia yang seolah olah tidak ingin serius dengan aku. Kadang aku terfikir, adakah aku ini terlalu mendesak dia. kan dia sedang balik bercuti di kampungnya.
Masa aku call minta tamatkan hubungan kami, dia masih di luar bersama keluarganya. Aku mungkin terlalu ikut emosi.
Tapi bila fikir balik, terlalu banyak redflag si adi ni. Antaranya dia yang minta aku untuk bayar makanan masa perjumpaan pertama haritu. Dan dia banyak memuji kecantikan aku (di chat).
Dan aku bukanlah secantik wanita lain yang tinggi dan putih. Rupaku biasa sahaja. Bila depan depan diam seribu bahasa pula.
Bila aku cakap dia mcm tak berminat, Adi kata dia malu sebenarnya masa tu. Sebab katanya first jumpa dia akan malu seperti itu. Aku tak percaya langsung. Mana mungkin orang yang manis mulutnya di chat dan call, bila depan2 dia malu. Langsung aku tak percaya.
Selepas tamatnya hubungan itu, aku jadi tak tentu arah. Hari hari aku rindukan dia. Dia yang selalu melayan kerenah aku, cerita aku. Dua minggu selepas itu, aku nekad untuk slow talk dengan dia. Untuk minta maaf. Dan kami berkawan seperti biasa.
Namun, di lubuk hati, dia berkata dia masih berharap lagi. Begitu juga aku. Setelah berminggu kami masih chat, namun tidaklah semesra dulu.
Kami chat seperti rakan biasa. Cuma bagiku tindakan aku yang paling bodoh adalah aku sanggup drive beratus kilometer semata mahu spend masa dengan Adi untuk pertemuan kedua aku dengannya.
Dipendekkan cerita, masa pertemuan kedua itu, kami berborak tak lebih sekadar kawan sahaja. Walaupun banyak mendiamkan diri, namun dia layan aku baik seperti kawan baik.
Dan waktu ini, Adi bagitahu aku supaya tidak menunggu dia. Hati aku hancur. Namun aku tahan saja air mata aku. Rupanya dia layan aku baik tak lebih sekadar seorang teman biasa kah?
Balik daripada pertemuan itu aku menangis sepuasnya. Aku beranikan diri untuk call Adi. Aku bagitahu dia yang aku telah beri sepenuh hati aku pada dia. Namun, dia sanggup suruh aku jangan tunggu dia. Tergamaknya kau Adi! Bodoh kan aku.
Pada awal dulu aku yang menolaknya. Tapi sekarang aku yang menagih kasih sayang dia. Rupanya aku masih belum mampu membenci dia sepenuhnya. Mulut kata benci, namun hati tidak.
Bila Adi dengar kata kata aku itu. Dia terdiam seketika. Dia tiba tiba bersuara . Dia menyuruh aku untuk menunggu dia selama 2 bulan untuk dia beri jawapan untuk ke arah serius atau tidak.
Dia perlukan masa untuk membuat keputusan yang sangat berat ini, katanya. Aku pelik juga dengan Adi. Adakah dia benar masih ada rasa sayang atau kerana kasihan kan aku yang menangis meminta untuk menerima aku kembali.
Hari berganti hari. Aku tunggu dia. Sepanjang tempoh menunggu, ada juga perangai aku yang mungkin buat dia serabut dan rimas.
Aku mungkin tak memahami dia. Aku selalu inginkan perhatian dia, namun cara layanannya lama lama seolah olah menganggap aku sebagai kawan biasa.
Dua minggu sebelum keputusan, dia mula menjauhkan diri. Dia mula tidak menghiraukan aku. Chat harini dibalas esok. Jarang reply story whatsapp. Dan tak pernah langsung memulakan chat. Nampak aku yang terhegeh hegeh. Akhirnya aku sedar, yang dia mungkin telah tawar hati.
Seminggu sebelum keputusan dia, aku ambil langkah untuk mendiamkan diri. Aku sedar yang aku bukanlah Dhia yang mengisi tempat di hatinya. Aku sekarang hanyalah Dhia seperti kawan perempuannya yang lain.
Aku semakin redha dan mengikhlaskan, walaupun perit. Dan akhirnya pada bulan lepas, dia memberikan keputusannya, bahawa dia tidak boleh meneruskan hubungan yang serius dengan aku.
Mengalir juga air mata aku yang selama ini aku pendam. Mujur aku telah mempersiapkan mentalku daripada awal. Walaupun di lubuk hati aku terasa pedih, namun Allah hadirkan rasa redha melepaskannya. Aku redha atas kehilangan ini.
Sekuat apapun aku berusaha untuk mempertahankan sesuatu, jika dia tiada lagi hatinya padaku, hanyalah sia sia. Aku kini redha atas ujian ini. Walaupun kau telah memberi harapan kepada aku pada awalnya.
Terasa seolah dipermainkan. Rupanya perpisahan pada awal dulu telah menjadi petunjuk namun aku yang cuba untuk menafikan. Aku cuba untuk mengubah takdir dengan memperbaiki hubungan dan get back semula.
Namun takdir Allah mengatasi segalanya. Perpisahan yang kedua ni membuatku sedar,jika Tuhan kata tidak, maka tidaklah. Rupanya dia bukan ditakdirkan untukku.
Terima kasih dan maaf sepanjang perkenalan ini. Kau telah hadir membawa pengajaran terbesar dalam hidup aku. Doaku, semoga kau dan aku dipertemukan dengan jodoh masing masing, yang terbaik di masa yang tepat. Fii amanillah.
– Yang Masih Mencari (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit