Rindu Yang Tiada Penghujungnya

Bulan Ramadhan kunjung tiba, tak lama dah seminggu lagi sahaja. Perasan atau tidak, rasanya macam baru sebulan atau dua bulan lepas menyambut Hari Raya.

Masih segar lagi dalam ingatan suasana Ramadhan dan Raya yang lepas. Sekarang masa berlalu sangat pantas sehingga kita tak sedar ianya dah berlalu. Hari-hari yang dilalui pun kadang tak cukup masa.

Keberkatan masa itu sedikit demi sedikit mungkin Allah dah tarik sehingga umur kita secara tak sedar juga semakin menua. Sekejapnya ia berlalu.

Ya Allah, aku rindu. Aku rindu kepada hidup ku yang dulu. Aku rindu zaman kanak-kanak ku. Aku rindu zaman sekolah ku.

Aku rindu semasa zaman Universiti ku. Walaupun aku extend setahun, tetapi aku happy. Waktu itu banyak sekali keindahan kebahagiaan yang berlaku.

Ingat lagi atok pernah bawa aku jalan-jalan menaiki motor kapcainya bersama cucunya yang lain. Ke sana ke sini menggembirakan kami.

Di bawanya ke gerai roti canai Pak Tam di persimpangan kampung yang menghubungkan kampung kami dan kampung-kampung lain.

Atok, selalu balik dari kerjanya tak pernah miss membawa ole-ole untuk santapan cucu-cucunya. Hari ini lain, esok lain, sehingga setiap jam 5 petang kami menanti atok pulang.

Bila kami cucu-cucunya ini demam atau sakit, atok dan nenek sentiasa ziarahi kami semua melihat perkembangan kesihatan.

Kini, baru ku sedar sudah tujuh kali sambutan Hari Raya tiada atok di sisi. Jelas, kami rindu atok sampai bila-bila.

Kemana sahaja atok pergi, nenek sentiasa di sisi. Mereka umpama merpati sejoli. Tidak pernah berenggang. Sehinggakan hari akhirnya atok rebah, nenek di sisi temani.

Ibu, seseorang yang kuat, kuat semuanya. Tulang belakang keluarga kita. Peneman ayah selamanya. Jam 3 atau 4 pagi setiap hari ibu bangun siapkan segalanya untuk suami dan anak-anaknya.

“Ujang, bangun jang! Pergi teman ayah, atok dan nenek kau tu menorah”. Ibu, ujang mengantuklah ibu, boleh tak ujang taknak ikut.

“Kau jangan nak mengada ya jang, karang ibu cubit kau, baru kau tahu!”. Ok lah ibu, ujang bangun.

Ibu akan cuba sediakan sarapan untuk anak-anaknya susah macam mana sekali pun.

“Ujang, Una, Uni, Soleh, ni makanan kamu ibu dah bungkuskan untuk bawa pergi sekolah”. Terima kasih ibu, jawab kami.

Nasi goreng kosong, ubi rebus, lempeng, parata, roti goreng telur, nasi lemak, karipap inti keledek, sedap sangat ibu masak. Berlinangan air mata ku sambil menaip confession ini.

Pernah dulu semasa aku berumur lapan tahun, aku belajar hisap rokok. Aku cuba-cuba, kemudian ibu tahu.

Ibu membelasah aku sekuat hati, ibu kesal dengan perbuatan aku. Ibu terajang aku, ibu lempang aku sehingga aku terjatuh di lantai dan menyebabkan bibirku pecah.

Marah sungguh ibu kepada aku. Tapi itu pengajaran yang berguna untuk aku dan sampai sekarang aku meninggalkan perkara itu. Terima kasih ibu.

Ibu semakin tua, ibu dah tak berapa sihat. Tapi ibu sentiasa menunjukkan dirinya kuat. Aku tahu ibu rindukan aku dan semuanya. Ibu rindukan cucu-cucunya juga.

Kami sentiasa sibuk dengan urusan dunia. Maafkan kami ibu, ampunkan dosa kami ibu.

“Ujang, kau dengan Una naik basikal pergi sekolah, Ayah bawa Uni dengan Soleh. Hati-hati naik basikal tu”. Ya Ayah.

Ayah, pengorbanan mu tiada sempadannya. Walaupun kau tak sihat, kau gagahkan juga mencari rezeki menyara kami semua.

Siang dan malam ayah kerja. Tak pernah putus menyediakan sebaik mungkin untuk anak-anak dan isterinya. Siapalah kita tanpa ibu dan ayah kita. Janganlah sampai meninggikan suara kepada mereka.

Pernah ada funfair di pekan, Ibu dan Ayah bawa kami ke sana. Menunggang dua motosikal berboncengan.

Aku bersama Ibu dan Soleh. Ayah membawa Una dan Uni. Susah macam mana sekali pun, Ibu dan Ayah tetap menggembirakan kami.

Sebagaimana ibu, ayah pun begitu juga. Ayah dah tak segagah dulu, ayah dah mula sakit-sakit. Sekejap batuk, sekejap demam, sekejap sakit pinggang.

Ayah, ujang masih perlukan ayah. Ujang masih perlukan ibu. Tanpamu ujang tiada tunjang.

Dahulu, aku ingat lagi waktu itu hari Jumaat, dalam jam dua belas tengah hari ayah pulang dari kerja untuk menunaikan solat Jumaat. Dalam perjalanan pulang ayah kemalangan motosikal sehingga menyebabkan kaki ayah patah.

Belum lagi sembahyang Jumaat bermula, pakcik mengangkat aku dan bawa aku balik terus sebab mendapat perkhabaran yang ayah kemalangan.

Ayah dua bulan juga tidak kerja sehingga sembuh, ayah kerja borong, jadi tiada pendapatan.

Sungguh pun begitu, bantuan dari jiran tetangga dan keluarga terdekat tetap ada. Ibulah yang menjadi ketua kelurga sementara sebelum ayah sembuh.

Hebatnya ayah, hebatnya ibu.

Pada saat ini setiap kali Ramadhan menjelma aku akan merasa sedih. Sempatkah lagi aku bersama mereka pada tahun mendatang.

Aku tahu ayah dan ibu merasa begitu. Begitu juga adik-beradik ku. Oh tirai, cepatlah terlerai. Menyambung semula ikatan rindu. Semoga kita semua bersatu. Air mata kian berjurai, teringat kisah kita yang lalu.

Baru ku tahu, inilah rindu, rindu yang tiada penghujungnya. “Maafkan Ujang Ibu, maafkan Ujang Ayah, maafkan Ujang semua”.

Maafkan Ujang sekiranya raya buat kali ini Ujang tak dapat balik lagi. Ujang rindu semuanya.

Rindu Ujang tiada penghujungnya..

– Ujang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *