Lindungi Aku Dari Putus Asa Ya Allah

Assalamualaikum pembaca sekalian, ini mungkin kali ke 2 atau 3 aku menulis dalam IIUM Confession ini dan topik yang berbeza.

Aku baru kehilangan seorang ibu yang sangat aku sayangi dunia akhirat, andai dapat ditukarkan segala yang aku miliki untuk dapatkan ibu aku kembali, aku akan tukarkan..

Namun siapa kita yang menidakkan takdir Allah. Kisah kematian ibu aku agak menyakitkan hati, walaupun panggilan Ilahi telah tiba buat arwah ibu aku,

Namun cara kematian disebabkan kecuaian orang lain membuatkan hati kami bertambah hiba. Aku telah laporkan kepada yang berwajib agar tindakan diambil supaya tiada mangsa lain yang terlibat.

Bercakap soal takdir, aku yakin sangat ramai yang menyalahkan takdir kerana kepincangan hidup yang berlaku, begitu juga aku.

Namun setelah diteliti aku menerima dan berdamai dengan takdir, rupanya Allah merencanakan sesuatu buat aku dan amat aku syukuri.

Aku berumur 30-an, mempunyai seorang anak perempuan dan baru berpisah dengan suami yang aku sayangi. 2022 segalanya berlaku.

Penutup segala buku rumahtangga aku, kerjaya serta persahabatan.

Aku mulakan dengan kehilangan, ya aku kehilangan segalanya mendadak, bertalu-talu.. mungkin ini ujian… mungkin kafarah.. aku manusia yang banyak berdosa dan setiap hari berjuang untuk menjadi yang lebih baik..

Setiap kali berlaku, aku pujuk diri dan hati aku mungkin Allah nak beri aku nikmat lain yang lebih besar, atau mungkin Allah sedang mencuci dosa aku tanpa aku sedar.. Cara terapi diri aku adalah pujuk hati sendiri.

2022 memang tahun yang agak perit untuk aku tempuh, mulanya Allah bagi pelangi dalam hidup aku,

aku membina kerjaya dengan sangat gembira bertahun-tahun, dapat sahabat yang baik, dikelilingi oleh orang yang baik-baik dan membuatkan aku sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Juga diberikan peluang yang tidak pernah aku sangka, menjejakkan kaki ke rumah Allah untuk melakukan ibadah umrah dan sepenuhnya ditaja.

Namun dalam gembira itu, aku berjauhan dari kedua ibu bapa ku, kesibukan aku membuatkan aku jarang dapat bersua muka. Jauh beratus kilometer dan juga kekangan kerja membuatkan aku lalai.

Apa yang aku perasan, perkahwinan aku yang sudahpun hambar menjadi makin hambar (perkahwinan aku tanpa restu, mulanya mendapat restu namun semuanya hancur hanya kerana fitnah dan kepercayaan kurafat).

Di depan Kaabah aku menadah tangan supaya Allah memberikan aku jalan keluar dari permasalahan aku, diangkat segala kesulitan dan dijauhkan dari perkara yang membawa keburukan pada aku, serta beri kekuatan untuk aku menempuhi jalan hidup aku.

Dan aku yakin Allah menjawab segala doa aku disana bermulanya sekembalinya aku dari umrah, satu perkara berlaku dan rumahtangga aku yang berada di hujung tanduk akhirnya menanti hari untuk rebah.

Segala usaha kami lakukan dari kaunseling, bermuzakarah, mencari orang ke tiga namun tak berjaya.

Sementara menunggu tarikh perpisahan kami, aku hilang pekerjaan yang aku sayangi. Punca? Biar Allah je yang tahu dan aku yakin ianya bukan lagi rezeki aku disana.

Segala usaha yang aku curahkan ibarat mencurah air didaun keladi, langsung tidak dihargai. Seperti biasa aku mula pujuk diri sendiri dan berharap Allah menggantikan sesuatu yang lebih baik.

Hilang pekerjaan dan perkahwinan serentak, bermulalah kehidupan aku sebagai ibu tunggal dan alhamdulillah hubungan kami (aku dan ex husband) bertukar menjadi sahabat tanpa ada kebencian.

Kami saling menyayangi namun Allah dah tetapkan perkara ini. Kami redha dan masih berhubung kerana anak. Terpaksa aku melangkah keluar dari negeri itu dan berhijrah ke negeri yang sama dengan kedua ibu bapa aku.

Tanpa apa-apa bekalan cuma sedikit simpanan dan juga alhamdulillah kerana aku masih mempunyai job sampingan lain yang dapat menampung kehidupan aku dan anak, selain ex husband yang turut membantu tentang nafkah anak.

Aku mula bekerja freelance secara fulltime (sebelum ni cuma part time) dan masih berjuang untuk mulakan hidup sendirian.

10 tahun perkahwinan yang sudahpun hancur bukan satu tempoh masa yang singkat untuk aku bertatih semula. Namun aku masih berdamai dengan takdir.

Sahabat yang dahulunya ada saat ketawa, saat gembira, semua mula menjauhkan diri. Ye salah aku yang mula mendiamkan diri kerana kecewa, niat dihati untuk memujuk diri dan memulihkan emosi namun terus di buang.

Tinggalkan persahabatan itu sebagai satu memori untuk dismpan saja. Hilang sahabat hilang silaturahmi dan aku pun mulakan kehidupan baru dengan mengutip semua cebisan kenangan.

Pekerjaan yang aku sayangi hilang, sahabat turut hilang, pekahwinan turut hilang semuanya berlaku serentak. 2022…

2023 permulaan baru, aku rasa ini nikmat yang Allah simpan dan aturkan untuk aku, kerana Allah beri peluang untuk aku berkhidmat sebagai anak perempuan, satu-satunya anak perempuan kepada kedua ibu bapa aku.

Malahan Allah menjauhkan aku daripada perkara yang tidak baik untuk aku,hanya Allah yang tahu apa yang aku tidak tahu.

Walaupun tinggal senegeri namun agak jauh jarak perjalanan, alhamdulillah aku kerap luangkan masa dengan kedua ibu bapa aku, mereka sudah tua dan tidak berapa sihat. Dan aku yang bekerja secara bebas dapat meluangkan waktu dengan keluarga tanpa ada halangan.

Kemuncak cerita apabila ibu aku mendapat serangan jantung yang terakhir dalam hidupnya. Waktu itu aku dan adik lelaki bergilir-gilir menjaga ibu sehinggalah terdapat kejadian yang meragut terus ibu kami.

Demi Allah kejutan yang sangat aku tidak menduga. Akhirnya Allah ambil semula pinjamannya iaitu satu-satunya insan yang aku sangat sayangi..Ibu aku..

Aku mula merasa sedih yang melampau, mula hampir berputus asa dan aku berjuang untuk berkhidmat yang terakhir untuk arwah ibu aku,

Dari saat menuntut jenazah arwah di hospital, menemani jenazah ibu aku di masjid, mandikan, kafan dan hingga ke liang lahat adalah khidmat terakhir aku sebagai anak perempuannya.

Masih aku simpan baju yang aku pakai saat mandikan jenawah ibu aku, aku tak nak bauan akhir ibu aku hilang. Biar bauan kapur barus iaitu wangian akhir ibu aku melekat di baju itu.

Aku simpan kesedihan dalam-dalam supaya terlihat kuat dihadapan abah aku yang sehingga kini masih menyimpan kesedihan yang tidak berbelah bahagi.

Pernah aku mempersoalkan kepada diri sendiri, aku takut untuk berdoa memohon kekuatan kerana setiap kali aku mohon kekuatan, Allah akan berikan ujian yang buatkan aku hampir terbenam ke dasar lautan.

Aku putus asa Ya Allah..Walaupun arwah ibu aku selalu memberitahu aku saat hayatnya, Allah beri ujian yang mampu kita tanggung dan itulah caraNya memberikan kekuatan. Sebab itu kita masih bertahan dan menikmati nikmat yang Allah beri. Aku mampu ke Ya Allah?

Ramadhan yang hampir ini, tanpa ibu aku, tanpa suami dan hanya dengan abah, adik lelaki dan anak perempuan aku. Mungkin ibadah ini saja kami raikan seadanya.

Semua semangat telah dibawa pergi oleh ibu. Semangat aku hilang Ya Allah, kerja aku banyak yang hilang sebabkan semangat aku ntah kemana.

Satu-persatu job aku hilang dan kini aku masih mengumpul kekuatan untuk berdiri semula. Saat ini cuma anak aku saja sebab untuk aku terus bangun dan berjuang.

Sehingga hari ini aku mohon Allah, lindungi aku dari putus asa.. Aku takut dengan ujianMu Ya Allah. Ujian yang paling aku takuti adalah KEHILANGAN.

Dan ujian itu yang Kau berikan pada ku bertalu-talu. Kehilangan yang perit aku lalui, arwah anak sulung aku, arwah kakak aku, arwah ibu aku, hilang perkahwinan, hilang pekerjaan.

Berturutan Ya Allah.. Aku rasa lemah disisiMU…bantu aku Ya Allah..jangan jadikan aku insan yang kalah dengan setiap ujianMu..BERI AKU KEKUATAN YA ALLAH….. LINDUNGI AKU DARI PUTUS ASA…

– Yang Hampir Putus Asa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *