Maafkan Abang, Sayang II

Untuk part I, (https://iiumc.com/maafkan-abang-sayang/).

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Masih ingatkah kalian kisah aku seorang suami yang mengkhianati kepercayaan seorang isteri? Suami yang tersalah langkah berkawan dengan wanita lain untuk menghilangkan sunyi ketika PJJ (aku di KL manakala isteri di Perak) dengan isteri?

Ya. Akulah orangnya yang telah dihemburkan dengan kata-kata pedas juga menghiris hati dari kamu semua. Namun, aku akui aku tersangat layak dihina dimaki. Perbuatan aku yang mengkhianati seorang isteri yang sangat baik sememangnya sukar untuk dimaafkan.

Kisah rumahtangga aku post lebih kurang 2 bulan lepas, setelah 8 bulan aku dan isteri dalam fasa dingin dan duka. Alhamdulillah isteriku terbuka hatinya untuk memaafkan aku sebulan yang lalu dan kami sudah kembali ceria seperti dulu. Bahkan bertambah erat.

Walaupun aku tahu peristiwa itu meninggalkan parut dihatinya namun ketulusan hatinya untuk memaafkan dan menerima aku kembali sebagai suami sangat aku hargai.

Aku berazam tidak akan mengulangi perbuatan itu. Sepanjang aku di KL aku telah mencari kawan-kawan lelaki yang positif dan aku telah join usrah dan program keagamaan serta kemanusiaan. Kenapalah dulu aku bodoh sangat sampai tersalah langkah?

Sedangkan banyak aktiviti-aktiviti yang bagus lagi aku boleh join untuk memantapkan rohani diri daripada terjebak dengan bunga- bunga maksiat dengan wanita yang tidak halal buatku sedang aku punya bidadari yang setia dengan aku selama ini.

Teringat detik-detik kami meluahkan segala yang terbuku dihati setelah lebih 8 bulan fasa dingin. Aku mengajak isteriku untuk solat berjemaah bersama. Selesai solat, kami bertadarus bersama. Kemudian aku face to face dengan isteriku.

Aku genggam erat tangannya. Airmataku jatuh tanpa segan silu. Jiwaku terseksa dihukum dengan kebisuan isteri yang tersangat lama. Aku bertanya, sama ada isteri masih punya cinta atau sebalik kepadaku? Isteriku sekadar diam dan aku lihat matanya sudah mulai basah.

5 minit berlalu dengan kami sama-sama menangis sedu sedan sambil berpelukan. Isteriku mula membuka mulut, katanya sudah lama dia memaafkan aku tetapi parut luka dihatinya sukar untuk isteriku padamkan.

Untuk merawat luka itu, isteriku memilih untuk membisu. Ya. 8 bulan yang sangat menghukum jiwa aku. Namun aku amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada isteriku kerana mampu dan sudi terima aku kembali dalam hidupnya.

Sekarang demi isteri yang banyak berkorban aku sudah berhenti kerja di KL dan berpindah untuk duduk bersama dengan isteriku di Perak (rumah ayah mentua).

Dengan sedikit wang simpanan, aku mengusahakan kolam ikan talapia merah (meneruskan projek ayah mentuaku namun terbengkalai kerana dia menghidap stroke) beserta menternak ayam kampung dan menanam sayur-sayuran ditanah kebun milik ayah mertuaku. (Aku sewa bulanan kepada ayah mentua.)

Alhamdulillah apa yang aku usahakan sudah membuahkan hasil walaupun tak banyak namun mampu untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Kini aku seorang petani dan penternak ikan dan ayam. Doakan perniagaan aku berjaya. Doakan juga aku mampu untuk beli dan bina rumah sendiri di Perak.

Aku dan adik beradik isteri juga telah berbincang untuk mengupah helper harian (helper harian ni tidak akan tinggal sekali dengan kami) demi meringankan sedikit kerja isteriku. (Tanpa pengetahuan isteri sebab aku pernah usul hal ni namun ditolak mentah-mentah. Katanya dia masih mampu menjaga kedua orang tuanya sendiri.) Namun agak sukar mencari helper harian yang perlu berulang alik untuk bekerja.

Adik beradik isteri pernah upah beberapa maid sebelum isteri mengambil alih menjaga kedua orang tuanya tapi kesemua maid lari (ada juga yang mencuri barang kemas mak mentua) kerana tak tahan dengan sikap ayah mentua yang sedikit panas baran.

Oleh kerana itu, kami sepakat untuk mengambil helper harian saja. Yang boleh membantu menguruskan kerja-kerja rumah, menyediakan bahan untuk memasak (isteriku yang masak), menguruskan anak-anak kami. Risau pula untuk diminta menguruskan ayah mentua. Bukan apa, risau lari pula nanti seperti maid yang sebelum ini.

Akhirnya setelah berhari-hari mencari, adik bongsuku yang tengah mencari kerja selepas habis belajar degree menawarkan diri untuk menjadi helper kami. Adik beradik isteri pun senang dan lega kerana mereka sememangnya sudah kenal adikku dan percaya dengan adikku.

Lagipun adik bongsu aku sememangnya cekap membuat kerja-kerja rumah dan pandai menguruskan anak-anak kecil. Dia pernah ada pengalaman bekerja di taska. Oleh kerana itu, dia tinggal bersama kami dirumah ayah mentua. Isteriku akur juga akhirnya untuk dibantu oleh adikku membuat kerja-kerja rumah. Alhamdulillah dipermudahkan uruskan aku dan isteriku.

Adik beradik isteri juga telah bersepakat menghadiahkan isteri sebuah kereta Perodua Bezza atas segala pengorbanan isteriku yang telah lama berkhidmat untuk kedua orang tua mereka. Isteriku mulanya menolak pemberian besar itu tapi setelah dipujuk-pujuk akhirnya isteri menerima. Walaupun dari raut wajahnya dia tersangat susah hati untuk menerima pemberian itu.

Untuk pengetahuan semua, adik beradik isteriku sememangnya memberi wang tiap bulan buat isteriku atas jasanya yang menjaga dan menguruskan orang tua mereka. Namun isteri masih juga berkeras untuk tidak menerima “gaji” itu. Tak pernah sekali pun isteriku guna duit itu.

Katanya nanti dia akan pulangkan kembali semua duit itu atau dia akan sedekahkan kepada anak saudara sekiranya ada yang bakal kemenara gading nanti. Sungguh mulia hatimu isteriku. Kenapalah aku bodoh sangat tak nampak kebaikan yang ada padamu selama ni wahai sayangku?

Aku berjanji tidak akan mengulang lagi perbuatan aku yang dulu dan berusaha untuk jadi suami, ayah, anak, abang, adik, menantu yang terbaik buat insan-insan yang sentiasa menyokong dan berkorban buatku.

Aku minta semua yang membaca coretan hatiku ni supaya mendoakan kebahagian aku dan isteriku hingga kesyurga. Terima kasih juga yang telah memberi nasihat dan kata-kata semangat kepada aku. Aku sangat hargai.

– Mr.Z (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *