Kisah Tentang Bunga dan Kumbang

Assalamualaikum IIUM Confession. Nama saya Bunga. Terima kasih admin jika menyiarkan kisah saya.

Saya pertama kali menulis di sini. Maaf jika terlalu panjang atau rumit untuk dibaca. Maaf juga atas kesilapan ejaan dan tatabahasa. Kisah ini tentang Bunga dan Kumbang. Ini kisah biasa yang membosankan.

Bunga dan Kumbang adalah kawan. Jarak usia adalah 4 tahun. Bertemu di tempat kerja pada awal 2017. Kumbang adalah orang atasan Bunga. Mulanya rapat kerana tugas Kumbang ialah memantau kerja Bunga.

Beberapa bulan kemudian, ada rakan sekerja yang mengatakan Kumbang telah jatuh hati pada Bunga. Ya dari perilaku Kumbang, Bunga juga dapat menduga perkara itu. Namun pada waktu itu Bunga belum mempunyai perasaan yang sama.

Umpama air yang dititik ke atas batu, lama kelamaan perasaan Bunga juga berputik. Bunga dan Kumbang saling bertukar buah tangan sepanjang tahun.

Kenangan demi kenangan dicipta bersama melalui program atau aktiviti yang dianjurkan di tempat kerja atau bersama rakan sekerja lain.

Namun, langit tak selalunya cerah. Kumbang telah mendapat tawaran berkhidmat di tempat lain pada awal 2018.

Bunga sedih? Itu pasti, sehinggakan Bunga menangis di tikar sejadah memohon Allah memberikan kekuatan agar Bunga rela hati dengan perpindahan Kumbang.

Bulan berganti pergi, Bunga dan Kumbang masih lagi menghubungi satu sama lain. Hingga suatu saat, Bunga mendapat kekuatan untuk berterus terang mengenai perasaan nya.

Cinta berbalas namun Bunga dan Kumbang tidak berpacaran. Cukup sekadar saling tahu bahawa mereka saling menyayangi satu sama lain.

Sehinggakan pada suatu hari, Kumbang bertanya kepada Bunga tentang kisah silamnya. Bunga pernah terlanjur dengan bekas kekasih sewaktu awal 20an.

Kumbang dapat menerima hal ini namun bimbang pada masa hadapan, apabila sudah sebumbung kelak akan teringat Bunga dan bekas kekasihnya dan menjadi cemburu lalu menjadi perbalahan di antara Bunga dan Kumbang.

Sedangkan bersama bekas kekasih dulu, cinta Kumbang putus di tengah jalan kerana asyik berbalah tentang perkara yang sama.

Ya, Kumbang akui dia sangat kuat cemburu walaupun nyata perkara itu telah berlalu dan Kumbang juga tidak mungkin tahu atau mengecam muka bekas kekasih Bunga.

Hati Kumbang berbelah bahagi kerana Kumbang sudah mengimpikan hidup bersama Bunga.

Bunga dan Kumbang masih lagi berhubung namun kadang-kadang sedikit janggal akibat cinta yang masih bersisa namun tak kesampaian.

Maka Kumbang pun dengan perlahan semakin menyibukkan diri dengan tugasan kerja dan berundur dari hubungan itu kerana tidak mahu saling menyakiti satu sama lain.

Sepanjang tahun 2019, Bunga dan Kumbang masih lagi saling menghubungi dan berjumpa satu sama lain secara berkala.

Setiap kali Bunga bertanya apakah Kumbang masih mempunyai perasaan terhadap Bunga, akan mengganggu emosi Kumbang yang sentiasa sibuk bekerja.

Dipendekkan cerita, pada awal 2020, Bunga yang belum move on, masih mencuba nasib bertanya kepada Kumbang apakan Kumbang masih menyinpan perasaan yang sama.

Silapnya Bunga terlalu cemburu membabi buta. Kumbang yang sedang dalam tekanan kerana pelbagai masalah, mengambil keputusan memblock Bunga dari menghubunginya.

Bulan berganti bulan apabila tiba-tiba sahaja Bunga sedar Kumbang telah unblock Bunga namun Bunga takut menghubungi Kumbang untuk bertanya khabar.

Sehinggalah tiba hari kelahiran Bunga, Kumbang telah menghantar satu hadiah yang cukup bermakna dan selalu dipakai oleh Bunga.

Bunga yang bingung dengan kemunculan Kumbang, mencuba berfikiran positif bahawa Kumbang hanya melakukan friendly gestures.

Semakin hari hubungan mereka kembali okey. Namun sekalipun Bunga dan Kumbang tidak pernah berterus terang tentang perasaan masing-masing. Bunga beranggapan bahawa mungkin Kumbang sudah dapat melupakan cinta kepada Bunga.

Sehingga ke hari artikel ini ditulis, hubungan Bunga dan Kumbang masih lagi seperti sahabat yang saling bertukar cerita dan pendapat.

Hari kelahiran Bunga pada tahun ini juga Bunga menerima hadiah daripada Kumbang. Bunga juga memberi hadiah di setiap hari kelahiran Kumbang.

Jauh di sudut hati, Bunga percaya Kumbang masih lagi menyimpan perasaan kepadanya namun terhalang dek kerana terikat dengan pelbagai komitmen pekerjaan yang memberi tekanan, dan kehidupan peribadi Kumbang (yang Bunga sedia tahu dan faham).

Bunga juga beberapa kali cuba berkenalan dengan lelaki lain namun seperti ada satu halangan yang membuatkan Bunga tidak mampu meneruskan hubungan ke peringkat jauh.

Ya, perasaan cinta Bunga terhadap Kumbang menghalang hubungan baru Bunga.

Para pembaca yang dihormati, Bunga ingin meminta pandangan kalian. Apakah Bunga perlu move on dan mencari cinta baru?

Atau Bunga patut menunggu sehingga Kumbang sendiri menyatakan perasaan nya dan perancangan masa hadapan? Apakah pandangan kalian?

Terima kasih kerana meluangkan masa membaca kisah saya.

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *