Abang Berkahwin, Mak Terbeban

Assalammualaikum sebagai pembuka bicara, tujuan ku menulis hanya sekadar luahan yang terpendam dalam lubuk hati ini. Luahan yang ku simpan dari apa yang aku perhatikan.

Tidak sesekali ingin mengaibkan mana-mana pihak. Sesungguhnya aku juga bukan manusia yang sempurna untuk menilai seseorang.

Kisah bermula bilamana abang ku baru saja bernikah dan mereka tinggal sekali dengan kami. Perkara ini langsung tiada masalah kerana bagiku rumah akan lebih meriah dengan adanya kehadiran menantu.

Kebiasaannya abang dan kakak ipar akan pergi kerja awal pagi dan pulang antara 6-7 petang. Untuk makan malam, biasanya mak akan masak seawal 5.30petang, aku akan bantu sikit-sikit.

Bila kakak ipar balik kerja, dia akan terus ke bilik dan rehat sekejap, selepas itu pergi mandi dan berada dibilik sehingga waktu makan malam(walau tengah tengok mak aku masak). Rutin ni memang setiap hari berlaku.

Bila waktu makan malam, semua dah terhidang baru lah abang dan kakak ipar keluar, kadangkala ada juga lah tolong angkatkan pinggan dan lauk tapi jarang. Pada awalnya aku rasa ok sebab kakak ipar baru masuk dalam keluarga, masih malu.

Tapi semakin hari, semakin aku lihat mak aku terbeban seperti terpaksa kena masakkan makan malam mereka setiap hari (jangan cakap aku tak tolong, aku tolong mana yang patut sebab mak jenis yang dia nak juga ada didapur masak).

Umur mak aku pun dah 50an. Dia selalu kata kat aku badan dia sakit-sakit, penat, tangan rasa kebas.

Aku pun bakal berkahwin dan ikut suami, cuma aku rasa kasihan kat mak aku, nanti pasti sendirian buat kerja rumah. Aku satu-satunya perempuan dalam adik beradik.

Dulu jenis kami makan malam seadanya, kadang maggi, kadang bungkus makanaan, aku pun jenis jarang makan malam. Sekarang setiap hari kena sediakan.

Rutin pagi, kebiasaanya selepas solat subuh aku akan menyapu dan mop rumah. Tapi ada kalanya aku tewas juga dengan rasa mengantuk selepas solat subuh jadi rumah masih bersepah.

Kakak ipar selalunya akan bangun, mandi, dan bersiap pergi kerja. Kadang aku berharap, dia juga bangun lebih awal untuk tolong kemas rumah, sekali sekala.

Aku tak kesah buat semua ini, cuma aku dah mula terfikir bila aku dah berkahwin nanti dan tidak tinggal di rumah ini, mak aku lah sendirian yang akan masak, kemas rumah.

Aku dah bagitahu mak aku awal-awal, kalau rasa penat tak payah masak, nanti mereka balik kerja boleh masak. Seperti biasa mak aku akan kata, “orang penat baru balik kerja, takkan nak masak lagi, kesian’.

Malam takbir raya abang dan kakak ipar bermalam di rumah keluarga kakak ipar(rumah dekat ja dengan kami). Mereka ada belikan ayam untuk mak masak, kuih dan minuman botol.

Tapi aku terkilan melihat situasi ini, apa salahnya pulang lebih awal ke rumah, tolong kemas rumah, setidaknya tolong kupas bawang, susun pinggan mangkuk, ini tiada langsung rasa nak menolong.

Walau tak sambut raya, tapi juadah raya tetap ada, mak aku sedekahkan masakkan bagi kat rumah nenek aku.

Ada bacaan doa selamat pun hari tu kat rumah, abang dan kakak ipar tiada di rumah, sibuk berbelanja kerana esoknya pkp. Kakak ipar baik tiada masalah, dia pandai tengok apa yang kurang di dapur dan topup.

Cuma aku terkilan dia tidak ringan tulang untuk membantu sedikit dalam buat kerja rumah. Aku cuma kasihan kan mak aku bila aku tiada nanti.

Mak ada meluah dengan aku dia penat. Tapi aku tahu mak takkan tunjuk rasa penat itu depan menantu, sebab mak juga kesian mereka kerja.

Harapkan abang aku nak buat kerja rumah, sama juga, pagi bersiap pergi kerja, malam baru balik. Aku juga perasan kakak ipar tak ambil cuti kerja sejak tinggal dirumah ni, hari-hari dia turun kerja.

Masih fikir positif dia ingin mencari duit lebih tak ambil cuti,sebab pkp ni mereka di bayar gaji hari bukan bulanan. Kadang bila hasutan syaitan datang aku terfikir negatif juga, dia tak nak cuti sebab nanti nak kena buat kerja rumah dan masak.

Aku nak minta pendapat pada kalian, apa yang harus aku lakukan. Aku asyik terfikir benda ni sedangkan majlis perkahwinan ku beberapa bulan lagi.

Kadang air mata aku mengalir, aku tahu mak penat. Aku cuma nak mak rehat. Ini belum lagi bila abang dah ada anak dan mereka pergi kerja, pastinya mak lah yang akan menjaga anak mereka.

Bila aku berkahwin nanti, ada masanya aku pun kena korbankan untuk berada di rumah mak mentua bila raya. Kakak ipar pun, aku lihat lebih suka bermalam di rumahnya bila perayaan.

Bila aku tak balik, abang dan kakak ipar di rumahnya, mak aku akan kesunyiaan. Nak bawa mak tinggal sekali, aku tahu mak takkan mahu, dia dah suka tinggal kat rumah yang aku belikan untuk dia ni.

Aku pun suatu hari akan menjadi menantu dan pendatang baru di rumah orang lain. Semoga aku juga tidak mengguris perasaan mentua nanti dan mampu menjadi menantu yang baik. Aku sayang kakak ipar, cuma aku tahu mak penat.

– KIRANA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit