SCHIZOPHRENIA . Perlu ke korang amik tau?

Aku perasan, ada berulang-ulang kali juga beberapa confession mengenai betapa menderitanya seseorang yang menghidap penyakit mental. Tentang masyarakat yang memandang serong terhadap pesakit ini.

Tapi, aku bukan penderitanya. Aku seorang adik kepada seorang kakak dan abang, yang keduanya menghidap schizophrenia. Kakak aku hampir 13 tahun sebagai penghidap manakala abang hampir 8 tahun sebagai penghidap. Sejak dari awal hingga kini, mereka tidak pernah dibenarkan untuk meninggalkan ubat setiap hari dan temujanji doktor setiap bulan. Tapi seringkali juga mereka “relapse” yakni, terhalusinasi dan terdelusi dalam beberapa tempoh paling minima 1 bulan, maksima hampir 1 tahun berada dalam “dunia” mereka.

Aku tau, mereka tak pinta pun penyakit ini menghinggapi mereka. Aku percaya, ada sesetengah orang berpendapat lebih baik sakit darah tinggi dan kencing manis, berbanding sakit “gila” sebegini.

Sebagai adik, sejak kecil lagi aku sudah puas melihat pelbagai kerenah kakak dan abangku apabila mereka “relapse”. Pada awalnya, aku tak faham penyakit apakah ini? Bagi melayu Islam tipikal, ini adalah penyakit “gila isim” atau “buatan orang”. Bukan kami tak berusaha pelbagai cara untuk merawat mereka. Kau tanya cara apalagi yang belum dibuat? Bagi aku paling teruk adalah apabila seorang ustaz memukul tubuh abangku dengan sebatang kayu halus sambil berzikir dan beruqyah. Walau kayu nya kecil , namun akibat pukulan tak henti² selama hampir 1 jam, tubuh abang berbirat. Ye, abang aku tak rasa sakit sebab dia memang sedang “sakit didalam”, tapi kenapa harus menambahkan lagi kesakitannya? Cukup, aku rasa sedih sangat tengok keadaan abangku sewaktu itu.

Dan kerana sudah jemu dengan cara rawatan alternatif yang banyak menyalahkan “jin” dan “saka” padahal tiada bukti yang jelas , ayahku lebih terdorong untuk konsisten dengan rawatan hospital dari pakar psychiatry. Alhamdulillah, kakak dan abang lebih terkawal dengan syarat jangan pernah langgar arahan doktor. Sesekali kakakku cuba untuk melanggar, akibatnya dia “relapse” kembali. Aku tidak ingin berbicara mengenai ubat-ubatan hospital, kerana aku bukan ahli dan pakar. Aku percaya pada kredibiliti doktor. Ada penjelasan saintifikal – aku tak pandai nak jelaskan . Bertanya pada pakar.

Aku khabarkan disini, individu yang menderita schizophrenia ini, bukanlah individu yang sama sewaktu mereka normal dan sebelum sakit. Selepas mereka mengetahui dan menyedari bahawa mereka adalah “pesakit mental” – maka mereka perlu bersedia atas kekurangan ini dan bersedia juga untuk menghadapi pandangan buruk dari masyarakat, bahkan ahli keluarga sendiri. Sudahlah emosi dan mental mereka amat lemah, kini menjadi bertambah lemah dan sakit.

Kakak dan abangku kerap juga bergaduh dengan ibubapa ku.Pernah juga seperti disisihkan, kami sekeluarga pun bukanlah yg terbaik, kami akui kekhilafan dan kecuaian kami memahami keadaan mereka. Aku pun biasa dah bergaduh dengan mereka, atas beberapa tindakan pelik yg mereka lakukan. Cuma kini, aku lebih banyak mengambil pendekatan bersabar dan bercakap secara baik.

Kepada ahli keluarga dan masyarakat, yg cukup “bertuah”, sini aku nak beri pesanan ikhlas :

– Jangan rasa korang dah cukup baik dan sihat sangat sampai mampu menghina penderita schizophrenia. Tiada siapa boleh memberi jaminan bahawa kita takkan ditimpa penyakit ini.
– Wahai ayah, ibu, adik-beradik dan ahli keluarga, bantu dan bimbing pesakit ini dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Mereka adalah amanah kita didunia dan akhirat. Semoga kelak, Allah tak persoalkan balik apa tanggungjawab kita terhadap mereka.
– Ambil tahu dan buat sedikit pembacaan mengenai penyakit schizophrenia. Penjelasan logik dan saintifik ini yg membebaskan kita daripada terpuruk dalam kelompok “tawakal pada air yasin” sahaja.

Kepada pesakit schizophrenia :

– Anda memang WAJIB menguatkan mental anda sendiri. Persetankan pendapat busuk masyarakat. Anggap sahaja mereka tidak faham dan tiada pengetahuan yg banyak mengenai penyakit ini berbanding anda.
– Anda memang WAJIB berusaha untuk merubah sikap buruk dan tindakan seharian anda, menjadi insan yg lebih baik dan sihat berbanding sebelumnya.
– Usah terlalu bergantung pada orang lain, USAHA untuk menjadi lebih berdikari.
– Usah terlalu melayan perasaan sedih, move on dan hadapi cabaran mendatang dengan fikiran yg lebih positif.
– Patuh pada arahan doktor. Mereka adalah ahli dan lebih faham akan penyakit anda, berbanding pendapat sangkaan² tak berhujah.
– Kita bertindak bukan atas pandangan orang terhadap kita. Kita bertindak atas keinginan kita sendiri. Percaya pada diri.
– Dekatkan diri pada Tuhan, Dia sebaik-baik tempat mengadu . Jaga solat 5 waktu, kasihi IbuBapa, hormati orang sekeliling kita.
– Teruskan mencari ILMU, dekatkan diri dengan orang² yg positif. Jauhi orang² yg negatif.

Kepada diri aku sendiri :

– Aku bersyukur dan bertuah kerana terpilih untuk diuji dengan kakak dan abang sebegini. Membuatkan aku lebih menghargai erti kehidupan dan mengajarkan aku erti kesabaran.
– Aku tak cemburu dan dengki pun dengan orang yg tak diuji sebegini. Pada aku, setiap manusia ada bahagian masing² didalam rezeki dan ujian. Kita adalah manusia HEBAT dan KENTAL bilamana mampu untuk berdepan dengan cabaran dan tidak lari dari masalah.

“kakak, abang, maafkan adik. Adik bukanlah seorang adik yg baik, tapi adik takkan berhenti berusaha untuk menjadi adik yg lebih baik berbanding sebelumnya. Adik pasang impian untuk berterusan menyedarkan masyarakat dengan perkongsian pengalaman adik ni, InshaAllah”

*Aku amat mengalu-alukan sebarang komentar, nak kritik pun boleh, takde masalah.
*Nak sharing story korang, dipersilakan ?.
*I really need some of psychiatrist/psychological explanation and opinions.

– Wisdom Hunter

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit