Kisah Tragis Cinta Tahun 60an

Assalamualaikum pembaca IIUM Confession semua. Izinkan saya menjadi penglipur lara menceritakan kisah tragis kedua ibu bapa biologi saya.

Saya seorang wanita yang sudah agak berusia. Saya ingin ceritakan kisah bagaimana arwah ibu dan arwah bapa saya mula2 bertemu dan akhirnya berkahwin. Percintaan mereka dihalang keras oleh ibu bapa ayah saya, hanya kerana ibu saya berbangsa asing. Tidak perlu saya sebut bangsa apa, sebab saya tidak mahu dikatakan membuka “pekung di dada”.

Mungkin ada saudara mara saya yang membaca di ruangan ini yang akan berasa hati dengan penulisan saya. Namun, tujuan saya menulis cerita ini hanyalah untuk pembaca sekalian mengambil iktibar dari kisah cinta tragis kedua ibu bapa saya. Tidak perlulah mengadili mereka yang telah menzalimi orang lain dalam cerita saya ini.

Bapa saya seorang Melayu yang dibesarkan dalam keluarga yang boleh dikatakan educated. Datuk dan nenek saya bekerjaya di bidang pendidikan.

Zaman tahun 50an/60an jarang kita dengar kedua suami dan isteri bekerja makan gaji kan? Tapi itulah hakikatnya. Ayah saya pula seorang guru lulusan luar negara yang bila tamat belajar dapat posting pertama mengajar di sekolah ibu saya di negeri pantai timur.

Ibu saya di ting lima masa itu. Dia memang cantik orangnya dan pernah memenangi gelaran ratu cantik di pertandingan yang diadakan di sekolah beliau.

Al-kisahnya ada 3 orang guru yang jatuh hati pada ibu saya. Cikgu Melayu [ayah saya], cikgu Cina dan cikgu Punjabi. Dulu arwah ibu selalu berseloroh mengatakan mujur dia tidak memilih untuk berkahwin dengan cikgu Punjabi tersebut. Kalau tidak, nama saya mesti ada “Kaur” di belakangnya. Hahaha..

Masa bila mereka bercinta pun saya tidak pasti. Namun kedua tok & nenek sebelah ibu, walaupun mereka berlainan bangsa dan agama dan ibu saya pulak anak bongsu mereka, tidak pulak mereka menghalang percintaan anak mereka dengan ayah saya. Berbeza dengan keluarga sebelah ayah.

Apabila beliau menzahirkan hasrat untuk memperisterikan ibu saya, datuk saya mengamuk dan mengugut macam-macam sehingga ke tahap beliau berkata “kau keluar dari rumah ini, jangan kau balik dan jejak lagi kaki kau di sini!”

Ayah saya seorang yang tegas dan keras hati, sama seperti ayahnya juga. Beliau keluar dari rumah ibu bapanya tanpa toleh ke belakang lagi, lantas terus balik ke negeri tempat dia mengajar, lalu mengahwini ibu saya setelah ibu masuk Islam. Nikah pun di pejabat agama sahaja.

Lagi dimarah, lagi dicabar, lagi senang ayah saya buat keputusan muktamadnya. Begitulah kerasnya hati ayah saya.

Tahun depannya ayah ditukar mengajar ke sebuah daerah di negeri selatan tanahair. Di situlah saya dilahirkan. Sementelah ibu berkahwin usai tamat ting lima, ibu saya tidak punyai apa2 kelulusan yang boleh dijadikan aset untuk masa hadapannya. Anak bongsu pulak tu; kerja-kerja rumahtangga pun kurang pandai.

Maka ayah saya telah menghantar ibu ke kelas memasak dan menjahit supaya ibu ada skil tambahan sebagai seorang isteri dan ibu.

Biasanya kelas ibu di sebelah petang kerana ayah mengajar di waktu pagi. Ayah pula guru PE. Beliau juga seorang atlet gimnastik, pandai berenang dan merupakan guru coach tennis di sekolah tempat dia mengajar.

Coaching untuk tennis diadakan di sebelah petang juga; oleh itu ayah akan membawa saya yang masih bayi [sekitar usia 12-16 bulan] sewaktu mengajar pelajar-pelajarnya bermain tenis dengan saya dijaga secara bergilir-gilir oleh pelajar-pelajar ayah saya itu tadi.

Cerita tennis coaching ini diceritakan sendiri oleh bekas pelajar ayah saya setelah mereka pula menjadi guru saya di sebuah sekolah menengah di bandar kelahiran saya itu.

Ibu juga pernah menceritakan betapa ayah saya seorang yang sangat romantis. Selalu beri jambangan bunga kepadanya walau tiada apa-apa sebab pun.

Pernah ibu saya menemankan ayah saya menelaah pengajiannya kerana waktu itu ayah tengah membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan HSC [sekarang dipanggil STPM] kerana ayah mahu masuk UM melanjutkan pelajaran mengambil jurusan undang-undang.

Memang cita-cita asal ayah mahu menjadi seorang peguam, namun beliau memilih jurusan perguruan demi mahu cepat-cepat bekerja dan membantu keluarga kerana adik-adiknya ramai. Apakan daya beliau telah dibuang keluarga pulak akhirnya.

Ibu saya akan tertidur sewaktu menemani ayah belajar. Tahu-tahu keesokan paginya ibu sudah berada di atas katil. Rupanya ibu telah didokong ayah masuk ke bilik.

Ayah kata dia tak sanggup nak kejut ibu untuk bangun berjalan sendiri masuk ke bilik tidur mereka. Saya sendiri tidak pernah merasa didukung suami…. Lagipun berat saya jauh lebih banyak dari ibu.. Haha. Mau patah pinggang suami saya nanti.. Huhuhu!

Sewaktu saya berusia 20 bulan, bulan Disembar bulan Ramadhan ketika itu. Ayah mula terkenangkan kedua orang tuanya apatah lagi dia sudah punyai zuriat sendiri. Hatinya melonjak-lonjak mahu pulang beraya ke kampung halaman membawa saya dan ibu.

Namun menyedari ketegasan bapanya yang garang itu, ayah telah menghantar sepucuk telegram ke kampungnya meminta izin untuk pulang terlebih dahulu. Siap tulis dia sudah ada seorang anak perempuan dengan harapan lembutlah hati datuk saya untuk terima kepulangan anak, menantu dan seorang cucu.

Selang beberapa hari, ayah saya terima sepucuk telegram balasan dari datuk saya yang cuma ada perkataan “NO” Datuk saya ni memang seorang yang British educated dan selalu menulis surat di dalam bahasa Inggeris.

Ayah berasa sangat hampa dengan jawapan yang sedemikian rupa lantas memujuk ibu saya untuk beraya kami bertiga sahaja di rumah sewa kami. Pada masa yang sama musim hujan telah bermula di daerah dan negeri kami diami.

Pada hari terakhir puasa, ayah telah pergi ke pasar di bandar dengan membawa saya kerana ibu di rumah sibuk membakar kek oren untuk dihidang di pagi raya. Ibu mahu mencuba skil yang baru dipelajarinya dari kelas memasak beliau. Ayah pula tidak mahu saya mengganggu ibu lantas saya dibawa sekali ke pasar.

Zaman dahulu orang biasa tinggal anak dalam kereta sahaja. Tiada siapa akan menculik atau bawa lari. Apatah lagi ayah saya seorang guru yang ramai orang kenal. Biasanya saya ditinggalkan di dalam kereta yang penuh dengan barang mainan dan saya akan akur duduk diam walau baru berusia 20 bulan!

Tingkap kereta diturunkan sedikit untuk memberi angin keluar dan masuk. Bermainlah saya dalam kereta tanpa pedulikan persekitaran di luar.

Hujan turun semakin lebat. Ada jalan yang sudah dinaiki air. Banyak kereta tersadai. Hanya bas dan lori askar sahaja yang boleh lalu di jalan tanpa halangan. Sungai besar di pinggir bandar sudah hampir memuntahkan lebihan air hujan yang turun tidak henti-henti semenjak 2-3 hari yang lepas.

Sewaktu berjalan pulang ke keretanya yang dipakir di kawasan yang agak tinggi dari tempat-tempat lain, ayah saya terdengar suara orang meminta tolong. Ada seorang lelaki Cina yang sudah terkapai-kapai dibawa arus deras.

Tanpa berfikir panjang, ayah terjun dari tempat dia berdiri untuk cuba selamatkan lelaki itu. Ayah saya kan pandai berenang? Sudah pasti dia mahu menggunakan skil nya itu untuk tujuan yang murni.

Tanpa beliau sedari, arus air yang deras itu telah turut menghanyutkan diri ayah. Beliau segera mencari apa-apa yang patut digapai dan elakkan dirinya dari terus hanyut. Ayah nampak apa yang disangkanya batang pokok yang hanyut terapung. Digapainya untuk dijadikan seperti pelampung.

Malangnya benda yang digapai ayah sebenarnya adalah tiang elektrik LLN [nama sekarang TNB] yang tumbang tetapi masih ada aliran letrik di situ. Di situ jugalah ayah meninggal dunia setelah terkena renjatan elektrik! Cina yang hanyut tadi berjaya diselamatkan oleh bot peronda polis marin. Benar-benar tragis kan kematian ayah saya?

Orang ramai yang nampak mayat ayah segera teringatkan saya yang sudah pasti ditinggalkan di dalam kereta arwah. Ada sepasang suami isteri yang memang kenal keluarga kami cepat-cepat pergi mencari kereta ayah saya. Dipecahkan tingkap kereta dan diambilnya saya.

Mereka dan beberapa lagi orang awam mencari bas bandar dan meminta dihantar ke rumah ayah untuk memberitahu ibu saya kejadian malang yang menimpa ayah.

Ibu saya menceritakan sebelum bas tiba di depan rumah, beliau telah terlebih dahulu terlepas pegangan pada sebiji pinggan kaca. Pecah berderai di atas lantai simen. Sebelum itu pun hati ibu sudah berdegup kencang, namun ibu tidak tahu kenapa perasaannya sedemikian rupa.

Bila nampak bas berhenti di depan rumah, turun pula seorang wanita sambil mendukung saya, saat itu juga lutut ibu lesu longlai! Sebaik diberitahu tentang kematian tragis ayah, ibu langsung pengsan!

Kematian ayah mendapat liputan luas surat khabar zaman itu pada tahun 1969. Tragedi yang sangat menyayat hati dengan gambar kami bertiga yang diambil di studio kedai gambar beberapa bulan sebelum itu terpampang di muka surat hadapan semua surat khabar nasional. Niat baik ayah telah menyebabkan kematiannya.

Surat kematian pula ditulis punca kematian sebagai mati lemas menyebabkan rakan-rakan guru serta pelajar-pelajar ayah tidak percaya sama sekali kerana ayah memang seorang pakar renang. Sebenarnya untuk letak punca kematian “terkena renjatan elektrik” perlukan prosedur bedah siasat.

Ketika itu jiran-jiran rapat kami menasihatkan ibu saya agar tidak menyiksa mayat dengan ayah dibedah siasat. Ibu pula masih mentah. Baru berusia 21 tahun, baru lagi sebagai seorang Islam tidak faham apa2 tentang hukum-hakam agama.

Sedangkan kalau dibuat bedah siasat dan terbukti ayah mati terkena renjatan elektrik, sudah pasti kami akan terima pampasan insuran dari pihak LLN. Bolehlah ibu gunakan wang pampasan itu untuk meneruskan hidup dan membesarkan anaknya, iaitu saya! Malangnya perkara itu tidak berlaku. Buktinya ada pada surat kematian ayah!

Ayah dikebumikan pada hari raya. Tidak pasti hari raya ke berapa. Sebelum itu sebuah lagi telegram dihantar kepada datuk saya memberitahu anaknya sudah meninggal dunia! Beliau dan nenek saya datang ke majlis pengkebumian dengan membawa batu nisan yang biasa digunakan di negeri asal ayah saya dilahirkan. Negeri yang kami tinggal batu nisannya diukir bentuk yang lain.

Ibu saya memang cukup takut dengan mertuanya. Beliau tidak membantah dan tidak melawan apa pun keputusan yang mertuanya ambil. Makanya kubur ayah saya satu-satunya yang punyai batu nisan yang berlainan bentuk di situ!

Usai pengebumian, datuk beri kata putus kepada ibu saya. Mereka mahu ambil saya dan besarkan di rumah mereka. Sudah tentu ibu saya meraung dan merayu agar dia tidak dipisahkan dengan satu-satunya zuriat dari ayah saya!

Ibu malah berkata mereka boleh ambik harta-harta yang ada [hanyalah sebiji kereta yang belum habis bayar hutang pun] tetapi jangan diambil anaknya yang seorang ini.

Mendengar jawapan ibu, datuk saya berkata beliau tidak akan ambil tahu lagi keberadaan kami berdua. Pandai-pandai kami sendirilah untuk hidup!

Dengan kematian ayah saya, terputus sudah ikatan kami dengan keluarga ayah! Mereka malah menyalahkan ibu saya menjadi penyebab kematian ayah! Astaghfirullah…. Datuk dan nenek lantas pulang ke negeri tempat tinggal mereka dan terputuslah hubungan dengan kami berdua…

Terkonting-kontinglah ibu saya membesarkan saya seorang diri. Abang dan kakak ibu yang berlainan agama itu plk yang banyak menolong kami kemudiannya. Ibu pulang ke negeri asalnya kerana tidak mampu nak bayar sewa rumah. Sebelum itu ada satu kejadian yang benar-benar melukakan hati ibu.

Suatu hari datang seorang Cina tidak dikenali yang mengatakan dia adalah wakil syarikat pinjaman pembelian kereta hendak merampas kereta arwah ayah yang kononnya sudah tiga bulan tidak berbayar ansuran bulanannya. Waktu itu belum sampai sebulan ayah meninggal dunia. Ibu yang masih berkabung dan berduka hampir sahaja menyerahkan kereta kami.

Namun di atas perhatian seorang jiran yang juga seorang guru rakan baik arwah ayah, beliau telah memeriksa fail yang ayah guna untuk simpan kesemua resit pembayaran bulanan dan terbukti ayah tekun membayar ansuran bulanannya sehingga ke bulan yang dia meninggal! Maka itu, siapa sebenarnya Cina misteri ini???

Jiran kami segera membawa ibu ke balai polis untuk buat laporan kerana mengesyaki ada unsur jenayah di situ. Sewaktu di dalam kereta jiran kami, perjalanan mereka terhenti kerana ada sekatan keretapi melintas yang betul-betul lalu di tengah kawasan bandar. Balai polis pula terletak selepas laluan keretapi tadi.

Sewaktu menunggu keretapi untuk lalu dari dalam kereta, ibu terpandangkan Cina misteri tadi dalam kereta di sebelah kereta yang ibu naiki. Di sebelah Cina itu ada seorang lelaki Melayu. Beliau tidak lain dan tidak bukan adalah suami kepada adik arwah ayah!

Adik ayah berkahwin dengan suaminya yang memang tidak punyai kenderaan. Adik arwah ayah yang ini jugaklah yang lantang mencaci cerca ibu hanya kerana ibu bukan dari bangsa Melayu. Dihinanya ibu saya sebagai bangsa yang rendah martabatnya. Kononnya bangsa Melayu lah yang paling tinggi darjatnya di sisi Tuhan.

Selepas jiran kami tahu duduk perkara sebenar, setibanya di balai polis, beliau terus membuat laporan dan menunjukkan bukti resit-resit pembayaran. Pihak polis pula menghubungi syarikat pinjaman pembelian kereta dan mereka mengesahkan yang Cina misteri tadi bukan pekerja syarikat mereka!

Polis pulak mengugut untuk menahan Cina itu kerana penipuan komersialnya, lalu dia segera membatalkan hasrat untuk merampas kereta arwah ayah. Begitu sekali “usaha” keluarga ayah untuk menyusahkan hidup ibu saya. Saya tidak dapat bayangkan perasaan hiba ibu saya ketika itu. Sudahlah tidak diperakui kewujudannya, diusahakan lagi untuk menyusahkan hidup kami.

Dengan cadangan jiran kami juga, kereta arwah ayah itu akhirnya dijual untuk wangnya digunakan bagi kelangsungan hidup kami berdua.

Oh… selepas beberapa bulan ayah saya meninggal, ibu terima keputusan peperiksaan HSC ayah. Arwah ayah lulus dengan kepujian tertinggi. Malangnya slip keputusan tinggal begitu sahaja sementelah orangnya sudah enam kaki di bawah paras bumi.

Pakcik dan makcik bangsa asing saya itulah yang banyak berkorban harta benda menolong ibu untuk membesarkan saya. Namun dengan kami tinggal semula bersama keluarga sebelah ibu; ditakuti akidah ibu akan berubah semula kepada agama asalnya.

Datang lah pulak seorang lagi jiran kami [yang saya anggap sebagai utusan dari Yang Maha Esa] yang telah bersetuju dengan isteri nya untuk mengambil kami dua beranak tinggal di rumah mereka sehingga mereka carikan suami baru untuk ibu saya.

Maka pulanglah kami ke daerah kelahiran saya itu semula. Mereka pun bukanlah keluarga senang dengan anak sendiri berderet untuk diberi makan. Namun itulah hakikat yang terjadi. Ibu pula menolong jiran kami yang berniaga makanan sebagai cara untuk membalas kebaikan mereka.

Saya pula sebaya dengan anak bongsu mereka. Kami berkawan rapat sehinggalah ke hari ini. Alhamdulillah. Saya dah anggap kawan saya dan adik-beradiknya mcm adik-beradik saya sendiri. Anak-anak kami pun saling mengenali sesama mereka.

Setahun selepas itu ibu saya berkahwin dengan ayah tiri saya yang juga salah seorang jiran di kawasan kediaman asal kami itu. Urusan pernikahan dan majlis resepsi ibu diuruskan sepenuhnya oleh jiran suami-isteri kami tadi. Maka itu teruslah ibu tinggal di daerah yang sama dan melahirkan lagi adik-adik saya yang lain.

Ayah tiri saya pula sangat baik orangnya. Tidak pernah sekali beliau membezakan antara saya dan adik-adik saya yang lain. Malah setelah kami berpindah ke rumah sendiri 10 tahun selepas ibu berkahwin dengan ayah tiri, jiran-jiran baru kami tidak tahu pun yang saya ni sebenarnya hanyalah anak tiri.

Beberapa kali saya menerima kad ucapan hari raya, malah pernah juga terima “surat cinta” dari secret admirer yang menulis nama saya berbintikan nama ayah tiri! Begitu sekali baiknya ayah tiri menerima kehadiran saya.

Malah salah satu dulang hantaran kahwin yang ayah tiri berikan sewaktu majlis pernikahannya dengan ibu saya diisi dengan patung teddy bear khas untuk saya yang ketika itu baru berusia dua tahun!

Keluarga besar ayah tiri saya pun menerima kehadiran saya dengan tangan terbuka. Walaupun ayah tiri saya juga telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, iaitu 16 tahun selepas kematian ibu saya, kehadiran saya dalam keluarga ayah tiri tidak pernah dipersoalkan.

Berlainan pula dengan keluarga sebelah ayah sebenar saya. Ada yang pertikaikan kemungkinan saya ini anak tidak sah taraf, sebab itu ayah saya tak sabar-sabar nak menikahi ibu saya! Allahuakhbar! Begitu hina sekali mereka menilai arwah ibu dan diri saya sendiri. Sedih kan???

Apa yang mampu saya buat? Darah yang mengalir dalam tubuh saya tetap ada darah mereka. Biar apa pun perasaan saya terhadap mereka, saya tidak boleh nafikan hakikat yang satu itu.

Saya hanya mampu berterima kasih kepada ibu dan ayah tiri kerana membesarkan saya dengan segala kepayahan dan kesusahan mereka. Saya sentiasa doakan roh mereka diterima baik di sisi Tuhan. Untuk ayah sebenar saya, saya hanya mewarisi DNA beliau. Fizikal dan rupa paras yang saya dapat juga adalah dari ayah saya.

Oh juga wang RM2000 dari bahagian faraid saya sebagai satu-satunya anak dan seorang perempuan, setelah kematian nya. Wang itu beranak pinak dalam akaun Tabung Haji saya beserta simpanan saya sendiri kemudiannya untuk saya tunaikan haji pada tahun 2010! Alhamdulillah..

Saya turut laksanakan umrah untuk arwah ayah (waktu itu saya belum buat haji lagi) dan saya diberitahu badal haji arwah ayah telah dilaksanakan oleh salah seorang adik perempuan arwah ayah. Apa yang terjadi kepada kedua nenda sebelah ayah saya? Biarlah cerita ini berakhir di sini sahaja.

Pengajaran dari kisah sedih saya ini;

1) Sebagai ibu bapa kita tidak boleh cakap lepas. Setiap perkataan yang keluar dari mulut kita, adalah suatu doa. Datuk saya yang sangat marah telah “menyumpah” ayah saya agar tidak jejak kaki lagi ke rumah beliau.

Memang betul ayah saya tidak pulang akhirnya bilamana dia mati di negeri tempat dia mengajar sebagai seorang guru. Kebumi pun di situ juga. Allah perkenankan “doa” datuk saya sebenarnya.

2) Jangan suka menghina orang lain yang kita rasa lebih rendah tarafnya dari kita. Allah jadikan hamba-hambaNya sama taraf sahaja. Manusia itu sendiri yang suka membeza-bezakan di antara satu sama lain.

Makcik saya yang sangat benci kepada ibu saya itu akhirnya akur kepada anak lelakinya yang berkahwin dengan seorang wanita berbangsa Cina! Menantu bangsa asing ini pulak sangat baik orangnya. Lepas masuk Islam terus berhijab dan mempunyai budi pekerti yang sangat bagus. Dia pun baik dengan saya bila sudah tahu siapa diri saya.

3) Kita tidak tahu apa akan berlaku di masa hadapan. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa. Jangan sesekali kita memperkecilkan usaha orang lain yang gigih membela nasib saudara kita yang kita abaikan. Anak yatim seperti saya sepatutnya diberi perhatian oleh waris arwah ayah. Mereka lah yang sepatutnya membesarkan saya dan menanggung kos kehidupan saya.

Namun saya dan ibu dipulau dan dibiarkan hidup sendiri. Bila saya sudah berjaya, ada pula pakcik saya yang beri “kredit” kejayaan saya kepada arwah ayah saya. Tidak pernah sekali arwah ibu dan arwah ayah tiri saya yang dipuji mereka kerana telah berjaya menjadikan saya seorang manusia berguna di sisi masyarakat!

Sedih betul perasaan saya apabila mendengar kata-kata “pujian” tak bertempat itu. Apa hina sangat ke kedua ibu dan ayah tiri saya? Tanpa mereka, tidaklah saya berada di tempat saya sekarang.

Jadikan cerita tragis kedua ibu bapa saya ini sebagai pengajaran berguna pembaca sekalian. Memanglah perkahwinan campur tidak asing lagi sekarang ini. Namun tidak semua yang punyai cerita yang gembira dan bahagia. Harapan saya tiada lagi cerita sedih seperti mana dialami arwah ibu saya.

Semoga Allah ampunkan ibu, ayah tiri dan ayah sebenar saya dan terima segala amal kebaikan mereka sewaktu hayat mereka. Semoga Allah ampunkan juga mereka yang telah “menganiaya” kedua orang tua saya dan diri saya yang baby suatu ketika dulu. Aamiin!!!

As the saying goes… You can forgive, but you can never forget, di sini saya mohon ampun dan maaf, bukan niat saya untuk mengaibkan sesiapa. Hanya sekadar luahan hati untuk para pembaca ambil iktibar dan panduan dalam meneruskan kehidupan.

– Anak campur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

4 Comments

  1. tersentuh hati membaca penulisan anak campur… teruskan kehidupan dgn tabah.. alfatihah pada mereka yang telah pergi… hanya doa yg dapat kita kirimkan.. Alfatihah….

  2. sedihnya kisah ini..
    sangat sedih.. semoga Allah meletakkan arwah ayah kandung, ibu, ayah tiri dgn org2 yg beramal soleh
    amin

  3. bestnya baca kisah akak ni.. jalan cerita sgt teratur.. ada pasang surut kehidupan.. drp penulisan akak ni sy dpt rasakan akak ni bijak & pandai… thanks for sharing.. one of the best in IIUM!

  4. Sedihnya kisah tt masa kecil, saat kematian ayah tu. Syukur akhirnya ada ayah tiri yang baik. Ibu insan terpilih menjadi muslimah yang kuat walau diuji dengan berat. Tt juga terpilih menjadi anak campur yang kuat jiwanya. Semoga bahagia dunia akhirat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *