Lelaki dan Cinta Pertama

Assalamualaikum. Terima kasih IIUM Confession jika cerita ini berjaya dikongsi.

Saya terbaca komen seorang kaunselor di media sosial untuk soalan, ‘Boleh ke terus berkahwin dengan lelaki yang masih tak move on dengan bekas kekasih, walaupun break dah 6 tahun lebih dan bekas kekasih dah kahwin?’.

Jawapan kaunselor tersebut adalah, ‘Boleh tapi anda sedar tak apa risikonya?’

Disebabkan ini, saya teringat semula pada kisah benar lebih kurang sama yang terjadi di sekeliling.

Ini kisah seorang lelaki dipanggil Ali. Nama diceritakan bukan nama sebenar. Ali pertama kali kenal Mila dari sekolah rendah dan sejak itu Ali suka Mila. Tapi Ali tak berani nak berkenalan rapat sebab Mila anak orang senang sedangkan Ali hanya budak kampung hingusan.

Bila dewasa, Ali cuba mengorat Mila dan ajak berkahwin tapi malangnya ditolak atas alasan dia bukan lelaki idaman Mila.

Hati sudah musnah, Ali pun menghasratkan pada ibunya yang dia mahu segera bernikah. Ibu Ali sudah ada pasangan serasi untuk anaknya. Maka bernikah Ali dengan Asna. Perkahwinan mereka dikurniakan 6 orang anak iaitu 3 lelaki dan 3 perempuan.

Ketika awal perkahwinan, Ali tiada kerja yang tetap. Ali ini orangnya umpama tin kosong yang berbunyi. Selalu bilang projek sana sini, tapi tiada satu pun menjadi dan berjaya.

Bila ada hasil saja baru Ali dapat bayar nafkah. Jadi Asna yang menanggung semua belanja dari pendapatannya sebagai seorang guru. Mereka sekeluarga tinggal di rumah arwah Ibu Ali dan hidup bahagia.

Namun ini semua berubah bila Ali bertemu semula Mila setelah 30 tahun berkahwin. Mila ketika itu telah berstatus janda anak empat. Suami Mila meninggal dunia akibat masalah kesihatan.

Ali tahu Mila sudah bernikah kerana dia sentiasa mengikuti perkembangan cinta pertamanya walaupun diri sendiri sudah punya keluarga kerana baginya susah sekali untuk melupakan Mila.

Ali sekali lagi cuba untuk mendekati Mila. Bagi Ali, ini adalah peluang untuk mendapatkan kembali cintanya yang tidak kesampaian.

Ali dapat tahu Mila mendapat pinangan dari ramai lelaki setelah berstatus janda. Jadi Ali cuba pelbagai cara dan akhirnya Mila terima Ali tapi bersyarat. Syaratnya adalah Ali bukan orang utama dalam hidup Mila.

Bagi Mila yang paling pertama dan penting sekali dalam hidupnya adalah anak-anaknya, kedua keluarganya (adik-beradik), ketiga ibu mertuanya (ibu arwah suami), dan kemudian baru Ali. Ali jatuh pada tangga ke-4.

Mila tidak mahu Ali terlibat secara langsung dalam kehidupannya sebelum ini dan anak-anaknya juga tidak mahu Ali dalam hidup seharian mereka. Ali terpaksa bersetuju dengan syarat ditetapkan Mila asalkan dia dapat bersama cinta pertamanya.

Bila diketahui Asna, perkahwinan mereka berantakan sehingga hampir bercerai. Anak-anak semua berpihak kepada Asna dan mereka menyerang Mila sekeluarga.

Anak-anak Mila tidak campur tangan dalam hal ini kerana bagi mereka ini adalah hal si ibu dengan hidupnya. Keluarga Mila juga tidak menyukai Ali tapi tidak menentang. Mereka hanya mampu menasihat tapi keputusan bukan milik mereka.

Sekarang, Ali dan Mila punya dua kehidupan. Ali dan keluarganya, Mila dan keluarganya serta Ali bersama Mila. Anak-anak Mila sudah boleh menerima kehidupan ibu mereka seperti ini tetapi tidak pula keluarga Ali.

Asna sudah memohon penceraian tapi ditolak Ali. Hubungan Ali dan Asna menjadi dingin. Mereka kini walaupun masih berkumpul sekeluarga untuk acara penting tapi suasana dan layanan tidak sama seperti dulu. Ali dan Asna kini tidak lebih dari rakan serumah.

Sekarang Ali seperti tidak punya ‘tempat’ lagi dalam hidup. Sudahlah perkahwinan bersama keluarga yang dibina selama 30 tahun dingin membeku, dia juga bukanlah orang penting dalam hubungan yang sibuk dikejar. Ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Mungkin anda akan menyerang Mila sebagai seorang perampas tapi dia tidak punya pilihan. Setelah kematian suaminya, Mila mendapat pinangan dari ramai lelaki. Jadi bagi mengelakkan ini, Mila memilih Ali yang bersetuju dengan syarat-syarat diberikan.

Mendengar kisah ini, saya tidak menyalahkan Mila tapi tidak juga menyokong keputusan dia kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

Bagi Mila, Ali hanya sebagai pelindung daripada fitnah orang. Pendapat saya pula, Ali ini tidak lebih dari seorang yang dipergunakan Mila dan kasihan sebab Ali buta kerana cinta.

Mila masih menjalankan tanggungjawab seorang ‘ibu tunggal’ pada anak-anak dan tugas sebagai seorang anak pada ibu arwah suami kerana mereka bukan di bawah tanggungjawab Ali dan Ali sama sekali tidak terlibat dalam hidup mereka.

Namun begitu, saya masih tidak faham akan tindakan Ali. Apakah susah untuk Ali melupakan cinta pertamanya?

Mungkin jika tak dapat lupakan, sekurangnya hanya simpan perasaan dan keinginan itu sebagai kenangan. Kenapa kena mencari semula dan kejar lagi cinta yang ditolak? Apakah begitu susah untuk melupakan?

Berapa lama diperlukan? Tidak cukupkah 30 tahun? Apakah hubungan bersama Asna hanya sebuah mimpi? Susah sangat ke untuk menerima takdir dan teruskan kehidupan yang ada?

Sanggup Ali meruntuhkan sendiri satu-satunya keluarga dia punya? Tak kasihan ke Ali pada Asna dan anak-anak?

Bagi saya, dalam hal ini yang paling menjadi mangsa adalah Asna. Rupanya selama perkahwinan ini, dia bukanlah yang terpahat dihati Ali.

Dia sanggup berkorban tinggal bersama ibu mertua dan membesarkan anak-anak. Dia juga yang banyak menanggung keluarga. Apa pengorbanan dia selama ini hanya perkara sia-sia?

Sedih, marah dan sakit hati Asna mungkin tiada siapa tahu. Saya mendoakan Asna terus kuat dan bersabar.

Sepanjang hidup Asna bersama Ali, terasa semua hanya lakonan semata. Andai saja Ali tidak mencari dan mengejar cinta pertamanya, mungkin semua ini tak akan terjadi.

Itu saja perkongsian saya. Minta maaf andai coretan ini terlalu panjang dan terima kasih kepada pembaca yang sudi habiskan kisah ini. Semoga ada pengajaran dari perkongsian saya. Sila kongsikan sebarang komen dan pendapat jika ada.

Sekian.

– Hani (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *