Assalamualaikum semua. Aku tak pasti sama ada ada yang pernah utarakan artikel bertajuk macam ni. Cuma yang pasti, aku nak kongsi sedikit realiti kehidupan pelajar, tak kiralah undergraduate atau postgraduate yang belajar di luar negara. Aku spesifikasikan ‘pelajar PhD’ kerana aku ada lebih pengalaman belajar di luar negara di peringkat PhD berbanding peringkat undergraduate. Namun, aku rasa tak jauh beza pun realitinya.
Baiklah, pertama sekali, mesti ramai yang rasa kami yang berpeluang belajar di luar negara ni lebih untung, bukan? Jawapan aku, ya dan tidak. Ya, lebih untung mungkin kerana kami dapat lebih pengalaman dan ‘expertise’ dalam bidang tertentu daripada sudut pandang international community. Ya, lebih untung juga mungkin kerana kami berpeluang menjelajah negara orang, mengutip pengalaman yang mungkin para pelajar dalam negara tak dapat nikmati.
Bagi jawapan tidak untung, mungkin tak ramai yang nampak. Sebabnya, ramai yang nampak untung dan cantik je belajar di luar negara ni. Ye lah kan, siapa je yang nak tunjuk ‘bad experience’ atau perkara buruk kat media sosial. Semuanya ditelan sendiri je. Mengikut pengalaman aku, belajar di luar negara ni lah yang banyak mengajar aku cara nak uruskan hidup. Terutama sekali dari segi kewangan. Siapa kata duit biasiswa yang kami terima tu banyak?
Ya, mungkin banyak nilainya bila dah convert ke matawang RM. Tapi, realitinya, kami hanya hidup cukup makan sahaja di bumi asing ini. Rata-rata, lebih 60% daripada wang biasiswa digunakan untuk membayar sewa rumah, tidak termasuk bil-bil elektrik, air dan internet. Namun, kami masih lagi terus bertahan dan cuba untuk survive, kerana kami yakin, perkara ini akan lebih mematangkan kami dalam kehidupan mendatang.
Satu lagi yang aku perhatikan, pemegang biasiswa di luar negara ni, terutama pelajar PhD, ada masalah tempoh pengajian. Rata-rata mendapat tajaan biasiswa 3 tahun sahaja daripada kerajaan, sedangkan surat tawaran universiti jelas menyatakan bahawa tempoh pengajian adalah selama 4 tahun. Memang ada kelonggaran untuk memohon tempoh perlanjutan biasiswa, namun semenjak dasar baru diperkenalkan, tiada lagi tempoh perlanjutan yang dibenarkan.
Bayangkan, setelah habis bertungkus-lumus, sedaya upaya untuk menghabiskan pengajian dalam tempoh biasiswa, tetapi masih lagi memerlukan tambahan masa untuk menyiapkan tesis, tiba-tiba, tiada pembiayaan. Aku sendiri pernah melihat betapa sukarnya keadaan sahabatku yang terpaksa menghabiskan segala duit simpanannya sendiri untuk membayar yuran pengajian dan menampung kehidupan di luar negara demi menghabiskan baki pengajiannya akibat tidak mendapat perlanjutan biasiswa.
Tahukah anda yurang pengajian sahaja sudah berjumlah puluhan ribu Ringgit Malaysia? Betapa dia menanggung derita tekanan akibat kekurangan wang dan tekanan akibat desakan untuk menyiapkan tesisnya secepat mungkin supaya dia boleh pulang ke tanah air. Mungkin, jika perkara ini berlaku kepada pemegang biasiswa dalam negara, mereka tidak akan terkesan sangat dek kerana masih lagi berada di negara Malaysia, mungkin masih boleh survive. Maafkan aku jika aku salah. Tapi, untuk kami yang di luar negara ni, mana kan mahu memikirkan soal sewa rumah, elaun harian, duit makan, dan lain-lain lagi.
Adakah tesis yang dihasilkan atas sebab tekanan itu akan menjadi tesis yang berkualiti? Aku masih lagi ingat kata-kata penyeliaku “research is a process that you cannot battle with time. If you want to produce a good quality research, you will have to develop it over time, not in a rush.” Penyelidikan yang baik memerlukan masa untuk dipertingkatkan, bukan dibuat secara tergesa-gesa atas tekanan masa. Ya, mungkin ada yang berkata, ada je yang mampu menyiapkan tesis PhD dalam tempoh masa 3 tahun.
Tetapi, bukankah kapasiti setiap manusia itu berbeza? Bukankah bidang dan metodologi setiap penyelidikan itu berbeza? Setiap penyelidikan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Jadi, tidak semua projek penyelidikan boleh disiapkan dalam tempoh 3 tahun. Ada yang berperang dengan instrumen makmal, ada yang berperang dengan responden survey, dan ada juga yang berperang dengan peserta temuduga. Semuanya memerlukan tempoh masa yang berbeza-beza untuk kutipan data dan analisis yang berkualiti.
Semoga dengan artikel ini, lebih ramai yang faham apa yang kami (pelajar PhD) luar negara dan mungkin juga dalam negara sering hadapi. Faktor paling utama adalah pembiayaan. Tanpa wang, memang kami yang di luar negara ni tak dapat survive. Mungkin faktor biasiswa ni menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada ‘unnecessary stress’ kepada pelajar PhD di luar negara. Tapi, tak ramai yang nampak. Ramai yang rasa kami OK je kat luar negara tu kan. Maka, jangan lah tertipu bila tengok pelajar-pelajar luar negara ni share gambar-gambar kegembiraan. Realitinya, ada air mata yang tumpah disebalik senyuman.
– Koala Merah
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submi