Tak Payah Kesiankan Orang Single

Assalamualaikum kawan-kawan, tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan. Terima kasih admin kerana menyiarkan confession ini.

Perkenalkan diri, aku Bulan. Berusia awal 30an, belum berkahwin dan confession ini tentang luahan orang single yang berpuas hati dan selesa dengan kehidupannya sekarang meskipun belum berkahwin.

Langsung ke topik kita, apa sebab aku tulis confession ni? Haritu aku jumpa pakcik aku, perbualan tu patutnya berkisar tentang penyakit dia. Eh alih-alih bukak topik nak kenenkan aku dengan siapa pun taktau. Pastu ayat dia yang bikin aku triggered,

“Pakcik ni kalau dengar orang umur 30an tapi tak kahwin lagi terus rasa kesian”. Tiberr. Tak respek aa.

Ini bukan pertama kali ya. Dah banyak kali aku dengar dari orang lain-lain tapi yang ni betul-betul buat aku bengkek. Ehh tak perlu lah nak kesian-kesian.

Mesti ada yang cakap alahh pakcik tu concern je, bukan apa pun. Amboi sedap hang cakap.

Kalau betul concern, cukup doakan aku “moga Allah kurniakan jodoh yang baik, beriman dan bertaqwa kepada Bulan, dengan kadar segera dengan izinNYA, aamiin”. Kan lebih sejuk hati yang mendengarnya.

Ini tidak dok kesian-kesian pastu sibuk dok kenenkan aku dengan mamat berkopiah. Baru pakai kopiah terus cop dia Alim. Mana tau?

Entah2 dia Razak. Haha. Kalau gitu esok keluar aku nak sarung telekung. Mesti orang cakap aku Wara’, padahal aku Bulan. Kah!

Perkahwinan ni bukan boleh main tangkap muat saja. Mentang-mentang kami dah umur lebih 30, kami tak ada hak nak memilih. Hellooo.

Sayur kat pasar pun aku pilih yang segar-segar tau, inikan pula nak pilih suami. Asal ada haa boleh lah, nanti kalau tak sehaluan boleh berpisah. Kalau kau ada pemikiran sebegini, sila benam kepala kau dalam longkang.

Terlalu banyak kes cerai dan kebanyakan punca penceraian kerana tiada persefahaman. Sebenarnya bukan tiada persefahaman, tapi tiada ilmu.

Kau nak orang faham kau, hakikatnya kau pun tak faham diri kau sendiri. Pastu kau nak pasangan yang acah memahami bila kau tiba-tiba merentan? Kamonn lah.

Contoh lain, kau nak kahwin tapi tak nak pikul tanggungjawab dan beri komitmen dalam perkahwinan. Dah kahwin tapi nak hidup macam orang bujang. Baik perempuan baik lelaki, sama. No gender bias.

Aku rasa aku tak perlu jelaskan secara terperinci bab perkahwinan ni sebab dah banyak confession pasal ni. Jadi rajin-rajinlah godek confession lain kalau nak tahu lebih lanjut. Cukup aku konklusikan kalau nak kahwin kena ada ILMU.

Untuk kita-kita yang single dan dah umur lebih 30 ni tentu-tentulah mak ayah, tok nenek, mak saudara, pak saudara, sepupu sepapat kita dok tanya pasal jodoh.

Tapi tolonglah, kitaran hidup ni bukan lahir – sekolah – kerja – kahwin – ada anak – ada cucu – mati. Setiap orang ada jalan hidup masing-masing yang Allah dah aturkan. Contoh, bukan orang tua je mati orang muda pun boleh mati.

Jadi tak perlulah persoal dan tanyakan soalan-soalan yang hanya Allah saja yang tahu jawapannya. Kita hidup ni bukan ikut masa kita, tapi masa Allah. Mungkin bagi kita dah lambat, tapi masa Allah tak ada yang lambat atau cepat semuanya tepat pada waktunya.

Rezeki, jodoh dan ajal ni semua kerja Allah. Klise bukan? Selalu dengar tapi tak paham2 jugak. Tetap jugak nak buat kerja tuhan. Kalau aku tau jodoh aku kat mana, harini jugak aku hantar rombongan meminang. Ku pinang kau dengan Bismillah. Kau hado?

Orang single ni, kami happy je sebenarnya. Banyak benda yang kami boleh buat. Kami tak terikat dengan siapa-siapa. Kami belum ada komitmen berpasangan.

Macam aku, aku sangat-sangat enjoy my own vibes and solitude. Aku enjoy tengok wayang sorang-sorang, ngopi sorang-sorang. Sebab waktu tu lah aku deep in thought.

Fikir masa depan, fikir kerja, fikir apa yang aku perlu perbaiki dengan kehidupan aku. Kalau aku nak pergi mana-mana, start kereta terus jalan.

Tengah- tengah driving pun aku boleh belok ke mana-mana aku nak. Nak melangut kat kedai kopi 2-3 jam pun takda masalah. Takda siapa cari. Haha.

Dan aku sejenis orang yang kena ada me time. Sebab otak aku selalu dipenuhi dengan kerja. Oh ya aku self-employed. Every single day I need to keep myself motivated to move forward. Zaman covid ni sungguh mencabar ya, weng otak. Haha.

Alhamdulillah masih ada rezeki di saat orang lain terpaksa tutup bisnes sebab covid tapi aku masih bertahan. It was tough and yet, I’m struggling mentally and financially. Kadang rasa dah lemas tapi Allah selalu selamatkan. Besarnya ihsan dan rahmat Allah. Subhanallah.

Tapi of course lah ada other side of story. Aku ni boleh dikatakan ada komitmen yang tinggi pada keluarga aku. Secara kewangan tu ada lah sikit-sikit. Tapi lebih kepada tenaga dan masa lah.

Banyak urusan keluarga aku yang uruskan. Termasuklah urusan atuk dan nenek aku. Nak beli barang, nak kemas rumah, nak hantar ke hospital, nak itu nak ini yada yada yada. Boleh dikatakan aku banyak ambik job tu lah. Haha.

Mungkin sebab tu juga Allah tak izin lagi aku kahwin, sebab Allah nak bagi aku kesempatan berbakti untuk keluarga aku dulu.

Aku bersyukur Allah atur perjalanan aku begini sebab in future aku tak rasa ralat sebab aku dah commit pada keluarga aku sebelum aku commit pada keluarga kecil aku.

Walaupun macam2 hal, yelah nak layan kehendak orang tua kita bukan mudah kan. Ada je yang tak kena itu ini. Yihhh.

Tapi aku tetap bersyukur sebab berapa ramai antara kita yang harap dapat berbakti pada keluarga tapi tak dapat kan? Aku lah insan terpilih ittew.

Alhamdulillah ‘ala kulli hal. Tak bermakna lepas kahwin boleh lepas tangan ya. Sampai akhir hayat aku kena jalankan tanggungjawab aku sebagai anak walaupun aku dah beranak seploh.

Lepastu, aku ni ada sikit trauma lah dengan perkahwinan mak ayah aku ni. Hmm not going to write in depth, cukup aku katakan benda ni buat aku akan fikir masak-masak sebelum ambil keputusan dengan siapa aku nak kahwin.

Not into looks and status, but personality. Sebab dia bukan setakat jadi suami aku, tapi juga ayah kepada anak-anak aku. Because dad is a son’s first hero and a daughter’s first love.

Sejujurnya, tentulah aku ada keinginan untuk berkahwin. Aku straight ok. Aku tak pernah bercinta, kenapa? Allah tak pernah izin.

Crush tu ada lah tapi takat crush je lah. Confess pun pernah tapi semua tak jadi. Tapi aku okay saja. Aku yakin tentu ada kebaikan dan perlindungan Allah bila benda ni tak berlaku seperti apa yang aku nak.

Mungkin juga sebab doa aku, aku minta Allah jadikan cinta aku ni eksklusif untuk suami aku seorang saja. Gittew. Aku dah niat, selagi tak ada keinginan untuk bernikah. Aku takkan cari jodoh.

Aku taknak temporary and unstable relationship, atau berkenalan sekadar suka-suka sebab dua-dua sunyi tanpa niat nak bernikah. It may lead to expected circumstances that may cause insignificant pain and loss. Pendek cerita, buang masa.

I need stable and uncomplicated relationship. Bila dua insan berjumpa dengan niat yang sama. InsyaAllah akan dipermudahkan sebab niat kita betul.

Bukan aku tak ikhtiar langsung ya. Karang ada pulak yang cakap aku ni ibarat tunggu bulan jatuh ke riba. Aku pernah masuk web cari jodoh ni, tapi tak lama. Entah lah, aku tak ada hati lah nak teruskan. Aku jenis kalau nak buat sesuatu, kena dengan hati.

If I don’t put my heart into it, then I won’t. Kalau tak, rasa berat dan macam kena paksa sangat. Bila terpaksa jadi tak ikhlas lah. So lebih baik tak payah. Aku pun pernah cuba approach beberapa orang lelaki sebelum ni, tak ada rezeki juga. Dan ada lagi lah beberapa ikhtiar lain.

Dan sekarang sebenarnya ada seseorang yang aku sedang perjuangkan. Perjuangan yang macam mana? Rumit nak cerita dan panjang. Jadi aku pendekkan, berlikunya ujian ni Allah saja yang tahu.

Air mata tu toksah cakap lah. Kalau kumpul memang cukup nak bagi kat Sultan Mahmud untuk jadikan hantaran nak pinang Puteri Gunung Ledang, siap boleh bagi extra lagi. Haha.

Aku doa banyak-banyak, merayu-rayu dan merintih kat Allah untuk beri aku petunjuk. Lagi-lagi waktu mustajab doa, memang aku doa sungguh-sungguh.

Dan setiap kali aku rasa nak berhenti, Allah mesti bagi petanda yang aku tak patut berhenti berjuang lagi. Sebab tak ada yang mustahil bagi Allah kalau Allah nak bagi. Kun Fayakun.

Jadi kalau boleh aku nak minta tolong korang doakan aku ya. Kalau dia yang terbaik untuk aku, moga Allah buka pintu rezeki untuk kami dan permudahkan semua urusan. Dalam bab ni, aku betul-betul bertawakkal dan letak sepenuhnya urusan dan kepercayaan aku pada Allah.

Aku selalu doa kat Allah supaya jadikan pernikahan aku sebagai rahmat untuk aku, bukan ujian. Jadi aku yakin ujian yang aku lalui sekarang sebenarnya a blessing in disguise. Semakin besar ujian kita, semakin besar lah rahmat yang menanti.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Ankabut, ayat 2:

Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?

Setiap kali ujian terasa berat sangat, aku akan ingatkan diri aku tentang ayat ni. Jika ia datang dari Allah, pasti ada kebaikan. Walaupun ia sedang menghancurkan segenap jiwa, hati dan fikiran kau waktu tu. Ingat, kau bukan dihukum tapi kau sedang dibentuk untuk jadi lebih kuat.

Ok sambung, sebab lain kenapa kau tak perlu kesiankan orang single ni, time single ni lah kami kukuhkan hubungan kami dengan Allah.

Kami cerita setiap sedih, duka dan gembira kami hanya pada Allah sebab Allah je yang faham kami dan Allah lah sebaik-baik penolong.

Kami dapat abdikan diri kami tanpa gangguan.

Kami nak bangun malam tahajjud bila-bila masa pun boleh. Tiap-tiap waktu solat kau nak pergi solat kat lima masjid berlainan pun boleh.

Kau nak iktikaf di masjid dari pagi sampai malam, pastu sambung qiyam pulak pun tak ada masalah. Jadi time single ni lah kau boleh gunakan peluang sebaik mungkin untuk beribadah kepada Allah. Jadi apa yang orang nak kesiankan? Tam pamham akum.

Mungkin juga ini cara Allah nak didik jiwa kita supaya kita letak Allah nombor satu dalam setiap urusan. Sifat manusia ni mudah lupa dan selalu lalai. Jadi bila Allah dah ada dalam hati, sama ada kita gembira atau diuji sekalipun, kita akan cari Allah dulu melebihi apa dan siapa pun.

Jangan salah faham ya, aku tak cakap kalau dah kahwin kau tak boleh bangun malam ya. Cuma waktu tu komitmen dah lain tambah kalau ada anak. Letih ok lagi-lagi kalau anak dok meragam. Kadang sampai tak tidur malam.

Tapi tu juga dikira pahala sebab kau jalankan tanggungjawab kau dan setiap perbuatan kau tu dikira ibadah kepada Allah.

Bila dah kahwin, kau beribadah cara orang dah kahwin. Kalau ada kesempatan, tiap-tiap waktu solat kau boleh berjemaah laki bini dengan anak-anak sekali. Kau senyum kat pasangan kau pun dah dapat pahala. Yang single ni sabar dulu ok. Jangan senyum sorang2. Bahaya.

Tak semua tapi ramai juga lah kawan-kawan aku yang dah kahwin pernah terlepas cakap yang depa menyesal kahwin.

Ya Allah aku mintak sangat Allah jaga lisan dan hati aku daripada terlintas fikiran sebegini bila dah kahwin nanti. Ujian lah kan untuk diorang. Tapi kekal je sampai sekarang cuma waktu tu mungkin lah depa geram dengan laki depa. Haha.

Jadi sementara Allah bagi masa single ni, tuntutlah ilmu pernikahan sebanyak mungkin. Baik dari segi bacaan, tazkirah, seminar, video2 di internet atau pengalaman orang lain dan pengalaman diri sendiri.

Yang tak baik ditinggalkan, yang kurang baik diperbaiki dan yang baik diamalkan. Menuntut ilmu ni lifelong learning, tak bermakna dah kahwin kena berhenti ya. Ilmu ni kalau kita hidup seribu tahun pun takkan habis.

Begitulah ya, toksah lah nak kesian kat orang single ni. Kami okay, tersangat okay. Kami menikmati setiap saat hidup kami. Jika diizinkan Allah untuk kami berkahwin, itu bermakna kami dah bersedia untuk ke fasa kehidupan yang seterusnya.

Kalau Allah nak buka jalan pernikahan untuk seseorang, Allah pasti jentik hati dia dengan keinginan untuk bernikah.

Hati ni Allah yang pegang, Allah yang bolak balikkan. Kalau orang tu dah lama single tapi tak kahwin-kahwin lagi, tu sebab Allah yang buatkan hati dia selesa dan bersyukur dengan kehidupan dia sekarang.

Orang macam ni depa akan cakap kalau ada, ada lah. Kalau tak ada tak apa. See? Depa pun ikhlas dengan ujian depa, orang lain pulak yang dok kesian-kesian sampai ke sudah.

Allah tu Maha Baik, Allah takkan uji kita diluar batas kemampuan kita. Bila kau dok kesiankan orang yang dah redha dan ikhlas dengan ujian Allah ni. Hang sebenarnya annoying dan toxic gila tau dak. Kau buat kami rasa worthless, macam pathetic sangat lah single ni.

Habaq mai, manusia ni hidup hanya untuk kahwin saja ka? Kalau kau tak kahwin atau tak ada pasangan kau tak dikira penduduk bumi. Sila berhijrah ke planet lain. Nanti datanglah semula bersama alien menakluki bumi demi koko yang dicari-cari.

Jodoh ni pula tak ada kaitan ya dengan rupa paras. Kau cantik ke hodoh ke, putih ke hitam ke, gemuk ke kurus ke kalau dah sampai jodoh kau tetap akan kahwin. Persetankan orang yang dok kutuk-kutuk kita tu, depa pun bukan helok sangat.

Hidup kat dunia ni sementara saja, apa-apa yang ada kat dunia ni semua pinjaman dan tak kekal pun. Yang kita kena betul-betul fokus kehidupan akhirat kita tu. Sebab yang tu kekal dan abadi.

Jadi sudah-sudahlah ya ‘kesiankan’ orang single ni. Kami tak perlukan simpati dan kasihan anda.

Aku doakan jika ada yang sedang berjuang, moga Allah bantu dan mudahkan semua urusan. Kalau ada yang sedang sakit, moga Allah sembuhkan. Yang sedang kehilangan, moga Allah ganti dengan sesuatu yang lebih baik.

Terima kasih kerana sudi membaca coretan aku yang panjang. Moga kita dimurahkan rezeki, dan sentiasa berada dibawah rahmat dan kasih sayang Allah. Ingat daku dalam doamu.

– Bulan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *