Aku Hanya Isteri Atas Nama Tanggungjawab

Assalamualaikum. Aku adalah seorang isteri hanya atas nama tanggungjawab yang telah belayar jalani bahtera rumahtangga hmpir 21 tahun.

Maaf jika kisah aku kongsikan ini tidak sesuai untuk di ceritakan di sini. Aku cuma ingin meminta pendapat dan pandangan untuk aku menilai dan membuat keputusan yang betul dalam hidup aku.

Aku ringkaskan pengenalan tentang diri aku untuk mudah memahami jalan cerita hidup aku.

Aku berkahwin dengan suami bukan atas dasar cinta. Malah tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Tapi kami di satukan oleh orang tua.

Walaupun sejujurnya aku tidak setuju, tapi bila dengar kata² ayah “kalau dengar cakap ayah, ayah sayang” aku jadi kesian dan akur dengan semua keputusan.

Acara merisik berjalan tanpa pengetahuan aku, Balik kerja sahaja ibu ku cakap “atas almari ada cincin merisik. sabtu ni tunang” aku terkejut dan terdiam. Barang hantaran pula semua ibu dan ayah yang pilih dan sediakan. Akhirnya kami pun mengikat tali pertunangan.

Selepas 2 bulan bertunang, kami sah menjadi suami isteri. Orang kata bercinta lepas nikah ni bagus. Awal perkahwinan baru nak mula lahirkan bibit² sayang dan cinta.

Tapi ianya tidak terjadi dalam perkahwinan kami.

Jarak umur antara kami 10 tahun.

Perasaan sayang pada suami mula hadir. Tapi aku tidak dapat merasakan yang dia juga menyayangi aku. Suami tidak romantik dan tidak pandai mengambil hati aku.

Beberapa bulan selepas nikah. Suami bawa aku riadah ke Tasik Biru. Kami main air dan menaiki bot pelampung yang kami bawa sendiri.

Tak tahu di mana silapnya. Hanya kerana aku cakap “tolaklah kalau berani” lebih kurang macam tu ayat nya. Tapi aku tak sangka suami ku sanggup tolak bot ke tengah.

Dan aku dalam ketakutan kerana semakin lama bot pelampung yang ku naiki itu semakin ke tengah. Suami hanya lihat sahaja aku tanpa melakukan apa².

Waktu sampai ke tengah² tasik yang dalam aku merasakan yang aku akan mati. Saat paling mengerikan kerana aku tidak tahu berenang. “Kalau aku jatuh ni, mesti aku mati”!

Perasaan takut semakin kuat. Aku melambaikan tangan ke suami mohon tolong selamatkan aku. Dia mula berenang tapi sampai ke tengah dia tidak boleh bertahan kerana air terlalu dalam.

Mujurlah ada orang main jetski di situ datang tolong tarikkan bot ke tepi. Syukur sangat aku selamat. Tapi malangnya suami memarahi aku kerana dia hampir lemas untuk menyelamatkan aku. Ya Allah salah aku ke.

Dalam kes lain pula, aku tidak menyangka suami aku berani pukul aku hingga pecah bibir hanya kerana aku belikan dia selipar tanpa minta izin. Allahuakbar, bukan nak berterima kasih, malah di marahi.

Dia halau aku keluar dari kenderaan pada waktu malam. Tapi aku tak turun sebab waktu tu gelap dan aku takut. Ini semua terjadi pada tahun pertama perkahwinan kami.

Kali ke 2 dia pukul aku hingga terhentak kepala aku di kereta. Puncanya aku dah lupa kenapa. Sejak itu aku mula takut dengan suami hingga sekarang. Apa saja yang dia cakap dan suruh aku perlu buat dan ikut.

Sehingga sekarang suami tidak pernah memujuk dan meminta maaf atas apa yang dia telah lakukan terhadap aku. Aku tahan dan pendam perasaan sakit sendiri.

Banyak sikap dan perangai dia yang aku tak suka tapi aku terpaksa ikut. Aku tak ada hak untuk bertanya. Apa saja yang aku tanya dan bagi pendapat selalu tidak di dengar lalu di marahi. Aku sakit tapi aku diam.

Selama 20 tahun menjadi isterinya, sekalipun dia tidak pernah memberikan aku hadiah harijadi. Bila aku tanya. Dia cuma bacakan Al Fatihah sahaja. Aku dah lali dan berhenti berharap. Tapi adakalanya aku teringin. Bukan dia tak mampu.

Apa saja yang dia suruh buatdia nak sekarang jugak walaupun ketika itu aku sedang makan atau melakukan kerja lain. Kalau lambat dia akan naik angin.

Tapi kalau aku yang minta dia buat sesuatu dia tak pernah nak cepat sampai aku terpaksa buat sendiri. Aku penat. Penat nak tahan sabar dengan perangai dia.

Apa yang dia nak beli kalau aku pertikaikan yang benda tu tak penting dia akan marah aku balik. Tapi kalau aku minta apa² dia cuma angguk saja tanpa bertindak. Alasan belum sampai masa dia.

Aku?? Tahan dan tahan perasaan aku. Aku bukan jenis pandai melawan cakap suami.

Aku diam dan pendam. Apa aku nak semua kena ikut selera diacara diaKat mana dia letak perasaan aku. Sampai bila nak simpan.

Bukan aku tak pernah luahpernah tapi tak jadi apa. Aku selalu doakan dia lembut hati dan layan aku dengan hati. Aku memang tak rasa di sayangi suami malah rasa tidak di hargai.

Kalau aku balik kampung seminggu. Dia tak pernah ambil tahu tentang aku dan anak². Call atau wasap tanya khabar pun tak pernah. Dia tak ambil peduli pun. Chat di wasap kami penuh dengan barang² yang dia suruh aku order di lazada dan shopee.

Suami aku seorang yang sangat menjaga solat dan agama. Dia jaga hubungan dia dengan Allah tapi dia lupa jaga hubungan dia dengan aku isterinya. Dia tidak mendidik kami tapi dia hanya mengarah dan mengatur kan.

Masa pandemik ni kami tak ada kerja jadi kena belanja dengan jimat. Tapi suami aku belanja macam biasa. Bila tegur dia marah.

Aku cakap banyak duit makan guna duit aku, sebab aku kesian kat dia. Harapkan duit dia saja, aku rasa dah lama duit dia habis Aku dapat duit i sinar banyak aku habiskan untuk belanja makan dan anak².

Aku tak kisah pun. Aku order makanan food panda untuk dia jugak tak pernah sekali pun minta dia bayarkan. Aku ikhlas. Tapi apa yang aku dapat, ini jawab dia, “Tak suruh pun” “berapa semua. dia boleh bayar sekarang!!”

Ya Allah, hati aku sakit ya Allah. Dia langsung tak hargai apa yang aku buat untuk dia. Aku menangis dalam hati. hati aku bagai di hiris² berjuta kali. Luka yang tak pernah sembuh.

Di sakiti berkali². Aku masih bertahan selama 20 tahun ini. Aku takut kehilangan dia hanya sebab aku tahuaku mesti hidup susah kalau dia tak adasebab aku tak ada kerja dengan income yang tetap.

Baru² ni aku ada minta dia belikan sesuatu yang aku tak mampu nak bayar semua. Cuma minta tambahkan sikit saja. Malangnya ini dia cuma cakap “semua yang orang ada, aku nak!!” Ya Allah aku sentap sangat dengar dia cakap macam tu.

Apa saja yang aku minta. Kalau betul pun aku mintak macam², apa saja yang aku dah dapat? 1 pun tak pernah dapat ya Allah. Menangis lagi hati aku.

Aku tegur dia pakai mask salah pun dia marah aku. Dia cakap, “tahu lah!!”.

Aku sakit. Sakit yang tidak pernah di rawatmalah ku rasakan luka hati ku semakin parah. Senang cakap dia ni jenis tak boleh kalau aku tegur apa².

Dan kemuncak cerita aku ni, bulan lepas aku suarakan yang aku tak pernah rasa bercinta dengan diaaku tak rasa pun yang dia sayangkan aku. Aku jadi takut dengan dia sebab dia garang. Dia jawab tu bukan takut tapi “taat” dan tanggungjawab.

Korang faham tak maksud dia. Aku taat dan dia cuma jalankan tanggungjawab dia saja. Penuhi nafkah zahir. tapi batin aku tersiksa. Batin bukan seks yang aku maksudkan, tapi dari segi rohani.

Masalah dalam hubungan kami adalah tiada perasaan kasih sayang.

Bernikah sekadar mengikut keinginan tanpa perasaan. !! Cukup sekadar melengkapi kehidupan. !! Wujud ketika tidur sebantal. Sehingga hari ini tiada 1 perkataan maaf pun dia ungkapan untuk aku.

Sebenarnya ini hanya sebahagian dari apa yang berlaku dalam hidup aku. Aku mohon korang bagi pendapat apa lagi yang aku perlu lakukan kerana luka di hati semakin parah dan sudah bernanah. Samaada aku perlu bertahan atau tinggalkan.

Kalau bertahan aku hampir sampai ke penghujung kalau aku tinggalkan aku malu.

Sekian, Terima kasih…

– Aida (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit