Aku dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Tak kaya, tak miskin. Adik-beradik pun macam-macam perangai. Aku anak bongsu. Manja dengan mak, tapi kadang-kadang kena marah jugak. Bapak memang garang, panas baran jugak. Tapi biasalah, nak mendidik anak cara dia.
Bab pendidikan, aku selalu jadi pelajar cemerlang di sekolah. Bab agama pun mak bapak aku ada beri jugak. Cuma aku jarang diberi izin keluar dengan kawan-kawan. Mungkin bimbang aku terjebak dengan perkara-perkara yang tak elok. Tapi, jiwa remaja ni, memberontak tak tentu hala, aku selalu menipu mak bapak aku. Kata nak pergi study group, tapi aku keluar dengan kawan-kawan tak semenggah. Kemudian, bila dah mula pandai pergi cyber cafe, aku mulalah berjinak dengan mIRC. Zaman 90an dan awal 2000an dulu inilah ruang chat paling popular. Mulalah berkenalan dengan entah siapa-siapa. Berani pulak tu pergi berjumpa. Ada yang sampai lewat malam, pergi melepak kat tempat yang bukan-bukan, lepas tu buat benda tak senonoh antara lelaki dan perempuan. Mak bapak aku tak salah, sebab aku tipu diorang. Aku yang salah.
Kemudian, lepas dapat keputusan SPM, aku dapat tawaran masuk pusat matrikulasi. Di sini, aku semakin bebas. Berkenalan dengan lebih ramai lelaki, keluar ke sana-sini, sampailah satu masa, aku terlanjur dengan seorang teman lelaki. Selepas itu, kami putus, aku mula menjadi lebih liar dengan aktiviti begini. Dengan lelaki itu, lelaki ini. Sehingga masuk ke universiti untuk ijazah sarjana muda, aku masih dengan aktiviti ini. Pernah ada 'sugar daddy' sebab senang dapat duit, pernah 'clubbing', skandal dengan suami orang, Allah… Aku jahil sangat pada masa itu. Mungkin ada yang tidak percaya yang aku tidak tahu lansung mengenai 'zina' pada masa itu. Entah kenapa aku jahil sangat. Mudah sangat digunakan oleh kaum lelaki.
Berbagai-bagai dosa yang aku buat, cuma aku tidak pernah sentuh arak, rokok dan dadah. Sehinggalah umur aku mencecah 28 tahun, pada masa itu seorang sahabat lelaki aku, nasihatkan aku begini, "Jika kau hendakkan lelaki baik, kau kena jadi baik." Aku tersentak. Kata-kata itu sentiasa bermain di fikiran aku. Aku terkenang kembali dosa-dosa yang pernah aku buat. Aku rujuk kepada ustaz dan ustazah mengenai dosa-dosa tersebut dan pada masa itu aku baru tahu betapa jahilnya aku. Aku menangis setiap malam kerana terlalu menyesal. Tapi sesalan yang sudah terlambat. Ustazah menasihatkan aku membuat solat sunat taubat dan jauhkan diri daripada rakan-rakan yang jahat. Aku nekad untuk berubah.
Alhamdulillah, sejak aku buang orang yang tidak baik dari hidup aku, hidup aku mula dikelilingi oleh rakan-rakan yang baik. Yang selalu mengajak aku solat berjemaah, tadarus, usrah, dengar ceramah agama, sehinggalah sekarang. Aku bersyukur Allah masih sayangkan aku. Sebenarnya banyak musibah yang aku telah lalui sebelum ini, yang membuatkan sedikit demi sedikit aku mendekatkan diri pada Allah. Aku juga mula jarakkan diri daripada lelaki-lelaki bukan mahram. Jika tiada urusan yang penting, aku tak perlu berhubung, apatah lagi berjumpa dengan mereka.
Sekarang, aku masih lagi terkenang dosa silam aku. Air mata selalu berguguran kerana terkenangkan kejahilan aku. Aku masih bujang, dan aku inginkan memiliki keluarga sendiri. Baru-baru ini aku berkenalan dengan seorang lelaki. Alhamdulillah, agamanya bagus, segalanya tentang dia memenuhi ciri-ciri lelaki idamanku. Kami tidak ber'couple', cuma berkawan biasa dan rapat. Hari-hari aku istikharah agar Allah berikan ketentuan yang terbaik untukku. Insya Allah.
Pesananku kepada semua, tak kira lelaki atau perempuan, jagalah maruah diri. Banyakkan belajar ilmu agama. Pilih kawan-kawan yang baik, yang mengajak kita buat amal soleh. Bukannya yang ajak pergi buat maksiat, disko, apa semua tu.
Semoga taubatku dan taubat semua orang diterima oleh Allah.
– Hamba Allah Bertaubat
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
laki yang baik xkan tanyakan kisah silam pompuan.. tu ja moral cerita dia..
Pilih kawan yang boleh bawa kita ke jalan yang benar…
Ameen
Fir Da Us
Fatimah Azzahra Shafie