بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Rentetan dari kisah Insan Pendosa Berhak Peluang Kedua, saya baca komen dari saudara ini mengatakan kebergantungan kisah saya pada Allah. Alhamdulillah, ada yang menyelami mesej tersirat yang ingin saya sampaikan. Sungguh, tiada dendam mahupun amarah untuk saya hamburkan pada orang yang mencederakan emosi saya. Malah doa saya bertaburan untuk semua insan pendosa diberi hidayah kembali ke jalan Allah, kembali ke Islam.
Kenapa saya katakan suami saya hebat? Hebat dia bukan dari segi harta, apatah lagi rupa. Hebatnya dia, kebergantungan dia pada Allah. Ini dari sudut pandangan saya, suami saya bukan juga sempurna. Tapi apa salahnya saya kongsikan sudut positif dalam diri suami saya untuk teladan semua. Saya teringat kisah di mana saya bakal bersalin dalam tempoh 4 hari lagi, suami saya risaukan saya. Saya terdengar perbualan suami dengan mak mertua, yang pak mertua tidak sihat (ada penyakit melibatkan sendi). Sehari, sampai 4 atau 5 kali mak mertua menelefon suami. Saya nampak suami saya gelisah. Saya pergi berjumpa ibu saya, ibu… saya rasa pak mertua saya tidak sihat. Suami saya gelisah, saya rasa patut dia balik ke sana (pantai timur) untuk berjumpa mak pak dia. Ibu setuju!
Saya memang rasa berat hati, dalam masa terdekat hendak bersalin, suami ingin tinggalkan saya. Saya pandang suami, mengerti kegelisahan dia. Abang balik jumpa mak pak. Kesian pak abang. Suami terpana! Betul ke? Suami saya pegang perut saya, anak abi tunggu abi balik, baru keluar. Abi akan bawa tok ma datang sekali (rujuk kepada mak dia). Suami mulakan perjalanan ke pantai timur tengah hari itu.
Selepas tiga hari, saya rasa ada sedikit kelainan. Saya memberitahu suami. Suami sememangnya ingin pulang pada malam itu. Pada hari due date saya, mereka selamat sampai. Mak mertua seorang bidan, memegang perut saya, dan dia yakin sampai masa saya untuk bersalin. Sepanjang proses kelahiran, semuanya Allah mudahkan. Sakit! Memang sakit! 48 jam saya tidak tidur. Dalam hati saya, jika ini sakit yang saya kena tanggung untuk menghapuskan dosa saya, saya akur. Kalimah Allah , lafaz Ya-Latiff , selawat ke atas Nabi sepanjang di wad dan bilik bersalin. Saya kehairanan begitu mudah suami saya keluar masuk dari wad dan bilik bersalin. Seolah-olah, selama ini, saya membaca cerita dongengan yang mengatakan terlampau susah untuk berjumpa isteri di wad, bukan masa melawat suami tidak diizinkan langsung. Tepat jam 10.30 malam, suami masuk ke dalam bilik bersalin. Kenapa abang masuk? Doktor dah panggil ke? Dia geleng kepala. Dan ketika itu, saya merasakan ada cecair mengalir keluar. Abang, saya rasa nak teran sangat-sangat. Suami saya nampak kepala anak kami. Cepat-cepat suami panggil nurse. Selamat! Nurse kata, mudah saya bersalin. Sepatutnya lagi 5 jam, baru baby keluar. Tapi ini baru 11.05 malam. MasyaAllah. Suami saya diizinkan berada disamping saya sehingga proses jahitan siap. Ini lagi satu cerita yang saya baca dan dengar, suami akan disuruh keluar ketika proses jahitan itu. Saya pandang suami, ada persoalan dalam hati saya. Anda juga mungkin ada persoalan yang samakan? Kenapa mudah urusan suami saya. Tiada halangan dari mana-mana pihak hospital: mak guard, nurse, nurse pelatih, doktor, doktor pelatih dan kaunter tempat bayaran. Terima kasih kalian semua.
Sekarang saya faham, suami saya perlukan mak dia. Saya perlukan suami saya. Tiada daya upaya untuk suami saya bergantung melainkan Allah. Saya mohon, berbaiklah kalian pada keluarga mertua terutama mak mertua, kerana tanpa mak mertua anda, siapalah suami anda sekarang ini. Di hari raya yang bakal menjelma, ada yang berebut untuk balik ke kampung keluarga mana, bagi saya sebagai isteri, dahului suami anda. Tapi tidak bermakna, suami boleh menidakkan hak isteri untuk pulang beraya ke kampung isteri. Bincang dan sepakat!
Lagi satu kisah, seminggu lagi akan gaji. Mak mertua saya menelefon suami. Mohon suami pulang ke kampung. Pak sakit lagi (sakit yang sama). Terdetik dalam hati saya, kenapa adik-adik yang lain terdekat di kampung tidak bawa pak mereka ke klinik. Sakit yang sama. Pasti rawatan sama. Ahhhh….getus hati seorang isteri, kekadang datang hasutan tidak baik. Abang….. nak balik ke? Duit kita ada RM50, cukup ke? gaji minggu depan, tunggu gaji boleh? boleh ke sampai? minyak, tol RM 5.80…. Kalau apa-apa jadi tepi jalan? Kita bawa anak kecil lagi….. Suami pegang pada ayat, kita balik hujung minggu ini. Saya diam!
Esok pulang ke pantai timur, kampung suami. Hari ini, suami memasuki pertandingan memancing. Dan ditakdirkan Allah, suami memenangi wang saguhati RM250. MasyaAllah. Sebegitu rupa Allah uji manusia. Dahului keluarga, dahului permintaan mak anda, tawakal. Disitu Allah akan tunjukkan jalan. Saya sebagai isteri insaf dengan getusan hati. Sampai di rumah keluarga mertua, muka mak pak mertua ada riak gembira.
Para suami di luar sana, saya pasti ada yang seperti suami saya. Kisah yang saya baca mengenai suami yang terlampau sayang mak dia sehingga abaikan perasaan isteri, suami yang lebihkan isteri sehingga terabai mak dia, hanya segelintir dari masyrakat.
Para isteri anda berhak untuk mendapatkan kasih sayang suami anda, perhatian suami anda. Tapi tolong jangan lupa, suami anda masih ada wanita lain yang hebat dalam hidup dia, dan disanjungi iaitu mak dia. Buang perasaan cemburu buta anda, cakap dengan hemah dengan suami anda sekiranya ada ketidakadilan. Bagi saya, jika anda mampu bahagiakan orang lain, mampu berlembut hati dengan orang lain, mampu berkata baik, mampu berjaga hati dari berprasangka, Allah akan beri balasan yang setimpal dengan anda. Allah Maha Adil!
Pulanglah ke kampung melihat mak, pak, ibu, ayah, mama, abah, ummi, abi, mommy, daddy (apa jua panggilan) Mereka insan terhebat dalam hidup anda. Dari mereka yang HEBAT, wujudlah anda yang HEBAT! In syaa ALLAH.
Terima kasih membaca.
– SHA
– SHA
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
Sbenarnya bile kite slalu bce kish org2 yg fham agama dn mngamalkan agama…kdg2 kite tu jdi mcm x logik…tp tu la hakikt kehidupan yg sbnrnya di bwah pntadbiran tuhan..manusia tiada daya ap sekalipun melainkn usha dn ikhtiyar