Suami Bukan Tempat Untuk Ditorture

Assalamualaikum, pembaca IIUM Confession yang setia, nama aku Suzie dan suami aku pula M, sudah tentu bukan nama sebenar. Aku tak pandai nak bermukaddimah, so aku terus kepada isu yang nak disampaikan.

“Suami, bukan tempat untuk ditorture”, dihentam, diherdik, dihina, diguna-gunakan, tempat untuk ambil kesempatan, dan sebagainya. Itu tempat paling tak layak untuk mereka.

Aku cerita berdasarkan pada pengamatan dan pengalaman yang aku lalui sendiri dalam menjalani bahtera rumahtangga kami yang dulunya sering bergolak atas sebab egois, feminisme, terlalu ikut perasaan, dan melawan perintah Allah s.w.t.

Kenapa aku meletakkan tajuk seperti itu? Sudah tentu aku sengaja meletak tajuk itu agar dapat menarik minat orang untuk membaca seterusnya apa yang aku kongsikan dapat menjadi iktibar terutama kepada golongan wanita yang bersikap feminisme seperti aku dahulunya.

M seorang suami yang terlalu baik dan sempurna bagi aku, seorang yang penyabar, bertanggungjawab dan lemah lembut budi bicaranya. Berbanding aku yang dahulunya agak kasar, baran tak bertempat, selfish, kuat merajuk dan sebagainya. Kami sangat opposite dari segi itu.

Ada satu peristiwa yang telah membuatkan aku untuk berubah 360º bilamana selepas aku memarah, memaki dan membelasah M kemudian aku mengunci pintu bilik kami dan menghadap cermin di meja solek. Seolah ada satu refleks sepintas lalu versi aku umpama setan menunjukkan wajah aku yang memaki hamun dan baran itu.

Terlalu hodohnya aku ketika dinampakkan seperti itu. Aku meraung dan menangis ketakutan seolah segala perbuatan aku terhadap M berlalu di screen depan mata aku. Mungkin Allah nak tunjuk kuasanya.

Sejak berlakunya peristiwa itu, aku bertaubat bahawa aku nak berubah menjadi isteri solehah dan aku nak masuk syurga Allah. Aku nak pilih mana-mana pintu syurga yang aku mahukan. Sedikit demi sedikit aku mula mempelajari ilmu-ilmu agama, ikuti usrah, mula mendekati rumah-rumah Allah dan mengikuti program-program yang ada di masjid berdekatan.

Aku sangat suka dengan hidup aku yang sekarang dan rasa tenang. Tenang setenang tenangnya. Tenangnya aku kini sehingga aku redha sekiranya M ingin kahwin lain. Dan M memang seorang lelaki yang sangat layak ke arah itu. Aku serius dengan ini.

Kita selalu sering dengar dari mulut ke mulut orang, baik orang biasa, kawan-kawan, baik pak ustaz dan ustazah bahawa “isteri adalah cerminan dari suaminya”, baik suami baiklah isterinya. Bagi aku perumpamaan ini sangat tidak tepat. Mungkin tepat bagi sesetengah golongan, tetapi ia tidak boleh dipakai sama sekali.

Suami dah baik, tapi kita tetap bersikap egois dan emosional. Wahai golongan wanita yang feminisme, berubahlah dan pelajarilah ilmu agama terlebih dahulu sebelum menentukan sesuatu. Jangan terikut emosi, dengar hanya melalui seorang asatizah sahaja dan terus menghukum suami kita.

Itulah aku dahulunya. Sehingga aku meletakkan semua tanggungjawab di bawah suami aku. Aku hanya menganggap suami perlu melayani isterinya seperti Ratu yang tidak berbuat apa-apa kerja pun di rumah.

Aku dulu terlalu obses dengan M sehingga tidak sedar aku telah menyeksanya. Aku taknak kongsikan M dengan siapa-siapa sehingga menganggap ahli keluarganya adalah halangan untuk ku juga.

Sepanjang 5 tahun pertama perkahwinan kami, M tidak pernah dapat balik beraya pada hari raya pertama bersama keluarganya atas desakan dan halangan aku. Buruknya aku dahulu. Tapi M tenang dan cool sahaja melayan kerenah isteri derhakanya ini, walaupun aku tahu hati M terlalu sakit. Cuma dia tak tunjukkan sahaja.

Bila M balik dari kerja sahaja aku terus suruh M urutkan bahu aku. Padahal aku tak buat apa-apa kerja pun di rumah. Hanya menghadap media sosial, menonton drama dan movie. Itulah rutin harian aku. Kadang-kadang M balik lewat malam juga dari tempat kerjanya. Hidup aku cuma nak mengganggu M sahaja, aku nak M menjadi pendengar setia aku.

Aku terlalu menjaga tepi kain orang, terlalu memikirkan orang. Setiap orang di sekeliling aku adalah salah. Aku sahaja yang betul. Sehingga aku tak sedar yang aku tiada kawan. M sahaja kawan paling setia aku. M sentiasa mendengar permasalahan aku, yang aku tak sedar semua itu aku cipta sendiri masalah tersebut.

M bekerja sangat kuat demi menyara aku dan memenuhi kehendak aku. Dia sanggup buat kerja part time setelah pulang dari kerja. Bila balik dalam keadaan penat, aku selalu bercerita kat M tentang mengumpat orang, mencerita permasalahan orang. M dengar sampai Dia terlelap.

Dengan baran aku, aku sering marah dia dan mengatakan yang Dia tak bagi tumpuan masa aku bercerita. Aku tak pernah concern tentang kepenatan Dia seharian bekerja. Aku tak pernah tanya pun apa masalah M samada di tempat kerja atau apa-apa sekali pun.

Setiap perbuatan yang aku lakukan berlandaskan kepada hawa nafsu semata. Aku Cuma nak M layan aku seperti ratu, seperti wanita yang bersikap feminisme.

Aku dulunya sering melewat-lewatkan solat, kadang aku sengaja meninggalkan solat. Tapi M tidak, dia seorang yang sangat menjaga solat, sangat menjaga hubungannya dengan Tuhannya. Rajin menunaikan solat di masjid, tapi aku buta dan tak nampak itu semua.

Apa yang aku nampak pada M adalah kekurangan dan keburukkannya. Padahal dialah sesempurnanya sebagai seorang suami.

Kerap sahaja M mengajak aku solat berjemaah, tetapi aku menolak, sebab aku tak suka M jadi Imam solat, M solat agak lama bagi aku (pada waktu itu). Mulalah dalam hati semasa solat “lambatnya”, Ya Allah, ampunilah dosa-dosa ku. Sekali dua sahajalah kami solat berjemaah dahulu.

Sekarang bait-bait bacaan M dalam solat membuat aku rindu, terharu dan rasa beruntung sangat ada suami seperti M. Romantiknya suami ku ini.

Dictatornya dulu aku sehingga aku melanggar perintah Tuhan dengan membuat segala keputusan. Kuasa vito terletak di tangan aku. Duit gaji dia aku ambil semua, aku hanya beri dia RM500 untuk perbelanjaan sebulannya. Selebihnya, aku banyak mengikut hawa nafsu dan bershopping.

Dictatornya aku kan, padahal ketua keluarga itu adalah suamiku, M! M melayan kerenah ku tetap dengan baik sekali walau dah bermacam-macam aku buat kepadanya. Aku pukul, belasah, tumbuk dan lempang dia hanya membalas dengan senyuman. Tak pernah secubit pun dia membalas apa yang aku buat kepadanya.

Sekecil-kecil perkara pun yang boleh diselesaikan sekelip mata aku tetap menganggap bermasalah dan pasti aku mengamuk. M hanya membalas dengan senyuman. Ya Allah, Malaikat mana yang kau datangkan kepada ku.

Sebut pasal romantik, aku terlalu nak M jadi suami yang romantik pada kata-kata dan perbuatannya. Aku nak M menjadi seperti seorang suami yang ada seperti dalam novel-novel. Sehingga aku memaksa M menjadi seperti itu. Sehingga di masjid atau tempat awam pun aku memaksa M pegang tangan aku dan cekak pinggang aku.

Jahatnya aku kerana kurang faham bab agama. Padahal M itu seorang suami yang paling romantik dan keromantikannya lebih daripada dalam novel-novel mahupun drama TV3 jam 7:30 petang tu.

M rajin mengemas dan bersihkan carporch dan susun selipar kasut di ruangan carporch tu. Masuk dalam rumah bila balik dari kerja sahaja terus susun segala bantal sofa bagi kemas, kemudian ke sinki dapur untuk cuci segala pinggan mangkuk yang ada di sinki.

Aku memang sengaja tinggalkan pinggan mangkuk cawan sudu di sinki untuk M cuci segalanya. Sebab aku kan dulu berfikiran feminisme dan aku menganggap itu tanggungjawab suami. Kesiankan M dapat isteri macam aku.

Sekarang setiap kali M balik, aku akan sambut M, minta dia duduk dan urut-urutkan bahu dia serta ambilkan dia segelas air. Aku kan nak masuk mana-mana pintu syurga.

Kepada kaum hawa yang bersikap feminisme seperti aku dulu, dan terpaling rasa kit ani betul, berusahalah untuk berubah. Janganlah kita memandang kekurangan suami kita itu sebagai kelemahannya untuk kita membentak mereka. “Suami bukan tempat untuk ditorture”. Suami pun layak untuk merajuk.

Pandanglah Dia berdasarkan sumbangan dan kebaikkannya. Nak jumpa keburukkan memang mudah sehingga segala kebaikkan yang ada padanya menyebabkan pandangan kita tertutup.

Janganlah kita bersikap dictator dan egois, sehingga menutup kepimpinan yang ada pada suami kita. Kita selalu cakap yang suami adalah pemimpin keluarga.

Bagaimana mereka nak pimpin keluarga kalau kita sendiri dah dictator dan egois serta emosional sehingga tak memberi peluang pada suami kita sendiri untuk memimpin keluarga.

Jangan jadikan kesilapan kita sebagai peluang untuk meletakkan semua beban pada suami kita. Menyalahkan suami sebab tak dapat memimpin kita kea rah lebih baik. Siapa sebenarnya yang jahil?

Alhamdulillah, tuhan memberi hidayah kepada setiap hambanya yang ingin berusaha untuk berubah.

Kini aku lebih memandang romantik itu atas kelebihan, kebaikkan dan sumbangan yang ada pada M itu sendiri seperti mencuci pinggan, membersihkan carporch, menyusun bantal sofa, melipat baju, vacum rumah, mencucikan kereta aku, mengurut aku, menjaga aku dengan baik, bertanggungjawab dan segala perbuatan dia padaku itu sangat romantik bagi aku.

Kini bila tiba hari raya sahaja aku sendiri yang ajak M balik ke rumah keluarganya. Aku sendiri yang keluarkan perbelanjaan kepada keluarga M sekali. Aku lebih bahagia bila dapat tengok M bahagia melalui senyuman dan tawanya. Manis sangat bila M senyum.

Abang, sekiranya abang terbaca luahan Suzie yang tak seberapa ini, Suzie nak abang tahu yang Suzie terlalu sayangkan abang. Suzie nak abang bahagia walau apa pun yang berlaku. Suzie minta redha dari abang ya untuk melahirkan anak pertama kita ini setelah 8 tahun kita menunggu anak ini.

Alhamdulillah, lagi sebulan sahaja keluar anak kita ni bang. Lama kita tunggu kan. Sekiranya ada apa-apa berlaku kepada Suzie semasa melahirkan anak kita ini, Suzie minta ampun dan maaf terhadap abang yang pernah Suzie lakukan sebelum ini. Suzie minta maaf zahir dan batin. Abang redha dengan Suzie ya.

– Suzie (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

4 Comments

  1. Mungkin doa M telah dimakbulkan Allah, sehingga awk tergerak hati utk berubah.. kan doa org yg ‘dianiaya’ ni makbul.. juga berkat kesabaran dia dgn kerenah awk dlu.. Wallahua’lam

  2. Hi Suzie, melampau betul perangai u dulu kan.. hahaha.. masa gi kursus kawin dulu tak absorb apa-apa ke nyah? Nasib baik lah u dpt suami yg penyabar sbb bukan semua lelaki boleh tahan dgn sikap isteri yg mengada gitu. Ada lah tu hikmahnya kenapa Allah lambatkan rezeki u jadi ibu. Nak jadi isteri atau ibu, mesti ada ilmu dulu. Title tu tak menjadikan u automatik jadi pandai menggalas tanggungjawab pun. Mesti ada kesedaran dan ilmu pada setiap fasa hidup yg berbeza. All the best, semoga u terus berusaha utk baiki diri. Jadi ibu lebih penat tau. Saja je nak warning awal-awal. Haha. Kalau u boleh didik diri jadi ikhlas, u akan berjaya!

    Satu lagi, kalau nak mintak maaf atau nak ucapkan penghargaan pada suami tu eloklah buat secara berdepan. Pegang tangan dia, tenung dlm matanya, then luahkan sampai air mata insaf u tu keluar, pastu peluk dia ketat-ketat. Maksud i, jgn la duk harap dia baca dlm page confession ni. Suami u tu sibuk buat kerja full time, part time lagi. Balik umah bersambung pulak kena cuci pinggan, kemas rumah… u ingat dia ada byk masa ke nak baca luahan online u ni?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *