Menghormati Ramadan

Baru-baru ini, kontroversi muncul ketika seorang YB Menteri mengarahkan agar semua kantin sekolah dibuka semasa bulan Ramadhan.

Cadangan ini mendapat pelbagai reaksi, dari sambutan baik hingga kemarahan dan keresahan.

Pihak yang menyambut baik cadangan ini merasakan bahawa tindakan ini mencerminkan prinsip keadilan kepada semua dan memperkukuhkan keharmonian dalam masyarakat.

Mereka melihatnya bahawa negara mengamalkan sikap Masyarakat Malaysia yang Madani.

Namun, tidak kurang juga yang merasa marah dengan cadangan ini.

Bagi mereka, membuka kantin semasa bulan Ramadhan boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak menghormati keagungan bulan yang mulia ini.

Mereka merasakan bahawa tindakan ini seolah-olah mengabaikan nilai-nilai keagamaan yang penting bagi umat Islam.

Sementara itu, terdapat juga pihak yang mengeluh, terutamanya para pengusaha kantin.

Mereka berpendapat walaupun pendapatan dari penjualan mungkin berkurangan semasa bulan puasa kerana cikgu dan murid yang berpuasa,

Mereka terpaksa tetap membuka kantin untuk murid yang masih kecil dan tidak berpuasa, serta untuk murid bukan Muslim.

Trend ini menimbulkan kebimbangan yang tidak sihat dalam tindakan kita untuk menghormati bulan suci ini.

Ini bukanlah sekadar persoalan orang Islam tidak dapat menahan nafsu ketika orang bukan Islam makan di depan mereka, tetapi ia melibatkan bagaimana kita mendidik generasi muda agar menghargai nilai-nilai puasa Ramadan.

Selain itu, terdapat fenomena di mana semakin ramai yang tidak lagi merasa malu untuk makan di khalayak ramai semasa bulan Ramadhan.

Perkara ini sudah biasa dilihat di negara jiran kita, Singapura, di mana masyarakatnya terlihat lebih terbuka dalam hal ini, dengan terdapat sebahagian daripada mereka yang tidak malu makan dan merokok dihadapan khalayak ramai dalam bulan Ramadan.

Terdapat juga kebimbangan tentang bagaimana anak-anak kecil diasuh untuk berpuasa.

Semasa kita kecil, mungkin kita akan merasa malu jika tidak berpuasa dan tidak dibenarkan berbuka bersama-sama ahli keluarga yang berpuasa.

Namun, pada zaman sekarang, saya rasa amalan ini semakin berkurang.

Oleh itu, adalah penting untuk mengambil langkah-langkah yang bijaksana dalam menghormati bulan Ramadhan.

Sementara tidak digalakkan untuk memaksa budak-budak kecil untuk berpuasa atau memaksa murid bukan Muslim untuk makan dalam bilik persalinan, kita perlu mengajar mereka nilai-nilai menghormati bulan yang mulia ini.

Kita boleh mempertimbangkan untuk membenarkan ruangan kantin dibuka untuk murid yang tidak berpuasa, tanpa mengganggu ibadah mereka yang berpuasa.

Ini akan membolehkan kita menjaga keseimbangan antara keadilan dan menghormati nilai-nilai keagamaan.

Kita perlu memberi kuasa kepada pentadbir sekolah untuk membuat keputusan yang bersesuaian dengan keperluan dan demografi sekolah masing-masing.

Dengan demikian, kita dapat mengekalkan kedudukan agama Islam yang tinggi dalam masyarakat kita dan memastikan generasi muda kita dibesarkan dalam persekitaran yang memupuk nilai-nilai keagamaan yang baik.

Semoga bulan Ramadhan ini membawa keberkatan kepada kita semua. Salam Ramadhan.

– A.N (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. 1. Kenapa kena rasa malu untuk makan di bulan Ramadan? Kalau orang tak wajib puasa e.g., perempuan mengandung atau kanak-kanak, kenapa kena rasa malu? Apakah dalil orang yang tidak wajib berpuasa tidak boleh makan di tempat terbuka?

    2. Apakah yang dimaksudkan dengan menghormati bulan Ramadan? Jika orang itu tidak wajib berpuasa, sama ada makan terbuka atau tak, dia tetap akan makan. Bulannya tetap Ramadan. Jadi di sini, masalah nya adalah menghormati orang berpuasa atau menghormati Ramadan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *