Bapa Mertuaku IV

Untuk part I, (https://iiumc.com/bapa-mertuaku/).

Untuk part II, (https://iiumc.com/pak-mertuaku-ii/).

Untuk part III, (https://iiumc.com/bapa-mertuaku-iii/).

Salam warga IIUM Confession, aku Roronoa Zoro kembali ingin meluah isi hati yang terbuku dan terjilid di hati. Sebelum tu terima kasih atas nasihat-nasihat yang telah diberikan, InsyaAllah aku akan cuba untuk jadikan panduan.

Setelah dua minggu kami tinggal di rumah sewa, keadaan sangat tenang. Kebanyakkan masa hanya dihabiskan di rumah dengan aktiviti yang berfaedah. Aktiviti yang tak berfaedah pun banyak.

Pada satu malam, selepas kami selesai aktiviti malam jumaat, bacaan Yaasin yer, jangan fikir bukan-bukan, isteriku menerima mesej daripada Bapa Mertuaku yang mengajak kami ke rumah saudara mara belah dia pada hujung minggu itu.

Aku bersetuju untuk join kerana pada hari yang sama aku mahu melawat rakan sekuliah masa di universiti dulu, kebetulan rumahnya tidak jauh dari rumah saudara kami ni.

Pada hari itu setelah bertolak dari rumah, Bapa Mertuaku menelefon isteriku mengatakan dia kena tinggal dengan adik-beradik lain dan ibu mertuaku.

Apabila isteriku bertanya kepada ibu mertuaku (dalam telefon), Bapa Mertuaku berkata padanya yang kami dah dalam perjalanan nak ambil dia. So, diaorang pun jalan la dulu. Dah satu kerja kami kena patah balik ambil dia.

Dalam perjalanan, dalam 10km lagi nak sampai dia ajak singgah mamak untuk minum. Aku dah mula tak sedap badan, rasa nak demam.

Pergi rumah saudara nak makan-makan tapi dah nak sampai diajaknya minum. Mau tak demam aku kak. Alasan dia “Kat situ bukan ada mamak pun nak buat teh tarik”.

Isteriku cuma diam dan mengarahkan aku untuk meneruskan perjalanan sampai lah ke destinasi. Setelah keluar kereta kami pesan agar Bapa Mertuaku balik dengan yang lain sebab kami ada tempat lain nak tuju. Dia mengangguk faham.

Di sana aku meluangkan masa bersama mereka dalam sejam lebih dan meminta diri untuk ke rumah rakanku.

Dengan tak semena-mena tuan-tuan dan puan-puan, Bapa Mertuaku pun minta diri mengatakan yang kami ajak dia balik. Ibu Mertuaku cakap diaorang (aku & isteri) je yang balik, kita balik kejap lagi.

Dia buat tak tahu dan keluar menuju ke kereta tapi isteriku sempat menahan dan mengatakan perkara yang sama. Dia cakap hantar lah dia balik lepas tu pergi lah ke rumah kawan tu.

Aku dah mula rasa nak demam campak. Rumah rakanku tu dah dekat sangat, takkan nak patah balik macam tu. Tak tahu apa yang isteriku katakan sebab aku dah masuk kereta tapi Bapa Mertuaku masuk semula ke rumah. Seterusnya selesai melawat, kami terus pulang ke rumah sewa.

Esoknya tengahari tu kami pergi ke rumah Bapa Mertuaku, saja singgah. Sesampai di rumah isteriku bertanya breakfast apa tadi, dia jawab belum makan apa-apa.

Tiba-tiba adik bongsu menyahut, tadi kan abah dah makan roti canai. Dia diam jek tak jawab. Aku pun tak tahu kenapa dia jawab macam tu. Bapa Mertuaku belum nyanyuk, ingatan dia masih kuat.

Selesai makan semua, aku tengok isteriku rancak berborak dengan adik bongsu. Aku lepak kat depan tv jek layan Bapa Mertuaku berborak. Sempat dia ajak ngeteh kat mamak.

Petang tu kami bertiga pun buat lawatan tak rasmi ke mamak untuk ngeteh, tapi yang dekat jeklah dan hantar dia pulang lepas tu.

Di rumah, isteriku telah membuka topik gosip terkini berkenaan Bapa Mertuaku yang diceritakan oleh adik bongsu.

Ketika kami beredar dari rumah saudara, Bapa Mertuaku tanpa ditanya oleh sesiapa membuka cerita kepada adik-beradiknya (mak saudara & bapa saudara kami) yang isteriku akan membelikan dia handphone baru.

Handphone lama ni kalau ada sesiapa yang nak, bagitahu lah. Ibu Mertuaku terkejut lah dan bertanya kenapa minta handphone baru. Dia cakap lah yang handphone ni bateri dah lemah dan macam-macam lah.

Mak Uda kami dengan nada lembut menegur Bapa Mertuaku agar tidak meminta yang bukan-bukan dengan anak-anak.

Jangan membuat mereka rasa serba salah. Dia hanya diam tapi memang dia tak sebut dah berkenaan handphone menurut isteriku. Thank You Mak Uda!!.

Kehidupan baru kami memang seronok, banyak masa untuk berehat. Setiap hujung minggu kami bawa dia breakfast. Cuma Bapa Mertuaku selalu bercerita sedih apabila kami tiada di rumah. Makanan tak sedap, takde orang nak bawa keluar, tak pergi bercuti dan macam-macam lagi.

Aku tak tahulah nak rasa sedih ke apa, tapi aku memang tak sedih pun. Kalau tiada makanan, tu sedih. Kalau tak sedap, tu sebenarnya nak makan luar.

Apabila PKPB dikuatkuasakan, kami berdua kembali kerja di rumah dan apabila hal ini diketahui, Bapa Mertuaku mengajak isteriku breakfast di luar setiap hari. Alasan nya tiada makanan padahal Ibu Mertuaku masak setiap pagi.

Aku tentunya lah tak ikut sebab hanya 2 orang dibenarkan satu kereta.

Setiap pagi pukul 7am isteriku keluar untuk pergi breakfast dan pukul 8.30 kena sampai di rumah untuk mula bekerja depan laptop. Aku kat rumah jadi chef masak French Toast, cukup dah.

Apabila aku bertanya, rupa-rupanya setiap malam Bapa Mertuaku mengadu gastrik. Masuk angin sebab tak makan. Sebab tu isteriku sanggup keluar pagi-pagi macam tu. Aku dah lost words. Kesian tapi tak tau nak cakap apa dah. Dia pun tak tahu nak buat apa.

Tak dilayan pun salah, layan pun salah. Kepada sesiapa yang cakap “layan jekla, bukan masalah besar pun”, cuba bayangkan setiap pagi akak drive 15km-20km dengan jalan yang jem dan bergegas balik untuk kerja dan kadang-kala meeting. Akak sanggup?

Kadang-kala isteriku menolak, dia cuma kata “bawa lah laptop tu ke kedai, boleh lah yang bujang-bujang kat opis tu berkenalan dengan mamak ni”. Another solution dia bagi, duduk semula kat rumah dia, senang tak perlu ulang-alik.

Aku memang suruh dia keraskan hati kalau penat. Bukan selalu kita menolak, hanya sekali-sekala. Kalau masuk angin sekalipun, Ibu Mertuaku ada.

Aku dapat jimatkan duit apabila duduk sendiri. Penting untuk aku kawal perbelanjaan aku. Bukan mahu berkira tapi perbelanjaan kami sebelum ini aku boleh gambarkan macam ni, kalau kami ada RM500, belanja kami RM150, parent aku RM100 dan Bapa Mertuaku RM250.

Ni bukan jumlah sebenar yer, cuma gambaran. Itu belum termasuk belanja yang diberikan secara bulanan yer.

Separuh dari gaji isteriku dibelanjakan untuk keperluan dan belanja di rumah Bapa Mertuaku. Adik-beradik yang lain pun sama. Belum termasuk kereta dan belanja keperluan sendiri.

Kami lebih selesa apabila ada lebihan duit, kami akan bawa semua untuk bercuti atau makan-makan. Bukan hari-hari atau seminggu 3-4 kali macam ni. Tak sempat nak kumpul dah habis.

Setelah beberapa Ketika, isteriku pun perlahan-lahan kurangkan untuk membawa Bapa Mertuaku keluar.

“Kasihan Bapa Mertuaku kan?” Makanan kat rumah tu ada kak, Ibu Mertuaku dah masak. “Dia rindu nak bersama anak dia”. Setiap minggu kami balik kak. Saya dah 2 bulan tak jumpa parent sebab PKPB ni, baik kasihankan saya.

Sebelum aku mengakhiri coretan ni, aku ceritakan sedikit berkenaan Bapa Mertuaku. Dulu dia seorang Businessman yang berjaya. Hidup mereka sekeluarga mewah tetapi dia kurang menghabiskan masa bersama anak-anak sebab terlalu sibuk.

Namun begitu, segala keperluan anak-anak dipenuhi. Setiap tahun mereka bercuti ke luar negara. Dia seorang yang strict dan membuat semua keputusan tanpa perbincangan.

Akibatnya, dia ditipu dan jatuh terduduk. Sakit punggung tu kak. Hutang yang perlu dibayar mencecah 6 angka. Ketika itu, isteriku baru bekerja dan dia mengambil tugas untuk membayar segala komitmen hutang yang ditinggalkan.

Dan apabila adik-beradik lain dah bekerja mereka berkongsi untuk membayar hutang itu. Itulah sebabnya separuh gaji habis untuk keluarga dia.

Disebabkan hal ini, Bapa Mertuaku berubah menjadi seorang yang selalu bersedih dan tiada motivasi diri. Itulah sebabnya isteriku sekali lagi menjadi Superwoman dan cuba menggembirakan hati dia. Adik-beradik yang lain tak mampu dari segi kewangan.

Namun, apa yang dikesalkan, Bapa Mertuaku seolah-olah masih ingin berbelanja seperti dulu. Masih ingin hidup bagai orang berstatus. Bukan untuk mengaibkan, tapi ayat yang selalu diucapkan, “dulu abah boleh bagi apa diaorang nak, sekarang abah minta semua tak bagi”.

Logiknya tuan-tuan, dulu dia banyak duit kini anak-anak menanggung hutang, keadaan tak sama. Ini lah punca kenapa dia selalu berdrama, dia nak anak-anak layan dia macam dia layan mereka dulu

Ayahku pula seorang pegawai kerajaan yang sederhana tapi menerapkan kehidupan orang susah dalam keluarga. Kami tak pernah bercuti, kalau kami ke negeri lain tu atas sebab saudara-mara kahwin jek. Itu pun balik hari. Tak pernah ayahku beli KFC sampai aku habis belajar kat universiti.

Kami merasa KFC apabila abang dan kakak yang belanja. Birthday kami tak pernah disambut. Tak pernah dapat hadiah. Duit raya pun tak pernah bagi. Tetapi aku tahu yang ayah bukan kedekut saja-saja, dia suka beli tanah dan buat rumah untuk disewakan.

Kini dia hanya “menuai” hasil. Kereta dia pakai Alza second batch dulu. Dah habis bayar pun. Cuma aku cemburu, cucu cuit sikit jek mesti dapat hadiah.

Aku ingin ikut apa yang ayahku buat dan aku percaya belum terlambat. Apabila aku dah biasa dengan tiada kemewahan, aku anggap apa yang Bapa Mertuaku rasa kurang tu satu perkara yang kecil.

Makanan tak sedap, dah bosan makan situ, handphone habis bateri, tak pernah bercuti. Namun, sebagai menantu aku tetap cuba untuk memahami keadaan itu dan cuba untuk memuaskan hati dia.

Aku rasa ini adalah coretan terakhirku berkenaan Bapa Mertuaku. Maaf sekiranya ada yang merasakan tindakan aku salah. Aku hanyalah Roronoa Zoro, tidak lepas dari kesilapan. Aku membaca setiap komen yang diberikan dan mengambil nasihat sebagai ikhtibar.

Di dalam anime One Piece, Roronoa Zoro adalah orang kedua selepas kapten Luffy dalam pengembaraan untuk mencari harta karun ONE PIECE. Tugas dia adalah ikut dan protect Luffy dan anak kapal lain.

Aku anggap Ibu dan Bapa Mertuaku dan Ibu Bapaku adalah kapten yang perlu aku ikut dan jaga untuk mencapai ONE PIECE yang sebenar kita iaitu KEREDHAAN ALLAH.

Terima kasih kerana sudi membaca dan minat untuk membaca. Aku dah takde apa nak tulis lepas ni. Kalau ada pun mungkin pasal isteriku, Nami the silent killer aku gelar dia. Tapi takde lah isu besar sangat, isu biasa-biasa jek. Sekian.

– Roronoa Zoro (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *