Kisah ini merupakan pov seorang anak pertama yang hidup membesar selepas perceraian ibubapa.
Saya Abu, bukan nama sebenar. Merupakan anak lelaki pertama dari 5 beradik. Saya ada adik kembar (kandung/ seibu dan sebapa) dan 2 orang adik lagi hasil perkahwinan bapa dengan mama tiri.
Ibu dan bapa bercerai masa saya umur 5 tahun. Bapa ceraikan ibu ketika adik kembar saya baru berusia setahun.
Saya tak tahu punca perceraian mereka dan kalau saya tahu sekalipun saya tak berhasrat nak kongsikan di sini. Saya nak cerita pengalaman hidup saya membesar dalam keluarga yang bercerai ni.
Selepas ibu dan bapa bercerai, ibu bawa saya dan adik-adik tinggal dengan atok dan nenek. Rumah kami selang beberapa buah saja jadi nak mudahkan urusan ibu menguruskan kami yang masih kecil, ibu ajak duduk dengan atok nenek.
Bapa pula seingat saya lepas beberapa ketika berkahwin lain dan menyewa dalam daerah yang sama. Hak penjagaan sepenuhnya diserahkan kepada ibu jadi masa weekend itu pun sebulan 2 kali je kami akan spend masa dengan bapa. Dan masa cuti sekolah akan balik ke kampung bapa.
Tinggal dengan atok nenek ni seronok sebab kadang-kadang hujung minggu sepupu saya yang tinggal di bandar akan balik kampung. Jadi kalau weekend tu tak balik rumah bapa kami ok je sebab ada sepupu nak bermain.
Sebenarnya saya lebih suka bila sepupu saya balik sebab boleh tumpang kasih paklong saya (abang ibu). Abang ibu ialah seorang yang menyempurnakan sosok ayah yang hilang dalam keluarga kami.
Walaupun bapa layan dan jaga kami dengan baik, tapi tak seperti paklong. Bila balik rumah bapa, tumpuan bapa lebih kepada keluarga baru. Lagi-lagi bila adik-adik lahir (anak bapa dengan mama tiri).
Kami balik sekadar tidur, tengok tv di rumah. Sentuhan seorang bapa tu tiada. Contohnya kalau paklong saya balik, dia akan baring di ruang keluarga di rumah atok dan saya akan nampak sepupu saya baring atas lengan paklong sambil paklong sembang2, gurau senda.
Kadang-kadang paklong nak repair apa-apa kat rumah atok tu paklong akan ajak anak dia sekali dan terangkan satu-satu.
Paklong suka mengemas rumah atok setiap kali balik jadi dia akan ajak anak dia sekali tolong dan moment begitulah saya suka join sekali sebab paklong akan tunjuk ajar dan bergurau senda.
Paling saya suka bila paklong ajak pergi surau. Saya dan adik-adik memang seronok kalau dapat ikut paklong dan sepupu saya tu.
Sepanjang saya membesar di bawah jagaan bapa, saya tak pernah nampak bapa saya solat apatah lagi bawa saya ke masjid/surau.
Dulu masa kecil saya selalu memberontak ajak ibu bawa saya ke surau tapi ibu kata ibu tak boleh bawa. Masa tu tak faham lagi jadi saya akan rasa marah dan sedih. Ibu selalu bagi alasan.. tunggu paklong balik baru boleh pergi surau.
Saya belajar solat jumaat pun bila usia saya dah nak menginjak sekolah menengah. Bapa tak pernah bawa saya ke surau dan ajar saya semua ni.
Cerita pasal cuti sekolah pula. Saya selalu cemburu dengan sepupu saya sebab bila bercuti keluarga dia lengkap. Dia tak perlu berbelah bahagi nak ikut siapa. Maklong dan paklong sentiasa bersama. Tapi kami… Kami jadi rebutan.
Bapa akan mengamuk kalau ibu tak bagi kami balik ikut dia dan ibu pula akan bergaduh dengan bapa sebab dia pun nak bawa kami bercuti dengan family dia.
Bab bercuti ni ibu selalu bagi alasan tak boleh bawa pergi jauh kalau paklong takde. Sebab ibu tak boleh nak handle kami bertiga seorang diri. Jadi kena ada paklong sebab paklong boleh jaga kami.
Atok nenek pun kata kalau nak bercuti kena ajak paklong sekali sebab nanti siapa nak drive kereta jauh-jauh? Ibu tak berani drive, atok dah tua. Semua kena harapkan paklong.
Maklong pula jarang dapat cuti jadi bayangkan susahnya kami nak pergi bercuti dengan ibu sebab perlu harapkan orang lain. Itu yang kami selalu balik kampung bapa. Walaupun ada mama tiri tapi tetap tak sama dari segi layanan, perhatian dan kasih sayang.
Untuk lengkapkan kekurangan yang kami ada, Ibu selalu belikan kami macam-macam. Bapa pula akan umpan dengan benda benda yang best yang Ibu tak boleh beri.
Saya paling benci bila Ibu tanya tanya saya bapa belikan apa. Seolah-olah ibu nak compete dengan bapa siapa yang boleh bagi lebih kat anak-anak. Akibatnya adik-adik saya jadi seorang yang susah dikawal.
Kalau nak sesuatu dan sekiranya tak dapat benda tu, adik-adik saya akan memberontak menangis sampai Ibu, atok dan nenek mengamuk. Ibu akan beli apa saja adik adik nak. Kadang-kadang sampai membazir.
Atok dan nenek selalu marah ibu beli benda bukan-bukan. Mainan yang Ibu beli selalu tak tahan lama dan bila rosak adik-adik bergaduh.
Bila bergaduh Ibu akan bising dan mengamuk. Adik-adik pula jenis yang menangis susah dipujuk. Kadang berjam jam menangis dan mengamuk sampai atok nenek pun marah.
Ayat nenek yang paling pedih sekali bila dia sebut, “budak budak ni jangan bawak dah pergi mana-mana kalau jenis tak reti nak dengar cakap. Kalau menangis tu sampai 1 kampung dengar. Tak payah beli apa pun tak payah bawak berjalan.”
Dan itulah yang terjadi. Orang tak suka bawak kami berjalan ke mana-mana. Ibu kalau pergi shopping mall, dia akan keluar seorang atau dengan kawan-kawan dia. Kami kena tinggal dengan atok nenek.
Disebabkan tak biasa keluar berjalan ke mall, bila sekali sekala paklong bawak, kami jadi perak. Adik-adik tak boleh behave. Maklong selalu pandang sinis dekat kami sebab rimas bawak kami adik beradik yang tak reti nak behave.
Adik pernah melalak 1 mall sampai kena heret keluar dengan ibu. Memang memalukan masa tu sampai nenek mengamuk cakap kat ibu, lepas ni jangan bawak dah kami ke mana-mana.
Hati kecil saya masa tu sedih sangat. Saya baru darjah 3 tapi saya dah dengar macam-macam orang sekeliling cakap pada kami.
Kadang saya sendiri tak faham kenapa kami kena marah, kenapa kami tak boleh hidup normal macam orang lain. Adik-adik masa tu masih kecil dan saya faham dorang pun tak pandai nak proses perasaan sendiri.
Saya pernah dengar maklong cakap kat sepupu saya. Sepupu saya ni memang behave. Budak bandar katakan. Bila kami adik beradik bergaduh ke mengamuk ke, maklong akan tarik sepupu saya tu bawa lari masuk bilik supaya tak terlibat dengan kami.
Saya dengar maklong cakap, “Bila dorang bergaduh abang kena diam, behave je depan atok nenek. Atok nenek sayang cucu yang behave. Kalau dorang panjat sofa atok nenek, abang jangan buat. Biar dorang je kena marah dengan atok nenek. Atok nenek tak suka sofa rosak jadi abang jangan rosakkan.”
Tak dinafikan sejak kami tinggal dengan atok nenek, banyak barang dalam rumah tu rosak. Ibu pulak jenis tak peduli jadi paklong la yang akan repair semua tu. Nampak tak perbezaan didikan keluarga saya yang berpecah belah dengan sepupu saya.
Maklong dan paklong tu memang sentiasa make sure sepupu saya tu behave, cakap baik baik dengan atok nenek. Sedangkan kami membesar dengan menyaksikan hari hari Ibu bergaduh dengan atok nenek. Mostly bergaduh sebab kami. Ada saja tak kena pasal didikan Ibu kat kami di mata atok nenek.
Walaupun atok nenek macam tu, tapi kami sayang dorang. Tanpa atok nenek, ibu mungkin terkontang kanting seorang diri selepas bercerai. Atok la figura ayah pengganti bapa di rumah. Tapi sebab atok dah terlalu tua, kami banyak terlepas moment daddy-son yang sebenar. Hanya paklong tempat kami menumpang kasih.
Nenek pula dalam garang2 dia, nenek la yang ajar kami solat dan mengaji. Kalau tak sebab nenek yang paksa, Ibu dan bapa mungkin hanya serah kat sekolah untuk kami belajar sendiri Bab solat dan mengaji. Kami tak dapat semua tu dari ibu dan bapa kami.
Banyak lagi nak cerita tapi sampai di sini dulu. Saya rindu ada keluarga yang sempurna. Tapi semua tu sampai bila-bila saya tak akan dapat.
Saya cuma berharap Ibu bapa yang bercerai untuk ambil iktibar kisah saya ni. Apa pun alasan korang nak bercerai, jangan lupa ada anak-anak yang membesar dengan penuh luka.
– Abu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
semoga Allah kurniakan bahagia dalam ujian yg Abu hadapi skrg.. InshaAllah, jika Abu seorang lelaki yg sudah dewasa, semoga Allah hadirkan suri hati yg dpt memberi rasa bahagia keluarga sempurna pada keluarga kecil Abu nnti..
Apa yg Abu patut bersyukur adalah Abu & adek2 menjadi “rebutan” ibubapa , kelihatan seperti mereka berlumba memenangi hati anak2. Daripada terabai kesan dr penceraian seperti anak dr broken family lain. Walaupun hati terluka, masih ada sisi baik kan.