Abah Bencikan Kami?

“Kak, kami dapat berita abah ada isteri lain. Dah ada anak dah pun. Setahun umur dia…..”

Tepat jam 2am, selesai aku solat isyak di tempat kerja (shift malam), aku terima mesej ni dari adik perempuan aku. Panjang lagi ayat dalam mesej tu. Tak mampu aku taip satu-satu.

Dalam keadaan masih bertelekung, terus aku sujud dan menangis sekuat hati. Kawan disebelah terperanjat dan terus bertanya “Kenapa ni?”…

Hampir 3 tahun peristiwa hitam itu berlaku. Sekarang, aku sudah pulang ke kampung asalku, alhamdulillah dipermudahkan urusan perpindahan atas kerjasama dan dorongan dari pihak atasan tempat kerja lamaku di Klang.

Terima kasih semua, untuk kawan-kawan sekerja yang tidak dapat aku beritahu punca perpindahan ini, maafkan aku.

Gigih aku pulang ke kampung asal. Nekad untuk menggantikan tempat abah sebagai peneman mak di kampung.

Adik-adik semua belajar jauh dari kampung. Sedaya upaya kami adik-beradik menaikkan semula semangat mak yang hilang masa mula-mula khabar hitam ini menggegarkan keluarga kami.

Adik bungsu aku hilang arah. Pelajar cemerlang yang akhirnya ‘tersungkur’ akibat masalah keluarga.

Barangkali hilang kepercayaan pada abah kandung sendiri atau dorongan rakan yang tersalah pilih menyebabkan dia berulangkali keluar masuk balai walaupun baru bawah umur.

Mujur adik lelaki ketiga aku berakal orangnya. Cuba untuk sentiasa mengawal jejak langkah adik bungsu dia.

Mak, semakin kuat. Dia yakin, kami saja sumber kekuatan dia. Adik bungsu yang hanyut dia selamatkan sedaya upaya dia dengan tenaga seorang ibu tanpa bantuan suami disisi.

Abah? Abah hilang. Tak tahu kemana. Kami anak beranak dia tinggalkan begitu saja. Malu atau benci pada kami pun aku tak pasti.

Yang aku pasti, dia hanya munculkan diri pada masa-masa penting seperti hantar adik aku ke IPTA atau semasa berlaku kecemasan di rumah.

Hari-hari yang selebihnya entah hilang kemana. Whatsapp hanya ‘bluetick’. Cukup sekadar untuk beritahu kami bahawa dia baca mesej yang disampaikan.

Tanggal 23 November baru ini, harijadi abah yang ke 58. Kami adik beradik kumpul duit untuk menghadiahkan sebuah beg duit baru untuk dia.

Marah itu ada, tapi tersisa kasih sayang pada abah kandung sendiri. Jangan khuatir abah, kami tak layak untuk marah pada abah. Tapi maaf kami sentiasa ada.

“Selamat harijadi abah” ringkas saja mesej ucapan yang aku berikan pada abah. Tak perlu panjang, sebab aku tau takkan dibalas.

Hadiah yang kemas berbalut dan kad ucapan yang masih bersih tanpa tulisan, ada terbiar didalam almari. Tak tahu bila akan sampai pada tuannya.

28 November, kami adik beradik terbaca whatsapp status abah. Dia ‘upload’ gambar anak baru dia. Terdetik dalam hati aku, “Ya mungkin abah dah bencikan kami”.

Tahun depan umurku cecah 30 tahun. Ramai yang bertanya, “Tiada calonkah” atau “Memilihkah kamu?”. Tak. Aku berfikir kearah itu lagi. Sebab aku paranaoid. Bukan pada lelaki, tetapi pada perkahwinan.

Memang prkahwinan itu satu perjudian katanya, tapi aku tak sanggup perjudikan hidup aku pada lelaki yang belum tentu mampu jaga diri aku dan terima keluarga aku seadanya.

Cukup la sekadar aku teman mak sepanjang sisa-sisa kehidupan dia dan lihat adik-adik aku besar dan berumahtangga depan mata aku sendiri. Untuk itu, aku redha.

Pada perempuan yang bergelar makcik kiranya, tahniah kerana berjaya merobohkan sebuah rumahtangga.

Ya benda takkan jadi kalau tak bertepuk sebelah tangan. Tapi Allah kurniakan akal untuk bezakan yang mana baik dan yang buruk. Aku doakan perkara yang sama takkan berlaku dalam ahli keluarga kau.

Sebab sakit untuk tempuh situasi ni, aku yakin, kau dan ahli keluarga kau takkan mampu harungi.

Cukup la rasa malu yang ditanggung oleh keluarga kau kerana kau berkahwinkan lelaki orang. Bahasa kasarnya perampas. Mungkin kau bahagia, tak jujurnya aku tahu, kau tak rasa macamtu.

Kepada abah, larilah sejauh mana yang abah nak. Tapi tanggungjawab abah akan tetap kekal dibahu abah sampai bila-bila.

Jangan bimbang, kami adik beradik tak bencikan abah. Sayang itu masih ada. Terpulang pada abah untuk terima kami semula atau pun tidak.

Tentang emak, kami semua dah besar dan mampu jaga mak mungkin lebih baik daripada abah. Cuma satu saja permintaan kami, jangan bencikan kami.

– TB (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *