Ujian Yang Tak Pernah Berhenti

Assalamualaikum semua… Selalunya aku jadi silent reader, banyak kisah yang aku baca seperti hampir dengan diri aku, tiada tempat meluah,tiada siapa yang membantu. Aku Yaya, 28 tahun, ibu kepada seorang bayi lelaki yang baru 3 bulan usianya. aku tak tahu macam mana dan di mana nak mulakan…

aku dah berkahwin dengan suami selama 3 tahun, dan Allah swt hadiahkan aku dengan anugerah terindah pada saat-saat rumahtangga aku hampir berkubur. Suami aku nak sangat anak lelaki. Allah dengar doa aku. Allah bagi anak lelaki. aku ingat… dengan hadirnya cahaya mata lelaki yang dia nak sangat, akan merubah segalanya, dari kurang baik pada lebih baik tapi aku silap… Sedari aku mengandung, aku cakap dengan suami aku nak bersalin normal, sebab aku nak dia teman, tengok sendiri macam mana seorang wanita berjuang, bertarung nyawa untuk lahirkan satu lagi nyawa. Dia acuh tak acuh dan buat tak layan. Sekali lagi Allah dengar doa aku. aku dapat bersalin normal, tapi sayangnya… aku berjuang sorang-sorang. hingga saat bukaan aku dah 9 cm, hp masih dalam genggaman aku, dengan harapan nanti dia call bagitahu dah ada dekat hospital nak menuju ke LR tapi hampa. Semua pelik aku boleh pegang hp dalam LR, boleh lagi main HP dalam LR walaupun dah nak bersalin. Yang aku boleh kata, mereka memang benarkan. tepat 3.24 petang aku selamat bersalin… dan suami aku? esoknya baru balik ke kampung aku tengok aku. sedih? terlalu. sampai sekarang aku masih terasa. dia terlepas cakap yang mak dia tak bagi teman aku masa bersalin. even dia sepatutnya cuti seminggu teman dalam pantang, tapi dia cuti 5 hari je. aku diam.

Ujian pertama Allah bagi… Anak masuk NICU sebab tekak flabby, suara tak boleh lepas keluar. dengan sakit bersalin tu hari-hari aku ulang alik hospital dengan mak aku tengok anak. jumpa anak, aku nangis. nangis sebab tengok dia berselirat dengan wayar, on antibiotik, masuk air lagi, tiub susu pulak dekat mulut. bila tengok anak aku stabil, doktor bagi aku pegang anak aku, susukan anak aku. lebih kurang sepuluh hari, anak aku dapat discaj. alhamdulillah… dan bermulalah episod aku berdua dengan anak…

selama aku bersalin, anak keluar dari wad sampailah hari ni umur dia 3 bulan, suami aku tak pernah balik rumah orang tua aku untuk tengok kami. raya? aku beraya dengan anak dan orang tua aku. sebak tuhan je tahu… aku dah tahap depress. aku istigfar, aku cuba fokus, aku fikir anak. setiap kali solat, aku tanya Allah ujian apa Dia tengah bagi aku, kenapa rumahtangga aku macam ni, kenapa suami aku tak nak tengok zuriat dia sendiri yang semakin comel tu, kenapa dan kenapa. hati aku macam di pijak-pijak. Allah uji lagi, Allah tarik nikmat untuk susukan anak aku. dan sekarang anak aku minum susu formula 100%. aku terima dan redha, mungkin sebab aku terlalu stress dan bukan rezeki anak aku. satu kemudahan Allah bagi ialah, anak aku tak tolak apa jenis susu sekali pun tak kira mahal atau pun murah. sama juga dengan pampers. tak ada naik ruam walaupun pakai diaper murah. keluarga aku makan apa yang apa dan termampu. ayah aku pun dah tua, kerja kampung je. dalam pantang ada lah juga keperluan anak aku yang nak kena beli, aku minta tolong dekat ayah walaupun aku tahu dia sendiri tak ada. kejamnya aku rasa.. sebab tanggungjawab itu sepatutnya atas suami aku.

Bila aku dah redha, aku cuba untuk move on, Allah jawab doa aku… Suami aku ada orang lain. perempuan lain. aku? terkedu, tak percaya, semua perasaan datang bertandang. Yang paling aku tak sangka, mak mertua aku sokong dan restu. restu! aku cuma mampu cakap dalam hati, kenapa hidup aku selalu teruji macam ni. terduduk aku mengenang ujian yang Allah bagi. setiap kali Allah bagi aku bahagia, dia akan datangkan sekali dengan duka. setiap kali itu lah yang berlaku. suami aku memang dah tak hiraukan kami..

Kesilapan terbesar aku ialah aku tak ada simpanan. langsung tak ada. aku menagih semula dari kawan-kawan yang pernah meminjam pada aku waktu mereka perlukan duit, tebalkan muka untuk meminjam dengan sesiapa sebab aku kena cover duit untuk pergi bawa anak aku untuk rawatan berjumpa pakar, susu dan lampin pakai buang dia.. dan semua tu aku perlukan Jumaat ini. dengan lepas musim raya ni, siapa yang sudi membantu sedang aku juga tak ramai kawan… semua hanya diamkan diri walaupun aku janji akan segera selesaikan sejurus aku dapat gaji hujung bulan depan sebab aku baru habis pantang, baru nak mula kerja, aku boleh bantai buat kerja lebih masa untuk bayar semula. malam semalam tuan rumah pulak call, bagitahu nak ambil semula rumah yang aku duduk tu Jumaat ni sebab dia nak duduk katanya. dulu aku duduk rumah tu atas ehsan kawan kepada kawan aku, tanpa ada deposit dan sewa sebab dia kata ayah dia cuma nak seseorang jaga rumah tu. aku cuma perlu bayar bil-bil saja dan aku pun setuju. dia sangat terges-gesa. puas aku merayu tapi dia tak layan.. aku kira-kira kos semuanya dekat RM 1500 juga untuk aku cover semua yang di atas tu. aku cuba lagi nasib tebalkan muka untuk meminjam, tapi hampa.. semuanya diam.. dulu aku selalu fikir, waktu orang susah, apa salahnya kita tolong.. tapi bila aku jadi macam ni, aku minta balik duit pada mereka yang pernah pinjam pada aku waktu mereka susah… mereka diamkan aku.. ujian Allah memang tak pernah berhenti..

sekarang aku tengah serabut.. mana aku dengan anak nak duduk. mana aku nak cari duit. terkontang kanting sendiri, tak tahu apa nak buat. aku masih berharap mereka sudi bayar hutang mereka pada aku tapi aku tahu itu takkan berlaku.. dengan suami pulak mencanang aku yang bukan-bukan dekat pejabat aku..setiap kali aku tengok muka anak aku, aku mengeluh. kenapa Allah uji aku macam ni…

– yaya

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *