Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat pembaca yang bukan Muslim. Saya terlintas ingin berkongsikan serba sedikit pengalaman saya yang sudah pernah ‘berlayar’ (menjalani hukuman di penjara) melebihi 2 kali.
Jadi, bagi yang ‘kaki-kaki lama’, ‘oldest member’ sudah tentu faham bahawa saya ni merupakan salah seorang ‘bola hitam’ (bekas banduan yang telah melebihi dua kali menjalani hukuman) di atas kesalahan biasa-biasa sahaja pun..
Pertama-tama sekali, saya bukanlah dengan sengaja ingin membuka pekung di dada melainkan mudah-mudahan dengan perkongsian saya ini boleh dijadikan sebagai pengajaran, motivasi kepada para pendidik di luar sana,
Agar janganlah membiarkan anak-anak muda kita terlibat dengan sebarang jenayah sekalipun tanpa mengira bangsa dan agama.
Saya berlayar buat pertama kali adalah di penjara reman muda di Sungai Petani yakni bermaksud saya masih di bawah 21 tahun.
Para pembaca jangan pula keliru dengan penjara reman muda dan sekolah juvana. Sekolah juvana adalah untuk pesalah yang masih 18 tahun ke bawah.
Untuk kesalahan pertama, saya telah melakukan jenayah di bawah Seksyen 379A KK (Kanun Keseksaan) iaitu mencuri kenderaan yang memperuntukkan tidak kurang setahun penjara dan tidak melebihi 5 tahun penjara.
Penjara reman muda Sungai Petani tersangatlah aku paling benci sepanjang menjalani hukuman di mana-mana penjara kerana di situlah boleh dikatakan majoritinya itu pasti dibuli, dibelasah dengan teruk oleh banduan muda yang lain.
Jadi bermaksud, jikalau ada orang (samseng, bekas samseng) yang tahu kau pernah jalani hukum dari Sungai Petani, bermakna kau sudah tentu seorang yang ‘kahaq’ (hati kering). Persis kau lepasan Sekolah Henry Gurney begitulah gamaknya.
Dari situlah saya kenal ‘tengok cicak’ yang mana kau melangut ke siling dan tiba-tiba sahaja sampai penumbuk hinggap tepat di anak tekak kau! Tak bersuara sampai 3-4 hari kot..
Sparring (latihan tinju badan dari bawah tengkuk dan atas dari kemaluan) pula adalah perkara biasa di antara banduan muda ni. Lagi lebam di badan, lagi hebatlah kononnya.
Sehinggalah apabila saya telah mencapai usia 25 tahun ke atas, saya ditangkap sekali lagi atas kesalahan 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di Penjara Taiping, Perak.
Barangsiapa yang pernah berlayar di Penjara Taiping, sudah tentu tahu akan azabnya makan ‘tak korek’ (tak puas, kenyang, sikit) dan berak tong serta pasti akan ‘bawa lori’ (bawa tong najis) pada setiap pagi selepas ‘muster’ (kiraan jumlah) pagi jam 7.
Nasi kukus yang hanyalah dalam 3-4 suap sahaja, ikan jaket/keli rebus yang terkadang hancur habis isinya, sayur? Usah dicakap.. Kami panggil ‘air bateri’ (tawar, tiada rasa).
Bayangkanlah, kau duduk dalam sebilik kecil yang memuatkan hanya 3 orang maksima.. lampu terang yang menyala 24 jam, hanya ada sehelai selimut dan baju-baju kau semasa ‘muster’ saja.
Memang azab, saudara saudari sekalian.. Dengan secara automatiknya akan ingat kampung halamanlah, rumah yang terindahlah dan macam-macam lagilah yang mengimbau kembali kenangan kau di luar sana.
Ini bagi keadaan Penjara Taiping. Ada pula penjara yang menempatkan satu bilik ‘muster’ sampai 30-40 orang lebih.
Dari balik tirai besi jugalah saya seringkali menghabiskan tempoh hukuman saya dengan banyak membaca buku serta novel. Novel genre Thriller/Aksi oleh Ramlee Awang Murshid tu adalah perkara biasa bagi kalangan banduan.
Bahkan ada banduan yang sudah mengkhatam hampir belasan novel-novel karangan beliau! Sebut sahaja, Ranggau, Bagaikan Puteri, Ungu Karmila, Cinta Sufi, Sutera Bidadari, Cintaku di Harajuku, Tombiruo, Anding Ayangan, Cinta Sang Ratu dan banyak lagilah.
Itu jualah yang mampu membuatkan masa bergerak dengan pantas selain berborak dengan rakan-rakan bilik yang terdiri daripada tiga bangsa menjadi satu yakni Cina, India dan Melayu.. hehe!
Selain itu, nyanyian juga antara hiburan yang wajib sepanjang di sana. Paling top adalah lagu Halimah Janda dan Nasib Si Penagih Dadah.
Para banduan jarang sangat menimbulkan isu perkauman sesama kami. Melainkan ianya betul-betul melibatkan kes-kes besar, barulah akan menjadi pertumpahan darah tetapi jarang sangat berlaku.
Oh ya! Bagi yang bawah dua kali menjalani hukuman penjara biasanya dipanggil ‘bintang merah’. ‘Habuk’ (tembakau) pula merupakan salah satu item paling berharga di dalam penjara sana.
Habuk lebih laku dan bernilai berbanding dadah kerana ianya menjadi seolah-olah keperluan seharian buat para banduan. Jangan ditanya bagaimanakah kesemua item larangan tersebut ‘lepas masuk’ di balik tembok 15 kaki tinggi dan tirai besi ini.
Ada satu lagi ‘item berharga’ tetapi bukannya barang, iaitulah ‘adik’ ataupun ‘jambu’ (lelaki-lelaki yang comel, putih, tidak bermisai /berjanggut)! Ianya akan menjadi rebutan para tauke, Checker (ketua bilik) di setiap bilik. Untuk dijadikan apa? Faham-faham sendirilah..
Walaupun kehidupan penjara tidaklah meletihkan yakni melibatkan perbuatan-perbuatan fizikal (kecuali kawad) akan tetapi pada hakikatnya ia ‘mental torture’, ‘peer pressure’ secara perlahan.
Bayangkanlah, sudah tiada bahan lagi bacaan, tak dapat tidur dan kau melihat pula kepada rakan sebilik kau yang enak diulit mimpi…
Secara automatiknya kau akan ‘masuk air’ (otak jammed), ‘pishang’ (tak tahu hendak buat apa-apa, bosan), ‘kepala sumbat’ sampaikan terkadang mengalir air mata hangat di pipi kau yang kian berkedut tanpa kau menyedari dan minta!
Ya, ada sebahagian penjara menggunakan sistem TC (Therapeutic Community/Terapi Kekeluargaan) serta Halaqah (kelas-kelas agama/kerohanian). Tetapi, itu pun bagi yang telah pun fasa baju hijau… (akan diceritakan pada bahagian akan datang).
Saya reda dan pasrah dengan ketentuanNya pada saya. Saya yakin ada hikmah di sebalik hukuman yang telah pun saya jalani. Ini adalah suatu qadarullah yang wajib saya imani dan tak boleh dipertikaikan.
Perasaan ini akan semakin menebal dan menghantui tatkala para banduan seperti kami perlu menyambut perayaan di dalam sana.
Ditambah lagi dengan nyanyian lagu-lagu raya oleh hampir seluruh banduan di sesebuah blok pula, bayangkanlah bagaiamana suasana yang meriah bercampur sedih sangat itu berjaya mengalirkan air mata jantan sebelum pagi Syawal menjelma.
Pada pagi perayaanlah baru boleh menjamah makanan yang enak sikit. Yang istimewanya itu ada disediakan ais krim di sesetengah penjara.
Hasrat di hati ini, ingin berkongsikan lagi pengalaman-pengalaman lainnya yang terdiri daripada sesi ‘jumpa’ (lawatan keluarga), barang-barang ‘rare’ oleh Koperasi Penjara (Kopen), cara item-item terlarang berjalan persis tikus dan banyak lagi.
Di antara pembelajaran penting yang saya perolehi di balik tirai besi adalah kedekatan kau (muraqabah) kepada Tuhan Pencipta Alam itu tiada hijab, Dia sentiasa ‘membukakan tanganNya’ untuk menerima kembali hamba-hambaNya yang ingin kembali dan bertaubat.
Sebab apa saya pakai Tuhan bukan Allah? Sebab ingin sebutannya itu lebih umum buat bangsa serta agama yang lain pun memiliki Tuhan Yang Tunggal juga. Sekian sedikit coretan daripada sang Bola Hitam yang insafi diri.
– Shabir Sajiinun (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit