Lelaki Akhir Zaman

Lelaki Akhir Zaman

Assalamualaikum. Salam Aildiladha. Post ni bukan untuk “bias” mana-mana pihak baik lelaki ataupun perempuan. Sekadar renungan bersama. Post agak panjang, terima kasih kerana sudi membaca.

Manusia secara umumnya diuji dengan arus globalisasi dan perkembangan teknologi. Dunia yang semakin maju, tetapi keadaan masyarakat semakin “tenat”. Masalah sosial, kemiskinan, masalah integriti semakin membarah. Kalau yang kaya,semakin kaya. Yang miskin,semakin miskin.

Isu-isu seperti ayah rogol anak, datuk rogol cucu, guru liwat pelajar, ibu dera anak, anak bunuh ibu, gejala buli baik di sekolah ataupun ditempat kerja, rasuah dan sebagainya berlaku dalam masyarakat yang pada luarannya diaggap semakin moden, semakin berpelajaran dan semakin terkehadapan.

Jadi, dimana salahnya kita? Kita hidup dalam kalangan masyarakat yang semakin hari semakin parah. Salahkah kerajaan yang mentadbir? Salahkah ibu bapa yang melahirkan? Salahkah guru yang mengajar?

Secara fitrahnya,kita dilahirkan beragama. Perlukan kepada sesuatu yang menyakinkan kita dan rasa selamat. Larilah sejauh ke bulan sekalipun, tetap kita masih memerlukan sokongan, masih memerlukan sesuatu untuk rasa bahagia, tenang dan cukup segala benda.

Terbukti, bila kita lihat, orang kaya yang pada zahirnya hidup mewah, tapi rasa “kosong” dan tidak bahagia. Masih juga mencari-cari sesuatu supaya hidup terasa lengkap.

Kenapa perlu kita nafikan hidup secara beragama? Sebagai Muslim, Islam adalah cara hidup secara menyeluruh dalam apa jua aktiviti yang kita lakukan. Tanggungjawab individu itu sendiri mencorakkan masyarakat secara tidak langsung.

Umumnya, ustaz ustazah, guru-guru acapkali membicarakan mengenai wanita akhir zaman, wanita ramai yang diheret ke neraka, tanggungjawab isteri, dan wanita solehah. Bagaimana pulak dengan soal lelaki?

Memperkasakan lelaki dari segi mental dan fizikal, bersiap sedia menjalankan tanggungjawab, menjadi lelaki yang soleh. Ibu bapa yang mempunyai ilmu pasti mengajarkan kepada anak-anak lelaki supaya menghormati wanita dan menjadi seorang yang bertanggungjawab.

Saya secara peribadi beranggapan dunia semakin hancur dengan kurangnya lelaki yang berilmu. Fizikal sado tidaklah membawa kepada perubahan dalam perkembangan ilmu dalam masyarakat.

Saya tidak nafikan, tanggungjawab lelaki besar berbanding wanita. Tetapi lelaki yang berilmu,faham akan tanggungjawab mereka dan menjadi pembimbing serta ketua keluarga yang baik untuk keluarga mereka.

Jangan hanya menyalahkan wanita yang membuta tuli mempercayakan lelaki, apabila timbul isu mengenai wanita yang dirogol, wanita yang tidak menutup aurat, yang terjebak dengan masalah sosial,tapi dimanakah kalian lelaki-lelaki yang menjadi pelindung wanita? Inisiatif untuk menghalang perkara-perkara ini berlaku.

Ya, itu bukan keluarga kita, tiada sangkut paut langsung dengan keluarga kita, lalu diabaikan sahaja. Tapi mahukah kita biarkan anak-anak kita berada dalam sekolompok masyarakat yang tenat itu?

Sedih melihat lelaki-lelaki yang hanya mencari wanita solehah, fokus mencari jodoh, pantang melihat gadis cantik tapi diri sendiri tidak pula mempersiapkan dengan ilmu. Normalisasi diketengahkan. Lelaki matangnya umur sekian sekian. “Biasalah try and error, berjiwang, cintan cintun”.

Jadi wanita perlu terkehadapan sebelum lelaki mencapai usia matang, adakah begitu? Kewangan itu perlu,tapi ilmu perlu seiring dengan persediaan yang lain. Saya tidak menolak hobi seseorang seperti melayari media sosial dan bermain permainan video.

Buatlah asalkan kalian jangan lupa hakikat yang kalian merupakan ketua keluarga, kalian berperanan besar dalam masyarakat. Subhanallah ! Kalian mempunyai lebih kudrat yang dikurniakan Allah berbanding wanita, panjangnya akal dalam menyelesaikan masalah serta keupayaan mengendalikan emosi.

Jadi adakah kalian hanya perlu mencari jodoh, berkahwin dan berhenti disitu sahaja? Membesarkan anak-anak,dan cukup sekadar itu sahaja? Jadi dimana peranan kalian sebagai pelindung wanita dan masyarakat atau hanya perlu jalani rutin pergi kerja balik kerja dan tambah cawangan lagi?

Apakah masyarakat ini hanya tanggungjawab kerajaan yang mentadbir? Ilmu tidak perlu dicari setelah berkahwin,tapi perlu kepada kewangan stabil yang hanya berfokuskan kepada menambah cawangan dan hidup lebih mewah?

Benar, ilmu kewangan sangat penting untuk kita menambaik baik keadaan ekonomi keluarga, tapi ilmu akhirat akan meletakkan kita samada disyurga atau neraka. Kenapa diletakkan ilmu agama disebelah dan hanya dicari setelah berusia, adakah ajal mengenal usia?

Sesungguhnya, Allah suka kepada manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.

Cabaran wanita sekarang, perlu lebih bijak dan berdikari. Perlu menjadi fleksibel dan serba boleh untuk sebarang kebarangkalian diluar jangkaan.

Kalian hebat bila kalian berkahwin, kalian mengharapkan anak kalian menjadi seorang yang hebat kerana lahirnya zuriat yang hebat daripada rahim ibu yang hebat.

Jangan kecilkan skop hebat itu berdasarkan aspek materialistik. Hebat itu apabila zuriat kita mengenali Tuhan mereka dan mentaati segala perintah-Nya.

Jangan diletakkan hebat itu pada sijil dan kekayaan. Kaya belum tentu lagi rasa “cukup”. Sekiranya kaya tetapi tidak bersyukur pasti akan ada rezeki yang bocor. Duit sentiasa rasa tidak mencukupi, lalu sanggup menzalimi orang lain hanya untuk keperluan peribadinya. Belum tentu juga yang mempunyai PhD faham dan hadam sebab kenapa diciptakan Allah.

Tidak salah untuk berkahwin muda, niatkan lillahitaala. Bayangkan kita sibuk nak kahwin,nak ada anak, tapi kita belum ada ilmu yang cukup, kita tidak pula mampu mengajarkan anak-anak ilmu yang sebetulnya, anak generasi kita akan hanya mengikut tradisi.

Berkahwin hanya untuk mengelak maksiat, hanya untuk buat anak, cukup pakai makan minum. Bab ilmu tidak dititikberatkan, pendidikan. Ilmu agama dilupakan. Jadi, hiduplah kita semua dalam mentaliti masyarakat yang pincang tanpa ada ketamadunan dan kurangnya pengamatan agama. Nauzubillahiminzalik.

Cukuplah kita hidup memiliki harta dunia yang membantu kita menjalani hidup sebagai seorang hamba Allah sebelum bertemu-Nya kelak yang kita sendiri tidak tahu bila. Jika mempunyai harta dunia yang berlebihan malah tidak digunakan dan berlaku pembaziran, maka beringatlah kalian menzalimi orang lain yang sepatutnya harta tersebut disumbangkan bagi keperluan masyarakat yang memerlukan.

Dalam Islam, Muslim itu bersaudara. Jika masih timbul isu hasad dengki, benci melihat kejayaan dan kebahagian orang lain, maka semak semula iman dan ilmu akhirat kita. Usahakanlah mencari majlis ilmu untuk memperbaiki diri. Lazimilah majlis ilmu. Dekatilah orang soleh. Tanpa ilmu,kita tidak akan kenal Pencipta kita dan tidak kenal diri sendiri.

“Nikmat apa lagi yang kamu dustakan” yang Allah katakan dalam Al-Quran. Jika ada yang masih berfikir secara logik, masih menyalahkan takdir, ingatlah, secara saintifik, setiap manusia akan mati. “We have our own life span, eventually everyone will die”.

Dalam Al-Quran, Allah berfirman ” Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati”. Lalu, apa pilihan yang kita ada? Syurga atau neraka sahaja. Kita tidak mampu menahan panasnya api mancis walaupun sesaat,maka janganlah sombong dengan Yang Menciptakan kita.

Penulis hanya berharap dapat berbuat sesuatu untuk perubahan dalam masyarakat walaupun diri seorang pendosa. Carilah ilmu, cintalah Ilahi, cintailah diri sendiri sebelum kita mencari cinta manusia. Jika hidup hanya merasa senang dan mudah, kita tidak akan berhajat untuk syurga.

Hidup ini untuk berpenat lelah, jika tidak diuji dan hanya merasai kesenangan, semak semula diri kita. Hubungan kita dengan Allah supaya tidak berlakunya istidraj. Pastikan kita hadam dulu Rukun Iman dan Rukun Islam sebelum kita sibuk dengan Rukun Nikah.

Dalam Rukun Iman, adanya percaya kepada Hari Kiamat/Hari Kebangkitan, apa yang kita buat didunia akan disoal dan dihisab, bersediakah kita?

Terima kasih sudi membaca. Kita semua sedang bermusafir, belum sampai lagi ke destinasi abadi. Bertabahlah! Doakan penulis juga.

– Seorang Pendosa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Share via
Copy link
Powered by Social Snap