Assalamualaikum admin. Saya Nurul, sudah berkahwin 4 bulan yang lalu dan sedang meniti hari-hari bahagia bersama seorang suami yang amat saya cintai. Alhamdulillah, semoga kebahagiaan ini berkekalan hingga syurga-Nya. Aameen.
Saya bernikah tanpa hantaran beribu-ribu. Ya, tanpa satu sen pun hantaran. Hanya sekadar mas kahwin kerana itu adalah kewajiban seorang bakal suami terhadap bakal isterinya. Saya mengadakan walimah tanpa bersanding walaupun ada pelamin. Ya, saya bangga dengan itu. Saya berkongsi bukanlah untuk riak tetapi untuk membuka mata masyarakat di luar sana bahawa perkahwinan dan pernikahan bukanlah diukur pada besarnya nilai hantaran dan gahnya sebuah pelamin dan persandingan. Pelamin saya sewa pada harga yang amat murah. Pelamin bajet kata orang. Semuanya dengan persetujuan abah saya dan keluarga saya yang lain. Untuk pengetahuan admin dan pembaca, keluarga tidak masuk campur urusan pernikahan dan peekahwinan saya. Hanya abah, saya dan suami kerana abah dan ummi telah bercerai 5 tahun yang lalu. Itupun saya masih meminta pendapat ummi. Alhamdulillah semua dimudahkan.
Berbalik kepada pernikahan tanpa hantaran, saya seorang pelajar Sarjana (Master), saya telah memiliki Ijazah. Siapa kata makin tinggi tahap pendidikan, makin tinggi hantaran? Tidak. Itu semua auta. Bukan fakta. Siapa kata makin tinggi hantaran, makin kaya bakal menantu (fikiran makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang kolot). Tidak. Itu semua hanya indah khabar dari rupa. Apalah guna hantaran tinggi tapi hutang. Apalah guna hantaran tinggi tapi tiada taqwa dan iman. Siapa kata kenduri besar-besaran itu bagus? Tidak. Walimah saya simple sahaja. Sangat simple. Tapi amat memuaskan. Tidak makan belanja yang banyak dan tidak membazir. Baju pada hari pernikahan saya pakai semula pada hari walimah saya. Simple bukan? Tak perlu nak pening-pening tukar baju untuk malam berinailah, potong kek lah. Majlis saya, sepasang baju sahaja cukup. Saya masih berinai, saya masih memotong kek. Siapa kata susah nak buat kenduri kahwin? Tidak. Tak susah kalau bukan kita sendiri yang menyusahkan. Tak susah kalau kita ketepikan kata-kata orang. Orang nak mengata, biarkan. Ucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah menyumbangkan pahala akibat suka mengata-ngata. Tak susah kalau kita ketepikan adat, dahulukan syariat.
Alhamdulillah, sekarang saya sudah memulakan hidup bersama suami saya dirumah yang kami sewa di Setia Alam. Kami belajar sikit-sikit ilmu rumahtangga. Yelah dah duduk sendiri ni baru kita tahu dan kita nampak dengan jelas baik buruk pasangan kita. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang. Walaupun tidak mewah, tetapi cukup untuk memenuhi keperluan seharian kami suami isteri. Kelengkapan rumah walaupun tidak baru, kami bahagia dapat beli second-hand asalkan tidak berhutang. Biasalah nak mula hidup. Susah dahulu, senang kemudian. Ya, kami tidak susah hati atau malu kerana mengadakan majlis perkahwinan yang sederhana. Tak malu kerana diri saya dinikahi tanpa hantaran. Yang penting adalah kehidupan saya dan suami selepas ini. Kehidupan kami dan anak-anak kami pada masa hadapan. Tak kisah pada keluarga yang kaya dan berada. Kalian mahukan majlis perkahwinan 7 hari 7 malam sekalipun dipersilakan, itu wang kalian, belanja kalian. Asalkan kalian tidak berhutang, membazir dan tidak dengan tujuan menunjuk-nunjuk. Betulkan niat kerana niat dari awal perkahwinan itu akan memberi kesan yang besar pada seluruh perkahwinan kalian pada masa hadapan. Fikir jauh.
Masyarakat juga dimomokkan dengan bila dah kahwin mesti kena terus bunting (mengandung). Apakah? Masyarakatkah yang tentukan rezeki kita? Tidak. Allah yang telah menetapkan takdir. Jadi, jangan tanya dan jangan persoal kesuburan orang. Jangan persoal hidup orang lain. Doakan yang terbaik. Tak sama kehidupan kita dengan kehidupan orang lain. Tak sama takdir kita dengan takdir orang lain. Tak sama kehendak kita dengan kehendak orang lain. Semuanya Allah telah tetapkan di Luh Mahfuz. Sila jangan persoal dan sila jangan menyibuk hal orang.
Saya bangga dan bersyukur dengan kehidupan saya sekarang. Saya bahagia punya suami yang memahami dan setia disamping saya. Harap ia akan berkekalan selamanya. Doakan saya. Biar sederhana, biar orang lihat papa, asalkan kita kaya jiwa dan taqwa. Peace. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
– Nurul
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit