Perkongsian Kisah Benar Hidup Saya

Assamualaikum semua. Terima kasih admin kerana luluskan confession saya. Ikuti perkongsian kisah benar cinta saya. Lebih menarik, pada penghujung cerita saya akan kaitankan dengan pelakon drama 7 hari mencintaiku.

Sila ambil maklum kisah yang saya ingin kongsikan mungkin agak unik dan bukan kisah cinta yang agak tipikal. Bagi menjaga aib kedua dua pihak, saya sembunyikan identiti dan detail peribadi saya dan wanita yang saya ingin ceritakan dan tidak semua kisah saya akan ceritakan.

Scara jujurnya, saya seorang lelaki yang tidak mudah jatuh cinta. Ditakdirkan Allah saya jatuh cinta dengan seorang wanita di tempat saya bekerja. Bagaimana saya boleh jatuh cinta itu tidak perlu saya ceritakan sebab bukan itu fokus saya.

Melalui wanita ini, saya belajar 3 perkara iaitu sakitnya bila tidak diadili dengan sebaiknya, belajar mencintai tanpa memiliki dan belajar membalas ketidakadilan dengan kebaikan.

Sebelum saya teruskan, saya nak nyatakan yang saya tak salahkan wanita yang saya cintai atas apa yang berlaku dan saya tak nafikan kelemahan dan kesilapan saya.

Saya akui kedua-dua pihak (saya dan wanita) adalah manusia biasa yang tidak lari dari kesilapan. Dipendekkan cerita, wanita yang saya cintai ‘reject’ cinta saya.

Saya sedar dan ambil maklum risiko untuk ditolak memang agak tinggi lebih-lebih lagi saya dan dia tidak begitu saling mengenali. Walau bagaimanapun, ada beberapa reaksi dia yang bagi saya tidak bersikap adil terhadap saya.

Saya juga cuba bersikap adil apabila menuduh beliau bersikap tidak adil tanpa menafikan sisi kebaikan dia yang lebih banyak yang saya dengar daripada kawan-kawan dia.

Tindakan dia yang saya anggap bersikap tidak adil terhadap saya:

1.) Membuat keputusan terus reject saya tanpa cuba untuk berkawan dan mengenali saya. Hubungan saya dengan dia bukanlah orang asing sangat sebab kami pernah jadi rakan sekerja (sekarang tidak lagi).

Dan dia pun pada masa itu belum berkahwin atau mengikat tali pertunangan dengan mana-mana lelaki. Jika saya orang luar yang tiada apa-apa kaitan dengan dia saya boleh faham untuk dia bersikap begitu.

2.) Saya akui kesilapan saya di mana approach saya yang ingin mengenalinya membuatkan dia tidak selesa dengan saya. Ironinya saya lihat dia bersikap lebih terbuka apabila berhubung dengan kawan lelaki lain dan membuka hati untuk kawan lelaki lain untuk mengenalinya dengan lebih dekat.

Ironinya dia terus membuat keputusan melarang saya menghubunginya melalui mesej walaupun perkara itu berkaitan kerja.

3.) Dia sendiri pernah beritahu saya bukanlah ciri-ciri lelaki idaman dia. Ironinya, kami tidak pernah memulakan sebarang perbualan bersifat dua hala.

(perbualan saya dengan dia pun hanya bersifat satu hala di mana saya tanya sepatah dan dia jawab sepatah sebelum dia buat keputusan minta saya jangan mesej dia lagi), tidak pernah berkawan dan tidak pernah bermusafir bersama.

4.) Sekiranya dia tidak mahu berkawan dengan saya atas sebab tidak mahu letak sebarang harapan dan komitmen, dia boleh mengadakan sesi interview dengan saya sama ada secara berdepan atau mesej. Malangnya, walaupun saya sendiri yang tawarkan perkara tersebut dia tetap tolak untuk adakan sesi interview tersebut.

Saya mencintai dia bukan atas dasar nafsu dan suka-suka sahaja. Bukti yang saya benar-benar serius mencintai dia:

1.) Saya memilih dia walaupun dia terdapat beberapa kekurangan seperti datang daripada keluarga susah dan tinggal di kawasan perkampungan, dia bukanlah terdiri dari keluarga bangsawan dan berpengaruh dan dia sendiri hanyalah rakyat marhaen dan bukan selebriti terkenal.

2.) Walaupun saya direject pada tahun 2018, saya tidak terus mencari wanita lain. Saya berdoa hampir setiap malam supaya Allah bukakan dan lembutkan hati dia untuk menerima saya dan satukan kami sebagai suami isteri yang sah.

Saya akan terus berdoa selagi dia belum mengikat tali perkahwinan atau pertunangan dengan lelaki lain.

3.) Saya mempunyai perancangan hidup yang rapi dan tersusun. Malah, saya sudah menyiapkan kertas kerja perancangan hidup dari tahun 2020 sehingga tahun 2050 dari segi kerjaya, pendidikan, kewangan, tarbiah keluarga, pelancongan, kemahiran kendiri, tempat tinggal dan hala tuju anak-anak.

Saya juga merancang untuk menghabiskan saki baki umur tua saya pada tahun 2070 dengan mengelilingi dunia bersama si dia atas kapal cruise.

4.) Saya benar-benar ingin hidup bahagia dan gembira bersama dia. Saya sudah merancang beberapa surprise untuk dia tapi disebabkan hubungan kami tak jadi, surprise itu pun terkubur.

Antaranya, pada malam hari jadi beliau pada bulan mac lepas, saya sudah merancang untuk mengadakan malam dinner secara berdua atas perahu dondang sayang (pakej love boat) di cruise tasik putrajaya.

Bagi merawat hati yang terluka disebabkan perkara itu tak jadi, saya tukar plan untuk buat surprise kawan baik saya. Saya menukar tiket pakej itu atas nama kawan saya bersama isteri dia tapi tarikh yang sama tetap dikekalkan iaitu tarikh hari jadi wanita yang saya cintai.

Belum pun bayaran dibuat, PKP sudah berkuat kuasa pada 18 mac lepas. Ada hikmahnya, jimat sikit duit saya untuk melalui hari-hari yang sukar sepanjang tempoh PKP.

5.) Saya sentiasa berdoa yang baik-baik buat dia walaupun saya langsung tak dapat merasai cinta dia apatah lagi ingin memiliki dan hidup bersama dia. Hampir setiap hari selain berdoa untuk saya, ibu bapa, adik beradik dan umat islam lain, saya akan sebutkan secara spesifik nama dia dalam doa saya.

Saya berdoa moga-moga Allah ampunkan dosa dia, maafkan kesalahan dia, murahkan rezeki dia, panjangkan umur dia sehingga tahun 2100,

Berikan kesihatan yang baik kepada dia, jauhkan dia dari segala penyakit, jauhkan dia dari segala malapetaka, jadikan dia wanita solenah, jauhkan dia dari fitnah dajjal, haramkan tubuh dia dari disentuh api neraka dan masukkan dia ke dalam syurga firdaus.

6.) Saya akui secara jujur hati saya agak sakit bila tidak diadili dengan baik. Tetapi saya tidak membalas dendam dengan kejahatan. Saya membalas dengan sedekah dan doa. Selain berdoa, saya pernah mewakafkan satu amal di palestin atas nama dia.

Sijil wakaf atas nama dia sudah siap. Saya juga ada wakafkan telaga air di Kemboja atas nama dia. Nanti bila telaga air tu dah siap, nama penuh dia akan terpampang atas telaga air itu.

Saya lakukan wakaf ini secara senyap-senyap. Saya berharap dengan wakaf ini pahala dia akan terus berpanjangan sehingga hari kiamat.

Saya boleh terima kalau orang lain nak cakap saya b*d*h sebab terlalu mengemis cinta kepada yang tak sudi. Saya akui kesilapan saya yang terus meletakkan cinta saya sepenuhnya kepada dia walaupun dia sudah reject saya sejak dari awal lagi.

Saya nak ajak anda semua kepada beberapa pengajaran yang kita semua boleh ambil iktibar daripada kisah benar saya.

1.) Belajar dari kesilapan saya. Bila seseorang sudah reject kita, tak perlu tunggu masa yang terlalu lama untuk move on.

Walaupun saya sendiri mempunyai alasan tersendiri untuk sukar move on disebabkan tidak diadili dengan sebaiknya, dengan pengalaman saya sendiri, lagi lama untuk move on, lagi sukar hati ini untuk terubat.

Kalau masih nak berharap dan tunggu sekalipun, bila si dia sudah membuat keputusan ingin mengahwini orang lain, anda wajib terus move on.

2.) Tidak perlu nak balas dendam jika si dia membuat keputusan reject anda. Tidak perlu nak upah orang kenakan dia, tak perlu nak upah bomoh untuk jahanamkan dia dan tak perlu nak burukkan dia dan pasangan pilihan dia sebab perkara itu akan membawa keburukan yang lebih besar.

Anda semua jauh lebih bertuah daripada saya sebab sekurang-kurangnya walaupun dia tidak menerima lamaran anda, anda pernah berkawan dan mengenali dia.

Walaupun anda berdua tiada jodoh sebagai suami isteri, anda boleh manfaatkan sebagai hubungan kawan. Malah hubungan kawan boleh dimanfaat untuk banyak perkara seperti bina silaturahim dengan pasangan si dia, bina rangkaian kerjasama projek, urusan kerja dan urusan bisnes.

Anda berdoa baik-baik sahaja untuk dia. Jika si dia sudah mengikat tali pertunangan dan perkahwinan, tidak perlu runtuhkan hubungan mereka dan berdoa baik-baik buat mereka.

3.) Satu perkara paling bernilai yang saya dapat adalah pentingnya kita bersikap adil kepada semua orang. Arahan bersikap adil ini datang daripada Allah dan disebut banyak kali dalam Al Quran. Sesama musuh islam pun kita kena bersikap adil apatah lagi sesama saudara muslim kita.

Melalui wanita yang saya cintai, Allah ajar saya bagaimana rasanya bila tidak diadili dengan sebaiknya. Saya bersangka baik dengan apa yang berlaku. Mungkin saya dulu pernah bersikap tidak adil dan menzalimi orang lain dan mereka berdoa kepada Allah dan Allah makbulkan doa mereka.

Hasilnya, melalui wanita yang saya cintai ini, Allah ajar saya bagaimana perit rasanya bila tidak diadili dengan sebaiknya.

Disclaimer: Saya tidak mengatakan wanita yang saya cintai itu adalah orang yang jahat. Dia adalah manusia yang mempunyai kebaikan yang sangat banyak (perkara ini diakui oleh ramai kawan dia) dan dia juga seorang anak yang taat serta wanita yang solehah.

Tetapi sebagai manusia biasa, dia juga tidak lari dari kesilapan sama seperti saya yang tidak lari dari kesilapan. Hanya satu sikap tidak adil kepada kepada saya seorang atas satu isu sahaja tidak menggambarkan dia orang yang jahat.

Akhir kata, anda jadikan kisah benar saya sebagai pengajaran dan nasihat berguna untuk ped0man hidup anda.

Kepada wanita yang saya cintai, jika awak ada terbaca bebenang (thread) ini dan merasakan kisah ini berkenaan kita berdua, jangan risau, saya buat cerita ini bukan untuk pujuk awak untuk terima saya sebab awak dah pun buat pilihan awak sendiri.

Nasihat saya, bersikap adillah kepada suami awak bila awak dah berkahwin nanti.

Saya tiada rezeki untuk membuktikan saya boleh jadi seperti Khuzairi yang mencintai isterinya dengan sepenuh jiwa hatinya, Mia Adriana seperti dalam drama 7 hari mencintaiku.

Khuzairi lebih bertuah daripada saya walaupun dia sudah menyimpan perasaan suka sejak sekian lama kepada Mia dan Mia tidak pernah suka kepada Khuzairi bahkan pada awal perkahwinannya dengan Khuzairi.

Tetapi pada akhirnya Khuzairi berpeluang juga memiliki Mia dan berjaya hidup bahagia bersama Mia. Mungkin awak bukan Mia Adriana yang Allah tetapkan untuk saya.

Tetapi andai satu hari nanti Allah tetapkan awak adalah Mia Adriana untuk saya, percaya dan yakinlah saya akan jadi seperti Khuzairi untuk awak.

Kalau bukan saya jodoh awak, awak jadilah sepeti Sofi yang menerima dan mencintai suaminya, Helmi walaupun dengan serba kekurangan yang Helmi ada pada awalnya.

– Nama dirahsiakan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *