Waze Dan Jalan Misteri

Salam semua. Nama Saya Hamlet. Saya duda yang masih mencari cari suri hati, seorang penjawat awam T20 di tengah tengah kotaraya ini.

Terima kasih admin kerana sudi menyiarkan kisah saya ini. Saya tumpang email kakak saya ye min. Kakak saya peminat IIUM Confession.

Entahlah terpulang kepada anda semua hendak percaya atau tidak kisah saya ini…

Begini… Ahad 19 Feb 2023, saya ke Hulu Langat area Dusun Tua. Ada sedikit urusan di situ. Hulu Langat bukanlah asing pada saya.

Saya pernah shooting di Kem Sungai Tekali dan pernah juga camping di Campsite Lakarham Semungkis. Kali ini, saya tidak bermalam seperti sebelum ini. Asar dah berangkat balik.

Untuk makluman, saya sendirian memandu. Memandangkan dah masuk Asar, jadi saya berhenti untuk solat di masjid simpang 3 Hulu Langat. Tak pasti nama masjid tu.

Usai solat, saya rasa badan macam tak berapa sedap. Saya teruskan perjalanan pulang. Minyak kereta penuh masa tu (maklumat penting).

Masa drive tu, saya berpandukan waze ke rumah saya di Klang. Masa memandu keadaan badan memang tak stabil. Rasa terawang-awangan.

Tapi taklah mengantuk. Cuma yang saya perasan, waze saya tak ada suara. Saya cuma berpandukan arah pada telefon dan memang saya rasa antara sedar tak sedar.

Tiba-tiba, saya dah sampai di parkir office saya di Bukit Kiara. Terkejut sangat. Macamana boleh sampai di situ?

Masa tu jam dah menunjukkan pukul 6:30pm. Saya termenung memikir. Tapi saya positif saja.

Mungkin saya yang tersalah tekan waze. Nak tekan ‘HOME’ tertekan ‘WORK’ agaknyalah. Nak lepaskan maghrib di pejabat, masih terlalu awal.

Jadi saya decide untuk kembali memandu ke Klang. Saya tekan kembali waze untuk balik ke Klang dan memandu dengan penuh tanda tanya. Meneruskan perjalanan, saya kembali merasakan diri saya agak tidak stabil.

Waze masih tidak ada suara. Hidup di KL ni, saya memang bergantung dengan waze. Sebabnya, jalan2 yang dibawa sememangnya akan lebih cepat sampai.

Cuma saya pelik… Kali ni melalui jalan kampung. Celah mana pulak ada kampung di Damansara ni. Makin jauh, saya makin tak sedap hati.

Masa tu dah pun maghrib. Saya berhenti di tepi jalan dan scroll waze. Terkejut saya bila melihat destinasi dituju adalah Hulu Langat semula.

Ada dalam 20 minit nak sampai. Saya tekan semula lokasi waze ke rumah di Klang. Kali ni saya pastikan berkali-kali.

Mustahil saya tersalah lagi (sekiranya yang tadi tu betul2 saya salah tekan). Jantung saya berdegup kencang. Saya teruskan perjalanan.

Kali ini, mata saya sentiasa memerhati keberadaan surau. Sudah maghrib. Saya perlu berhenti solat.

Dalam perjalanan ‘ke Klang’ tu, saya perasan sesuatu. Tidak ada sebarang kereta yang melalui jalan ini. Saya bukannya memandu lewat malam atau dinihari.

Malam masih terlalu muda. Dan lebih saya cuak apabila bukan setakat saya tidak bertemu surau. Malah juga sebarang rumah.

Perjalanan agak panjang. Pelik. Sangat pelik.

Saya di Selangor kot. Bukannya negeri2 pedalaman. Tiba-tiba saya ternampak sesuatu yang 10 kali lebih pelik.

Ada pintu pagar di tengah2 jalan. Jantung saya berdegup lebih kencang. Saya perhatikan, pintu pagar itu agak renggang.

Tidak bermangga. Kuat hati saya untuk menolak pintu pagar tersebut dan masuk ke dalam. Namun saya terlihatkan level minyak saya.

Tinggal 1 bar. Asar tadi penuh. Saya mengambil keputusan, menutup waze dan berpatah kembali.

Saya memecut laju. Badan saya menggigil. Saya membaca ayatul kursi dan apa yang terlintas.

Saya memaki hamun seorang diri. Memang dasar syaitan hendak saya tidak solat maghrib. Hari telahpun isya.

Entah berapa lama, saya terlihat kembali ada kereta dari arah bertentangan. Saya yakin telah keluar dari ‘dunia scam setan’ tersebut. Saya terlihat masjid.

Saya berhenti. Iya, itu adalah masjid yang saya solat asar tadi. Usai bersolat isya, saya pulang ke Klang.

Tanpa waze. Cukup berpandukan papan tanda seperti dulu-dulu. Sampai di rumah, saya dah lembik.

Mujur ex-student saya ada di rumah. Saya minta dia urut saya. Terkejut saya bila melihat betis kiri saya bengkak dan keluar merah-merah.

Apabila ke tandas untuk buang air kecil, peliknya urin saya berwarna hitam. Hitam mcm coke. Esoknya saya demam tak bangun.

Urin masih hitam. Selasa baru saya ke hospital. Doktor tahan saya di kecemasan.

Saya disuruh x-ray dada, kaki, perut, check buah pinggang, check paru2, urin, ultra sound segala.

Saya juga tidak dibenarkan turun dari katil kecuali untuk solat. Saya memakai tube kencing kerana doktor mahu melihat perkembangan warna urin saya.

Jujurnya saya takut. Malam itu saya disuruh tidur di kecemasan. Dan malam itu saya bermimpi…

Dalam mimpi saya, saya telah masuk ke kawasan berpagar yang saya jumpa Ahad lalu. Ada sebuah restoran di situ. Pengunjungnya ramai.

Yang perempuannya bertudung. Peliknya, semua duduk menunduk, tidak berbual dan tiada sebarang makanan di meja. Saya memberi salam.

Tiada yang hiraukan saya. 3 kali salam saya beri. Tiada juga jawapan.

Akhirnya saya bertanya “semua ni bukan Islam? ” Waktu tu semua melihat saya. Tidak berwajah.

Saya melarikan pandangan kerana terkejut. Saya beritahu yang saya cuma nak tumpang solat. Saya lihat mereka kembali.

Wajah mereka muncul. Namun peliknya, muka besar seperti kita, wajah mereka kecil saja. Mata, hidung, mulut, telinga… sangat kecil.

Kedudukannya rapat di tengah muka. Salah seorang lelaki bermisai, dengan wajah yang turut sekecil itu, meluru ke arah saya dah memarahi saya. Namun tiada suara.

Hanya bahasa badan. Dia menunding ke arah kanan restoran. Saya mengagak, dia menunjukkan lokasi surau untuk saya solat.

Saya terus ke bilik tersebut. Saya tolak pintu surau itu. Masya Allah… itu bukan surau.

Itu masjid. Cukup besar dah indah. Saya tak sempat masuk kerana nurse mengejutkan saya jam 3am untuk mengambil darah.

Esoknya, doktor memberitahu yang dia mahu menahan saya di ward. Malangnya, ujian terhadap saya semuanya negatif. Oleh itu tiada doktor yang dapat meletakkan saya under mereka sebab semua ujian negatif.

Saya merayu untuk pulang kerana mahu berubat secara perubatan Islam. Doktor membenarkan.

Alhamdulillah, setelah berubat di Terengganu dan meluangkan sedikit masa bersama anakanda saya, saya merasa kembali segar biarpun belum sepenuhnya.

Semangat saya masih goyah. Tapi air kencing tidak hitam lagi. Sesekali waktu solat, apabila saya menutup mata, saya terlihat kembali kawasan sunyi tanpa kereta dan rumah dalam perjalanan panjang saya di Hulu Langat…

Wallahulam…

Dunia ciptaan Allah sungguh banyak rahsia yang tak mungkin Kita boleh rungkai kesemuanya. Kadang2 biarlah ransia kekal menjadi rahsia.

Subhanallah.

-Hamlet (bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *