Rezeki Yang Satu Itu

Assalamualaikum.. Terima kasih admin kerana menyiarkan confession ini.. Akhir-akhir ini, banyak confession berkaitan zuriat, dan ini juga adalah salah satu daripadanya.

Aku berumur 29 tahun, seorang penjawat awam di sebuah bandar, telah berkahwin 3 tahun. Suami pula berumur 35 tahun dan kami masih belum dikurniakan rezeki yang satu itu iaitu zuriat.

Mungkin masih terlalu awal untuk aku mengeluh kerana usia perkahwinan kami masih setahun jagung. Padahal beratus bahkan beribu pasangan di luar sana yang masih menunggu dikurniakan rezeki yang satu itu selama 5 tahun, 10 tahun, malah berbelas-belas tahun.

Ya, aku seperti isteri-isteri tipikal melayu di luar sana yang mengharapkan untuk dikurniakan zuriat di awal perkahwinan. Jika boleh, biarlah bunting pelamin.

Tapi siapa aku untuk menentukan semua itu? Semuanya Allah SWT yang menentukan. Ibu bapa ku memang memahami, tidak pernah memaksa. Ibu mertuaku juga tidak pernah memaksa tetapi sering memberikan ‘hint’.

Sepanjang 3 tahun di alam rumahtangga, bermacam-macam usaha aku dan suami telah lakukan. Berurut, buah zuriat, jamu, supplement, semua sudah dilakukan.. Kami suami isteri merahsiakan semua usaha yang kami lakukan dari ibu bapa dan mertua.

Pada tahun kedua, aku pujuk suamiku untuk kami melakukan pemeriksaan kesuburan. Scan, blood investigations, sperm count, u name it! We went it all.

Akhirnya, setelah semua ujian dilakukan, kami berjumpa doktor paka dan Keputusan yang kami terima agak kurang menyenangkan. Bukan kurang tetapi memang mengecewakan!

Aku disahkan mempunyai masalah kongenital bicornuate uterus (boleh google) dan suami pula disahkan mempunyai masalah non-obstructive azoospermia (boleh google juga).

Rawatan untuk aku mendapatkan anak adalah menjalani operation, tapi suami pula, setakat ini masih belum ada rawatan untuk masalah tersebut.

Berita ini kami terima dengan hati terbuka. Untuk seminggu pertama selepas berjumpa pakar, kami cuba untuk menjalani kehidupan kami seperti biasa. Tapi, terbangun tengah malam, menangis, mengurungkan diri di bilik seharian, termenung, semua ini tetap kami alami.

Namun tidaklah berpanjangan kerana kami percaya, Allah tidak membebani seseorang di luar kemampuannya. Allah pasti merencanakan sesuatu yang hebat buat kami berdua.

Aku bersyukur dikurniakan suami sehebat suamiku ini, seorang yang kuat dan penyabar. Hidupku dikelilingi insan-insan yang baik. Dari ibu bapa hinggalah ke ipar duai, semuanya supportive, semua cuba untuk menjaga hatiku.

Alhamdulillah, ini rezekiku. Berlapang dada dan bersangka baik dengan setiap ujian Allah, percayalah, itulah kunci kebahagian dan ketenangan hati.

Aku redha jika kami tidak dikurniakan rezeki yang satu itu kerana aku sedar, bukan itu satu-satunya rezeki yang boleh membuatkan kita bahagia di alam rumahtangga.

Doakan aku dan suami sentiasa kuat menghadapi ujian ini, kerana aku tahu, Allah sayangkan kami, pasti Allah akan memberikan rezeki yang lebih baik sesuai pada masa dan ketika.

InshaaAllah, kami akan cuba untuk minta second, third opinion dari tempat lain untuk masalah kami. Aku doakan semoga pasangan suami isteri di luar sana yang mengharapkan zuriat, dipermudahkan urusan kamu dan jangan sesekali lupa, tetaplah percaya dengan ketentuan Allah.

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *