Abang Oh Abang!

Assalamualaikum semua. Pertama sekali saya harap posting saya tidak dikongsi semula di mana-mana page socmed yang lain kecuali page IIUM Confession sahaja. Confession ini sekadar luahan sahaja, bukan menjadi content untuk menaikkan like di page lain.

Berbalik pada luahan saya. Saya Q, berusia 27 tahun. Memiliki ramai adik beradik. Saya sudah berumah tangga dan memiliki cahaya mata. Sepanjang 27 tahun saya hidup, abang sulung saya tak pernah anggap saya sebagai adik.

Ada sahaja yang tak kena di mata dia. Dari saya kecik sampai lah saya sendiri dah kahwin. Sentiasa saya yang disalahkan. Saya ingat lagi dulu waktu saya remaja dia selalu mengata saya dekat adik beradik lain. Saya sedar saja pakaian saya tak berapa muslimah, saya tak berpurdah.

Tapi dia selalu kutuk tentang penampilan saya dekat adik beradik lain. Kenapa tak nak tegur saya direct saja? Saya dah kahwin ni pun dia masih mengata pasal saya.

Selalunya saya malas ambil port, tapi kadang-kadang rasa geram jugak kan. Tak reti cakap sendiri ke dekat saya?

Awak abang kan.

Baru-baru ni kami adik beradik plan nak buat birthday surprise untuk mak. Tapi surprise tak menjadi sebab abang saya ceritakan plan kami pada mak. Satu masalah yang besar tentang abang saya, dia suka cerita walau sekecil-kecil benda dengan mak.

Hatta masalah rumah tangga dia. Segala perasaan tak puas hati dengan isteri dia, mak mertua dia, anak buah sebelah isteri semua dia cerita pada mak. Mak saya pulak ada satu pe’el sebarkan apa yang anak lelaki dia cerita pada orang lain.

Bayangkan kami di majlis kahwin saudara, mak cerita dekat adik beradik mak, dekat saudara mara tentang keburukan besan mak (mak mertua abang).

Puas saya nak cover semula dengan saudara mara. Kita datang majlis kahwin nak raikan pengantin bukan nak dengar cerita2 yang tak baik pasal orang lain.

Berbalik kisah plan birthday surprise mak yang tak jadi. Setelah abang cerita, mak bagitau abang ape yang mak nak plan pulak.

Asalnya kami nak plan surprise percutian untuk satu keluarga. Tapi disebabkan abang dah cerita, mak cakap mak nak ziarah saudara saja.

Kami adik beradik bukan tak nak ziarah saudara mara, cuma nak utamakan dahulu holiday untuk mak. Nak ziarah, lepas dah settle bawak mak jalan-jalan.

Salah seorang kakak saya tanya dalam group adik beradik kami, kenapa abang bagitau mak tentang plan asal untuk surprise mak.

Dah abang melenting pulak. Katanya kena dahulukan mak, kena tanya pendapat mak. Saya sangat faham tentang perlu hormati mak, dahulukan mak. Tapi dah nama pun surprise, tak boleh ke tahan sekejap diri tu dari cerita dekat mak?

Tak pasal-pasal abang dengan kakak saya bergaduh dalam group. Abang pulak tak semena-mena cakap dalam group apa yang mak tak puas hati dengan adik beradik.

Dah habis semua orang dia kondem. Yang lucunya dia tak habis-habis kata diri dia tak baik pun, tapi dalam masa yang sama judge orang lain macam dia tak ada dosa.

Hanya kerana kami menyantuni saudara mara lain, dia kata kami tak hormat mak. Saya kenal sangat dengan mak. Hatta kami santuni nenek (mak kandung mak) pun mak tak suka. Sebab bagi mak, kena hormat mak sorang saja.

Jangan hormat atau santuni orang lain. Mak mmg tak suka kami bergaul rapat dengan saudara mara yang lain. Mak tu dah satu bab, sekarang ni abang saya sebagai pendengar, kenapa perlu keruhkan keadaan dengan menjatuhkan hukum sesuka hati?

Saya kalau dengar mak mengata pasal adik beradik, pasal orang lain biasanya saya diam, saya lari atau saya tegur semula mak baik-baik.

Sebab anak mak ramai, jangan mengata anak orang. Dan kalau mak mengata adik beradik yang lain, saya takkan cerita dekat tuan badan sebab hanya akan mengeruhkan keadaan saja lagi.

Entah lah, saya tak tahu macam mana abang saya punya pemahaman tentang ketaatan seorang anak.

Mungkin dengan cerita masalah rumah tangga, cerita tentang keburukan orang, bersetuju dengan umpatan mak tentang orang lain, mungkin itu lah definisi taat untuk abang saya.

Yang geram tu sesuka hati saja cakap adik beradik lain tak taat, tak hormat dengan mak. Padahal kami masih lagi balik kampung, bagi duit kat mak, belikan hadiah untuk mak, tanya khabar mak, call mak.

Takkanlah abang nak kami putuskan silaturrahim dengan saudara mara hanya sebab mak tak suka orang tu? Saya tahu abang saya pun ikut bermusuh dengan orang2 yang mak tak suka.

Tapi takkan kami anak-anak yang lain kena bergaduh sekali dengan orang yang tak ada masalah pun dengan kami?

Penyudahnya hubungan dengan saudara mara jadi janggal. Begitulah berulang situasi yang sama dari kecik sampai kami dah kahwin, beranak pinak ni.

Bagi abang saya, diri saya tak ada nilai apa-apa pun dekat mata dia. Sebab tu dia hutang dengan saya pun dia buat tak tahu saja.

Pernah sekali kami adik beradik plan nak kongsi duit belikan hadiah untuk anniversary mak ayah. Masa tu dahulukan duit saya untuk beli mesin urut.

Penyudahnya sampai sekarang dia tak bayar dekat saya. Bukan saya tak halalkan tapi tak suka cara dia yang ambil mudah bab hutang.

Nak kahwin buat personal loan, nak beli motor loan, nak pindah rumah buat hutang lagi. Adakah tiket dia sebagai abang boleh buat-buat lupa hutang dia pada adik?

Pernah saja saya remind suruh bayar hutang, tapi dia buat tak tahu saja. Dan yang paling saya tak suka, mak selalu cakap kesian kat abang takde duit. Kesian kat abang, penat kena uruskan baby dia yang baru lahir.

Kesian dekat abang kena masak untuk bini dia yang tengah berpantang. Kesian abang kena mandikan baby dia. Kesian, kesian, kesian.

Masalahnya memang tanggungjawab abang kan untuk jaga anak bini?

Saya ingat lagi masa abang awal-awal kahwin. Mak cakap isteri abang ni tak sepatutnya mintak duit dekat abang, yang ni sah-sah la abang cerita dekat mak. Mak kata bini abang kena faham kewangan suami dia. Saya balas balik, nafkah suami untuk isteri tu wajib.

Takkan lah RM50 pun abang tak mampu bagi bini dia? Abang memang kena bagi, cuma ikut kemampuan dia lah. Bila mak dengar jawapan saya, mak diam saja. Dalam hati saya waktu tu nak sumpah seranah abang saya.

Kau hutang berpuluh ribu, tapi nafkah bini kau rasa berat nak bagi? Dah tu cerita pulak kat mak. Tak boleh bincang dengan bini sendiri ke?

Kenapa nak mengadu dekat mak jugak?

Sebelum abang kahwin, kakak saya pernah nasihatkan abang, jgn cerita masalah rumah tangga dekat mak bila dah kahwin nanti.

Sebab waktu dia bercinta, dia bertunang, apa dia tak puas hati dengan bakal isteri, dia cerita kat mak. Rupanya nasihat kakak saya tu macam angin berlalu saja untuk abang saya.

Dah ada anak sorang pun masih lagi mengata bini sendiri kat mak. Sebab tu kami adik beradik yang lain cuba sedaya upaya santuni isteri abang sebab kesian sangat dekat dia.

Saya lagi banyak contact isteri abang berbanding abang sendiri untuk tanya khabar dan tanya apa-apa yang boleh saya tolong. Mungkin kakak ipar saya tak tahu suami dia cerita dekat mak. Biarlah dia tak tahu, sebab saya rasa lagi perit kalau dia tahu.

Orang kata air yang dicincang takkan putus. Buruk macam mana pun keluarga kita, kita kena terima. Tapi hanya orang yang pernah melalui saja dapat rasa. Saya tak benci abang saya pun. Cuma saya rasa diri saya bukan sebahagian dari keluarga dekat mata abang saya.

Dia selalu suruh saya hormat dia sebagai abang, tapi dia tak pernah anggap saya sebagai adik. Walaupun dia abang sulung, seingat saya dia tak pernah bantu saya dari sudut kewangan apatah lagi sokongan moral.

Yang dia tahu, kondem saya dan adik beradik yang lain. Acah macam dia lah anak yang terpaling baik. Dan bila ada masalah, macam masalah dia lah yang terpaling besar.

Abang, kau dah ada anak bini. Sedarlah diri. Jangan dibangga title kerja kerajaan tapi hutang keliling pinggang. Jangan dijaja aib isteri sedangkan isteri abang lebih mengetahui aib abang yang mungkin orang lain tak nampak.

Jangan terlalu cepat menghukum dosa orang sedangkan nafkah dengan isteri pun abang berkira-kira. Hormatilah sesiapa pun berpada-pada. Cukup-cukup lah merasakan diri sentiasa betul.

Kelak orang makin menjauh, abang jugak yang terasa hati. Adatlah bila bekeluarga, ada rompong sana sini. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Ini pun satu peringatan untuk saya. Bila sudah berkeluarga, tak semua perkara kita perlu cerita pada mak ayah, pada adik beradik yang lain.

Jadilah pendengar yang baik, penyimpan rahsia yang amanah. Dan yang paling penting Allah saja yang menilai setiap amal kita, bukan manusia yang lain.

– Q (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *