Rumah Kecil Di Dalam Syurga

Hi, Assalamualaikum. Aku seorang anak perempuan berusia 27 tahun.

Sedang menjaga kedua ibu bapa yang kurang sihat yang memerlukan sokongan dari segi fizikal dan mental untuk menjalani kehidupan seharian.

Berdasarkan seperti tajuk. Setiap manusia mengimpikan syurga. Cuma kadang-kadang kita rasa kita tak layak untuk memilikinya.

Jadi cukuplah hanya rumah kecil di dalam syurga asalkan ia berada di dalam syurga.

Jadi bagaimana cara untuk kita mengapai syurga itu? Walau hanya memiliki sebuah rumah kecil di dalamnya?

Sebagai seorang perempuan aku juga berimpikan sebuah kebahagiaan di dalam sebuah perkahwinan.

Tetapi aku punya tanggungjawab yang besar terhadap ibu dan ayahku. Walau tanggungjawab itu bukan 100% tergalas di bahuku. Ia digalas oleh kesemua anak-anak.

Tetapi disebabkan aku si bujang jadi aku mengalasnya lebih.

Bukan sebuah paksaan tetapi itu adalah keinginanku. Aku serahkan seluruh jiwa dan ragaku untuk ibu dan ayahku.

Ya, aku juga teringin untuk berkahwin saat melihat sahabat dan saudara seusiaku berkahwin dan berkeluarga tapi aku takut bila aku menjadi seorang isteri.

Aku tak mampu menjadi seorang anak yang baik. Jadi aku simpan keinginanku rapat-rapat.

Selalu aku berbisik di dalam hatiku. Mak ayah mereka sihat. Mereka tak ada tanggungjwab yang berat seperti aku.

Adik-beradik ku yang lain semuanya sudah berkahwin.

Mereka anak yang baik yang sedaya upaya menjalankan tugas sebagai seorang anak kepada ibu dan ayah yang kurang sihat tapi masa mereka sangat terbatas.

Aku nampak kesungguhan mereka dengan batasan masa itu.

Mereka juga ada tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak. Tak boleh nak focus 100% terhadap ibu ayah. Tak boleh nak balik lama-lama rumah ibu ayah.

Tak boleh balik selalu sebab tinggal jauh di negeri lain. Nak kena bahagi masa antara keluarga suami dan keluarga sendiri seadil-adilnya.

Sebagai anak perempuan tanggungjawab menjaga ibu ayah bukan tergalas di bahuku.

Tak berdosa pon andai aku tak mahu jaga. Itu adalah tanggungjawab anak lelaki. Anak perempuan hak seorang suami. Dan itu yang menakutkan aku.

Aku mengharap sangat untuk menjaga mereka sehabis baik aku mampu di waktu-waktu tua mereka.

Aku pon tak pasti berapa lama lagi Allah pinjamkan mereka untuk aku. Jadi aku nak buat yang terbaik.

Tapi aku terpaksa korbankan keinginan aku untuk berkahwin sebab cukup ke masa untuk menjadi seorang isteri, seorang ibu, seorang anak dan seorang menantu dalam masa dunia yang sangat cepat ini?

24 jam itu terasa sekejap sahaja. Itu tak termasuk lagi suami yang tak memahami.

Hidup ini adalah kifarah. You reap what you sow. Apa yang kita buat, kelak itu yang akan kita dapat kembali.

Aku takut dalam aku mengejar title isteri mithali aku mengabaikan ibu dan ayahku.

Kelak anak-anak akan lakukan hal yang sama terhadapku. Mengabaikan aku demi suami tercinta.

Aku bukannya takut berlebih-lebihan. Belum kahwin lagi tak tahu lagi kan. Tapi kalau kahwin dapat suami yang baik yang tak kisah aku nak menjaga kedua ibu ayahku syukurlah.

Tapi kalau aku dapat sebaliknya? Tak kan nk cerai. Demi cinta kadang manusia jadi buta hati buta mata. Sanggup abaikan yang lain demi cinta. Aku tak nak jadi mcmtu.

Allahu. Tidak mengapalah, Aku sanggup korbankan keinginan aku atas dunia ini untuk impian aku yang lebih besar lagi di akhirat nanti.

Semoga Allah menjaga dan menemani aku walau aku terpaksa hidup sendirian nanti. Aku hanya menginginkan syurga walau hanya memiliki rumah kecil di dalamnya.

Kadang tengok life orang yang serba sempurna. Memiliki semuanya. Ibu ayah sihat, suami sempurna aku jadi cemburu tapi cepat-cepat aku tepis. Mungkin ganjaran aku di akhir sana.

Doakan aku dan aku juga doakan kalian semua peroleh syurga yang tertinggi.

Sekian.

– Sari (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *