Kematian Yang Indah II

Untuk part I, (https://iiumc.com/kematian-yang-indah/).

Maaf lambat untuk membuat sambungan bahagian ke 2.

Aku baca komen semua dan ramai yang bercerita mereka ada menghadap tanda – tanda kematian seperti mak. Cuma kita bersedia atau tidak untuk menerima ketentuan semua itu.

Mari aku sambung semula cerita..

Apabila doktor sahkan mak boleh keluar hospital nampak muka mak ceria dan senyum.

Walau dia agak susah nak menggayakan pinggulnya yang patah, semangat dia tetap kuat. Mak sembunyikan kesakitannya melalui senyuman, aku nampak semua tu.

Kami sampai rumah hari telah petang. Aku terus sorong mak masuk bilik air untuk bersihkan dirinya. 5 hari mak tak mandi, di hospital aku hanya mengelap sahaja badannya. Selesai mandi aku siapkan mak dan tempatkannya dalam bilik.

Aku ingat hijab mak sudah tertutup balik rumah, rupanya tidak. Bila dalam bilik, mak masih cakap ada semut hitam dalam biliknya. Aku tanya semut macam kat dinding hospital ke mak? Ya, mak aku cakap.

Lepas tu dia mula nampak biliknya macam ada tangga bertingkat warna hijau. ‘Bila ubahsuai bilik ni?’ Mak aku tanya.

Aku hanya diam je. Tapi fikiran aku mula berfikir apa yang Allah nak tunjuk kat aku dan keluarga aku ni.

Malam tu adik mak dari pantai timur datang dan mereka bermalam dirumah. Aku tengok mak seronok berbual – bual seperti dia tak sakit.

Lama juga dia tak jumpa adiknya, ialah kekangan masa dan jarak jauh antara faktor mereka jarang berjumpa. Adik mak ni sama ayah tapi lain mak.

Esok pagi mereka gerak nak balik. Aku nampak adik mak meraung menangis peluk mak masa nak balik, seakan dia tahu itu kali terakhir dapat jumpa mak. Hibanya kami yang melihat.

Tapi aku pandang mak dia macam terpinga – pinga, kosong. Aku nampak muka mak, dia tak nangis.

Bila adik mak balik, mak tunjuk kat luar pintu, ‘Siapa orang tua yang dekat luar tu? Orang tua lelaki pakai baju putih’ katanya.

‘Mana ada mak, tiada siapa kat luar tu’. Mak diam je bila aku cakap begitu.

Kami sepakat mak memang tak boleh tinggalkan keseorangan. Kena ada teman sebelahnya. Bergilir la kami menjaga mak setiap hari.

Mak hanya terbaring atas katil, makan minum kami akan suap. Setiap kali dia nak berpaling badan ke kiri kanan, mak akan mengaduh sakit. Buntu nya kami bila tengok keadaan mak macam tu.

Ada suatu malam giliran aku menjaga. Mak tunjuk kat sebelah aku siapa sebelah Nor tu, tinggi hitam orangnya?

Aku mula meremang terus aku panggil adik aku kat sebelah bilik. Kami sama – sama menjaga mak malam tu. Mak tak boleh tidur, ada sahaja benda yang dia nampak..

Ada juga dia tunjuk kat meja luar siapa yang tengah makan tu? Padahal hari dah lewat malam lampu kat dapur pun dah tutup.

Aku mengaji kat sisi mak, adik aku melayan berbual dengan mak.

Hampir 3 hari setelah balik dari hospital mata mak dihidangkan dengan perkara yang kami tak nampak.

Setelah berbincang kami sepakat ke pusat tahfiz yang berhampiran dan menaja bacaan yassin dan solat hajat untuk mak.

Alhamdulillah selepas itu, mata mak banyak tutup dan mulutnya hanya diam tidak seperti sebelum ini.

Bila aku tanya kenapa tutup mata mak? Mak cakap dia penat tengok sekeliling. Mungkin banyak benda yang datang kepadanya.

Aku ajak mak zikir selawat mengaji sama dengan aku. Setiap kali aku mandikan mak, aku akan siapkan sekali dia mengambil wudhu.

Mak akan terbaring atas katil dan aku sarungkan telekung untuk dia. Aku harap Allah terima amalan mak ketika dia bergelut dengan kesakitannya.

Dalam 5 hari sebelum kematian, aku perasan telinga mak dah jatuh, hidung mak pun dah jatuh tak seperti biasa. Perasaan aku ketika itu memang sedih aku menangis aku minta maaf berulang kali dengan mak. Aku tahu mak akan pergi. Pergi tanpa kembali lagi.

Dan selepas mak meninggal baru aku teringat kenapa begitu susahnya nak pakaikan mak pampers.

Rupanya belakang badan mak pun dah jatuh, biasa kalau yang normal bila baring akan ada lekuk kawasan pinggang dan punggung tapi mak dah jatuh kawasan situ dah rata.

Ada juga mak minta aiskrim, Abc, air jagung kiranya air yang berais. Dia cakap tekaknya perit, nak air yang sejuk – sejuk. Ada la dalam 3,4 suap dia makan aiskrim Abc semua tu.

Makan dia memang tak lalu, aku masakkan bubur pun tiada selera. Aku perasan mak memang tidak makan makanan yang berat – berat, dia lebih selera kepada buah dan air sahaja.

Ada juga aku dengar orang tua cakap tu proses cuci perut katanya. Dan mak sepanjang balik rumah, memang dia tak membuang air besar langsung.

Isnin kematian mak.

Sudah 3 hari mak tak bercakap, hanya tidur dan tidak minta apa – apa lagi kepada kami. Pagi isnin tu aku tengok keadaan mak tidur berkeruh, setiap kali dia menarik nafas akan terdengar keruhan nafasnya itu.

Kaki mak mula sejuk dingin, sejuk yang susah aku nak tafsirkan, jari – jari kakinya mula kebiruan, lututnya pun nampak biru. Sedikit demi sedikit nyawa mak sudah ditarik.

Aku berpesan dengan ayah di sisi mak, ajar mengucap kat telinga mak. Jangan tinggalkan mak. Aku pun dah bagitahu dengan adik aku yang bekerja di KL agar bersedia terima sebarang kemungkinan.

Ketika itu, katil yang makcik aku belikan untuk mak baru sampai. Katil macam kat hospital, yang boleh laras kedudukannya. Makcik aku membeli secara online dan hampir seminggu proses penghantaran untuk sampai.

Maka, aku dengan abang aku bertungkus lumus untuk memasang katil yang sampai itu. Dari pagi sehingga ke asar barulah katil itu dapat dipasang siap dengan sempurna.

Maka, kami pun bersetuju untuk pindahkan mak untuk duduk atas katil baru. Aku, ayah dan abang mengangkat mak, ketika itu aku angkat bahagian tengah badan mak dan aku betul – betul menghadap muka mak sambil angkat.

Bila sama – sama angkat dan meletak sahaja mak di katil baru, aku yang menghadap muka mak nampak wajah mak ketika itu matanya terbuka bibirnya tersenyum dekat aku dan muka mak lain sangat. Muka mak berseri sangat dengan senyum dia kat aku.

Aku terpaku seketika. Bila badan mak dah terletak atas katil, mata mak tertutup semula. Aku nampak air mata mak mengalir keluar, abang aku pun nampak dia terus mengesat.

Abang aku sempat cakap mak gembira ya dapat duduk atas katil baru ya. Mata mak masih tertutup rapat.

Dan ketika itu aku sedar nafas mak tak berbunyi lagi. Terus aku panggil abang dan ayah.. Dan betul mak tidak bernyawa lagi. Susah aku nak gambarkan ketika itu.

Abang aku telefon klinik yang berdekatan dan mereka datang periksa mak, mengesahkan mak sudah tiada lagi. Jiran tetangga sudah datang kerumun rumah. Mak meninggal betul – betul selepas Azan asar. Maka, mak akan dikebumi esok pagi.

Tengah malam adik aku dan abang aku baru sampai. Sedihnya hati aku tengok diaorang bila sampai rumah mak sudah terbujur kaku. Adik aku menangis teresak disisi jenazah mak.

Aku teringat kali terakhir adik aku nak balik ke KL, mak ada melambai – lambai tangannya kat adik rupanya itu lambaiannya terakhir.

Malam itu kami sekeluarga berjaga membaca yassin dan mengaji bergilir – gilir. Aku pandang wajah mak, tenang sahaja wajahnya.

Sekejap rasanya dapat menjaga mak dalam sakit, sekitar 2 minggu. Allah lagi sayang mak, mak dah tak sakit kat sana. Tapi mak membawa tulang pinggulnya patah ke sana.

Esok paginya aku dan adik berpeluang untuk mandi dan kafankan mak. Sebelum nak dimandikan, aku membuka kain yang menutup muka mak. Aku nampak air di tepi pipi mak, hairan aku mana datangnya air ni. Seakan air mata atau peluh macam tu.

Ketika mandi, badan mak lembut sangat untuk diangkat dan Allah permudahkan urusan mandi mak tanpa ada sisa dalam perutnya. Tukang mandikan mak, sampai 2 kali picit perut mak tapi tiada najis yang keluar.

Selepas mandi, mak dikafankan. Ketika ini badan mak sudah dilap dengan tuala berulang kali. Tapi bukan aku yang sahaja yang perasan tapi adik aku juga perasan ada air di pipi mak. Sama situasi macam aku buka penutup muka mak ketika mandi.

Alhamdulillah.. Allah permudahkan urusan mak sehingga mak dikebumikan. Banyak yang Allah tunjukkan kehebatannya kepada kami sekeluarga. Ayah aku cakap untuk dijadikan tauladan kepada kami yang masih hidup.

Aku perhati ketika mak hidup, dia sentiasa mengaji selepas sembahyang lima waktu. Mak juga ada pergi kelas mengaji di surau berdekatan setiap minggu.

Semoga anak – anak mak dapat melakukan amalan – amalan kebaikan yang pernah mak buat ketika hidup. Berbahagialah mak dialam sana.

Mesti mak dah jumpa dengan maknya, yang hampir 40 tahun telah tinggalkan mak dahulu. Dan adik beradik mak yang telah meninggal ketika kecil, mak cakap tak kenal sebab semua meninggal sebelum mak lahir.

Selepas seminggu mak meninggal aku demam panas sehingga badan aku rasa lemah sangat. Tak boleh bangun. Masa tu aku seakan meracau panggil mak, aku jerit aku nak mak, mana mak. Allahuakhbar seakan hilang akal aku masa tu.

Ayah berjumpa ustaz dan minta buat air tawar untuk redakan keadaan aku. Ya, aku banyak masa dengan mak ketika dihujung hayatnya. Mata aku saksi segalanya.

Mana boleh mata ini melupakan setiap saat yang berlaku ke atas mak semasa 2 minggu itu. Dari dia jatuh sehingga dia senyum terakhir kat aku.

Aku baru sedar Allah telah lorongkan hati ini untuk pulang ke kampung 5 tahun lepas. Pulang untuk melihat kematian mak. Supaya aku ada disisi mak ketika kematiannya.

Ketika ini aku menjaga ayah yang sudah uzur. Sudah berumur 80an bertongkat untuk berjalan tapi masih mampu uruskan dirinya sendiri.

Doakan aku kuat ya untuk menghadapi hari yang mendatang. Rindu dengan mak yang tiada penghujung.

Sehingga hari ini, mak tidak muncul dalam mimpi, walau aku mengharap sangat mak muncul untuk hilangkan kerinduan.

Aku sempat bisik kat jenazah mak selepas menciumnya kali terakhir, nanti mak tunggu kita kat sana ya, tunggu ya mak. Semoga kita sekeluarga dapat berkumpul di syurga. Aamiin.

– NB (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *