Pengajaran Jadi Orang Ketiga Dalam Pertunangan

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua, terima kasih sekiranya tulisan ini dapat disiarkan agar dapat menjadi pengajaran kepada orang lain.

Maaf sekiranya tulisan aku kurang difahami kerana aku bukanlah orang yang pandai mengarang. Apa yang aku nak kongsikan ini adalah berkaitan pengalaman aku sendiri yang menjadi orang ketiga dalam perhubungan dua insan yang telah pun mengikat tali pertunangan.

Amirah, nama si dia yang pernah rapat denganku, kami berkenalan sewaktu di zaman pengajian di utara tanah air dan menjadi semakin rapat ketika semester terakhir iaitu pada tahun 2018.

Kami kerap berhubung , sering berkongsi cerita dan kisah-kisah lalu. Tak dinafikan, aku sangat merasa selesa dengan Amirah.

Seringkali hati berdegup keriangan apabila nama Amirah terpapar di ruang notifikasi telefonku. Senyuman sentiasa terukir dibibir apabila berbalas mesej dengan si dia.

Sehinggalah, suatu hari.. aku memberanikan diri untuk meluahkan rasa yang terbuku di lubuk hati. Aku menyatakan hasrat untuk melamar dan menjadikan dia yang halal untuk aku.

Jawapan yang diberikan membuatku kaku dan sayu.. Amirah memaklumkan yang dia sudah pun bertunang dengan seseorang sebelum rapat dengan aku.

Pertunangan tersebut disusun bukan atas kehendak hatinya sendiri tetapi atas desakan ibunya dan kawan baik ibunya.

Sejurus menyedari dia adalah tunangan orang, aku cuba untuk tidak menghubunginya lagi kerana sedar, haram hukumnya untuk mengganggu hubungan pertunangan orang lain.

Aku menangis seperti anak kecil bila mengenangkan perasaanku pada Amirah terhalang disebabkan dia telah menjadi tunangan orang.

Kebetulan pula, waktu tu lagu “Dimatamu” nyanyian Baby Pian tengah rancak dimainkan, maka bertambah rancak jugaklah air mata ni deras mengalir laju. Huhu..

Selang beberapa hari, Amirah kembali menghubungi aku.. sedaya upaya aku cuba untuk mengelak dari membalas mesejnya tapi aku tewas. Perasaan aku terhadapnya masih membuak-buak dan kami terus rapat seperti biasa.

Tahun 2019, aku dan Amirah berhubung dengan sangat rapat, selalu on call dan video call. sedangkan dalam masa yang sama, Amirah terlalu jarang untuk menghubungi tunangnya atas alasan langsung tiada perasaan kepadanya.

Pernah juga aku mencadangkan untuk memutuskan pertunangan tetapi atas dasar menjaga nama baik keluarga Amirah dan Tunangnya.. dia tidak sampai hati untuk berbuat sedemikian.

Tahun 2020, atau lebih tepat pada 26 Julai 2020.. tarikh yang akan memberikan bekas yang sangat dalam di dalam hati aku. Amirah telah selamat diijab kabul dengan tunangnya.

Aku menjadi sangat bingung dan buntu, perasaan sangat bercampur baur.. diibaratkan satu ombak yang begitu besar dan maha dahsyat telah menghempas diriku.

Termenung jauh aku bila melihat gambar dia sedang bersanding dengan pasangannya. Dari jauh aku terus mendoakan kebahagiaannya dan aku perlu belajar untuk redha. Seminggu juga aku mengenang nasib, cuba bermuhasabah diri atas apa yang berlaku.

Dalam sesi muhasabah tu, aku sedar aku telah silap langkah. Bukannya aku tak tahu bahawa Rasulullah S.A.W pernah berpesan,

“Jangan salah seorang kamu bertunang ke atas tunangan saudaranya” Dikeluarkan oleh Malik dalam Muwatta, alSyafie dalam Musnadnya, Ahmad dalam Musnadnya, Bukhari dalam Sahihnya (no: 2033).

Disebabkan ego dan perasaan yang palsu.. aku tertipu dengan diri sendiri.

Sebenarnya, apa yang Allah dan RasulNya ajar kepada kita, adalah untuk kebaikkkan diri kita sendiri. Sesuatu larangan adalah untuk menjaga Hati dan Jasad kita daripada dizalimi.

Doakan aku supaya dapat memperbaiki diri sendiri yang hina ni. Sebarang nasihat boleh lah komen.

Yang Benar,

– Mr. S (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit