Assalamualaikum. Cahaya, ada sebuah kisah yang saya nak kongsikan.
Ada seorang anak yang di besarkan dalam sebuah keluarga yang susah. Susah kerana bapanya tidak bekerja serta gemar berjudi. Sementara ibunya seorang suri rumah dan beliau mempunyai adik-beradik yang ramai.
Sewaktu berusia 10 tahun, ustazah di sekolahnya bercerita tentang hukum berjudi dan memakan hasil dari judi itu. Anak ini sangat terkesan dengan penyampaian ustazahnya dan takut sekali menjadi penghuni neraka di sebabkan dia di besarkan dari sumber wang haram.
Sejak itu die tekad menegur bapanya, namun sebagai seorang anak, nasihatnya tidak di endahkan, malahan, selalu sahaja dia di katakan anak derhaka sebab seolah-olah mahu mengajar ayahnya sendiri.
Sejak dari itu, dia bertekad tidak mahu memakan harta yang haram. Anak ini bekerja dengan seorang peniaga setiap hari selepas balik ke sekolahnya. Dengan duit itulah dia buat belanja sekolahnya, membayar yuran persekolahannya, malahan, kadang-kadang membantu ibunya memberi barang keperluan dan berkongsi dengan adik-adiknya. Dia bekerja sejak dari kecil sehinggalah sampai tamat persekolahan. Dia tekad tidak mahu memakan harta yang haram. Kadang-kadang ayahnya menang loteri dan memberikan anak-anak hadiah tetapi dia tidak mengambilnya. Dan itu sering menambah lagi persengkataan dengan ayahnya. Anak ini sanggup berpuasa serta mengikat perut dari menjamah makanan di rumah seandainya dia tahu ianya hasil wang judi. Tetap, kasih seorang anak mendoakan ayahnya sentiasa berubah. Di takdirkan Allah ayahnya jatuh sakit dan hanya terlantar di katil, anak ini sudah belajar di universiti ketika itu. Di sebabkan sakit ini ayahnya mula berubah serta bertaubat dari perbuatannya. Ayahnya mula solat serta mengisi waktu dengan ibadah sunat.
Selang 2 tahun, ayahnya meninggal dunia. Dan ketika ayahnya sedang menghadapi sakaratul maut, ayahnya dengan sendirinya mengucap kalimah syahadah. Perkara ini di saksikan sendiri oleh setiap ahli keluarganya.
Dan anak ini masih belajar di universiti sambil bekerja sambilan mengangkut pasir di kilang hardware. Sejak ayahnya jatuh sakit dialah yang memberikan wang kepada ibunya untuk perbelanjaan keluarga serta persekolahan adik-adiknya. Memang tidak banyak tetapi rezeki yang berkat itu sentiasa mencukupi.
Di hari kematian ayahnya, anak ini mengeluarkan semua simpanannya untuk menguruskan jenazah. Dari kain kafan serta pengurusan di bayar dengan wang simpanannya sendiri. Dia menganggap ianya sebagai tanggungjawab seorang anak kepada ayahnya. Tambahan pula dia seorang anak lelaki. Yang paling penting ianya wang halal hadiah terakhir buat ayah tercinta.
Hari ini, anak ini merupakan seorang jurutera berjaya. Gajinya mencecah puluhan ribu. Dia juga anak yang paling berjaya serta paling banyak berjasa. Bukan sahaja kepada ibu malahan selalu membantu adik-beradiknya yang kesusahan.
Semoga cerita ini menjadi pengajaran buat semua. Tentang tanggungjawab seorang anak mendoakan kedua ibu bapanya. Yakinlah tidak ada apa yang mampu kita ubah melainkan dengan doa dan keizinan Allah. Doa itu senjata orang mukmin. Bukankah Allah berjanji "Berdoalah kepadaKu nescaya akan Aku perkenankan kepadaMu." Cepat atau lambat itu bukan urusan kita. Yang menjadi tanggungjawab kita hanyalah terus mendoakan.
– AA